... Bekerja Untuk Islam ...
Tuesday, September 30, 2008
Salam Aidil Fitri buat Semua
... Bekerja Untuk Islam ...
Cinta Ramadhan 8 : Selamat Tinggal Ramadhan…
Ramadhan merupakan bulan Latihan untuk umat Islam berlatih memperbanyakkan amalam kebaikan. Sebut latihan bermakna apabila selesai latihan, umat Islam semestinya menempuh cabaran dan menimba pengalaman baru berdasarkan latihan di bulan berikutnya. Kalau di bulan ramadhan umat Islam hanya menempuh pencabar yang bernama NAFSU. Tapi apabila selesai ramadhan, umat Islam akan menempuh pencabar yang kedua yang bernama SYAITAN. Kesemua pencabar ini pasti akan dapat ditewaskan dengan ISTIQAMAH dalam melaksanakan amalan kebaikan.
Penulis bermula dengan Cinta Ramadhan Satu lagi selalu menekankan soal istiqamah dengan setiap amalan yang dilaksanakan di bulan ramadhan.
Ramadhan bukan sekadar bulan ibadah semata-mata. Sewajarnya segala amalan kebaikan yang dilaksanakan mesti diteruskan selepas berakhirnya ramadhan. Sekurang-kurang umat Islam memilih satu atau dua amalan kebaikan untuk diteruskan selepas ramadhan.
Semoga Latihan di bulan Ramadhan memberi kenangan yang cukup bermakna buat umat Islam semuanya…Selamat Tinggal Ramadhan….jika dipanjangkan umur dan rezeki kita akan berjumpa lagi, InsyaAllah
www.attakiri.blogspot.com
Friday, September 26, 2008
Cinta Ramadhan 7 : Zakat Fitrah Pelengkap Taqwa
Antara perkara yang diwajibkan kepada umat Islam di bulan ini ialah ZAKAT FITRAH. Zakat ini berkonsepkan sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud :
Di ambil daripada orang yang kaya kemudian diberikan kepada orang miskin dari kalangan mereka.
Maksud kalangan mereka ialah dari kampung mereka, atau negeri mereka.
Zakat Fitrah merupakan tanda keprihatinan Umat Islam terhadap saudaranya seIslam. Walaupun jumlahnya kecil. Tetapi inilah tanda persaudaraan yang begitu suci.
Zakat Fitrah juga merupakan pelengkap objektif ramadhan iaitu Taqwa kepada Allah SWT. Kalau sebelum ini, umat Islam mengorbankan tidur, rehat dan sebagainya untuk bersama-sama beribadat kepada Allah . tetapi kini ibadat itu hendaklah ditambah dengan pengorbanan wajib daripada harta sendiri.
Mungkin setiap negeri mengwartakan bayaran yang berbeza. ini bukan menjadi satu masalah besar. Walaupun yang terbaik bayaran zakat fitrah disatukan.
Zakat Fitrah ini diwajibkan kepada semua umat Islam yang mampu tidak kira besar atau kecil, lelaki atau perempuan, yang sempurna atau cacat. Cuma kalau anak kecil, wanita (yang tidak bekerja) dan orang kurang upaya (yang tidak mampu bergerak) di wajibkan ke atas pengjaganya samada suami atau bapanya.
Kalau seorang anak yang dilahirkan sebelum jatuh matahari ramadhan terakhir pun diwajibkan zakat.
Ini semua sebagai tanda kesyukuran atas segala kurniaan rezeki dan nikmat oleh Allah SWT.
Kalau dihitung dari jumlah zakat fitrah berbanding dengan gaji bulanan atau tahunan terlampau kecil. Bayangkan zakat fitrah yang diwajibkan ialah RM 6.00 untuk seorang. Kalau dalam sebuah keluarga mempunyai 5 orang tanggungan, bermakna zakat fitrahnya sebanyak RM 30.00. jumlah ini terlampau kecil berbanding dengan gaji bulanan sebanyak RM 1,500.00 sebulan. Kalau gaji ini dihitung setahun bermakna seseorang itu akan mendapat sebanyak RM18,000.00. apalah sangat RM 30.00 berbanding dengan RM 18,000.00.
Zakat mengajar umat Islam supaya tidak kedekut untuk memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja.
Sebenarnya Harta kekayaan yang dimiliki oleh kita secara mutlak. Bahkan ia sekadar pinjaman daripada Allah SWT untuk kita uruskan. Menyebut pinjaman sudah tentu bentuk perbelanjaan akan ditanya oleh Allah SWT. Bentuk bayaran pula hendaklah seseorang hamba itu menjadi seorang yang bersyukur dan sentiasa menyucikan harta dengan memperbanyakkan sedekah wajib dan sedekah sunat.
Konsep zakat ini merupakan satu penjanaan ekonomi yang cukup baik untuk mengurangkan kadar kemiskinan sesebuah negara jikalau sistem pembahagian berjalan dengan baik dan berkesan. Ini dapat dibuktikan dalam pemerintahan Khalifah Umar Abd Aziz.
