Thursday, July 9, 2009

Hadis Pilihan 1 : Kepimpinan Bukan Satu Perebutan



Maksudnya : Abi Zar berkata kepada Rasulullah : Wahai Rasulullah, Kamu tidak mahu melantik aku (menjadi pemimpin)?. Lantas Rasulullah meletakkan tangan ke atas bahu Abi Zar seraya berkatan : “Wahai Abu Zar, Kamu ini seorang yang lemah. Kepimpinan merupakan satu amanah, kepimpinan juga merupakan suatu kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali bagi sesiapa yang mengambil kepimpinan ini dengan hak dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam riwayat yang lain : “Wahai Abu Zar, Kamu ini seorang yang lemah (tentang kepimpinan). Aku menyayangimu sebagaimana aku menyayangi diriku. Jangan kamu dilantik sebagai ketua kepada dua orang yang lain. Jangan kamu dilantik untuk menjaga kemaslahatan harta Anak Yatim.

Permintaan Abu Zar dan penolakan Nabi SAW perlu dipandang secara positif bukannya negatif.

Permintaan Abu Zar kerana beliau melihat perlantikan Nabi SAW merupakan satu kemuliaan, kebanggaan dan kepercayaan. Sudah tentu beliau inginkan kemuliaan, kebanggan dan kepercayaan Nabi SAW.

Penolakan Nabi SAW kerana Baginda mengenali setiap peribadi sahabat RA. Baginda mengenali Abu Zar dan tahap kemampuannya untuk memimpin. Pemimpin bukan sekadar memahami agama tetapi mampu untuk mentadbir dengan baik. Dengan kata lain memahami kehendak Maslahah dan Masfadah untuk rakyat dan bukan untuk Individu.

Kemampuan sebegini tidak ada pada Abu Zar RA. Tetapi ini bukan bermakna Abu Zar seorang sahabat yang lemah dan lembik. Abu Zar ialah seoran yang cukup zuhud dengan keduniaan. Beliau seorang yang cukup mentaati perintah Allah SWT.

Cuma setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Antara kehebatan Nabi ialah mengenali Kelebihan dan kelemahan para Sahabat. Dengan sebab itu, setiap tugasan diberikan kena pada tempatnya.

Imam Nawawi menyebut dalam mensyarahkan Hadis ini dengan berkata :

Hadis ini merupakan asas bagi menjauhi amanah kepimpinan. Khususnya bagi sesiapa yang tidak mampu melaksanakan tuntutan kepimpinan. Kehinaan dan penyesalan akan berlaku kepada orang yang mengabaikan amanah ini. Mereka akan dihina dan dibukakan aib oleh Allah pada Hari Kiamat. Inilah yang akan menjadi penyesalan bagi mereka para hari tersebut.

Tetapi, Kalau pemimpin itu mampu memegang kepimpinan dan memerintah dengan keadilan, mereka pasti akan mendapat ganjaran yang cukup besar. Ini jelas disebutkan dalam hadis-hadis Shahih yang lain. Bahkan kesemua ulamak Muslimin (ijma’) mengakui kelebihin ini. Dalam masa yang sama perlu sentiasa berjaga-jaga dengan peringatan tentang bahayanya apabila memegang kepimpinan.

Bagi penulis, Kenyataan yang dikeluarkan oleh Imam Nawawi cukup jelas dan terperinci. Jadi tidak wajar bagi sesiapa yang berkelayakan dan diminta untuk memegang kepimpinan menolak dengan alasan kepimpinan merupakan satu penyesalan.

Cegahan terhadap meminta-meminta jawatan berkait rapat dengan amanah yang hendak dilaksanakan. Kalau mampu, tidak salah untuk seseorang itu meminta supaya dilantik.

Ini jelas dalam kisah Yusuf meminta supaya beliau diletakkan dalam bidang perbendaharaan negeri kerana keyakinan beliau dalam menjalankan tugas tersebut dengan adil dan amanah.

