Penulis menerima begitu banyak komentar terhadap tulisan yang bertajuk “DAP Pun Pertahankan Dasar”. Walaupun penulis sudah menyebut bahawa penumpuan tulisan bukan kepada isi kandungan perjuangan DAP tetapi lebih kepada istiqamahnya pimpinan DAP dan ahlinya terhadap dasar perjuangan Parti mereka . Jadi Ahli PAS lebih perlu untuk mempertahankan dasar perjuangan kerana Islam merupakan satu agama yang cukup jelas lagi nyata. Jadi dasar PAS cukup jelas.
Ada juga pandangan supaya PAS perlu memahamkan DAP tentang Islam. Persoalan ini telah pun dijawab oleh Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS yang telah menjemput Pengerusi DAP supaya melawat Kelantan untuk memahami tentang konsep Negara Islam yang telah pun dilaksanakan di Kelantan. Tetapi sampai sekarang Pengerusi DAP masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi saranan Mursyidul Am PAS pusat tersebut.Apa yang perlu difahami semua ialah apa dia Islam yang kita anuti. Kadang-kadang umat Islam sendiri tidak faham pengertian Islam dalam konsep yang sebenarnya. Islam bukan sekadar agama yang merangkumi bab Ibadah semata-mata seperti Kristian, Budha, Hindu dan sebagainya. Tetapi Islam lebih kepada panduan kepada manusia untuk hidup. Sebagaimana manusia memerlukan makanan, begitu juga mereka memerlukan Islam bahkan lebih daripada itu. Tanpa Islam dunia pasti hancur dek kerana kerakusan nafsu manusia yang dibantu dengan hasutan syaitan yang tidak kesudahan. Lihatlah kepada ucapan Jaafar bin Abi Talib ketika berdepan dengan raja Habsyah untuk menerangkan tentang Islam “Wahai Raja Habsyah, sebelum ini kami adalah orang yang jahil, menyembah berhala, memakan bangkai binatang, berkelakuan tidak sopan, memutuskan tali kekeluargaan, berbuat jahat terhadap jiran kami, dan yang kuat di kalangan kami menekan yang lemah. Inilah sikap kami sehinggalah Tuhan mengutuskan seorang nabi kepada kami. Kami tahu keturunannya, kejujurannya, sikap amanahnya, dan kesuciannya. Beliau menyeru kami kepada Allah dan supaya menyembahNya sahaja dan meninggalkan semua yang kami sembah selain daripada Dia. Beliau memerintahkan kami supaya bercakap benar, bersikap amanah, menguatkan tali kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran-jiran, tidak memakan darah, tidak berkelakuan tidak sopan, serta jangan berbohong, mencuri harta anak yatim dan memfitnah wanita yang suci. Beliau juga memerintahkan kami supaya menyembah Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan apa jua. Beliau memerintahkan kami supaya bersembahyang, bersedekah dan berpuasa (dan beliau menyenaraikan perintah-perintah Islam). Lalu kami beriman dengannya, menerima ajarannya, dan mematuhi apa yang diterimanya daripada Allah, menyembah hanya Allah dan tidak menyekutukan sesiapa denganNya, menahan diri daripada apa yang dilarang, dan menerima segala yang dihalalkan buat kami. Atas sebab ini kaum kami memusuhi kami. Mereka menyeksa kami dan menindas kami dengan harapan dapat mengembalikan kami daripada menyembah Allah kepada menyembah berhala, dan agar kami menerima apa yang kini kami anggap perbuatan-perbuatan yang keji. Maka setelah mereka menindas kami, berlaku zalim terhadap kami, mengongkong kami, dan menghalang kami daripada agama kami, kami lari ke negaramu dan memilihmu daripada yang lain, mengharapkan perlindungan, dan agar kami tidak perlu takut akan ketidakadilan dengan adanya tuanku."
Ucapan yang cukup hebat dan spontan ini member gambaran bahawa Islam merupakan agama yang membawa ketamadunan kepada manusia sejagat.
Begitu dengan apa yang berlaku sekarang ini khususnya di Malaysia. Islam telah mengajarkan kepada manusia perkara keji yang akan merosakkan manusia dan Negara seperti pengharaman rasuah, riba, penindasan kepada manusia, kezaliman. Islam juga telah mengajar cara memilih pemimpin yang adil dan tidak korup. Islam juga mengajar bagaimana untuk membina sebuah Negara yang aman dengan mempekenalkan konsep taqwa dalam masyarakat, perlaksanaan hukum Jenayah Islam yang merangkumi Hudud, Qisas dan Ta’zir. Memperkenalkan cara suaka politik, cara untuk berdamai, konsep ekonomi dengan memperteguhkan konsep amanah, bagaimana untuk menguruskan golongan yang tidak berkemampuan dan sebagainya.
Semua ini telah diperkenalkan oleh Islam melalui Al-Quran yang diterjemahkan dalam konteks semasa tanpa menghilangkan isi kandungannya.
Sebahagian konsep ini telah pun dilaksanakan di Kelantan mengikut bidang kuasa yang ada. Jadi inilah konsep yang hendak diperjuangkan oleh PAS. PAS telah pun melancarkan Dokumen Negara Islam yang menerangkan tentang komsep ini secara ringkas dan padat.
Jadi sesiapa pun samada DAP, MIC, MCA dan golongan bukan Islam yang lain tidak perlu takut kepada Perjuangan PAS untuk menegakkan Islam.
Jangan bayangkan Islam seperti Kristian. Jangan Bayangkan Negara Islam seperti Negara Kristian yang dengan jelas menentang fitrah kemanusiaan. Bayangkan Islam seperti mana pemerintahan Nabi di Madinah, Khulafa’ Ar-Rasyidin, Khalifah-khalifah Islam seperti Muawiyyah bin Abi Sufyan, Umar Abdul Aziz, Harun Ar-Rasyid, Sultan Abdul Hamid dan ramai lagi tokoh-tokoh pemerintah Negara Islam.
InsyaAllah jika Islam diletakkan sebagai teras pemerintahan Negara, nescaya pemimpin dan Negara akan mencapai kemajuan yang bukan sahaja bersifat kebendaan tetapi lebih kepada kemajuan yang bersifat kerohanian dan modal Insan.
Yang penting perjuangan Islam perlu diteruskan. Jangan hanya kejarkan kuasa sehingga prinsip perjuangan digadaikan. Matlamat PAS ialah mendapatkan kuasa untuk melaksanakan Islam
Teruskan Perjuangan
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
No comments:
Post a Comment