Jadi bagi sesiapa yang belum menunaikan zakat fitrah..cepat-cepat pergi bayar sebelum tiba 1 syawal. Kalau tidak saudara dikira telah melanggar arahan wajib ini sebagaimana saudara cuba meninggalkan berpuasa di bulan ramadhan
www.attakiri.blogspot.com
Thursday, September 25, 2008
Ya Allah Ya Tuhanku.. Zalimnya ISA…
MIC telah mendesak PM Malaysia supaya membebaskan tahanan HINDRAF yang diISA hampir setahun setengah. MCA telah mendesak PM Malaysia supaya membebaskan YB Teresa Koh dan wartawan Sin Chew yang ditahan hampir seminggu… tapi UMNO hanya membiarkan tahanan ISA yang telah ditahan hampir 7 tahun.
Sudah puas gerakan mansuhkan ISA menghantar memorandum kepada PM,KDN dan pelbagai lagi agensi kerajaan. Sudah puas Gerakan Mansuhkan ISA berroad Show ke seluruh negara untuk menerangkan kezaliman ISA. Tetapi semua ini tidak dilayan oleh PM Malaysia. Apakah PM Malaysia tidak mempunyai anak, apakah PM Malaysia tidak pernah menjadi seorang anak.
Penulis amat yakin kalaulah perkara sebegini berlaku dalam keadaan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim hidup. Tentu cucu beliau akan dimarahi.
Di mana perasaan Jemaah Menteri yang sanggup membiarkan tahanan ISA ini ditahan tanpa bicara. Kalau mereka bersalah buktikan sahaja di mahkamah.
Tetapi apakah kerajaan mempunyai bukti bahawa mereka ini bersalah.? Adakah kerajaan mempunyai bukti bahawa mereka ini pernah membunuh orang awam yang tidak berdosa.? Adakah kerajaan mempunyai bukti bahawa mereka ini pernah meletupkan pelancong.? adakah kerajaan mempunyai bukti bahawa mereka pernah terlibat dalam rasuah sehingga menyebabkan mereka dihumban dalam kandang tanpa bicara.?
Kes wanita monggolia dibicarakan dalam mahkamah. Kes tuduhan Rasuah Exco Perak dibicarakan dalam mahkamah, kes pembunuhan dibicarakan dalam mahkamah, bahkan semua kes jenayah dibicarakan dalam mahkamah. Kenapa tahanan ISA tidak dibicarakan.?
Ini menandakan bahawa kerajaan UMNO/BN adalah kerajaan yang zalim, cukup zalim dan terlampau zalim.
Jangan kelabui mata rakyat dengan program keagamaan. Jangan kelabui mata rakyat dengan pelbagai bantuan intensif selagi tahanan ISA tidak dibebaskan.
Ya Allah Ya Tuhanku..kau Hancurkan kerajaan yang sombong dan zalim ini. Kerajaan ini telah mengzalimi hamba-hambaMu Ya Allah. Kerajaan ini telah memisahkan tautan kasih antara anak dan ayahnya. Kerajaan ini telah telah memisahkan tautan sayang antara Suami dan isterinya. Hancurkan kerajaan ini selagi mana mereka sanggup menghalalkan undang-undang zalim dan kejam ISA.
Semoga semua umat Islam berdoa supaya Allah menghancurkan kerajaan yang sanggup menggunakan ISA demi kepentingan survival politik sempit mereka.
Bagi mereka yang bersimpati sumbanglah bantuan kepada mangsa ISA dengan menghantar sumbangan kepada HARAKAHDAILY DOT COM, No Akaun MayBank 564070000336
... Bekerja Untuk Islam ...
Wednesday, September 24, 2008
Cinta Ramadhan 6 : Kemenangan Hanya Milik Mutlak Allah SWT
Antara peristiwa penting yang berlaku di bulan Ramadhan yang patut di ambil pengiktibaran ialah peristiwa PEPERANGAN BADAR AL-KUBRA.
Peperangan ini merupakan peperangan bersemuka pertama selepas negara Islam Madinah terbentuk . Peperangan ini berlaku hasil dari fitnah yang dilemparkan oleh Abu Sufyan terhadap umat Islam di Madinah sehingga menimbulkan kemarahan pemimpin Quraisy.
Peperangan ini juga disebut sebagai peperangan pertembungan aqidah antara Muslimin dan Musyrikin, Hak dan Batil. Sebab itu Badar Al-Qubra di sebut sebagai Hari Furqan (pembeza antara kebenaran dan kebatilan).
Di awal peperangan memperlihatkan kekuatan muslimin yang cukup terhad, dengan kewangan yang sekadarnya, senjata yang tidak mengcukupi serta bilangan yang sedikit.
Sementara di pihak musyrikin mempunyai kekuatan yang cukup kuat, peruntukan pertahanan yang besar, senjata yang canggih lagi terkini, bilangan yang ramai.
Pada hari tersebut, Selain daripada merancang strategi yang baik dan mantap, Rasulullah SAW mendirikan khemah untuk baginda bermunajat kepada Allah SWT bagi mengharapkan kemenangan.
Hasilnya Allah SWT telah menurunkan ayat yang menyatakan perkenan untuk membantu orang muslimin dengan menghantar bala tentera malaikat bagi menghancurkan musuh.
Di samping itu, Allah SWT memberi peringatan agar hasil pertolongan ini hendaklah dibalas dengan ketaqwaan kepada Allah dan Syukur atas segala nikmat kemenangan ini.