Rasulullah pernah bersabda :


Maksudnya : Sesiapa yang meminta untuk dilantik sebagai Hakim/pemimpin orang Islam sehingga dia mencapainya. Keadilan yang diberikannya melebihi daripada dosanya (kezaliman). Maka dia akan mendapat balasan syurga. Tetapi jika Dosanya ( kezaliman) melebihi keadilannya. Maka dia akan mendapat balasan neraka . (Riwayat Abi Daud)


Maksudnya : Tidak ada kedengkian (bagiku) kecuali kepada dua orang (golongan). (yang pertama) Seorang lelaki yang dikurniakan harta Kekayaan oleh Allah, harta tersebut dihabiskan atas jalan kebenaran. (yang kedua) seorang lelaki yang dikurniakan hikmah (kebijaksanaan) oleh Allah, lelaki ini menggunakan kebijaksaannya dalam pemerintahan dan berkongsi dengan orang lain. (Riwayat Bukhari)

Kedengkian yang dimaksud dalam hadis tersebut ialah kedengkian yang membawa ke arah saling berlumba-lumba untuk mengejar kebaikan. Bukan saling berlumba-lumba untuk menjatuhkan mereka yang membuat kebaikan.

Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk memimpin, teruskan dengan niat kalian. Sesungguhnya pahala dan ganjaran Allah sangat besar sekali.

Bagi sesiapa yang tidak mampu tetapi ingin memimpin.. berjaga-jagalah, sesungguhnya azab Allah sungguh pedih.

Semoga penjelasan hadis ini memberi manfaat kepada semua..

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tafsir Pilihan 1 : Jangan Menyesal



Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (persalah, marah dan menyesal terhadap dirinya) sambil berkata : “Kalaulah (dunia dahulu) aku mengikut jalan (petunjuk) para Rasul ( tentu aku tidak akan jadi sebegini”. “Celakalah aku, kalaulah aku tidak mengambil dia sebagai kawan karib (sudah tentu nasib aku tidak sebegini).”Dia ini telah menyesatkan aku dari peringatan (Al-Quran) selepas peringatan tersebut disampaikan kepadaku dan syaitan sentiasa mengecewakan manusia (yang mengambil syaitan sebagai sahabat karib) – Al-Furqan 27-31

Kadang Pengaruh kawan sekeliling membawa kepada syurga. Kadang pengaruh kawan membawa kepada neraka. Lebih-lebih kalau kawan itu seorang yang berpengaruh di campur dengan title YB pulak.

Ayat di atas merupakan satu amaran kepada mereka yang menolak untuk bersama Islam dengan sebab malu alah dengan sahabat mereka. Kesan dari malu alah tersebut. Penyesalan tidak terhingga apabila bertemu dengan Allah SWT.

Walaupun ayat di atas diturunkan untuk golongan musyrikin mekah dan penyesalan mereka di hadapan Allah hasil daripada penderhakaan terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi pengajaran ayat ini boleh diumumkan kepada sesiapa sahaja yang bersifat demikian.

Ramai mana manusia khususnya remaja terkena dengan keadaan sedemikian. Ada yang ingin mengubah diri dengan cara hidup Islam, tapi di sindir kononnya ingin menjadi malaikat.

Islam bukan sahaja mengajar manusia bagaimana untuk menjalani kehidupan berpandukan fitrah insani. Tetapi Islam juga mengajar dan memberitahu manusia bahawa kehidupan di dunia ini bersifat sementara.

Segala perbuatan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah SWT. Ini merupakan satu pemantauan terbaik bagi memastikan manusia menjalani kehidupan dalam keadaan aman, damai dan membahagiakan.

Islam bukan agama yang hanya mementingkan akhirat semata-mata. Maksud daripada penciptaan manusia untuk menyembah Allah SWT perlu dilihat dalam skop yang lebih luas.

Beribadat kepada Allah bukan sahaja melaksanakan tuntutan aqidah dan syariat. Tetapi beribadat kepada Allah ialah menyempurkan tuntutan akhlak dan sunnatullah.

Membina jati diri berkeyakinan, melengkap diri dengan ilmu pengetahuan, cemerlang dalam peperiksaan, menguruskan kewangan dan sebagainya merupakan salah satu pengibadatan kepada Allah.

Begitu juga membina rumah tangga yang bukan sahaja menekankan soal pendidikan formal semata-mata, tetapi lebih kepada pembinaan akhlak keluarga dan anak-anak juga merupakan pengibadatan kepada Allah.

Perkataan Ibadah perlu dipandang dalam skop yang besar. Jangan dipandang dengan skop yang terlampau kecil sehingga merosakkan agama.

Ramai umat Islam yang berdepan dengan kesusahan sentiasa menyebut mereka tidak sukakan kesenangan kerana mungkin akan membawa kepada kebinasaan.

Mungkin hujjah yang betul atau ingin mencipta alasan sebab malas berusaha.!

