Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Friday, August 29, 2008

Detik 16 September..menguntungkan PAS atau tidak?

Semua pemerhati politik dan rakyat menunggu dengan penuh debaran saat 16 september sehingga seakan-akan melupakan sambutan ramadhan dan kemerdekaan Negara. Masing-masing mengeluarkan pelbagai andaian tentang peristiwa yang mungkin mencatat sejarah baru Negara.

16 September seperti sebuah tarikh keramat yang merubah langkap politik Negara Malaysia yang selama di kongkong oleh politik sempit UMNO/BN.

Keputusan Permatang Pauh juga seperti menunjukkan bahawa kebangkitan 16 September seakan-akan berlaku.

Dalam hati kecil penulis memang inginkan perubahan besar kepada pemerintahan Negara. Tetapi dalam masa yang sama terdetik dihati ini tentang keuntungan kepada Islam.

Apakah PAS mampu menerapkan dasar perjuangan dalam pemerintahan nanti sebagaimana yang telah dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu sebelum itu. Apakah istilah Islam dapat disebut secara bebas dalam pemerintahan atau akan sentiasa mendapat bantahan daripada DAP atau PKR sendiri.

Apakah PAS akan menerima nasib seperti Ikhwanul Muslimin ketika bersama dengan Jamal Abdul Naseer yang bersama berjuang untuk menjatuhkan kezaliman raja Farouk, tetapi akhirnya pimpinan Ikhwan dibunuh selepas Jamal Abdul Naseer mendapat kuasa.

Penulis bukan ingin menimbulkan sangkaan buruk. Cuma sekadar melontarkan sedikit kebimbangan. Jangan kerana terlampau sibuk kejarkan kuasa untuk memerintah akhirnya kita tidak terpandang tentang penipuan dari kawan-kawan sendiri. Berjaga-jaga perlu dalam Islam.

Semoga PAS mampu untuk memperkasakan PAKATAN RAKYAT sehingga mereka yakin dengan Islam sebagai teras pemerintahan Negara.

www.attakiri.blogspot.com

... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, August 27, 2008

DAP Pun Pertahankan Dasar

Pertamanya tahniah di atas kemenangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh semalam. Kemenangan ini menandakan bahawa rakyat semakin muak dengan BN yang menggunakan taktik kotor sewaktu kempen baru-baru ini.

Ketika kempen dijalankan, satu pengumuman tegas oleh Lim Guang Eng dalam kongres DAPnya dengan menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan penubuhan Negara teokratik, Negara Islam atau Kristian. Bahkan beliau menyebut Malaysia akan terus menuju kepada sebuah Negara sekular. Inilah yang diperjuangkan dalam PR.

Ucapan tegas ini, walaupun telah dijawab oleh Ketua Dewan Pemuda PAS YB Salahuddin Ayub menunjukkan bahawa DAP cukup bertegas soal prinsip perjuangan partinya. Penulis merasakan DAP sampai sekarang masih belum memahami konsep Negara Islam yang merupakan Negara Berkebajikan yang dicanang oleh PAS sebelum ini.

Yang menimbulkan kepelikannya ialah bukankah Ketua Menteri Pulau Pinang ingin mengcontohi Umar Abdul Aziz. Saidina Umar Abdul Aziz merupakan pemerintah sebuah Negara Islam. Saidina Umar Abdul Aziz menggunakan sistem keadilan Islam kepada semua. Jadi kenapa beliau boleh menolak sistem Negara Islam.?

Penulis syorkan beliau membaca buku karangan Imam Al-Qaradhawi, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi mendapat penjelasan secukupnya tentang Negara Islam.

Penulis bukan hendak menyentuh isu DAP. Mungkin parti tersebut tidak faham prinsip perjuangan parti PAS. Yang ingin disentuh ialah kesungguhan DAP mempertahankan dasar mereka patut dicontohi oleh ahli PAS.

Ramai dikalangan pemimpin dan ahli PAS pernah menyarakan bahawa PAS mesti mengubah pendekatan seperti menghilangkan istilah Negara Islam kepada Negara keadilan, ataupun Negara bebas rasuah sepertimana yang diwar-warkan oleh DSAI.