Kesimpulan yang dapat di ambil daripada Peperangan ini ialah keyakinan terhadap kemenangan hanya milik Allah SWT. Walaupun Tentera Muslimin di Badar mempunyai bilangan terhad tetapi tetap diberi kemenangan oleh Allah SWT.
Situasi ini berbeza dengan peperangan Hunain. Ketika itu jumlah tentera Muslimin setanding dengan musuh sehingga menimbulkan sedikit kesombongan antara mereka. Hasilnya Tentera Muslimin hampir-hampir dikalahkan oleh musuh pada peringkat awalnya. Ini merupakan satu peringatan bahawa KEMENANGAN HANYA MILIK ALLAH.
Alhamdulillah, selepas PRU12, PR memperolehi kemenangan yang begitu besar dan diluar jangkaan. Walaupun PR ketika itu berada dalam keadaan yang tidak berapa kuat, persiapan yang terhad. Tetapi di saat akhir, Allah mengilhamkan kepada bangsa bukan Islam agar menyokong PR khususnya PAS sehingga berjaya memenangi PRU12 dengan menguasai lima negeri.
Antara kewajipan umat Islam selepas kemenangan ialah bertaqwa. Dalam erti kata lain ialah melaksanakan dasar-dasar yang disebutkan dalam Al-Quran dan pengamalan Nabi SAW. Ini sebagai tanda kesyukuran atas kemenangan ini.
Kalau umat Islam kini leka dengan kemenangan sehingga meninggalkan ajaran Islam dalam perlaksanaan sistem pemerintahan NEGERI. Tidak mustahil kemenangan ini akan ditarik balik. Walaupun kita merancang strategi dan sistem yang baik sekalipun.
Jangan kerana mencari UNDI manusia sehingga keredhaan ALLAH diketepikan. Ini merupakan perkara yang sentiasa perlu dipost motermkan dari semasa ke semasa.
Jadikan Peperangan Badar sebagai petunjuk dalam pergerakan gerakan Islam. Nabi merancang strategi tapi dalam masa yang sama tidak melupakan kuasa dan kemenangan hanya datang dari Allah SWT.
Bersegeralah untuk melaksanakan Islam walaupun kita berkemungkinan kehilangan undi daripada mereka-mereka yang sentiasa dengki terhadap agama ini daripada ditinggikan.
InsyaAllah, hasil dari kemenangan ini akan membentuk kemenangan yang lebih besar dengan syarat keredhaan Allah hendaklah segala-segalanya dalam setiap tindakan.
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
Jangan kerana PAKATAN Perjuangan DIGADAIKAN
Menyentuh dengan tulisan Cikgu Azizi yang menyebut antara lain badan PAS tetapi berbaju keadilan perlu di ambil serius oleh pimpinan dan ahli.
Penubuhan PAKATAN RAKYAT merupakan cetusan idea Dato’ Seri Tuan Guru Presiden. Sepatutnya ahli PAS berbangga dengan kebijaksanaan pimpinan kita dalam mengenengahkan pemikiran di luar kotak. Tuan Guru Presiden juga ketika itu mengajak UMNO datang kepada PAKATAN ini dengan syarat ego UMNO mesti dibuang dan sanggup menerima ISLAM sebagai konsep pemerintahan.
Inilah bukti keterbukaan pimpinan PAS dalam menerima kemasukan UMNO dalam PAKATAN RAKYAT.
Kedudukan ahli PAS dan pimpinan selepas PRU12 semakin mencabar. Dalam keadaan PR ingin membentuk kerajaan dalam masa terdekat. Kebanyakan ahli PAS semakin lama semakin hilang kiblat kepada dasar perjuangan PAS. Ahli PAS lebih berminat ceramah yang berbentuk penerangan politik lebih daripada ceramah berkenaan dakwah harakiyyah.
Ahli PAS dilihat terikut-ikut dengan rentak politik PKR dan DSAI. Mungkin ada juga ahli yang menyatakan bahawa kewibawaan DSAI melebihi kelebihan Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Hadi dan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz
Tetapi ahli PAS juga perlu ingat siapakah pimpinan yang berjaya memerintah dengan konsep Islam yang sebenar kalau bukan Menteri Besar Kelantan yang bermula dari tahun 1990 sehingga sekarang.
Siapakah yang berjaya menjadi wakil ulamak dalam persidangan ulamak antarabangsa seperti persidangan Al-Quds, persidangan Majma’ Taqrib, persidangan gerakan Islam antarabangsa kalau bukan Dato’ Seri Tuan guru Presiden.
Siapakah yang berjaya mengubah undang-undang tubuh kerajaan Negeri Terengganu kalau bukan PAS yang bermenteri besarkan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden pada tahun 2000.
Sedangkan DSAI ketika berjaya berada dalam kerajaan bermula 1982 sehingga 1998 tidak berjaya dan mampu menghapuskan ISA, AUKU dan pelbagai akta zalim. Bahkan peristiwa Memali berlaku ketika beliau menjadi menteri kabinet.
Ketika berlaku peristiwa Memali, tidak ada satu pun kenyataan dari beliau untuk menentang kezaliman tersebut.
Jadi siapakah yang lebih berwibawa dalam memerintah. Ketiga-tiga pimpinan ini berpengalaman dalam kerajaan. Tetapi pimpinan mana yang mampu membawa keadilan ISLAM kalau bukan pimpinan PAS.