Umat Islam perlu menunjukkan contoh teladan yang terbaik untuk umat Manusia seluruhnya.

Jadi, carilah kawan yang terbaik untuk membina jati diri yang bertepatan dengan syariat Islam.

Selalulah membaca sirah Rasulullah SAW. Lihatlah bagaimana Rasulullah bergaul dengan para sahabat dan membina mereka dengan akhlak Islam yang cukup tinggi.

Ingat.... Pergaulan yang silap akan menempah maut di hadapan Allah SWT.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, July 8, 2009

Pemikiran Berjemaah lebih baik dari pemikiran Individu

Selepas berkembangnya dunia blogger yang begitu meluas. Kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan arus kemodenan ini. ada yang mencipta blog sebagai catatan diari peribadi. Ada yang mencipta blog sekadar melontarkan pandangan peribadi. Ada yang mencipta untuk menghentam sesama sendiri dan sebagainya.

Kemenangan Gerakan Islam PAS bersama PAKATAN RAKYAT boleh dikatakan oleh pengaruh blog yang begitu meluas ketika musim pilihanraya. Nampaknya UMNO/BN telah mengambil tindakan yang serupa sekarang ini sehingga dilihat begitu banyak blog yang pro UMNO secara totok.

Pun begitu, perkembangan blog ini mempunyai kesan positif dan negatifnya.

Positifnya ialah segala maklumat tentang kebobrokan kepimpinan kerajaan UMNO/BN dapat ditelanjangkan habis-habisan. Kalau sebelum ini, maklumat tersebut disembunyikan oleh media arus perdana. Kini persembunyian maklumat tidak berlaku lagi.

Negatifnya pula banyak. Apa yang penulis ingin fokuskan di sini ialah terdapat blog yang saling hentam menghentam antara satu sama lain.

Islam cukup mementingkan Institusi mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini bukan bermakna seorang pemimpin tidak dibenarkan untuk membuat keputusan tersendiri yang drastik.

Ketika Perjanjian Hudaibiyyah Rasulullah membuat keputusan sendiri selepas mendapat petunjuk dari Allah SWT walaupun tidak dipersetujui oleh para sahabat.

Rasulullah juga melaksanakan keputusan mesyuarat dalam strategi peperangan uhud walaupun keputusan tersebut kurang dipersetujui oleh baginda Nabi SAW.

PAS telah selesai menjalani pemilihannya dalam muktamar yang lalu. Pemilihan tersebut telah dijalankan dengan telus tanpa ada sebarang penyelewengan. Jika timbul sebarang penyelewengan sudah tentu ada laporan.

Pimpinan PAS dipilih oleh perwakilan kawasan yang telah diberi mandat oleh ahli PAS melalui Mesyuarat Agung Kawasan. Kebiasaan ahli Mesyuarat Agung Kawasan memberi mandat kepada Ahli Jawatankuasa Kawasan untuk memilih pemimpin yang dikehendaki dan sesuai dengan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam.

Walaupun Struktur pemilihan sama seperti UMNO. Tetapi PAS tidak mengamalkan rasuah politik sehingga hanya mereka yang berduit sahaja yang boleh menjadi pemimpin UMNO.

Pemimpin PAS dipilih berdasarkan gerak kerja dan pemahaman tentang pergerakan PAS sebagai Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

Apa yang penulis ingin sebutkan di sini ialah pimpinan PAS dipilih secara mesyuarat. Pimpinan dipilih berdasarkan persetujuan dari akar umbi.

Setiap manusia mempunyai pandangan berbeza terhadap beberapa orang pemimpin. Perbezaan pandangan ini telah selesai apabila keputusan telah dikeluarkan. Sepatutnya perbezaan pandangan ini dihilangkan selepas perwakilan membuat keputusan.

Tetapi situasi ini seolah-olah tidak berlaku. Terdapat segelintir pimpinan dan ahli masih sibuk mengkritik pimpinan yang dilantik secara terbuka. Inilah antara perkara yang negatif apabila blog menjadi medan untuk menkritik.

Penulis tidak hairan apabila penganilisis politik mengkritik secara terbuka. Penulis juga tidak hairan kalau blog pro UMNO mengkritik secara terbuka.

Tetapi penulis cukup terkilan kalau blog pimpinan ataupun ahli hard Core mengkritik secara terbuka. Kritik tersebut bukan sekadar mengkritik. Tetapi ditimbulkan seolah-olah PAS mempunyai dua kem berbeza. Kem Mursyidul Am dan Kem Presiden. Walhal kedua-dua Tok Guru itu tidak pernah berniat sedemikian.