Tetapi Alhamdulillah cadangan sebegini telah dijawab oleh kebanyakan Ulamak dalam PAS. Penulis pernah menyebut sebelum bahawa PAS rela ditolak oleh rakyat dengan sebab dasar ISLAM. Tugas PAS dan ahlinya ialah menerangkan tentang kecantikan Islam.

Memang satu ketika kita boleh menyebut bahawa PAS akan memperjuangkan Negara Berkebajikan. Tetapi kita tidak boleh menyembunyikan bahawa Kebajikan itu termasuk dalam agenda Negara di bawah pemerintahan Islam.

PAS bukan gilakan kuasa sehingga sanggup menggadaikan prinsip. PAS pernah kalah berpuluh-puluh kali, pernah dikhianati, ahli PAS pernah dibunuh dan sebagainya kerana dasar perjuangan ini. Adakah golongan terkemudian dalam PAS ingin mengecap kemenangan dengan mudah.? Mustahil, kecuali kalau ingin menggadai prinsip perjuangan PAS. Kalau begitu, esok boleh menang.

Melihat suasana sekarang ini, terdapat segelintir pemimpin PAS hanya memberi komentar dari sudut politik semata-mata. Kadang-kadang mereka lupa bahawa PAS juga parti Dakwah dan Tarbiyyah. Pemerkasaan Usrah dan Tamrin jarang didengari.

Perkataan tarbiyyah, Usrah hanya kedengaran sewaktu muktamar. Sebaik muktamar tamat perkataan itu terus lenyap. Yang kedengaran hanyalah berita yang berkisar soal politik semata-mata. Penulis bukan hendak pisahkan tarbiyyah dari politik. Tetapi penulis bimbang kalau-kalau segelintir pimpinan PAS meletakkan politik lebih dari tarbiyyah.

Dalam isu DAP, hanya ketua Pemuda PAS sahaja yang menjawab, mana pergi pemimpin lain. Adakah hanya sibuk menunggu jawatan menteri pada 16 september nanti ataupun sibuk mengekori DSAI ke sana ke mari. Mana perginya sentiviti perjuangan Islam.?

PAS lebih aula mempertahankan dasarnya daripada DAP kerana perjuangan PAS cukup jelas dan terang daripada DAP. Perjuangan PAS bukan sekadar ingin mendapat kemenangan di dunia tetapi lebih kepada kemenangan yang hakiki itu kemenangan memasuki syurga Allah dan mendapat keredhaan-Nya. InsyaAllah

www.attakiri.blogspot.com

... Bekerja Untuk Islam ...

Saturday, August 23, 2008

PAS Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah

Ucapan dasar Dato’ Seri Tuan Guru Presiden merupakan antara ucapan yang terbaik sebagaimana yang disebutkan oleh beberapa tetamu ketika Muktamar PAS 54 baru-baru ini.

Dalam ucapan ini, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa PAS bukan sekadar parti politik semata-mata, tetapi lebih sebagai sebuah gerakan Islam yang menyentuh bahagian dakwah dan tarbiyyah.

Apabila disebut PAS sebagai parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah, semestinya setiap gerakan ataupun perancangan PAS bukan sekadar untuk meraih hati pengundi semata-mata. Tetapi gerak kerja PAS lebih ke arah untuk memperkenalkan Islam kepada semua masyarakat.

Selepas kemenangan besar PR dalam PRU12 baru-baru ini, kebanyakan pengalisis politik menyebut bahawa kemenangan ini hasil daripada sokongan golongan bukan Islam yang terdiri daripada kaum Tiong Hua dan India. oleh sebab itu sebarang tindakan PAS diharap tidak mengecilkan hati pengundi-pengundi ini seperti mewar-warkan perlaksanaan Islam, Negara Islam dan sebagainya. Bahkan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat menyebut di antara punca kekalahan PAS pada 2004 ialah pelancaran Dokumen Negara Islam !. jadi beliau menyebut diharap PAS tidak mengulangi lagi sebutan yang boleh menggerunkan orang bukan Islam.

