Sunday, August 31, 2008

Merdeka yang tidak Merdeka

Hari ini Malaysia menyambut Kemerdekaan kali ke 51. Kemerdekaan yang diertikan sebagai pembebasan dari penjajah, kebebasan untuk memajukan Negara dengan acuan sendiri, kebebasan untuk melaksanakan peraturan dan undang-undang bagi keamanan Negara dan sebagainya

Walaupun begitu, rakyat masih dikonkong dengan pelbagai akta yang memeritkan seperti ISA, OSA, AUKU, Akta mesin cetak, Akta Hasutan dan pelbagai lagi.

Jadi adakah kita Merdeka sebenarnya ataupun sekadar Keluar mulut harimau masuk ke mulut naga. Semoga PR terus utuh dan membangun berdasarkan Islam sebagai teras kemajuan negara

Selamat Menyambut Kemerdekaan ke 51. PAKATAN RAKYAT peneraju perubahan


... Bekerja Untuk Islam ...

Saturday, August 30, 2008

Perutusan Ulangtahun Kemerdekaan ke-51

Oleh : Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Alhamdulillah negara kita Malaysia akan merayakan ulangtahun kemerdekaannya yang ke-51 pada 31 Ogos 2008 ini.

Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.

Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.

Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.

Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.

Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.

PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.

Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.

Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:

"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."

Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.

Presiden PAS_

... Bekerja Untuk Islam ...

Friday, August 29, 2008

Detik 16 September..menguntungkan PAS atau tidak?

Semua pemerhati politik dan rakyat menunggu dengan penuh debaran saat 16 september sehingga seakan-akan melupakan sambutan ramadhan dan kemerdekaan Negara. Masing-masing mengeluarkan pelbagai andaian tentang peristiwa yang mungkin mencatat sejarah baru Negara.

16 September seperti sebuah tarikh keramat yang merubah langkap politik Negara Malaysia yang selama di kongkong oleh politik sempit UMNO/BN.

Keputusan Permatang Pauh juga seperti menunjukkan bahawa kebangkitan 16 September seakan-akan berlaku.

Dalam hati kecil penulis memang inginkan perubahan besar kepada pemerintahan Negara. Tetapi dalam masa yang sama terdetik dihati ini tentang keuntungan kepada Islam.

Apakah PAS mampu menerapkan dasar perjuangan dalam pemerintahan nanti sebagaimana yang telah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu sebelum itu. Apakah istilah Islam dapat disebut secara bebas dalam pemerintahan atau akan sentiasa mendapat bantahan daripada DAP atau PKR sendiri.

Apakah PAS akan menerima nasib seperti Ikhwanul Muslimin ketika bersama dengan Jamal Abdul Naseer yang bersama berjuang untuk menjatuhkan kezaliman raja Farouk, tetapi akhirnya pimpinan Ikhwan dibunuh selepas Jamal Abdul Naseer mendapat kuasa.

Penulis bukan ingin menimbulkan sangkaan buruk. Cuma sekadar melontarkan sedikit kebimbangan. Jangan kerana terlampau sibuk kejarkan kuasa untuk memerintah akhirnya kita tidak terpandang tentang penipuan dari kawan-kawan sendiri. Berjaga-jaga perlu dalam Islam.

Semoga PAS mampu untuk memperkasakan PAKATAN RAKYAT sehingga mereka yakin dengan Islam sebagai teras pemerintahan Negara.

www.attakiri.blogspot.com

... Bekerja Untuk Islam ...

Thursday, August 28, 2008

Tanpa Islam Manusia Pasti Hancur


Penulis menerima begitu banyak komentar terhadap tulisan yang bertajuk “DAP Pun Pertahankan Dasar”. Walaupun penulis sudah menyebut bahawa penumpuan tulisan bukan kepada isi kandungan perjuangan DAP tetapi lebih kepada istiqamahnya pimpinan DAP dan ahlinya terhadap dasar perjuangan Parti mereka . Jadi Ahli PAS lebih perlu untuk mempertahankan dasar perjuangan kerana Islam merupakan satu agama yang cukup jelas lagi nyata. Jadi dasar PAS cukup jelas.

Ada juga pandangan supaya PAS perlu memahamkan DAP tentang Islam. Persoalan ini telah pun dijawab oleh Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS yang telah menjemput Pengerusi DAP supaya melawat Kelantan untuk memahami tentang konsep Negara Islam yang telah pun dilaksanakan di Kelantan. Tetapi sampai sekarang Pengerusi DAP masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi saranan Mursyidul Am PAS pusat tersebut.

Apa yang perlu difahami semua ialah apa dia Islam yang kita anuti. Kadang-kadang umat Islam sendiri tidak faham pengertian Islam dalam konsep yang sebenarnya.

Islam bukan sekadar agama yang merangkumi bab Ibadah semata-mata seperti Kristian, Budha, Hindu dan sebagainya. Tetapi Islam lebih kepada panduan kepada manusia untuk hidup. Sebagaimana manusia memerlukan makanan, begitu juga mereka memerlukan Islam bahkan lebih daripada itu. Tanpa Islam dunia pasti hancur dek kerana kerakusan nafsu manusia yang dibantu dengan hasutan syaitan yang tidak kesudahan.

Lihatlah kepada ucapan Jaafar bin Abi Talib ketika berdepan dengan raja Habsyah untuk menerangkan tentang Islam

Wahai Raja Habsyah, sebelum ini kami adalah orang yang jahil, menyembah berhala, memakan bangkai binatang, berkelakuan tidak sopan, memutuskan tali kekeluargaan, berbuat jahat terhadap jiran kami, dan yang kuat di kalangan kami menekan yang lemah. Inilah sikap kami sehinggalah Tuhan mengutuskan seorang nabi kepada kami. Kami tahu keturunannya, kejujurannya, sikap amanahnya, dan kesuciannya. Beliau menyeru kami kepada Allah dan supaya menyembahNya sahaja dan meninggalkan semua yang kami sembah selain daripada Dia. Beliau memerintahkan kami supaya bercakap benar, bersikap amanah, menguatkan tali kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran-jiran, tidak memakan darah, tidak berkelakuan tidak sopan, serta jangan berbohong, mencuri harta anak yatim dan memfitnah wanita yang suci. Beliau juga memerintahkan kami supaya menyembah Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan apa jua. Beliau memerintahkan kami supaya bersembahyang, bersedekah dan berpuasa (dan beliau menyenaraikan perintah-perintah Islam). Lalu kami beriman dengannya, menerima ajarannya, dan mematuhi apa yang diterimanya daripada Allah, menyembah hanya Allah dan tidak menyekutukan sesiapa denganNya, menahan diri daripada apa yang dilarang, dan menerima segala yang dihalalkan buat kami. Atas sebab ini kaum kami memusuhi kami. Mereka menyeksa kami dan menindas kami dengan harapan dapat mengembalikan kami daripada menyembah Allah kepada menyembah berhala, dan agar kami menerima apa yang kini kami anggap perbuatan-perbuatan yang keji. Maka setelah mereka menindas kami, berlaku zalim terhadap kami, mengongkong kami, dan menghalang kami daripada agama kami, kami lari ke negaramu dan memilihmu daripada yang lain, mengharapkan perlindungan, dan agar kami tidak perlu takut akan ketidakadilan dengan adanya tuanku."