Wacana Ilmiah Dewan Pemuda PAS Pusat dijadikan modal untuk menghentam ketua Pemuda Sekarang. walhal tindakan ketua Pemuda Sekarang sama dengan tindakan ketua Pemuda terdahulu. Kenapa YB Salahuddin tidak diserang tetapi Ust. Nasrudin diserang bertalu.? Adakah terdapat agenda tersembunyi dalam serangan ini.?

Penulis tidak berniat untuk bersangka buruk. Cuma ingin berwaspada sahaja. Dakwaan bahawa kepimpinan Pemuda mundur kebelakang adalah sesuatu yang tidak adil.

Dari sudut mana diukur kemundurannya. Adakah kerana Ketua Pemuda Berserban dianggap mundur.? Adakah kerana Pemuda ingin kembalikan tarbiyyah zaman 80’an dianggap mundur.? Apakah kerana wacana Ilmiah, Pemuda dianggap mundur ke belakang.?

Kemungkinan-kemungkinan ini merupakan satu pandangan kebudak-budakan yang tidak ada asasnya.

Keputusan Pimpinan PAS pusat di laksana secara Syura. Keputusan Pimpinan Pemuda Pusat diputuskan secara Syura. Keputusan Pimpinan Ulamak diputusan secara syura. Keputusan Pimpinan Muslimat diputuskan secara syura.

Semestinya ia berbeza dengan keputusan individu yang kadang-kadang merasakan bahawa mereka betul. Tidak sama keputusan yang dibuat oleh mereka yang bergelumang dengan gerak kerja Gerakan Islam dengan mereka yang hanya sekadar menjadi ahli pemikir.

Yang paling penting. keputusan secara berjemaah lebih baik dari keputusan individu yang belum tentu praktikal.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Friday, July 3, 2009

Kenapa Timbulkan lagi Isu Kerajaan Perpaduan

Selepas Majlis Presiden PAKATAN RAKYAT membuat keputusan untuk menghentikan idea kerajaan Perpaduan yang telah disalah gunakan oleh UMNO. Penulis menyangkakan bahawa isu ini telah selesai.

Masih ada dari kalangan ahli dan pimpinan PAS masih menimbulkan isu ini seolah-olah PAS mempunyai 2 team yang berbeza. Penulis tidak pasti kenapa ianya terus menerus berlaku.

Baru-baru ini pula penulis terbaca tulisan Dr. Dzulkifli Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang mengeluarkan tulisan yang bertajuk Gagasan Pemikiran ; dimana silapnya. Tulisan ini pada awalnya disiarkan dalam harakahdaily.

Tulisan yang bersifat separa akademik yang disertai beberapa hujjah untuk menyangkal gagasan Kerajaan Perpaduan yang dianggap menentang arus momentum kebangkitan rakyat.

Penulis mengikuti perkembangan Kerajaan Perpaduan semenjak idea gagasan ini dilontarkan. ada yang menyokong dan ada yang membangkang.

Masing-masing melontarkan pandangan dan hujjah yang begitu bernas dan jelas. Hujjah tersebut samada dari sudut syarak dan dari sudut realiti keadaan politik semasa.

Setiap orang berhak mempunyai pandangan masing-masing. Cuma sebagai pimpinan parti, sewajarnya perbezaan pandangan itu di lontarkan dalam mekasnisma parti yang telah distrukturkan.

Penulis memandang bahawa alangkah baiknya kalau Dr. Dzulkifli mengemukakan pandangan beliau secara terus kepada Presiden PAS tanpa diwar-warkan secara terbuka dalam media.

Tindakan Khabbab bin Munzir memberi pandangan politik secara terus kepada nabi tentang kedudukan tentera muslimin yang tidak strategik dalam Peperangan Badar patut di ambil contoh.

Khabbab bin Munzir tidak menceritakan kepada umum bahawa keputusan Nabi SAW tidak kena dan tepat dari strategi peperangan sehingga menimbulkan keributan dari kalangan sahabat.

Inilah perbezaan antara tindakan Khabbab bin Munzir dan tindakan beberapan pimpinan parti dalam mengeluarkan pandangan-pandangan politik semasa.