Ditambah lagi dengan isu muqabalah di antara PAS dan UMNO semakin memanaskan keadaan bagi mereka yang mereka memandang PAS sebagai sebuah parti politik semata-mata.

Antara tanggungjawab oleh PAS ialah untuk menerangkan ISLAM kepada semua warganegara Malaysia. Kemenangan Besar BN pada tahun 2004 ketika itu bukan hanya kerana Pengisytiharan Dokumen Islam semata-mata. Tetapi pengalisis menyebut faktor kemenangan besar BN ialah kerana pertukaran PM daripada seorang yang terkenal dengan mahazalim kepada seorang yang bergelar Mr Clean. Ini bermakna kalau PAS tidak mengisytiharkan dokumen itupun PAS dan BA (ketika itu) pasti kalah besar.

Kadang-kadang pimpinan kita pun terpengaruh dengan Islamphobia. Tugas PAS ialah menterjemahkan Islam. Jenama yang di bawa oleh PAS ialah Islam. PAS rela menemui kekalahan dengan sebab Islam.

Ketika isu muqabalah menjadi hangat, ramai di antara ahli PAS yang memandang PAS sebagai parti politik melenting. Semua berhujjah bahawa berkemungkinan PAS akan ditipu sebagaimana dahulu. PAS juga mungkin akan kehilangan pengundi bukan Islam.

Alhamdulillah isu ini dapat diselesaikan dengan baik selepas semua perwakilan mendengar penjelasan daripada Timbalan Mursyidul Am dan Presiden PAS.

Dengan penjelasan yang cukup jelas daripada Timbalan Mursyidul sepatutnya sudah menyelesaikan kerisauan daripada semua perwakilan dan pimpinan PAS Pusat. tetapi nampaknya selepas muktamar baru-baru ini, masih terdapat ketidakpuasan hati dari kalangan pimpinan PAS. Contohnya kenyataan dalam Siasah oleh Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat yang masih terus menerus mengkritik muzakarah, sedangkan beliau sendiri mendengar penjelasan yang diberikan oleh pimpinan Syura Ulamak dan mengiyakannya.

Quran telah menjelaskan dengan begitu jelas sekali samada dari sudut hukum dan strategi. Kalau kita mengjangkakan UMNO cuba menipu kita tetapi Allah SWT telah memberi jaminan akan memberi kemenangan kepada Islam.

Jadi apa lagi yang perlu diragukan. Kembali dan yakinlah kepada Al-Quran. Jangan kita meletakkan aqal melebihi Al-Quran. PAS pasti akan terus utuh sebagai sebuah Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, June 25, 2008

Siri 5 : Kenapa Memilih Islam


Selepas kita meyakini bahawa hanya satu jalan sahaja untuk mendapat keredhaan dan syurga Allah SWT, sudah tentu terbayang di dalam benak masing-masing Apa dia Islam?.

Memang menjadi kewajipan bagi seseorang sebelum memasuki sesebuah pertubuhan ataupun persatuan untuk mengetahui pengenalan tentang persatuan itu, objektif, perlembagaan, pantang larang dan sebagainya.

Begitu juga dengan Islam. Menjadi satu kewajipan kepada penganutnya untuk mengetahui Sistem, Dasar (aqidah), hokum-hakam dan akhlak Islam. kalau tidak, seseorang muslim itu tidak merasai kemanisan Islam itu ataupun tidak merasai keistimewaan berada di dalam agama Islam

Islam merupakan agama fitrah yang mesti dianuti oleh semua manusia. Islam boleh dikategorikan sebagai cara hidup manusia.

Di antara perkasa asas aqidah yang mesti diketahui dan difahami oleh penganut Islam ialah mereka mesti meyakini bahawa hanya Allah SWT sahajalah tuhan yang mesti dan wajib disembah. Sesiapa yang mendakwa ada tuhan yang lain daripada Allah SWT, maka kenyataan ini akan membawa kepada terkeluar daripada Islam.

Penganut Islam mesti meyakini bahawa dunia yang diduduki ini bukanlah segala-galanya. Begitu dengan dengan kehidupan makhluk yang berada di atas ala mini seperti manusia, jin, binatang dan pelbagai lagi ini pasti akan berakhir. Mereka semua pasti akan dihimpunkan di alam yang bernama hari akhirat. Pada hari itu, semua makhluk dapat melihat dengan pandangan mereka kekuasaan Allah yang maha dahsyat lagi maha hebat itu.