Ucapan yang cukup hebat dan spontan ini member gambaran bahawa Islam merupakan agama yang membawa ketamadunan kepada manusia sejagat.


Begitu dengan apa yang berlaku sekarang ini khususnya di Malaysia. Islam telah mengajarkan kepada manusia perkara keji yang akan merosakkan manusia dan Negara seperti pengharaman rasuah, riba, penindasan kepada manusia, kezaliman. Islam juga telah mengajar cara memilih pemimpin yang adil dan tidak korup. Islam juga mengajar bagaimana untuk membina sebuah Negara yang aman dengan mempekenalkan konsep taqwa dalam masyarakat, perlaksanaan hukum Jenayah Islam yang merangkumi Hudud, Qisas dan Ta’zir. Memperkenalkan cara suaka politik, cara untuk berdamai, konsep ekonomi dengan memperteguhkan konsep amanah, bagaimana untuk menguruskan golongan yang tidak berkemampuan dan sebagainya.

Semua ini telah diperkenalkan oleh Islam melalui Al-Quran yang diterjemahkan dalam konteks semasa tanpa menghilangkan isi kandungannya.

Sebahagian konsep ini telah pun dilaksanakan di Kelantan mengikut bidang kuasa yang ada. Jadi inilah konsep yang hendak diperjuangkan oleh PAS. PAS telah pun melancarkan Dokumen Negara Islam yang menerangkan tentang komsep ini secara ringkas dan padat.

Jadi sesiapa pun samada DAP, MIC, MCA dan golongan bukan Islam yang lain tidak perlu takut kepada Perjuangan PAS untuk menegakkan Islam.

Jangan bayangkan Islam seperti Kristian. Jangan Bayangkan Negara Islam seperti Negara Kristian yang dengan jelas menentang fitrah kemanusiaan. Bayangkan Islam seperti mana pemerintahan Nabi di Madinah, Khulafa’ Ar-Rasyidin, Khalifah-khalifah Islam seperti Muawiyyah bin Abi Sufyan, Umar Abdul Aziz, Harun Ar-Rasyid, Sultan Abdul Hamid dan ramai lagi tokoh-tokoh pemerintah Negara Islam.

InsyaAllah jika Islam diletakkan sebagai teras pemerintahan Negara, nescaya pemimpin dan Negara akan mencapai kemajuan yang bukan sahaja bersifat kebendaan tetapi lebih kepada kemajuan yang bersifat kerohanian dan modal Insan.

Yang penting perjuangan Islam perlu diteruskan. Jangan hanya kejarkan kuasa sehingga prinsip perjuangan digadaikan. Matlamat PAS ialah mendapatkan kuasa untuk melaksanakan Islam

Teruskan Perjuangan

www.attakiri.blogspot.com

... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, August 27, 2008

DAP Pun Pertahankan Dasar

Pertamanya tahniah di atas kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh semalam. Kemenangan ini menandakan bahawa rakyat semakin muak dengan BN yang menggunakan taktik kotor sewaktu kempen baru-baru ini.

Ketika kempen dijalankan, satu pengumuman tegas oleh Lim Guang Eng dalam kongres DAPnya dengan menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penubuhan Negara teokratik, Negara Islam atau Kristian. Bahkan beliau menyebut Malaysia akan terus menuju kepada sebuah Negara sekular. Inilah yang diperjuangkan dalam PR.

Ucapan tegas ini, walaupun telah dijawab oleh Ketua Dewan Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub menunjukkan bahawa DAP cukup bertegas soal prinsip perjuangan partinya. Penulis merasakan DAP sampai sekarang masih belum memahami konsep Negara Islam yang merupakan Negara Berkebajikan yang dicanang oleh PAS sebelum ini.

Yang menimbulkan kepelikannya ialah bukankah Ketua Menteri Pulau Pinang ingin mengcontohi Umar Abdul Aziz. Saidina Umar Abdul Aziz merupakan pemerintah sebuah Negara Islam. Saidina Umar Abdul Aziz menggunakan sistem keadilan Islam kepada semua. Jadi kenapa beliau boleh menolak sistem Negara Islam.?

Penulis syorkan beliau membaca buku karangan Imam Al-Qaradhawi, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi mendapat penjelasan secukupnya tentang Negara Islam.

Penulis bukan hendak menyentuh isu DAP. Mungkin parti tersebut tidak faham prinsip perjuangan parti PAS. Yang ingin disentuh ialah kesungguhan DAP mempertahankan dasar mereka patut dicontohi oleh ahli PAS.

Ramai dikalangan pemimpin dan ahli PAS pernah menyarakan bahawa PAS mesti mengubah pendekatan seperti menghilangkan istilah Negara Islam kepada Negara keadilan, ataupun Negara bebas rasuah sepertimana yang diwar-warkan oleh DSAI.

Tetapi Alhamdulillah cadangan sebegini telah dijawab oleh kebanyakan Ulamak dalam PAS. Penulis pernah menyebut sebelum bahawa PAS rela ditolak oleh rakyat dengan sebab dasar ISLAM. Tugas PAS dan ahlinya ialah menerangkan tentang kecantikan Islam.

Memang satu ketika kita boleh menyebut bahawa PAS akan memperjuangkan Negara Berkebajikan. Tetapi kita tidak boleh menyembunyikan bahawa Kebajikan itu termasuk dalam agenda Negara di bawah pemerintahan Islam.

PAS bukan gilakan kuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip. PAS pernah kalah berpuluh-puluh kali, pernah dikhianati, ahli PAS pernah dibunuh dan sebagainya kerana dasar perjuangan ini. Adakah golongan terkemudian dalam PAS ingin mengecap kemenangan dengan mudah.? Mustahil, kecuali kalau ingin menggadai prinsip perjuangan PAS. Kalau begitu, esok boleh menang.

Melihat suasana sekarang ini, terdapat segelintir pemimpin PAS hanya memberi komentar dari sudut politik semata-mata. Kadang-kadang mereka lupa bahawa PAS juga parti Dakwah dan Tarbiyyah. Pemerkasaan Usrah dan Tamrin jarang didengari.

Perkataan tarbiyyah, Usrah hanya kedengaran sewaktu muktamar. Sebaik muktamar tamat perkataan itu terus lenyap. Yang kedengaran hanyalah berita yang berkisar soal politik semata-mata. Penulis bukan hendak pisahkan tarbiyyah dari politik. Tetapi penulis bimbang kalau-kalau segelintir pimpinan PAS meletakkan politik lebih dari tarbiyyah.

Dalam isu DAP, hanya ketua Pemuda PAS sahaja yang menjawab, mana pergi pemimpin lain. Adakah hanya sibuk menunggu jawatan menteri pada 16 september nanti ataupun sibuk mengekori DSAI ke sana ke mari. Mana perginya sentiviti perjuangan Islam.?