Penulis tidak pelik kalau pandangan-pandangan politik secara terbuka diluahkan oleh para blogger ataupun sesiapa yang tidak ada jawatan dalam parti. mungkin mereka tidak berpeluang berjumpa dengan presiden untuk melontarkan pandangannya.

Dr Dzulkifli juga menggunakan pendekatan kaedah Usul Fiqh bagi menidakkan wujudnya kerajaan perpaduan. Ini mungkin satu pandangan.

Imam Syatibi menyebut bahawa setiap nas syarak yang diturunkan oleh Allah SWT bersifat samada untuk menghilangkan kemudaratan (درء المفسدة ) ataupun mengambil kemaslahatan (جلب المصالح ).

Untuk mengetahui samada sesuatu strategi itu mendatangkan kemaslahatan ataupun mendatangkan kemudaratan perlu dipandangan dari sudut disiplin ilmu yang tinggi.

Kerajaan Perpaduan merupakan satu idea yang tidak pernah diwacanakan oleh ahli akademik secara serius tentang pengertian, rasional, manfaat, mudarat dan pengoperasiannya untuk Malaysia.

Jadi bagaimana kita boleh menyebut bahawa menerima Gagasan Kerajaan Perpaduan bermakna mengambil sedikit maslahat yang tidak begitu pasti dan menimbulkan satu kemudaratan yang besar. Ini satu pandangan yang tidak sepatutnya berlaku sebagai seorang ahli akademik.

PAS pernah berpengalaman berada dalam kerajaan campuran Barisan Nasional. Ketika itu, PAS berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara.

Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr. Hj. Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif pernah menyebut bahawa ketika PAS berada dalam kerajaan campuran. Cawangan PAS tumbuh bagaikan cendawan dijohor. Ini adalah kerana rakyat ketika itu tidak merasa bimbang atau takut untuk terlibat dengan PAS.

Gejala ini cukup membimbangkan UMNO sehingga mereka mencetuskan peristiwa rusuhan di Kelantan sehingga Kelantan Di MAGERANkan. Hasil daripada peristiwa itu, PAS di tendang keluar dari Barisan Nasional.

Penulis tercari-cari penulisan semula sejarah kerajaan campuran yang pernah berlaku antara PAS dan UMNO. Apakah positif dan negatif kemasukan PAS dalam Barisan Nasional?. Apakah positif dan negatifnya pula UMNO menerima PAS sebagai ahli dalam kerajaan Campuran?. Apakah PAS ditendang keluar dari BN disebabkan kesilapan BN seratus peratus ataupun berlakunya krisis dalaman PAS yang digunakan alasan oleh BN.?

Persoalan-persoalan sebegini terlintas dalam fikiran penulis dan memerlukan jawapan secara bertulis atau jawapan terus dari pimpinan PAS. tapi ini bukan bermakna penulis bersetuju dengan kerajaan campuran. Semua ini sekadar pertanyaan untuk menguatkan hujjah PAS bahawa orang mukmin tidak akan masuk dalam lubang yang sama dua kali.

Presiden PAS berkali-kali menafikan bahawa kerajaan perpaduan ini bukan kerajaan campuran. Kerajaan Perpaduan ialah kerajaan tanpa pembangkang. Kerajaan Perpaduan akan berlaku apabila kesemua parti-parti politik bersetuju. Kerajaan Perpaduan bukan perpaduan antara UMNO dan PAS. Kerajaan Perpaduan ialah kerajaan semua parti samada UMNO, PAS, PKR, DAP, MIC, MCA dan pelbagai lagi.

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Dzulkifli bahawa isu penolakan idea Kerajaan Perpaduan bukan isu wala’ dan taat kerana idea ini tidak pernah dibincangkan dan diputusakan dalam mekanisma parti.

Tapi penulis memandang dari sudut adab dan akhlak berjemaah. PAS perlu dipandang secara tiga wajah iaitu Siasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

PAS bergerak bukan atas kapasiti peribadi. PAS bergerak atas landasan jemaah. Jadi tidak timbul bahawa hanya aku yang membangunkan PAS sehingga PAS menjadi hebat sedemikian rupa.

PAS bukan tempat untuk mencari populariti peribadi ataupun untuk merebut-rebut jawatan. Setiap keputusan PAS di buat secara kolektif dan berlapang dada. Mungkin ketika mesyuarat masing-masing bertegang leher, tetapi selepas keputusan di buat semua ahli tenang dan bersedia mempertahankan keputusan mesyuarat tersebut.