Penulis bukan berniat ingin mengimbau kenangan lama. Cuma sekadar ingin memperingatkan ahli PAS agar jangan terlampau kagum dengan DSAI melebihi pimpinan PAS yang istiqamah dan komited dalam perjuangan Islam melebihi segala-galanya.
Jangan jadikan kebersamaan PAS dalam PAKATAN sebagai hujjah untuk menggadaikan prinsip perjuangan parti.
PAS bukan sekali bertahaluf siyasi. Tahalus Siyasi sebagaimana yang diketahui umum bukannya pergabungan parti. Mungkin selepas ini berlaku pembubaran dalam PR. Tetapi adakah ketika itu ahli PAS berubah menjadi ahli PKR.?
Sebelum ini PAS pernah bertahaluf dengan S46, Hamim dan Berjasa yang dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Tahaluf ini berakhir pada tahun 1995. PAS juga pernah bertahaluf dengan Parti KeAdilan, PRM, DAP yang dikenali dengan Barisan Alternatif (BA). Tahaluf ini seakan-akan berakhir dengan keluarnya DAP dari BA pada tahun 2000.
Sekarang ini PAS bertahaluf dengan PKR dan DAP yang dikenali sebagai PAKATAN RAKYAT (PR). Mungkin tahaluf ini akan berterusan atau mungkin akan berlaku dalam tempoh tertentu sahaja.
Tahaluf Siyasi ialah satu persefahaman untuk mencari titik pertemuan. Bukannya pergabungan parti. Umum mengetahui bahawa dasar PKR, DAP dan PAS cukup berbeza. persefahaman antara ketiga-tiga parti hanya berlegar dalam skop menegakkan keadilan dan menentang kezaliman UMNO.
Tahaluf juga memberi peluang kepada untuk berdakwah kepada ahli parti lain supaya dapat memahami konsep keadilan Islam yang sebenarnya.
TETAPI jangan kerana ingin merebut kuasa dari UMNO, PAS terpaksa korbankan konsep dan dasar perjuangan. PAS perlu tegas sebelum diberi kuasa. Jangan selepas mendapat kuasa PAS baru mula bertelagah.
Cukuplah pengalaman di afghanistan yang berpakat ketika berperang menentang Soviet Union, tetapi selepas menang masing-masing bertelagah untuk merebut kuasa. Akhirnya kuasa dirampas oleh Taliban yang bosan dengan perbalahan ini.
Biar PAS bertegas dengan dasar sebelum berkuasa supaya selepas mendapat kuasa secara kecelaruan hilang sama sekali.
Begitu juga dengan pimpinan PAS yang dilihat semakin hari semakin suka bercanggah sama sendiri. Isu muzakarah sampai sekarang masih ada pimpinan seakan-akan tidak berpuas hati dengan keputusan muktamar.
Terbaru ialah kenyataan dari Dr Mujahid Yusof Rawa yang mempertikaikan muzakarah kerana dapat mengurangkan sokongan bukan Islam kepada PAS.
Sepatutnya setiap keputusan muktamar perlu diperkuatkan dengan kenyataan pimpinan kepada semua ahli dan kelab penyokong walaupun mereka tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Cukuplah isu muzarakah, pertembungan Tuan Guru Nik Aziz dan Dato’ Mustafa Ali, Kritikan terbuka YB Khalid Samad kepada PAS Terengganu dijadikan pengajaran.
Selepas ini semua ahli dan pimpinan bersatu di bawah satu pimpinan PAS yang memperjuangan satu Dasar iaitu ISLAM.
Hindarkan budaya kagum dengan pimpinan lain sehingga melupai pimpinan sendiri. Jangan lupa pimpinan sendiri lebih hebat dari yang lain.
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
Tuesday, September 23, 2008
Hentikan polimik PAS Terengganu PAS selangor
Penulis ada terbaca kenyataan YB Khalid Samad dalam Blognya yang lebih ke arah menyalahkan PAS Terengganu kerana tidak pandai memerintah sehingga kerajaan PAS boleh jatuh pada tahun 2004 dahulu.
Kritikan beliau lebih ke arah bagaimana drastiknya PAS terengganu membuat perubahan seperti mengharamkan konsert, judi, arak dan sebagainya. Beliau lebih senang dengan suasana Selangor yang tidak keras dalam konsert tetapi mengikut standard JAKIM dalam mengharuskan setiap konsert.
Penulis merasakan PAS Terengganu bukan mengharamkan konsert secara mutlak.bahkan teknik yang digunakan sama seperti Kelantan. Kalau Terengganu dikatakan keras dan drastik. Sama juga seperti Kelantan. Tetapi kenapa Terengganu Kalah dan Kelantan terus kekal memerintah.?
YB Khalid tidak boleh mendabik dada bahawa Selangor telah berjaya. Terbuktinya kejayaan Selangor mesti dilihat dalam PRU akan datang. Adakah Selangor mampu mempertahankan kerajaan atau tidak. Terdapat pengalisis politik menyatakan bahawa kemenangan besar PR bukan kerana rakyat sukakan PAS, PKR atau DAP. Tetapi rakyat sudah muak dengan PM Malaysia, tu jee.
Contoh pada tahun 1999. Barisan Alternatif mendapat kemenangan besar kerana rakyat sudah muak dengan Tun Dr. Mahathir ketika itu. Tetapi pada tahun 2004 BN kembali mendapat kemenangan besar kerana rakyat ingin melihat kepimpinan Pak Lah yang digelar Mr Clean.