PAS lebih aula mempertahankan dasarnya daripada DAP kerana perjuangan PAS cukup jelas dan terang daripada DAP. Perjuangan PAS bukan sekadar ingin mendapat kemenangan di dunia tetapi lebih kepada kemenangan yang hakiki itu kemenangan memasuki syurga Allah dan mendapat keredhaan-Nya. InsyaAllah

www.attakiri.blogspot.com

... Bekerja Untuk Islam ...

Sunday, August 24, 2008

Terima kasih kepada semua

Ikatan Persaudaraan Malaysia Palestin (IKHLAS) mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada penderma-penderma yang menghulurkan bantuan kepada Wakil Palestin Dr. Khalid Abu Samrah sempena kedatangannya ke Malaysia sebagai tetamu muktamar PAS 54. Derma yang terkumpul ialah sebanyak RM 100.000.00.

Semoga Allah SWT membalas dengan berlipat kali ganda. ini menandakan bahawa rakyat Malaysia begitu menyayangi Bumi Palestin.

Sama-samalah kita berdoa semoga kita akan dapat bersembahyang di Masjid Al-Aqsa dalam keadaan bumi Palestin telah dibebaskan oleh Zionis Israel.

Yang benar
Zulhimi bin Abd. Rahman
Setiausaha IKHLAS

... Bekerja Untuk Islam ...

Saturday, August 23, 2008

PAS Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah

Ucapan dasar Dato’ Seri Tuan Guru Presiden merupakan antara ucapan yang terbaik sebagaimana yang disebutkan oleh beberapa tetamu ketika Muktamar PAS 54 baru-baru ini.

Dalam ucapan ini, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa PAS bukan sekadar parti politik semata-mata, tetapi lebih sebagai sebuah gerakan Islam yang menyentuh bahagian dakwah dan tarbiyyah.

Apabila disebut PAS sebagai parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah, semestinya setiap gerakan ataupun perancangan PAS bukan sekadar untuk meraih hati pengundi semata-mata. Tetapi gerak kerja PAS lebih ke arah untuk memperkenalkan Islam kepada semua masyarakat.

Selepas kemenangan besar PR dalam PRU12 baru-baru ini, kebanyakan pengalisis politik menyebut bahawa kemenangan ini hasil daripada sokongan golongan bukan Islam yang terdiri daripada kaum Tiong Hua dan India. oleh sebab itu sebarang tindakan PAS diharap tidak mengecilkan hati pengundi-pengundi ini seperti mewar-warkan perlaksanaan Islam, Negara Islam dan sebagainya. Bahkan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat menyebut di antara punca kekalahan PAS pada 2004 ialah pelancaran Dokumen Negara Islam !. jadi beliau menyebut diharap PAS tidak mengulangi lagi sebutan yang boleh menggerunkan orang bukan Islam.

Ditambah lagi dengan isu muqabalah di antara PAS dan UMNO semakin memanaskan keadaan bagi mereka yang mereka memandang PAS sebagai sebuah parti politik semata-mata.

Antara tanggungjawab oleh PAS ialah untuk menerangkan ISLAM kepada semua warganegara Malaysia. Kemenangan Besar BN pada tahun 2004 ketika itu bukan hanya kerana Pengisytiharan Dokumen Islam semata-mata. Tetapi pengalisis menyebut faktor kemenangan besar BN ialah kerana pertukaran PM daripada seorang yang terkenal dengan mahazalim kepada seorang yang bergelar Mr Clean. Ini bermakna kalau PAS tidak mengisytiharkan dokumen itupun PAS dan BA (ketika itu) pasti kalah besar.

Kadang-kadang pimpinan kita pun terpengaruh dengan Islamphobia. Tugas PAS ialah menterjemahkan Islam. Jenama yang di bawa oleh PAS ialah Islam. PAS rela menemui kekalahan dengan sebab Islam.

Ketika isu muqabalah menjadi hangat, ramai di antara ahli PAS yang memandang PAS sebagai parti politik melenting. Semua berhujjah bahawa berkemungkinan PAS akan ditipu sebagaimana dahulu. PAS juga mungkin akan kehilangan pengundi bukan Islam.

Alhamdulillah isu ini dapat diselesaikan dengan baik selepas semua perwakilan mendengar penjelasan daripada Timbalan Mursyidul Am dan Presiden PAS.

Dengan penjelasan yang cukup jelas daripada Timbalan Mursyidul sepatutnya sudah menyelesaikan kerisauan daripada semua perwakilan dan pimpinan PAS Pusat. tetapi nampaknya selepas muktamar baru-baru ini, masih terdapat ketidakpuasan hati dari kalangan pimpinan PAS. Contohnya kenyataan dalam Siasah oleh Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat yang masih terus menerus mengkritik muzakarah, sedangkan beliau sendiri mendengar penjelasan yang diberikan oleh pimpinan Syura Ulamak dan mengiyakannya.

Quran telah menjelaskan dengan begitu jelas sekali samada dari sudut hukum dan strategi. Kalau kita mengjangkakan UMNO cuba menipu kita tetapi Allah SWT telah memberi jaminan akan memberi kemenangan kepada Islam.

Jadi apa lagi yang perlu diragukan. Kembali dan yakinlah kepada Al-Quran. Jangan kita meletakkan aqal melebihi Al-Quran. PAS pasti akan terus utuh sebagai sebuah Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, August 19, 2008

Bukan Berkorban tapi Melabur


Apabila berbicara tentang Perjuangan, kalimah yang berkaitan dengan pengorbanan pasti meniti di bibir. Kalimah ini akan terbit jikalau terdapat golongan yang mengeluarkan harta, jiwa raga untuk Islam.

Penulis merasakan istilah berkorban perlu ditukar sedikit untuk lebih menarik ramai pejuang yang lain. Ini kerana mungkin sesetengah masyarakat menyangka bahawa pergorbanan ini akan membuatkan mereka kerugian segala-galanya. Sedangkan dalam Islam setiap harta dan tenaga pasti akan dibalas dengan sebesar-besarnya dengan syarat ikhlas kepada Allah SWT.

Allah SWT telah berfiman :



Maksudnya Wahai orang-orang Yang beriman! mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan Yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah Dengan harta benda dan diri kamu; Yang demikian itulah Yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat Yang sebenarnya). (dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke Dalam taman-taman Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal Yang baik Dalam syurga " Adn ". itulah kemenangan Yang besar. dan ada lagi limpah kurnia Yang kamu sukai, Iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan Yang cepat (Masa berlakunya). dan sampaikanlah berita Yang mengembirakan itu kepada orang-orang Yang beriman.

Ini adalah sebuah perniagaa yang tidak akan rugi selama-lamanya sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Kathir. Ayat ini juga menandakan bahawa segala perbelanjaan, tenaga seperti minyak kereta, masa dan sebagainya dikira sebuah pelaburan yang akan mendatangkan keuntungan berlipat kali ganda. Bahkan perniagaan ini tidak menemui kerugian walaupun satu sen.