Sebagaimana penulis sebutkan di awal tadi, sepatutnya Dr. Dzulkifli memberi pandangan terus kepada Presiden daripada dilontarkan kepada media. Ia akan lebih dipandang dan dihormati.

Penulis berharap isu kerajaan perpaduan ini dapat dihentikan sebagaimana keputusan yang telah dibuat. Walaupun sebelum ini masing-masing berbeza pandangan tetapi selepas keputusan dibuat diharap semua berlapang dada.

Penulis tidak pernah membenci dr. Dzulkfli. Beliau seorang yang sanggup berkorban demi untuk PAS. Cuma menulis memberi pandangan kerana sayangkan beliau kerana Allah (أنا أحبك لله.(

www.attakiri.blogpot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Thursday, July 2, 2009

Apa Pun Berlaku, Agenda Rakyat mesti diutamakan

Penulis terkejut ketika membaca utusan online pagi tadi yang menyebut bahawa DAP keluar PAKATAN. Oleh kerana kurang percaya dengan apa yang dilaporkan, penulis search maklumat daripada sumber yang lain yang lebih dipercayai. Kebetulan ketika itu, Siasahdaily telah menyiarkan kenyataan MB Kedah YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mengenai punca dan kenapa ia berlaku.

Dalam hal ini, penulis cukup pelik dengan harakahdaily yang masih tidak keluarkan apa-apa berita berkenaan dengan hal ini. walhal sepatutnya harakahdaily tempat yang pertama akan dirujuk apabila berlaku isu berkaitan dengan PAKATAN RAKYAT. Kalau tidak, rakyat akan tercari-cari dan mungkin akan termakan dakyah media arus perdana.

Alasan YAB Menteri Besar cukup jelas dan memuaskan. Penulis pun akan menentang kalau pusat penyembelihan itu berlaku di tempat penulis.

Tindakan tersebut dilakukan selepas mendengar rungutan rakyat yang tidak berpuas hati apabila sisa-sisa babi itu dibuang dalam tong sampah dan juga sungai berdekatan. Lebih-lebih lagi apabila tersebar virus Influenza H1N1.

Pusat Penyembelihan tersebut bukan hanya dihanya dirobohkan dengan begitu sahaja. Tetapi pihak kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan tapak penyembelihan yang lain yang semestinya tidak menggangu penduduk.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor telah memindahkan segala pusat pemeliharaan babi secara berpusat bagi mengelakkan berlakunya pelbagai pencemaran.

Sudah sedia maklum bahawa babi merupakan binatang yang diharamkan oleh Allah SWT. Setiap pengharaman dalam Islam semestinya mempunyai sebab-sebab yang boleh memudaratkan manusia.contohnya pengharaman riba yang jelas menindas manusia dan juga penyebab kepada berlakunya kemelesetan ekonomi dunia.

DAP pernah mempersoalkan isu 50% kouta pembeli rumah untuk bumiputera sebelum ini. Isu ini telah di jawab oleh pihak kerajaan dengan alasan tanah tersebut merupakan tanah milik bumiputera 100%. Cuma kerajaan negeri memberi 50% peluang kepada bukan bumiputera untuk memiliki rumah tersebut.

Sekarang pula, timbul isu perobohan pusat penyembelihan. Penulis berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik.

Apa-apa pun berlaku aduan dan agenda rakyat perlu diutamakan. Mungkin DAP membuat ugutan sebegitu demi untuk meraih undi bukan Islam. Kerajaan Negeri bertindak sebegitu selepas mendengar sungutan dan bantahan rakyat. Ini juga berkaitan dengan undi dan sokongan masyarakat kepada PAKATAN RAKYAT juga.

Apa yang penulis bimbang daripada isu ini ialah timbulnya sedikit ketegangan perkauman. Berkemungkinan UMNO/BN akan menggunakan isu ini untuk mengapi-apikan lagi bahang panas perkauman.

Harap DAP Kedah boleh bertindak secara rasional dengan apa yang berlaku. Sepatutnya sebagai rakan dalam PAKATAN RAKYAT, segala tindakan mesti dibuat selepas mendengar penjelasan. Bukannya berpolitik secara murahan.