Itulah dia Allah tuhan yang Esa. Tiada tuhan melainkan Allah SWT. Seseorang tidak akan ditolong kecuali dengan izin Allah. Maka penyembahan dan ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah.

Penganut Islam juga mesti meyakini bahawa Allah SWT merupakan pencipta segala makhluk yang pelbagai ini. Ada yang makhluk yang boleh dilihat oleh mata kasar manusia seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan. Ada makhluk yang tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasai seperti angin, udara dan sebagainya. Ada makhluk yang dipanggil makhluk ghaib seperti malaikat, jin, syaitan. Di antara makhluk penciptaan Allah ada yang diciptakan untuk melakukan kebaikan semata-mata seperti malaikat. Ada makhluk yang hanya melakukan kejahatan semata-mata seperti syaitan. Ada makhluk yang boleh menerima untuk melakukan perkara yang baik dan jahat seperti manusia dan jin.

Allah SWT telah memilih rasul dari kalangan manusia untuk menyampaikan syariat islam untuk manusia dan jin. Syariah ini terkandung di dalam kitab-kitab, lembaran-lembaran sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Al-Quran merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan kepada manusia. Kedatangan Al-Quran ini telah memansuhkan segala kitab-kitab dan lembaran-lembaran sebelumnya. Al-Quran juga kekal selamat tanpa sebarang perubahan hingga ke akhir kiamat. Al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan rasul terakhir dan tiada rasul lagi selepas itu. Sesiapa yang mendakwa menjadi nabi, maka ini semua merupakan pembohongan yang terang lagi nyata.


... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, May 20, 2008

Siri 4 : Kenapa Memilih Islam


Akal merupakan titik perbezaan di antara manusia dan makhluk yang lain. Semestinya akal ini perlu digunakan sebaik mungkin. Akal ini akan selalu ditentang oleh penentang yang bernama nafsu.

Sememangnya menjadi kebiasaan manusia yang inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sementara agama adalah pengikat bagi kebebasan ini. Bahkan manusia mesti berada dalam ikatan yang bernama agama. Jikalau manusia dibiarkan bebas tanpa sebarang ikatan, nescaya mereka boleh diibaratkan seperti orang gila yang bebas melakukan apa sahaja seperti berjalan di jalanan dalam keadaan telanjang, menggangu lalu lintas, memakai pakaian mengikut cara tersendiri dan sebagainya. Orang gila ini akan melakukan apa sahaja yang terlintas difikirannya tanpa menimbang dari sudut syarak dan akal.

Jadi hanya orang gila sahaja yang inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sementara orang yang berakal ialah orang yang mengikat diri mereka dengan agama.

Orang yang beragama semestinya orang yang berakal kerana dengan agama dan akal negara akan membangun. Manusia akan takut melanggar undang-undang kerana mereka mampu memikirkan risikonya, manusia akan melaksanakan kebaikan kerana mereka memikirkan tentang ganjaranya.

Manakala perkara yang menuju kejahatan dan kerosakan memang menyeronokkan. Manusia seronok menyertai pesta yang penuh dengan kelalaian dan kelekaan. Manusia seronok untuk mendengar umpatan kerana ini akan menyebabkan mereka merasa ujub atau hebat terhadap diri masing-masing. Manusia seronok untuk mencuri kerana mereka akan mendapat harta tanpa bersusah payah.

Tetapi jika manusia bijak dan menggunakan akal secara praktikal, nescaya mereka akan mendapati bahawa kebebasan yang dinikmati adalah sementara sahaja berbanding dengan keseksaan yang panjang di dalam penjara neraka.

Manusia perlu memandang bahawa jiwa yang sedang berseronok ini pasti akan mati dan menemui penciptanya. Sepanjang mana pun umur manusia, kematian pasti akan mengejarnya. Mati akan sentiasa mengikuti perjalanan manusia samada pagi dan petang. Manusia juga tidak mengetahui bilakah mati itu akan melintasinya. Di mana Nabi Nuh yang pernah menyeru manusia selama 950 tahun itu.? Dimana Firaun yang pernah mengaku menjadi tuhan itu.? Kalau bukan di dalam kubur.

