Artikel penulis pindahkan dari mailinglist untuk tatapan umum
Oleh : Urat Besi
Muktamar PAS akan dimulakan tidak berapa lama lagi. Saya ingin mencadangkan agar dibuat satu usul ucapan terima kasih kepada keseluruhan kepimpinan PAS terutamanya mereka yang telah memberi komitmen yang luar biasa kepada keutuhan Pakatan Rakyat. Sumbangan mereka ini adalah sangat besar kepada bukan saja kelangsungan perjuangan PAS tetapi juga kelangsungan parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Saya rasa, adalah sesuai dan tidak melampau untuk menyebut tokoh-tokoh ini secara khusus seperti YB. Dato’ Husam Musa, YB Dr. Hatta Ramli, YB. Dr. Zulkifli Ahmad, YB Dr Syed Azman, YB Dr Lo’ Lo’ dan YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Merekalah yang tidak kenal penat dan jerih lelah dalam meneruskan komitmen PAS dalam Pakatan Rakyat. Mereka juga telah dapat membuat hubungan yang sangat akrab dengan tokoh yang amat disegani iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kebelakangan ini, hubungan akrab ini menjadi lebih penting dan kritikal bagi memberi sokongan moral yang tidak berbelah bagi sewaktu DSAI sedang diserang bertubi-tubi dari pelbagai arah. Program demonstrasi sejuta rakyat PROTES, serta yang terbaru, perundingan Dubai (perbincangan tertutup dengan DSAI) adalah sebahagian dari sumbangan mereka yang dikira signifikan dalam percaturan politik semasa Pakatan Rakyat.
Walaupun ada bloggers yang mendedahkan bahawa sesetengah kepimpinan muda PAS ini adalah termasuk dalam senarai kabinet DSAI, tetapi saya yakin mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam hal ini. Dengan itu saya mencadangkan agar PAS dan ahlinya tidak perlulah menunggu hari keramat 16 September nanti untuk menyatakan penghargaan kepada mereka. Gunakan ruang muktamar nanti bagi menunjukkan rasa terima kasih kita.
... Bekerja Untuk Islam ...
1 comment:
sebahagian mereka yang anta sebut itu adalah anai-anai dalam perjuangan.
Post a Comment