Peristiwa DAP keluar dari Barisan Alternatif dahulu harap tidak berulang kembali.mungkin dulu DAP memberi alasan bahawa ianya berkaitan dengan dasar parti mereka. Tapi kini, takkan isu babi sahaja DAP nak keluar PAKATAN. Kan pelik tu.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, June 30, 2009

Tahniah PLPDT

Pada 26 Jun 2009 Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) telah mengadakan Malam Noltalgia PLPDT bersama Perintis-perintis Darul Taqwa. Program tersebut diserikan lagi dengan kedatangan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Ust Hj Harun Taib. Berita berkenaan boleh dilihat di sini


Pernah satu ketika sekumpulan fasilitator dari Kusza (Sekarang UDM) yang dijemput untuk mengisi program PLPDT terkejut apabila diberitahu bahawa PLPDT adalah Persatuan Lepasan Sekolah Rendah.!


Ya, walaupun begitu, lepasan pelajar begitu bersemangat untuk membangunkan organisasi ini sehingga mampu memcapai matlamat penubuhannya.


PLPDT mengalami jatuh bangunnya semenjak mula ditubuhkan lagi. Penulis memang berniat untuk menyambung kembali khidmat kepada PLPDT sesudah menghabiskan pengajian di Syria. Tapi apakah daya, tiba-tiba terdampar di Bandar Baru Bangi.


Apa-apa pun, penulis mengucapkan tahniah kepada Ust. Shahril Alim Presiden PLPDT yang baru yang begitu bersemangat membangunkan kembali PLPDT dan menyusun kembali pentadbiran yang dianggap agak kaku sekian lama.


Penulis akan terus menyokong perjuangan kalian untuk membangunkan kembali Madrasah Darul Taqwa.


Madrasah Darul Taqwa (1991-1995) begitu menggamit kenangan. Di sanalah penulis mula belajar membaca dan menulis. Di sanalah penulis mampu memahami asas-asas Islam. Di sanalah penulis mula mengenali tulisan jawi dan membacanya di saat kerajaan telah memahsuhkan tulisan jawi ketika itu.


Walaupun prasarana tidak lengkap dan agak mundur ke belakang. Tapi perasaan rindu dan sayang tetap bersarang di hati. Mungkin kerana penulis terlibat sedikit sebanyak dalam menjayakan beberapa program membangunkan prasarana sekolah anjuran PLPDT.


PLPDT telah melangkah ke depan. Pun begitu, jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Tingkatkan usaha dan istiqamah dalam perjuangan.


Penulis akan cuba membantu sekadar kemampuan kecil yang ada pada diri ini.


www.attakiri.blogspot.com




... Bekerja Untuk Islam ...

Monday, June 29, 2009

Betulkah UMNO/BN Akan Terkubur Dalam PRU13?

Setakat ini penulis masih belum dapat istiqamah untuk mengupdatekan blog dalam masa tidak kurang dari 3 hari. Apa pun penulis berterima kasih kepada faizul yang memberi ingatan di cbox. InsyaAllah penulis akan cuba sedaya upaya untuk lebih kerap untuk mengupdatekan blog ini.

Pemimpin politik pembangkan selalu menyebut bahawa PRU13 nanti UMNO/BN pasti akan menjadi pembangkang. Kemenangan besar PR dalam PRU12 dianggap sebagai satu mukaddimah kepada peralihan kuasa dalam pemerintahan negara.

Dengan sebab itu, segala tindakan rakan pakatan yang kononnya akan merugikan politik akan ditentang kerana akan mengagalkan perancangan untuk pertukaran kuasa.

Muzakarah dan unity Government ditentang habis-habisan beralasankan bahawa gerakan politik dan dakwah seperti ini akan memberi nafas baru kepada UMNO/BN untuk terus hidup selepas PRU13.

Kedua-dua isu tersebut telah selesai untuk diperbincangkan. Penulis menghormati keputusan kepimpinan dalam kedua-dua isu ini.

Selepas PRU12, suasana politik Malaysia terus menerus panas dan agak kucar kacir. Berlakunya PRK yang terbanyak dalam sejarah samada berpunca dari kematian Yang Berhormat atau perletakan jawatan. Perancangan 16 september dan rampasan kuasa di Perak dengan cara yang tidak diplomatik. Peralihan kuasa dalam kepimpinan negara yang seakan-seakan tidak dihormati oleh rakyat dan pelbagai lagi.

Mungkin bagi pemimpin politik pembangkang dan ahlinya, isu ini pasti akan menguntungkan pembangkang untuk mengambil teraju kepimpinan negara pada PRU13 nanti.

tapi bagi sesetengah rakyat bawahan akan menganggap bahawa semua pemimpin politik samada pemerintah dan pembangkang terlalu berpolitik sehingga masa untuk membangunkan negara agak terbatas.