Kehidupan dunia ini merupakan satu perjalanan untuk menuju ke jalan akhirat. Manusia yang bermula dari janin, kemudian lahir menuju ke alam dunia. Kemudian menuju ke alam akhirat yang merupakan alam yang kekal abadi.

Jadi semestinya manusia menyedari bahawa mereka perlu mengikat diri mereka dengan agama untuk menyelamatkan diri daripada keseksesaan yang berpanjangan. Agama yang menjadi pengikat hanyalah ISLAM.

... Bekerja Untuk Islam ...

Friday, May 16, 2008

Siri 3 : Kenapa Memilih Islam

Kenapa manusia menjadi perebutan oleh ulamak dan syaitan. Ulamak ingin menyeru kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah SWT. Syaitan pula menyeru manusia untuk bersama-sama dalam kemurkaan Allah SWT.

Siapa manusia sebenarnya.?

Manusia merupakan makhluk yang paling istimewa di alam ini. Malaikat hanya mempunyai sifat taat semata-mata. Syaitan pula memiliki sifat penentang semata-mata. Haiwan-haiwan hanya mempunyai sifat untuk hidup semata-mata. Tetapi manusia ini menggabungkan ketiga-ketiga sifat itu kepada dirinya.

Kadang-kadang manusia mampu melakukan ibadat sehingga darjat mereka melebihi malaikat. Kadang-kadang manusia mempunyai sifat kejahatan sehingga melebihi kejahatan syaitan. Kadang-kadang manusia mempunyai sifat untuk hidup sehingga melebihi daripada haiwan-haiwan tadi.

Contoh pertama :Malaikat melakukan kebaikan dan ketaatan tanpa disuruh. Tapi manusia melakukan kebaikan dan ketaatan kerana mentaati perintah Allah SWT. Dengan sebab itu amalan manusia dianggap bernilai daripada amalan malaikat

Contoh kedua : Syaitan melakukan kejahatan pada setiap masa dan setiap saat. Tetapi dalam masa yang sama syaitan masih mengakui kewujudan Allah sebagai tuhan.berlainan dengan manusia yang melakukan kejahatan sehingga sanggup mengaku menjadi tuhan, sanggup menidakkan kewujudan tuha, sanggup mengganggap arahan tuhan tidak relevan. Manusia jenis ini merupakan dikira sebagai lebih teruk dari syaitan.

Contoh ketiga : amalan haiwan seperti makan, minum, kahwin, tidur. Haiwan hanya makan, minum dan sebagainya mengikut keperluan semata-mata. Tetapi manusia mencari kemewahan melebihi keperluan masing-masing sehingga sanggup menipu, mencuri, merompak. Manusia sanggup berzina sehingga membuang anak masing-masing. Ini menandakan bahawa manusia boleh bertindak melebihi haiwan.

Semua ini bermaksud bahawa diri manusia ini boleh menerima kebaikan dan keburukan. Tetapi yang membezakan diri manusia ialah kurniaan akal oleh Allah SWT. Jika akal tersebut digunakan untuk mengikuti jalan para anbiyaa’ pasti akan menemui kebahagian diakhirat kelak. Tapi jika akan ini digunakan untuk mengikuti jalan syaitan pasti akan menemui keseksaan dan kepedihan di akhirat kelak.


... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, May 13, 2008

Siri 2 : Kenapa Memilih Islam

Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia fitrah untuk mengetahui perbezaan di antara kedua-dua jalan ini. Manusia akan merasa tenang apabila melakukan perkara kebaikan yang berlandaskan syarak. Begitu juga sebaliknya, manusia pasti akan merasa gelisah apabila melakukan kejahatan yang bertentangan dengan Islam.

Perasaan inilah yang lahir untuk membezakan di antara perkara yang halal dan haram. Kebenaran dan kebatilan.