Apabila menyebut tentang peluang pelaburan, sudah tentu seseorang peniaga akan mengkaji dari sudut modal, keuntungan, profit sharing dan bila pelaburan itu akan dapat.

Ayat di atas menyebut secara jelas bahawa dalam pelaburan kepada Islam modalnya hanya Beriman kepada Allah, Rasulnya, berjuang ke jalan Allah dengan harta dan jiwa raga.

Keuntungannya ialah kamu akan dibebaskan dari azab neraka dan dimasukkan di dalam syurga ‘adn’, termasuk juga kamu akan mendapat pertolongan yang kemenangan yang hampir.

Ini bermakna seseorang pelabur akan mendapat pulangan modal yang sedikit itu di dua tempat pertama di dunia, yang kedua di akhirat.

Inilah suatu pelaburan yang cukup menguntungkan. Jadi tidak timbul bahawa mereka yang mengeluarkan harta dan jiwa raga ini akan menemui kerugian. Bahkan mereka dilihat sebagai seoarang yang cerdik lagi berani melabur Untuk ISLAM.

Segala pelaburan mereka samada sedikit ataupun banyak pasti akan di bayar dengan berlipat kali ganda lagi. Dalam hal ini dilihat seperti orang kampung atau yang susah lebih yakin dan percaya dengan pelaburan akhirat berbanding orang yang diberi kekayaan oleh Allah SWT. mereka sanggup mengeluarkan derma perjuangan walaupun berada dalam keadaan susah. sesetengah dari kalangan mereka sanggup bergolok gadai untuk terus membantu perjuangan. ini petanda bahawa mereka begitu yakin dengan pelaburan ini.

Jadi teruskan melabur untuk Islam. Pelaburan yang tidak akan rugi walaupun satu sen.

Teruskan perjuangan

www.attakiri.blogspot.com


... Bekerja Untuk Islam ...

Monday, August 18, 2008

Kehebatan PAS kerana Al-Quran

Buat Pertama kalinya penulis mengikuti Muktamar Tahunan PAS secara penuh. Di dalam muktamar ini melihat bagaimana kematangan para perwakilan yang berucap dan membahaskan ucapan dasar presiden. Setiap kritikan dan cadangan yang dikeluarkan secara lembut ataupun keras bersandarkan kepada sifat saying kan parti Islam ini.

Isu Muqabalah yang diwar-warkan oleh media arus perdana dapat diselesaikan dengan baik tanpa timbul sebarang ketidakpuasan hati dari semua perwakilan dan pemerhati. Walaupun sebelum ini, semacam terdapat pertelingkahan di kalangan pimpinan terhadap isu ini. Tetapi selepas diberi penjelasan oleh Presiden dengan bersandar kepada Al-Quran dan sirah Nabi SAW, para perwakilan dan ahli dapat menerima dengan baik penjelasan tersebut.

Dalam isu ini, Majlis Syura Ulamak mengaitkan dengan apa yang berlaku di Perjanjian Hudaibiyyah dan Kisah antara Nabi Musa dan Firaun. Semua ini bersandarkan kepada Nas yang jelas.

Realiti kesatuan ahli PAS ini cukup berbeza dengan keadaan ahli dan pimpinan UMNO dan BN, bahkan DAP dan PKR. Apakah rahsianya PAS dapat bersatu bermula penubuhannya pada tahun 1951 sehingga sekarang.?

Penulis melihat rahsia kesatuan dan kekuatan PAS ialah kerana telah meletakkan dasar parti ialah Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias yang terang lagi nyata. Apabila berlaku perselisihan maka Al-Quran akan dijadikan rujukan yang paling utama. Ini bertepatan dengan firman Allah :

Maksudnya : Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. ( An-Nisa’ 59)

PAS sebagai yang disebut oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden merupakan Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah amat menitik beratkan penyatuan berdasarkan Islam. UMNO runtuh dengan sebab terlalu mengagungkan sifat perkauman yang membawa kepada kezaliman terhadap kaum yang lain. Tetapi PAS datang dengan sifat Islam yang merangkumi keadilan untuk penganut agama lain.

Selepas Dato’ Seri Tuan Guru Presiden menjelaskan secara panjang lebar tentang isu muqabalah dan pergerakan parti PAS kepada semua perwakilan, barulah kelihatan ahli begitu lega dengan suasana ini. Kalau sebelum ini perwakilan beranggapan bahawa pimpinan telah bergerak melanggar Al-Quran dan Sunnah. Tetapi selepas diberi penjelasan, kesemuanya akur dan patuh kepada keputusan. Bahkan ketika Dewan Ulamak mengeluarkan usul tergempar kepada perwakilan supaya member mandat kepada Presiden dan pimpinan PAS pusat untuk meneruskan agenda pemerkasaan parti termasuklah isu muqabalah ini, kesemua perwakilan telah bersetuju tanpa bahas. Inilah lambang kesatuan berdasarkan Al-Quran yang diamalkan oleh kesemua ahli dan pimpinan PAS.

Sesungguhnya muktamar ini begitu menyentuh hati penulis kerana melihat keikhlasan dan semangat perjuangan yang telah ditunjukkan oleh kesemua ahli PAS. InsyaAllah penulis akan cuba sentiasa menghadiri muktamar Tahunan PAS Pusat ini sebagai cuti tahunan bersama dengan Keluarga. Teruskan Perjuangan

www.attakiri.blogspot.com

Wednesday, August 13, 2008

MUQABALAH PAS-UMNO: JIWA BESAR KEPIMPINAN ULAMAK PAS

Oleh : Pendokong Kepimpinan Ulamak


Kebelakangan ini senario politik negara digegarkan oleh satu perkembangan yang sangat menarik. Pertemuan PAS-UMNO, dua buah parti politik terbesar Malaysia yang mana hampir sepanjang sejarah berada di dua posisi saling bertentangan. Pertemuan UMNO-PAS melahirkan satu episod yang menggemparkan, dan mencelarukan pemikiran politik banyak pihak. Ahli-ahli PAS menjadi keliru. Bahkan sesetengah kepimpinan PAS turut menjadi kelam kabut dan mengambil tindakan-tindakan yang bercelaru. Parti-parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP juga kelihatan tidak mampu menggarap perkembangan luar biasa ini.