Kalaulah ditakdirkan BN menjadi kuat semula, adakah rakyat akan kembali menyokong PR.?
Di selangor sendiri, sudah timbul desas desus cawangan PAS yang tidak puas dengan tindakan PAS negeri yang lebih dikatakan lembab dalam bertindak. Bahkan ada cawangan yang merancang untuk bubar kerana bengang dengan tindakan pimpinan PAS Selangor. Terlampau jaga hati Ahli parti lain sehingga hati ahli sendiri dibiarkan..jadi jangan mudah mendabik dada bahawa kita berjaya sebelum dibuktikan kejayaan dalam PRU akan datang.
Kalaulah benar Terengganu melakukan kesilapan, jangan ulangi kesilapan tersebut di Selangor. Tidak perlu mewar-warkan kepada media Massa. Apa faedahnya?.
Jangan cuba mempuak-puakkan ahli-ahli PAS. Ahli PAS Cuma satu, matlamat mereka Cuma satu, dasar mereka Cuma satu..tidak timbul PAS Terengganu, PAS selangor, PAS Perak dan sebagainya. Ini semua akan menimbulkan semangat asobiyyah negeri.
Kemenangan dan kekalahan merupakan takdir Allah SWT. Kita cuma mampu merancang strategi dan taktik. Tetapi keputusan diletakkan di tangan Allah SWT. Kekalahan merupakan ujian dan kemenangan pun merupakan ujian. Jadi buat apa bertelagah sesama sendiri. Paling terbaik ialah sama-sama bantu membantu untuk menguatkan negeri-negeri yang diperintah.
Semoga pimpinan dan Ahli bersatu dalam mendokong Gerakan Islam sehingga berjaya memerintah Malaysia InsyaAllah.
...Bekerja Untuk ISLAM ...
Monday, September 22, 2008
Cinta Ramadhan 5 : Memperteguhkan keyakinan terhadap Al-Quran
Mungkin Ramadhan kali ini, segelintir umat Islam menumpukan sepenuhnya penghayatan demi untuk bertemu dengan malam Anugerah Tahunan (Malam Qadr). Sesiapa pun pasti teringin untuk bertemu malam tersebut.
Di antara perkara penting yang terjadi di bulan ini ialah penurunan Al-Quran ke langit dunia.
Pernah suatu ketika seorang yahudi berjumpa dengan Saidina Umar sambil berkata : Kalau Al-Quran turun kepada bangsa kami, tentu kami akan merayakannya. Lantas Umar menjawab : Sebenarnya kami telah pun mendahului kamu, ketika Al-Quran diturunkan kami telah menyambutkan dengan Aidil Fitri. Selepas Al-Quran diturunkan secara lengkap kami menyambutnya dengan Aidil Adha.
Penulis tidak pasti sanad cerita ini shohih atau tidak. Tetapi cerita ini memberi satu maklumat bagaimana cemburunya yahudi kepada Umat Islam kerana Al-Quran.
Al-Quran merupakan kitab yang sempurna dan lengkap sebagai panduan untuk manusia hidup di bumi ini.
Bersempena umat Islam berada dalam bulan penurunan Al-Quran ini sepatutnya keyakinan terhadap Al-Quran dipertingkatkan lagi.
Sebagaimana kita meyakini bahawa kewajipan berpuasa merupakan arahan Allah SWT melalui Al-Quran dan Sunnah. Begitu juga kita meyakini bahawa Al-Quran ini mesti memerintah.!
Islam merupakan agama yang berpolitik. Islam tidak boleh disempitkan hanya lingkungan masjid sahaja. Bahkan jaringan begitu luas sehingga menjadi rujukan dalam perbentukan dasar dan perlembagaan hidup manusia dan masyarakat.
Islam bukan agama teori tetapi Praktikal. Praktikalnya Islam dapat dilihat kepada pemerintahan Nabi Di Madinah, pemerintahan Khulafa’ Ar-Rasyidin, Pemerintahan Khilafah Umaiyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah dan sebagainya.
Kesemua pemerintahan ini telah menunjukkan kehebatan memerintah menggunakan sistem Islam. Sampai hari kehebatan mereka di sebut-sebut bukan sahaja umat Islam tetapi pengkaji sejarah barat.!
Tetapi hari ini, Umat Islam mula meninggalkan teori pemerintahan negara berpandukan Al-Quran. Mereka lebih meyakini teori barat melebihi Al-Quran. Al-Quran hanya digunakan untuk upacara keagamaan.
Walaupun teori manusia itu menemui kegagalan, tetapi mereka tetap yakin akan teori karut tersebut. Contohnya walaupun teori Sosialis telah menemui kegagalan tetapi Republik Arab Syria masih lagi menggunakan teori Sosialisma dalam pemerintahan negara. Bahkan sekarang parti-parti sosialis masih wujud hatta di Malaysia sekalipun. Pelik dan cukup pelik, kenapa teori yang gagal itu terus disokong dan didokong.?
Jadi bersempena dengan Bulan penurun Al-Quran ini, keyakinan kepada Al-Quran sebagai panduan kehidupan manusia perlu dipertingkatkan dengan sama-sama terbabit untuk menjayakan misi dan visi Islam.