Setiap jalan tersebut mempunyai penyeru masing-masing. Jalan kebenaran kebenaran mempunyai penyeru yang dipanggil pendakwah. Pendakwah ini terdiri daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Kemudian diikuti oleh para ulamak yang menjadi pewaris kepada nabi dan rasul.

Seruan dakwah ini cukup payah kerana sudah menjadi tabiat manusia yan selalu inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sedangkan agama ini lebih untuk mengikat pergerakan manusia agar menjadi seimbang dan teratur.

Jalan kejahatan pula mempunyai penyeru yang dipanggil syaitan. Kemudian diikuti oleh pengikut-pengikut yang mempunyai keinginan yang sama iaitu ingin merosakkan manusia.

Seruan dakyah syaitan cukup senang diikuti kerana seruan ini mengikut apa yang diinginkan oleh manusia. Manusia menginginkan kemewahan tanpa batasan sehingga sanggup menipu, rasuah, merompak dan sebagainya. Manusia inginkan kelazatan duniawi tanpa mengira batas halal dan haram.

Oleh sebab itu tugas pendakwah lebih berat dan sukar daripada tugas pendakyah.

Tetapi ingat. Walaupun pendakwah menempuh jalan yang sukar, tetapi mereka akan bertemu kenikmatan yang tidak terhingga enaknya. Sementara pendakyah pula yang menempuh jalan yang senang pasti akan bertemu diakhirnya seksaan yang tidak terperi sakit dan dahsyatnya.

Jadi jalan manakah yang hendak dipilih dan ikuti. Tepuk dada tanyalah iman

Bersambung……


... Bekerja Untuk Islam ...

Thursday, May 8, 2008

Siri 1 : Kenapa Memilih Islam

Islam merupakan agama yang menyeru kepada mengesakan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Islam bermula dengan pengakuan Syahadah, mengerjakan Solat, Berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan Haji bagi sesiapa yang mampu.
Islam diibaratkan sebagai cara hidup manusia. Bahkan para ulamak menyebut sesebuah bangsa tidak akan maju tanpa menggunakan Islam sebagai cara hidup.

Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah sebagai perlembagaan yang wajib dipegang oleh manusia. Kalau sesebuah negara mesti mempunyai perlembagaan untuk mensistemkan masyarakat. Islam mempunyai perlembagaannya yang tersendiri bahkan yang paling sempurna dan sesuai untuk sepanjang masa dan zaman.


Jikalau seseorang pilihan untuk melalui dua jalan iaitu :


Pertama : Jalan yang penuh dengan kesusahan, onak dan duri tetapi jalan ini akan menuju kepada bandar yang besar dan penuh dengan kemajuan yang boleh dikecapi oleh sesiapa sahaja. Jalan ini juga menuju ke tempat yang dihajati oleh semua manusia


Kedua : Jalan yang selesa, mudah dan senang dilalui. Bahkan dipertengahan jalan terdapat pohon-pohon yang berteduh sebagai tempat pengistiharatan. Tetapi jalan ini akan menuju ke tempat yang penuh dengan keseksaaan dan kepayahan. Selepas seseorang itu sampai ke tempat, maka dia tidak akan berpeluang untuk kembali lagi bagi mengambil jalan yang pilihan pertama.


Jalan mana yang akan dipilih. ?

Menjadi idaman manusia untuk memilih jalan yang mudah dan senang. Tetapi bagi orang yang bijak. Jalan pertama akan menjadi pilihan. Setiap manusia inginkan kenikmatan yang berkekalan. Walaupun pada permulaan mereka akan bertemu dengan kepayahan.


Perniagaan yang besar dan menguntungkan tidak pernah dimulakan dengan kesenangan. Tetapi perniagaan ini dimulakan dengan kepayahan, kesenggsaraaan dan kadang-kadang berdepan dengan kerugian yang besar. Kesan daripada hasil usaha yang berpanjangan, mereka diberikan keuntungan yang berlipat kali ganda hasil daripada titik usaha itu.


Kedua-dua jalan ini boleh diibaratkan sebagai jalan yang menuju ke syurga dan jalan yang menuju ke neraka.