Ahli-ahli UMNO pula seperti tergamam dan tidak dapat memberi respons secara jelas. Walau bagaimanapun, kepimpinan UMNO rata-ratanya menyokong pertemuan UMNO-PAS tersebut, di atas sebab yang sedia difahami umum; menyelamatkan survival politik mereka. Sikap pimpinan UMNO ini memang sedia termaklum, kerana begitulah darah-daging, budaya UMNO. Mereka akan sanggup melakukan apa saja, asal dapat memberi laba dan menjaga kepentingan mereka. UMNO (baca: PM) melihat PAS sebagai talian hayat yang mampu melonjakkan kembali penerimaan rakyat kepada nya jika beliau berjaya memainkan lagu dan lenggok Islam dan Ketuanan Melayu menggabungkan PAS dalam kerangka UMNO/Barisan Nasional. Jika Pak Lah berjaya menggabungkan PAS di bawah dahan (rapuhnya), beliau akan berjaya ”membunuh” banyak burung dengan hanya satu balingan batu ajaib bernama PAS. Jika angan-angan Pak Lah ini berhasil, skim peralihan kuasa kepada timbalannya tidak perlu diteruskan lagi, legasi M akan dapat dipadamkan, Anwar Ibrahim, DAP dan Pakatan Rakyat akan segera menjadi hanya satu lagi nota sejarah. Pak Lah akan muncul selaku wira yang berjaya menyatukan bangsa Melayu-Islam, mewujudkan sebuah kekuatan politik yang begitu ampuh.

UMNO sudah tentu sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan survival kekuasan politik mereka. Lebih-lebih lagi di saat UMNO berada di tahap populariti politik yang paling rendah di dalam sejarah mereka. Tidak hairanlah mereka sanggup menghulurkan pelbagai tawaran lumayan kepada PAS termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menter-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar, Timbalan-Timbalan Menteri dan Exco-exco serta lain-lain lagi.

Tawaran-tawaran ini memang sangat menggiurkan. 50 tahun PAS berjuang, melalui pelbagai mehnah dan tribulasi, pahit-maung sepak terajang politik (selalunya di sepak dan di terajang oleh tidak lain dari UMNO sendiri), inilah agaknya saat PAS berada paling hampir dengan mercu kepimpinan politik negara (jika itulah yang menjadi matlamat mereka). Bayangkan tawaran-tawaran ini diterima dalam keadaan PAS dilayan kurang mesra di dalam Pakatan Rakyat. Pemerhati-pemerhati politik amnya dapat melihat bagaimana tokoh tertentu ”menguasai” keputusan-keputusan Pakatan Rakyat, dan bagaimana kehendak dan rengetan DAP diberi perhatian, sementara kepentingan PAS dipandang sebelah mata.

Ahli-ahli PAS di Pulau Pinang, Perak dan Selangor pedih hati dilayan acuh tak acuh oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat, walhal merekalah yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja gurka tanpa upah memenangkan calon-calon dari parti lain dalam pilihanraya yang lalu. Bayangkan bagaimana tergurisnya perasaan mereka apabila Exco DAP menganggap laungan azan sebagai gangguan di Selangor, sementara di Pulau Pinang tiada sebarang semangat setia-kawan ditunjukkan kepada PAS. Lantaran itulah, apabila Tuan Guru Dato’ Seri Presiden mengeluarkan kenyataan tegas menggesa supaya semangat Pakatan Rakyat benar-benar direalisasikan, dan ahli PAS jangan dianggap bodoh, semua ahli-ahli dan kepimpinan PAS terutamanya di negeri-negeri berkenaan memberi sokongan sepenuh-penuhnya.

Sebaik seusai PRU-12, UMNO terus-menerus mendekati, mengajak PAS bertemu muka. Berkali-kali wakil-wakil UMNO dari pelbagai kem datang mahu membuat perjumpaan dengan kepimpinan tinggi PAS terutamanya Tuan Guru Presiden sendiri, khususnya bagi mempertemukan beliau dengan Pak Lah. UMNO selama ini adalah ”musuh” kepada PAS. Sewaktu mereka kuat, tidak ada keburukan yang tidak mereka lakukan kepada PAS. Sekarang apabila mereka terdesak, mereka menghulurkan tangan bermuka manis mahu bersahabat dengan PAS. Mereka tawarkan apa saja.

Jika PAS memusuhi UMNO kerana namanya UMNO, maka inilah masanya untuk menghenyakkan lagi, menghabiskan terus segala sisa-sisa nafas UMNO yang sedang tercungap-cungap itu. Sejarah lampau UMNO kepada PAS mudah saja mengimbau kembali memainkan bayangan Memali, peristiwa Lubuk Merbau, pemenjaraan, tahanan ISA, serta pelbagai kezaliman lagi. Mudah saja api dendam bersemarak semula, nafsu amarah menguasai akal. Nyahkan saja UMNO, sepak dan terajanglah UMNO, lagipun tangan yang dihulurkan itu tangan muslihat. Seperti anjing tersepit, jika dilepaskan, kita pula yang digigitnya nanti.

Tapi, adakah ini prinsip dan matlamat perjuangan PAS? Adakah perjuangan PAS bersalutkan dendam? PAS berjuang bertunjangkan Islam, berpelembagakan Al Quran dan As Sunnah. Dalam apa-apa hal, rujukan kita adalah Al Quran dan As Sunnah; apa kata Al Quran, apa kata As Sunnah?

Ayat 60 dan 61 Surah Al Anfal memberi jawapan secara tuntas, tepat tidak tertakwilkan lagi;

”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang,kamu menggerunkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah nescaya akan diberi balasan dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiya.”,

”Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui”

Apakah PAS bermusuhkan UMNO kerana namanya UMNO, atau kerana dasar nya yang merosakkan itu? Apakah sikap PAS jika UMNO menghulurkan tangan mahu mencari jalan persahabatan, sanggup mengubah sikap dan dasarnya? Bagaimana pula dengan niat sebenar UMNO, adakah mereka jujur?

Mereka yang beriman kepada ayat Allah, dan ahli-ahli PAS yang memahami dan benar-benar menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai panduannya, akan segera tunduk dengan Al Anfaal;60-62 itu. Lantaran inilah sikap dan asas PAS. PAS tidak memusuhi UMNO kerana namanya UMNO, tetapi kerana sikap dan dasarnya yang bercanggah dengan Islam. Jika sekarang atau bila-bila masapun mereka menunjukkan kecenderungan untuk berbaik, mengubah sikap, maka PAS tidak ada pilihan selain mengikut seperti apa yang digariskan Al Quran dan As Sunnah. Allah swt mengatakan dengan jelas, bahawa dalam keadaan begitu (musuh menghulurkan tangan), hendaklah kita bersikap cenderung hati dan menyambut ”gesture’ tersebut.

Tapi bagaimana pula dengan niat sebenar UMNO? Adakah mereka jujur, atau mereka hanya memerangkap PAS dalam keadaan mereka terdesak? Persoalan inilah yang mengelirukan dan mengharu-birukan ramai orang.

Di sinilah pimpinan tertinggi PAS dengan kepimpinan ulamaknya menunjukkan kebesaran jiwa mereka. Mereka sanggup melupakan segala kedukaan dan kezaliman yang dilakukan UMNO berpuluh tahun lamanya. Berlandaskan ajaran Al Quran, mereka berlapang dada memberi ruang kepada UMNO untuk menyatakan kesediaan-kesediaan mereka. Sekurang-kurangnya untuk mendengar apakah hajat UMNO.