Dengan strategi yang sebegini, mampukah PRU13 nanti UMNO/BN akan dikuburkan.? Benarkah UMNO/BN sudah hilang sokongan rakyat khususnya bangsa melayu.? Adakah UMNO/BN akan menjadi pembangkang selepas PRU13 nanti.?

Bacaaan politik Malaysia dilihat agak menarik. Pada tahun 1990, PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menang besar sehingga Kelantan berjaya dibuka oleh PAS dengan kemenangan 100%. Tetapi dalam PRU pada tahun 1995, berlaku kemerosotan sehingga terbubarnya APU ekoran parti S46 telah dibubarkan.

Pada tahun 1999, PAS bersama Barisan Alternatif menang besar dalam PRU10 sehingga berjaya mempertahankan Kelantan, membuka Terengganu dan hampir-hampir membuka negeri Kedah selepas berlaku isu pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan reformasi. Tetapi PRU11 pada tahun 2004, PAS dan Barisan Alternatif kalah teruk sehingga Terengganu berjaya dirampas kembali, Kelantan hampir-hampir jatuh.

PRU12 menyaksikan kemenangan yang terbesar parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP sehingga 4 negeri berjaya dibuka, 1 negeri berjaya dipertahankan. Ekoran daripada itu, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS mencadangkan agar dibentuk PAKATAN antara semua parti pembangkang. Alhamdulillah cadangan ini dipersetujui oleh PKR dan DAP sehingga terbentuknya PAKATAN RAKYAT.

PRU13 dijangka akan diadakan pada tahun 2013. Tetapi kalau mengikut sejarah pilihanraya yang keputusannya agak turun naik, dijangkakan PR akan mengalami kemerosotan pada PRU13 nanti. Itu hanya jangkaan berdasarkan analisis PRU yang lepas.

Sesetengah rakyat memandang bahawa kemenangan besar dalam PRU12 baru-baru ini bukan kemenangan bangsa melayu, tetapi ia adalah kemenangan bangsa Tiong Hua dan India. Kedua-dua kaum tersebut berjaya menunjukkan taringnya selepas hampir 50 tahun kehidupan mereka seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan.

Dengan sebab itu, UMNO/BN sekarang ini semakin kuat menimbulkan sentimen kebangsaan untuk memastikan undi orang Melayu tidak terlepas kepada PAS.

Strategi tersebut nampak berkesan. Ini dapat dilihat dalam analisis keputusan PRK Bukit Gantang yang memperlihatkan undi melayu merosot 4% kepada PR. Kalau gejala ini berterusan. Peluang untuk PR mengambil alih kuasa agak tipis dan hampir tidak berjaya.

Lebih-lebih lagi PM One Malaysia dilihat begitu bertungkus lumus untuk mengambil hati rakyat bukan Islam dengan menggagaskan one Malaysia, meliberasasikan banyak sektor kerajaan. Terbaru melaksanakan Biasiswa Nasional yang akan bermula pada tahun hadapan.

Strategi ini dilihat mampu menarik kembali undi bukan melayu kepada UMNO/BN dalam PRU13 nanti.

PR perlu merancang perancangan baru dan lebih meyakinkan rakyat sebagai sebuah government in waiting. Sekadar permainan politik membangkang dilihat seperti tidak menarik minat rakyat.

Stretegi Hudaibiyyah patut difikirkan dan diwacanakan oleh PR khususnya PAS bagi mengambil alih kuasa dari BN dengan menanamkan keyakinan kepada rakyat bawahan dan atas pagar.

Ketika moral Quraisy hampir jatuh teruk, kemenangan Islam yang semakin hampir, tiba-tiba Nabi SAW mengadakan perjanjian genjatan senjata yang begitu dimarahi oleh para sahabat. Tetapi dengan sebab ketegasan Nabi itulah, termeterainya perjanjian Hudaibiyyah ini, akhirnya Kota Mekah berjaya dibuka dengan aman tanpa pertumpahan darah.

Sirah yang agak panjang ini perlu diperhalusi dan perlu difikirkan bersama-sama oleh semua pihak.

Pun begitu, Penulis berharap kesemua petugas PAS terus menerus istiqamah dalam perjuangan dan terus menerus Bekerja Untuk Islam.

Hanya Islam yang mampu melaksanakan perubahan kepada kebaikan.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...