Jalan yang menuju syurga penuh dengan onak dan duri. Jalan in memerlukan kepada orang yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk mendapat syurga. Jalan ini juga terdapat berbagai sekatan dan larangan demi untuk kebaikan manusia. Tetapi kalau seseorang itu bersabar menempuh jalan ini. Nescaya dia akan bertemu dengan kenikmatan yang kekal selama-lamanya pada pengakhirannya.


Jalan yang kedua ialah jalan yang menuju ke neraka penuh dengan kesenangan dan kenikmatan pada permulaannya. Manusia bebas melakukan apa yang disukai tanpa terikat dengan agama, adab dan tatasusila manusia. Tetapi pada akhirnya mereka akan menerima balasan daripada kesenangan tanpa batasan itu dengan seksaan yang kekal selama-lamanya di neraka. Mereka juga tidak berpeluangan untuk kembali walaupun beribu-ribu rayuan dihantar kepada Allah SWT.

Islam datang kepada manusia bukan untuk menyekat pergerakan. Tetapi lebih untuk mengajar manusia bagaimana cara untuk menikmati kenikmatan yang kekal abadi.

Bersambung…..

Friday, April 25, 2008

Jangan layan karenah UMNO/BN

PAKATAN RAKYAT telah menguasai 5 kerajaan Negeri selama 49 hari. Dilihat terdapat sedikit sebanyak pembaharuan yang dibuat untuk menambahbaikan perjalanan kerajaan negeri sejajar dengan konsep negara yang adil dan berkebajikan.

Ketika PAKATAN RAKYAT semakin mengemaskinikan perjalanan, UMNO/BN dilihat semakin terdesak dan semakin roboh satu demi satu. Selepas kekalahan UMNO/BN di dalam PRU12 baru-baru ini, PM Malaysia telah didesak untuk meletak jawatan. Selepas itu ditukar pula istilah peralihan kuasa, yang terbaru desakan untuk menubuhkan suruhanjaya mengkaji kekalahan UMNO/BN.

Penulis tidak berminat untuk mengulas pergolakan politik UMNO/BN kerana begitu ramai bloggers telah mengeluarkan pandangan mereka terhadap apa yang berlaku di dalam UMNO/BN.

Penulis juga tidak berminat untuk mengulas tentang keterlompatan MP BN ke dalam PAKATAN RAKYAT. Bagi penulis menunggu MP BN melompat ke dalam PKR bagaikan pungguk rindukan bulan. Penulis bukan tidak percaya kepada kenyataan-kenyataan politik yang dikeluarkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tetapi apa faedahnya jika kita sekadar ternanti-nanti tanpa ada keputusan yang pasti. Sebelum ini kita diwar-warkan bahawa MP BN akan melompat kepada PAKATAN RAKYAT april ini. Alih-alih ditangguhkan kepada september. InsyaAllah bulan september ini perkara tersebut benar-benar berlaku.

Isu lompatan MP UMNO/BN merupakan isu yang tidak pasti berlaku ataupun tidak. Tetapi penguasaan PAKATAN RAKYAT terhadap kelima-lima buah negeri merupakan perkara yang sedang dirasai. Kekadang penulis bersetuju dengan sesetengah pandangan yang mendakwa media alternatif masih lagi bersifat pembangkang. Laporan di dalam harakahdaily dan tranungkiter contohnya melebihkan kenyataan tentang pergolakan politik di dalam BN. Isu ini bukannya tidak penting. Tetapi sebagai sebuah kerajaan menuggu, rakyat ternanti-nanti bagaimanakah PAKATAN RAKYAT akan memerintah jika ditakdirkan Malaysia dapat dikuasai.?

Rakyat juga sentiasa melihat perjalanan kerajaan PAKATAN RAKYAT. Kenyataan pemimpin PAKATAN RAKYAT tidak banyak menyentuh kepada cadangan dan komentar ataupun sokongan terhadap tindakan kerajaan kita. Setakat pengetahuan penulis, pimpinan kita banyak mengulas isu pergolakan UMNO lebih daripada isu negeri-negeri di bawah penguasaan PAKATAN RAKYAT.