Bagaimana jika UMNO berniat buruk? Tiada manusia yang akan tahu niat di dalam hati manusia lainnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah berwaspada, agar anjing tersepit tadi tidak menggit tangan yang melepaskannya. Inilah sikap yang diambil oleh Saidina Ali apabila Muawiyah menjunjung Al Quran mencari damai di waktu hampir menerima kekalahan di dalam peperangan Siffin. Inilah juga sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw apabila baginda telah memurkai seorang sahabat yang membunuh tentera musuh walaupun musuh tersebut telah mengucap as syahadah. Sahabat berkenaan mengatakan bahawa beliau yakin yang tentera musuh tersebut telah menipu dan hanya mengucap syahadah bagi mengelakkan dibunuh. Rasulullah saw menjawab, Adakah kamu telah membelah hati nya? Pimpinan PAS tidak boleh membelah hati pimpinan UMNO, tetapi cukuplah dengan janji Allah seperti firmanNya dalam ayat 61 Surah Al Anfaal,

”Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu maka sesungguhnya cukuplah Allah. Dia lah yang menguatkan mu dengan pertolonganNya dan dengan orang-orang yang beriman”.

Ini tidak bermakna PAS perlu terus memeluk dan mendakap UMNO. Sikap berhati-hati sangat perlu dititik-beratkan di dalam suasana sebegini. Di atas sikap berhati-hati inilah Tuan Guru Presiden tidak berjumpa secara langsung dengan Pak Lah. Kerana objektifnya hanya mahu mendengar apa yang hendak diluahkan oleh UMNO, maka memadailah dihantar wakil. Jelas pada perkiraan Tuan Guru bahawa tidak ada sebarang keputusan yang akan dibuat di dalam pertemuan itu, maka tidak perlu beliau sendiri menghadirinya. Sebarang keputusan besar yang melibatkan dasar hanya dilakukan di dalam Muktamar PAS, setelah melalui pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Politik, JK Pas Pusat, dan Majlis Syura. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan dalam pertemuan-pertemuan ini jika kita yakin dan jelas dengan prinsip perjuangan kita. Perjuangan berlandaskan Al Quran dan As Sunnah yang telah memberi panduan yang cukup jelas dalam hal ini.

Persoalan berikutnya ialah impak pertemuan PAS-UMNO kepada Pakatan Rakyat. Adakah pertemuan dengan UMNO bermakna PAS meninggalkan Pakatan Rakyat? Adakah ini bermakna PAS telah membelakangkan perjuangan menegakkan keadilan bersama Pakatan Rakyat? Adakah PAS telah mengkhianati perjuangan untuk menguburkan UMNO?

Berulang kali Presiden PAS mengatakan bahawa PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat; PAS komited dengan perjuangan menegakkan keadilan. Tetapi, menegakkan keadilan tidak bermakna membunuh musuh. Yang hendak dibunuh ialah sifat dan dasar ketidak-adilan musuh, bukannya batang tubuh musuh itu sendiri. Prinsip inilah yang dijelaskan oleh Al Quran dan As Sunnah tetapi gagal difahami oleh ramai orang termasuk segelintir kepimpinan serta ahli PAS sendiri. Disinilah terserlahnya kehebatan pengamatan politik kepimpinan Ulamak PAS dan jiwa besar yang mereka miliki.

Keputusan JK PAS Pusat memberi komitmen penuh kepada Pakatan Rakyat dan di waktu yang sama meneruskan pertemuan dengan UMNO adalah satu keputusan yang tepat seperti yang digariskan Al Quran dan As Sunnah. Kita komited dengan ikatan dalam Pakatan Rakyat dan sanggup mengenepikan layanan separuh-mesra; di waktu yang sama kita masih meneruskan agenda dakwah Islamiah sebagai dasar asas perjuangan PAS. Bahkan, PAS juga dengan jelasnya tidak menghalang mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuat pertemuan dengan mana-mana pihak, dan mereka telah pun melakukannya tanpa merujuk kepada PAS.

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Tuan Guru Dato Mursyidul Am, Tuan Guru Dato Seri Presiden dan saf kepimpinan ulamak yang memperlihatkan kematangan politik yang tinggi dan kejelasan prinsip yang jitu. Selebihnya, hanya mereka yang berkepentingan diri dan yang dangkal politik sahaja yang masih mahu mencari-balah dalam hal ini. Inilah hikmah dari kepimpinan Ulamak berteraskan Al Quran dan As Sunnah yang mendapat sokongan dan dokongan penuh ahlinya.

... Bekerja Untuk Islam ...

PENGHARGAAN KEPADA KEPIMPINAN YANG MENYUMBANG KEPADA PAKATAN RAKYAT

Artikel penulis pindahkan dari mailinglist untuk tatapan umum

Oleh : Urat Besi


Muktamar PAS akan dimulakan tidak berapa lama lagi. Saya ingin mencadangkan agar dibuat satu usul ucapan terima kasih kepada keseluruhan kepimpinan PAS terutamanya mereka yang telah memberi komitmen yang luar biasa kepada keutuhan Pakatan Rakyat. Sumbangan mereka ini adalah sangat besar kepada bukan saja kelangsungan perjuangan PAS tetapi juga kelangsungan parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Saya rasa, adalah sesuai dan tidak melampau untuk menyebut tokoh-tokoh ini secara khusus seperti YB. Dato’ Husam Musa, YB Dr. Hatta Ramli, YB. Dr. Zulkifli Ahmad, YB Dr Syed Azman, YB Dr Lo’ Lo’ dan YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Merekalah yang tidak kenal penat dan jerih lelah dalam meneruskan komitmen PAS dalam Pakatan Rakyat. Mereka juga telah dapat membuat hubungan yang sangat akrab dengan tokoh yang amat disegani iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kebelakangan ini, hubungan akrab ini menjadi lebih penting dan kritikal bagi memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi sewaktu DSAI sedang diserang bertubi-tubi dari pelbagai arah. Program demonstrasi sejuta rakyat PROTES, serta yang terbaru, perundingan Dubai (perbincangan tertutup dengan DSAI) adalah sebahagian dari sumbangan mereka yang dikira signifikan dalam percaturan politik semasa Pakatan Rakyat.

Walaupun ada bloggers yang mendedahkan bahawa sesetengah kepimpinan muda PAS ini adalah termasuk dalam senarai kabinet DSAI, tetapi saya yakin mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam hal ini. Dengan itu saya mencadangkan agar PAS dan ahlinya tidak perlulah menunggu hari keramat 16 September nanti untuk menyatakan penghargaan kepada mereka. Gunakan ruang muktamar nanti bagi menunjukkan rasa terima kasih kita.


... Bekerja Untuk Islam ...