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
Thursday, September 18, 2008
Akhirnya..Dato’ Mustafa Betul
Selepas peristiwa 16 September yang tidak menjadi itu, seolah-olah semua blogger pro anwar senyap seketika. Termasuk pimpinan PAS yang pro Anwar. Kalau sebelum ini PKR pernah mengumumkan bahawa sudah ada 43 orang ahli Parlimen yang ingin melompat ke PKR. Alih-alih selepas 16 September, mereka mendakwa pula bahawa setakat ini mereka telah mempunyai 31 orang ahli parlimen yang ingin melompat.
Penulis sangat berharap berlaku perubahan dalam politik negara. Tetapi jangan terlampau mengkaburkan suasana dengan politik yang boleh dikatakan ala-ala menipu ini. kalau betul cakap betul, kalau tidak ada, cakap tidak ada. Inilah puncanya orang mengatakan bahawa politik itu kotor.
Politik Islam tidak kotor. Nabi berpolitik tetapi tidak menipu. Nabi menyebut akan mendirikan negara Islam di Madinan dalam keadaan cukup terhormat dan berstrategi. Contoh nabi berdakwah kepada ahli madinah yang datang ke mekah selama beberapa tahun. Nabi menghantar utusan atau duta ke madinah untuk mengajarkan Islam. Pemergian nabi ke madinah dalam keadaan yang cukup berjaga-jaga sehingga sampai dan sebagainya. Ini semua melambangkan politik nabi yang cukup hebat.
Peristiwa 16 September ini juga mengajar umat Islam di Malaysia tentang kuasa Allah SWT. Penulis cukup bersetuju dengan pandangan Timbalan ketua Pemuda PAS Pusat Ust. Nasarudin Tantawi menyebut supaya dilafazkan ucapan InsyaAllah untuk setiap perancangan.
Ya mungkin betul dakwaan bahawa sudah ada MP yang ingin melompat itu untuk tujuan meyakinkan musuh. Tetapi dalam jiwa umat Islam hendaklah yakin bahawa segala perancangan itu telah diatur oleh Allah SWT.
Alhamdulillah PAS tidak terikat sama dengan peristiwa 16 september ini. kalau tidak nama baik dan maruah PAS sama-sama jatuh sebagaimana PKR. Walaupun tidak jatuh 100% tetapi sekurang-kurangnya populariti semakin menurun.
Perkukuhkan negeri PAKATAN RAKYAT dahulu sebelum jatuhkan kerajaan Pusat. kalau ingin jatuhkan kerajaan pusat, kukuhkan PR supaya boleh menimbulkan keyakinan kepada MP BN untuk sama-sama melompat.
Walau apa pun perubahan berlaku. Penulis tetap menyokong pandangan Presiden PAS supaya MP Islam mesti menjadi Majoriti. Jadi hikmah daripada 16 september ini ialah saling memperbaiki wala’ kepada pimpinan sendiri sebelum kagum dan taasub kepada pimpinan parti lain. Semua pimpinan yang pernah digelar Erdogan kononnya bolehlah kembali kepada perjuangan PAS yang sebenarnya. PAS akan terus memacu perubahan dalam memperkenalkan keadilan Islam kepada semua.
Islam mesti menjadi tunjang kepada pemerintahan negara. Kalau tidak sia-sia berlaku perubahan tanpa Islam. Kezaliman pasti akan berterusan kecuali Islam dijadikan rujukan dan hukum tertinggi negara.
Penulis melihat kalaulah perubahan tetap tidak berlaku sehingga akhir september ini, bermakna rakyat Malaysia akan melihat perubahan itu pada PRU13 nanti.
Semoga segala perancangan berjalan lancar……perteguhkan jemaah teruskan jihad.
www.attakiri.blogspot.com
Cinta Ramadhan 4 : Memahat Istiqamah ..
Umat Islam baru sahaja melepasi 17 ramadhan. Satu tarikh yang cukup bersejarah melebihi sejarah 16 September. Pada tarikh tersebutlah Al-Quran diturunkan ke langit dunia secara sekaligus.
Al-Quran merupakan kitab yang mengajar umat Islam dan manusia keseluruhannya bagaimana untuk menempuh kehidupan di dunia dan akhirat dengan penuh aman damai.
Kesemua manusia inginkan keadilan, kebajikan, keharmonian kaum dan sebagainya. Semua ini tidak akan dapat dicapai kecuali dengan menggunakan Al-Quran sebagai dasar dan cara hidup.
Al-Quran pula mesti dicantum dengan Hadis Nabi SAW untuk menambahfahamkan lagi penjelasan Al-Quran. Oleh itu, sesiapa yang menganggap bahawa hadis itu tidak penting dan tidak perlu maka dia telah melanggar Al-Quran.
Menyebut tentang hari ke 20 ramadhan. Mungkin sesetengah tempat mula lengang saf terawihnya. Begitu juga dengan waktu subuh. Kalau sebelum ini majlis tadaruss dihadiri lebih daripada 20 orang. Kini mungkin tinggal 10 atau 5 orang sahaja.
Mengapa terjadi sedemikian.? Bukankah Syaitan telah dibelenggu .? ini menandakan bahawa amalan manusia di awal ramadhan bukan berdasarkan kefahaman tetapi lebih kepada adat yang biasa dilakukan di awal ramadhan.