Memohon sumbangan untuk IKHLAS



Ikatan Persaudaraan Malaysia Palestin (IKHLAS) telah ditubuhkan pada 31 Mac 2008. IKHLAS merupakan Badan yang berdaftar untuk mengumpul dana bagi meringankan beban rakyat Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh Yahudi Zionis. Jadi sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi kami di alamat berikut :

SEKRETARIAT IKATAN PERSAUDARAAN MALAYSIA PALESTIN
NO 16 JALAN DAGANG SB 4/1,
TAMAN SUNGAI BESI INDAH,
43300 SERI KEMBANGAN,
SELANGOR DARUL EHSAN
TEL : 03-8945 5998
FAX : 03-8941 7957
HP : 019-3353560 (Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Yusuff)
012-9283560 (Zulhimi bin Abd Rahman)

Bersama-samalah kita berjihad untuk meringankan beban yang ditanggung oleh saudara kita di Palestin


... Bekerja Untuk Islam ...

Radio24 - Sebenar Semasa



Penulis baru dimaklumkan tentang kewujudan radio ini. radio ini bergerak seperti Bernama TV yang menyiarkan 24 jam berita. berita-berita yang dipaparkan lebih tidak terbias dan dipengaruhi oleh mana-mana parti politik. bagus untuk sesiapa yang berminat untuk mengikuti perkembangan politik negara. lebih-lebih mereka yang sentiasa berdepan dengan kesibukan jalan raya. sambil-sambil tunggu hingga habis jem. baik dengar radio ini. bukan kempen ni tapi kongsi. jadi betulkan frekuasi radio anda 93.90 FM. tapi radio ini untuk Lembah Klang dan sekitarnya sahaja. yang lain tu sorrylah

... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, August 12, 2008



Tujuan utama ceramah ini diadakan ialah ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyelamatkan kerajaan PAS di Kelantan pada PRU ke12. Selain dari itu beliau akan turut mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ceramah bagi menyambut kedatangan Ramadhan.

Semua dijemput hadir

... Bekerja Untuk Islam ...

KAMI BERSAMA DATO’ SERI TUAN GURU PRESIDEN


Akhbar Sinar Harian hari ini (12 Ogos 2008) mengeluarkan kenyataan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden bahawa jika Islam tidak dijadikan teras pemerintahan maka PAS akan keluar dari PAKATAN RAKYAT.

Mungkin kenyataan ini mengundang kegelisahan dan penentangan daripada ahli PAS yang terlampau kagum dan taasub dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga melebihi Presiden PAS.

Apa pun ini merupakan kenyataan berani dan tegas daripada PAS bagi mengjaga PAS supaya tidak lari dari dasar perjuangan ISLAM. PAS sebagaimana yang terletak dalam perlembagaan menyebut bahawa hukum tertinggi dalam PAS ialah Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias yang terang lagi nyata.

Gerakan Islam semenjak dulu sentiasa ditipu oleh mereka yang gilakan kuasa untuk memerintah. Ikhwanul Muslimin di Mesir pernah ditipu oleh golongan Jamal Abdul Naseer ketika bergabung untuk menentang Pemerintahan Raja Farouk. Ahli Ikhwanul Muslimin telah diburu dan dibunuh selepas Jamal Abdul Naseer Berjaya menggulingkan pemerintahan Raja Farouk hasil bantuan ikhwanul Muslimin.

Ulamak-ulamak turki pernah juga telah ditipu oleh Mustafa Kamal Attartuk yang menjanjikan bahawa beliau hanya ingin menukar kerajaan Islam di turki dan bukan untuk menghapuskan sistem khilafah.

Gerakan-gerakan Islam di dunia akan digunakan sepenuhnya untuk mencapai kuasa. Tetapi apabila kuasa ditangan, gerakan Islam akan ditentang dan dibuang. Seperti pepatah Habis Manis Hampas dibuang.

Jadi tindakan Presiden PAS ini berlandaskan kepada asas supaya PAS tidak ditipu. Lihat sekarang ini, DAP cukup tidak senang dengan kehadiran PAS dalam PAKATAN RAKYAT. PAS pula seperti dilarang untuk menyebut berkenaan dengan ISLAM. Walaupun PAS telah bertindak untuk tidak menyebut langsung dasar perjuangan DAP.

Sebab itulah Presiden PAS meletakkan syarat Islam sebagai teras pemerintahan Negara. Ini juga tidak bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi Negara.

Perlu diingat, ISLAM bukan agama yang menyeru kepada keganasan, pembunuhan tanpa sebab, kezaliman. ISLAM datang denan konsep untuk menegakkan keadilan kepada manusia, mengembalikan penghambaan hanya kepada Allah SWT. Jadi kenapa masih ada lagi yang ingin memusuhi ISLAM sebagai agama dan cara hidup.

Sesiapa yang masih ragu terhadap ISLAM diharap dapat dikaji kembali kefahaman mereka terhadap Al-Quran. Tidak pun pergi melawat Kelantan yang menjadi contoh kepada perlaksanaan ISLAM dalam pemerintahan. Syabas kepada Kelantan kerana Berjaya mempraktikal Al-Quran mengikut bidang kuasa yang ada.

Kepada Dato’ Seri Tuan Guru Presiden teruskan perjuangan untuk memartabatkan Al-Quran dan mempekukuhkan PAS sebagai satu-satunya Gerakan Islam di Malaysia ini. Kami akan terus berada di belakangmu

Teruskan Perjuangan

www.attakiri.blogspot.com


... Bekerja Untuk Islam ...

Kami hanya bercumbu bukan berzina

Kebetulan penulis terbaca kenyataan ini dalam akhbar kosmo semalam (12 Ogos 2008). Kenyataan ini terkeluar dari seorang artis yang di candid gambarnya ketika sedang bercumbu di pantai Port Dickson.


Islam tidak pernah menentang artis secara total. Tetapi kalau kenyataan sebegini memang ditolak dan ditentang oleh Islam. Mungkin sesetengah artis menyangka apabila diri bergelar artis atau akstres mereka akan mengikut rentak hidup artis Hollywood yang bebas bercumbu dan berzina di mana sahaja.


Percumbuan adalah perkara yang boleh menjurus ke pengzinaan. Kerana itu Islam melarang keras aksi dan adegan yang boleh mengjurus kepada pengzinaan. sejauh mana manusia dapat mengekang nafsu ketika bercumbu. Bahkan bercumbu merupakan muqadimah yang paling hampir kepada zina. Penulis bukan menuduh bahawa artis tersebut berzina. Kerana tuduhan ini memerlukan kepada 4 orang saksi yang menyaksikan pengzinaan itu. Tetapi penulis bimbang kalau-kalau kenyataan ini tersebar dan akan mempengaruhi remaja melayu yang lain supaya bebas bercumbu di masa sahaja.


Memang dimaklumi bahawa kebiasaanya remaja melayu terbiasa mengikut corak kehidupan artis kesayangan mereka. Jadi sewajarnya artis-artis melayu menunjukkan kesopanan dan adab sebagai seorang Islam. Artis-artis juga sepatutnya mendapat sedikit asas pendidikan agama supaya mereka mengetahui perbezaan di antara halal dan haram dalam Islam.


Penulis masih bersangka baik bahawa artis ini masih belum faham tentang ajaran Islam keseluruhannya. Mungkin beliau menyangka bahawa hanya berzina yang diharamkan, bercumbu tidak apa. Tapi harapan penulis agar perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan. Harap artis ini dapat meluangkan sedikit masa untuk belajar mengenai agama Islam di tempat tinggal beliau.

www.attakiri.blogspot.com


... Bekerja Untuk Islam ...