Sepatutnya semakin dekat dengan syawal, semakin hebat amalan. Kalau sebelum ini kita membaca al-Quran dua helai sehari. Mungkin boleh dipertingkatkan dengan membaca penafsiran pula. Tidak banyak pun tak apa asal Ayat Al-Quran itu dapat difahamkan sedikit.
Sesungguhnya amalan yang disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. Tidak guna kalau melaksanakan ibadat yang banyak tetapi hanya mampu bertahan seminggu sahaja.
Alangkah baik kalau amalan itu sedikit tetapi berterusan sehingga ke akhir ramadhan bahkan menjadi satu kebiasaan pada diri.
Jadi bagi sesiapa yang masih terus istiqamah dalam amalan, penulis mengucapkan tahniah. Semoga amalan kalian akan berterusan sehingga ke akhir hayat.
Ramadhan bukan bulan ibadat sahaja. Tetapi ramadhan ialah bulan untuk membina taqwa dengan ibadat. Kalau ibadat seseorang masih menjana taqwa bermakna ada sesuatu yang tidak kena.
Sementara kita masih di bulan ramadhan ini, post motermlah balik amalan dan perbaikilah sebelum ramadhan ini berakhir. Kalau kita tidak mampu memperbaiki di bulan ini. kemungkinan di bulan lain agak sukar untuk diperbaiki kerana terdapat banyak gangguan-ganguan.
Jadikan ramadhan ini ramadhan yang terbaik dalam diri kalian. Nabi SAW mula memperhebatkan amalan dan mengajak seisi keluarga untuk beribadat bermula dengan 10 malam terakhir…
Perhebatkan amalan semoga kita dikurniakan rezeki untuk bertemu dengan Malam Qadr..InsyaAllah
Ya Allah Ya tuhanku, Engkaulah yang Maha Pengampun yang suka Mengampun dosa. Ampun dan Maafkan dosa hambaMu yang lalai dan leka ini
Amin
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
Tuesday, September 16, 2008
Sabra dan Shatila permulaan penentangan rakyat Palestin
Perjuangan rakyat Palestin yang tercetus daripada penderitaan berpanjangan terdiri di atas dua tonggak utama : pertama, keinginan untuk bangkit menentang dan kedua : kemampuan untuk bersatu.
Di Beirut pada tahun 1982, rakyat palestin sememangnya bersatu, tetapi banyak daripada infrastruktur kehidupan mereka telah musnah. Pertama institusi keluarga mereka hancur berkecai ekoran pengusiran kaum lelaki; kemudian wanita dan kanak-kanak pula dibunuh secara beramai-ramai, sementara rumah mereka dimusnahkan. Semua ini dirancang bagi menghapuskan semua tanda kewujudan rakyat Palestin di Sabra dan Shatila.
Akibatnya, kekuatan moral untuk menentang turut runtuh. Ini telah melemahkan salah satu daripada dua paksi di atas. Sekali gus menghakis kekuatan perjuangan rakyat Palestin. Kemahuan mereka bersatu juga tergugat dan keadaan ini tergambar dalam peristiwa berdarah di Tripoli, Lubnan pada 1983.
Pada 1982, perjuangan rakyat Palestin menyaksikan hakikat yang bakal berlaku sekiranya mereka tidak lagi memiliki kemahuan untuk menentang dan juga kemampuan untuk bersatu.
Namun pada 1985, Sabra dan Shatila telah mempamerkan kepada dunia daya juang rakyat Palestin. Mereka telah menemui semula kemahuan untuk menentang.
Oleh itu apabila musuh cuba mengulangi sekali lagi pembunuhan di Sabra dan Shatila seperti pada 1982, mereka telah menghadapi tentangan yang sengit. Malah, keberanian penduduk kem itu menjadi inspirasi kepada semua rakyat Palestin untuk menghidupkan kembali kesatuan dalam pergerakan mereka.
Pada 1982, Sabra dan Shatila mengalami tragedi pembunuhan beramai-ramai tanpa banyak tentangan. Tetapi pada 1985, Sabra dan Shatila mempersembahkan rakyat Palestin yang bersatu dan komited dalam penentangan mereka.
Sabra dan Shatila mungkin musnah secara fizikal dalam pertembungan ini, tetapi penduduknya akan membangunkannya sekali lagi. Mereka telah menetapkan tanda aras sejagat tentang erti kesatuan, penentangan, daya tahan, dan keberanian. Semangat yang terpancar dari sabra dan Shatila akan terus hidup dalam setiap jiwa rakyat Palestin dan setiap manusia yang memperjuangkan keadilan dan kemerdekaan
2 jun 1985, UK
Dr. Ang Swee Chai
Hari ini (15 September 2008) genap 26 tahun peristiwa penyembilan besar-besaran tentera zionis yang diketuai oleh Ariel Sharon terhadap umat Islam Palestin di kem buangan Sabra dan Shatila, Lubnan.
Sabra dan Shatila memahatkan satu tragis yang cukup pahit untuk ditatapi oleh umat Islam seluruh dunia. Kisah yang bermula dengan perancangan israel dan antarabangsa sehingga terusirnya golongan pemuda PLO dari Lubnan. Akibat kelompangan ini, tentera Israel yang terkenal dengan penakut itu masuk ke kem Sabra dan Shatila untuk berpesta darah.
Mereka membunuh sesuka hati mereka. Mereka mengperkosa dan merogol wanita palestin semahu-mahunya. Mereka menyembelih kanak-kanak dan pelbagai lagi kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel yang pengecut itu.
Tangisan Sabra dan Shatila ketika itu tidak dihiraukan langsung oleh masyarakat antarabangsa. Bahkan masyarakat Islam sendiri memandang sepi apa yang berlaku di sana.
Walaupun begitu, semua kejadian ini tidak mematahkan penduduk Palestin untuk bangkit dan menentang tentera Zionis pada tahun 1985. Bagi mereka syahid adalah cita-cita tertinggi yang mesti dikejarkan walaupun sekadar bersenjatakan batu dan dahan-dahan kayu.
Kejadian yang berlaku di sabra dan shatila tidak mematahkan semangat kaum wanita dan kanak-kanak palestin untuk membina kembali rumah dan kehidupan yang telah musnah itu. Bahkan mereka mampu membina sebuah hospital yang dikatakan agak lengkap dalam masa yang singkat sahaja. Inilah bukti kesatuan yang berada dalam diri rakyat Palestin.
Hingga kini, penentangan terhadap zionis semakin diperhebat. Zionis yang terkenal dengan penakut mula merasa gerun dengan peningkatan pertahanan rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Rakyat Palestin kelihatan begitu optimis untuk kembali bersembahyang di Masjid Al-Aqsa secara merdeka daripada penjajahan Zionis.
Jadi, apakah peranan kita sebagai umat Islam, adakah sekadar menonton drama yang penuh dragis ini.? sekurang-kurangnya kita cuba memboikot sebanyak mungkin barangan keluaran Israel atau negara-negara terlibat untuk membantu Israel.
Dan yang paling penting selalu berdoa untuk memberi ketabahan kepada rakyat Palestin.
Penulis mengesyorkan agar sahabat sekalian membaca buku karang Dr. Ang Swee Chai yang bertajuk Dari Beirut ke Jerusalem untuk mendapat gambaran sebenar peristiwa tersebut secara jelas dan terperinci kerana beliau antara orang yang menjadi mangsa kekejaman tentera Zionis itu
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
Monday, September 15, 2008
Tindakan Mustafa Wajar….
Penulis bukan berniat untuk mencampuri urusan kedua-duanya. Tetapi izinkan penulis untuk memberi sedikit pandangan terhadap kenyataan Mustafa. Bukan berniat untuk menyokong tapi sekadar memberi pandangan rasional mengikut perspektif penulis.
Bagi penulis kenyataan Dato’ Mustafa Ali satu kenyataan yang wajar. Bukan beliau bahkan Naib Presiden PAS Tn. Hj. Mohammad bin Sabu pun mengeluarkan kenyataan yang seakan-akan mempunyai pandangan yang sama.
Cuba lihat kenyataan yang dikeluarkan itu adalah sebelum berlakunya mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat. Mungkin kenyataan ini jugaklah yang membawa kepada DSAI memanggil pimpinan PR untuk bermesyuarat bagi membincangkan isu 16 september ini.
Dalam hal ini, penulis cukup terkilan dengan DSAI yang sentiasa membuat kenyataan seolah-olah mewakili PR tetapi perbincangan langsung antara Majlis tidak dibuat. Contohnya pengisytiharan 16 September sebagai tarikh kerajaan ditumbang. Hampir kesemua pimpinan PAS dan DAP tidak dimaklumkan siapa terbabit dan macam mana bentuknya.
Sebab itu, penulis cukup bersetuju dengan pandangan Mat Sabu yang menyebut kerajaan 16 september ini adalah kerajaan Anwar, bukan kerajaan PR.
Selepas kenyataan Dato’ Mustafa Ali, barulah kedengaran DSAI memanggil Pimpinan PR untuk bermesyuarat.
Tiba-tiba timbul isu teguran TGNA terhadap kelakuan terbuka Mustafa. Penulis bukan berniat untuk membangkang sangat. Tetapi alangkah eloknya TGNA mendengar dahulu penjelasan Mustafa dalam bab ini.
Jangan kerana 16 september pimpinan PAS terlibat sama bertelingkah sesama ahli sendiri. Walhal 16 september belum tentu tercapai atau tidak. Kukuhkan ukhuwwah antara pimpinan.
Dalam muktamar ini, perwakilan sudah acap kali menegur kepada pimpinan supaya tidak menggunakan blog sebagai tempat untuk menghentam pimpinan yang lain. Nampaknya semua berdegil dan masih terus mengeluarkan pandangan peribadi yang kadang kala bercanggah antara satu sama lain.
Kalaulah pimpinan pun tidak menghormati keputusan muktamar. Tidak mustahil perwakilan pun akan hilang hormat terhadap pimpinan terbabit. Kita bergerak atas dasar Gerakan Islam yang menggunakan pilihanraya sebagai wadah. Jangan jadikan Politik melebihi dakwah. Jangan pentingkan kuasa sehingga organisasi menjadi porak peranda.
Perkukuhkan negeri PAKATAN RAKYAT dahulu. Pertukaran kuasa belum tentu bila…. Mungkin 16 september tahun atau mungkin 16 september tahun 2013….Waallahua’lam
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...