Demontrasi bukan segala-galanya

Tulisan ini bukan hendak mempermainkan kuasa demontrasi, bukan pula hendak mempertikaikan dari sudut syarak. Tulisan ini lebih ke arah apakah mereka yang mengetuai demontarasi sahaja yang boleh dianggap hero dalam perjuangan?.

Di sini tulisan bermula. 10 tahun terakhir ini, demontrasi begitu kerap diadakan. Tidak kiralah apa-apa isu sekali pun. Yang terbesar seperti Himpunan BERSIH yang mencapai angka lebih 134.000. walaupun terdapat cubaan untuk mengadakan himpunan sampai 1 Juta seperti apa yang dianjurkan oleh PROTES tetapi nampaknya menemui kegagalan. Mungkin penganjurnya terperasan bahawa semua rakyat boleh dikerah tanpa menggunakan saluran parti politik. Ataupun penganjurnya takut untuk berdepan dengan cabarang polis, waahua’alam. (sekadar telahan penulis)

Kebiasaanya sesiapa yang mengetuai demontrasi dianggap hero dalam perjuangan. Lebih-lebih lagi kalau mereka ditahan oleh polis bersama anak dan keluarga. Bahkan mereka yang mengetuai demontrasi akan dipilih menganggotai kepimpinan PAS pusat (penulis mengfokus kepada Parti Islam Semalaysia PAS)

Persoalan yang boleh ditimbulkan. Adakah pimpinan PAS yang tidak menyertai demontrasi dianggap pengecut. Adakah pimpinan PAS yang tidak mengikuti demontrasi dianggap lari dari perjuangan.?. apakah semua pimpinan PAS perlu berdemontrasi.?

Rasulullah SAW tidak pernah mengerahkan kesemua sahabat pergi berperang secara berdepan. Ada dari kalangan sahabat RA yang ditugaskan untuk menjaga Negara, ada di kalangan sahabat ditugaskan untuk belajar ilmu agama, ada juga dari kalangan sahabat yang ditugaskan untuk menjaga wanita, orang tua dan anak-anak kecil.

Ini menunjukkan dalam organisasi perlu ada pembahagian tugas. Pernah suatu ketika perwakilan pernah mempersoalkan kenapa ada dari kalangan pimpinan PAS tidak menyertai demontrasi. Isu ini telah dijawab mudah oleh pimpinan PAS. Mereka menyebut di dalam PAS sudah pembahagian tugas-tugas tertentu. Ada yang ditugaskan untuk menjaga parti. Ada yang ditugaskan untuk memastikan tarbiyyah parti berjalan dengan lancar. Adakah demontrasi lebih penting dari tarbiyyah.?

Yang hendak disebutkan oleh penulis. Hero dalam kepimpinan bukan semestinya orang yang sentiasa berada dalam demontrasi. Bahkan dalam PAS tidak ada istilah hero. Semua pimpinan dan ahli dianggap hero kerana bertindak menjaga PAS yang bukan sahaja dikenali sebagai parti politik tetapi lebih ke arah sebuah gerakan Islam di Malaysia.

Jadi tidak timbul ada dari kalangan pimpinan yang tidak menyertai demontrasi. Bahkan berkemungkinan orang yang berada dalam tabir lebih penting daripada orang yang berada di depan. Contoh ahli pemikir PAS yang bersengkang mata siang dan malam untuk memastikan pergerakan PAS dikenali dan terus utuh bertapak di Malaysia.

Jadi semua ahli dan pimpinan PAS jangan terlampau sibuk menuding jari kepada sesiapa yang tidak menyertai demontrasi. Perwakilan PAS juga jangan hanya memilih mereka yang hero dalam demontrasi sahaja untuk terus ke kepimpinan PAS Pusat. Masing-masing ada tugas dan sumbangan untuk PAS. Selamat Berjuang.


... Bekerja Untuk Islam ...

Thursday, August 7, 2008

Istiqamah ; amalan yang paling sukar hendak dilaksanakan

Blog penulis sudah begitu lama tidak diupdatekan. Kalau sebelum ini penulis beralasan sibuk dengan kerja-kerja seharian. Tetapi kini, lebih kepada malas hendak menulis. Idea begitu banyak bermain-main di dalam kepala. Tetapi semuanya tidak diterjemahkan di dalam bentuk tulisan sebagaimana sebelum ini.

Teringat kata-kata Ibnu Ato’illah As-Sakandari yang bermaksud : Istiqomah ialah ibu kepada karamah. Karomah merupakan anugerah Allah SWT kepada orang-orang yang saleh. Kalau sebelum ini masyarakat kita memandang hanya orang yang boleh berjalan di atas air, terbang ke udara, tikam tidak lut dan sebagainya merupakan karomah. Semua ini bukan sekadar berlaku kepada orang soleh, bahkan ahli sihir pun mampu berbuat demikian dengan izin Allah SWT.

Perkara yang paling sukar dalam kehidupan ialah istiqamah dalam perjuangan. Istiqomah boleh diertikan sebagai konsisten dalam tugas. Penulis cukup terkesan dengan kata-kata Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang di kuliah beliau seminggu selepas kematian Al-Marhum Ustaz Fadhil Mohd Noor antara lain: Pejuang yang sebenar ialah mereka yang memperjuangkan Islam sehingga ke akhir hayat. Kita ini masih belum layak menggelarkan diri sebagai pejuang kerana kita tidak pasti adakah kita akan kekal dalam perjuangan ini sehingga menemui kematian.

Ucapan beliau yang disertai dengan titisan air mata begitu menyentuh hati penulis. Ya benar, ramai mana golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang telah gugur di pertengahan jalan. Perkataan perjuangan begitu senang di sebut. Tetapi perlaksanaan begitu payah dan menuntut pengorbanan yang cukup tinggi.

Perjuangan ini jangan hanya dibayangkan kepada seseorang yang berceramah dipentas, berdemontrasi di jalanan semata-mata. Bahkan menulis, bekerja di belakang tabir untuk mengukuhkan jemaah, menganjurkan seminar untuk memantapkan organisasi juga dikira perjuangan.

Anjuran Al-Quran untuk berjihad menegakkan agama Allah begitu umum. Jadi segala kerja yang dilakukan untuk menegakkan agama Allah SWT dikira sebuah perjuangan.

InsyaAllah penulis akan kembali kepada dunia penulisan kembali. Rehat sudah cukup. Umur semakin tua, sumbangan untuk Islam semakin kurang. Doakan agar penulis terus istiqomah dalam perjuangan

Wahai tuhan kami, janganlah engkau paling hati kami selepas memberi petunjuk kepada kami, kurniakan kepada kami rahmatMu, kurniakan juga kepada kami petunjuk yang baik ketika kami menjalankan setiap urusan.


... Bekerja Untuk Islam ...