42 hari merupakan masa yang cukup lama bagi seorang ahli politik yang proaktif. Rakyat sentiasa ternanti-nanti apakah perubahan yang akan di lakukan seterusnya. Adakah hanya sekadar pemberian 20 liter bersepadu air percuma?.

Walaupun sesetengah berpandangan supaya semua rakyat bersabar untuk menanti perubahan. Tetapi terdapat sesetengah perkara yang perlu disegerakan tidak disegerakan. Contohnya isu perlantikan Ahli Majlis kerajaan tempatan. Hingga kini masih di sesetengah negeri belum selesai perlantikan ini. Walaupun UMNO dah lama mengosongkan kerusi tersebut.

Walaupun perkara dianggap kecil. Tetapi rakyat bawahan akan memandang bahawa kerajaan PAKATAN RAKYAT lambat dan lembab dalam bertindak. Sesetengah perkara juga dilihat kerajaan PAKATAN RAKYAT takut ataupun terlampau berhati-hati dalam bertindak sehingga melambatkan proses perubahan. Contonya isu perlantikan AJK masjid dan JKKK kampung. Sampai sekarang kerajaan negeri masih belum membuat keputusan bentuk perlantikan yang akan dilaksanakan.

Begitu juga dengan penyatuan manifesto. Sebelum ini rakyat difahamkan bahawa manifesto PAS, PKR dan DAP terdapat sedikit perbezaan. Bilakah pengumuman akan dibuat untuk membentuk manifsto yang baru berdasarkan persetujuan PAKATAN RAKYAT.

Rakyat sudah tahu UMN/BN semakin rosak. Tidak keluar kenyataan pun rakyat tahu. Tapi rakyat Malaysia tidak tahu perubahan kerajaan PAKATAN RAKYAT. Jadi tangungjawab siapa yang akan memberitahu kalau bukan media kita, pimpinan kita dan kita semua.

Jangan layan sangat MP UMNO yang akan melompat. Jangan layan sangat pergolakan BN, jangan layan sangat isu peralihan kuasa. Yang penting perkasakan PAKATAN RAKYAT demi kebaikan rakyat malaysia

Takbir 25000

Thursday, April 17, 2008

Setiap kali barang naik salahkan orang lain

‘‘Punca kenaikan harga barang bukan kerana kegagalan kerajaan tetapi ia adalah masalah fenomena dunia iaitu inflasi makanan dunia.

‘‘Ia juga disebabkan oleh masalah bekalan dan Malaysia bukan satu-satunya negara yang menghadapi tekanan ini, malahan di negara lain keadaan lebih buruk,’’ katanya.

Ini adalah kenyataan TPM Malaysia dalam isu harga beras naik. Nampaknya kerajaan masih tidak serik untuk memperbodohkan rakyat jelata. Setiap kali kenaikan harga barang, kerajaan tidak pernah mengambil sikap tanggungjawab untuk menangani dengan baik. Cuma yang ada sekadar mesyuarat seterusnya mengeluarkan keputusan kerajaan terpaksa menaikkan harga barang ini walaupun dengan hati yang berat.

Jangan ingat rakyat bodoh dalam melihat situasi negara. zaman kini bukan zaman batu ataupun zaman dunia tertutup. Zaman kini ialah zaman dunia diibaratkan sebagai kampung kecil sahaja. Setiap kali isu dalam kerajaan berlaku, rakyat akan terus mengkaji kenapa perkara ini berlaku.

PM Malaysia pernah mengumumkan bahawa antara punca kegagalan UMNO/BN ialah dengan sebab kenaikan harga barang yang terlampau-lampau. Tapi sekarang, kenaikan terus berlaku. Ini menunjukkan kegagalan kerajaan dalam perancangan untuk membangunkan negara. kalau sebelum PM Malaysia pernah melancarkan pelan pertanian untuk rakyat. Sekarang apa jadi. Pelan tinggal ke mana, alih-alih harga beras pun naik.

Sementara di negeri yang diperintah oleh PAKATAN RAKYAT pula sibuk untuk menyelesaikan golongan susah dan rakyat jelata. Pulau Pinang contohnya telah membatalkan segala tunggakan kompaun letak kereta kepada rakyat. Kedah pula telah membatalan segala projek yang merugikan rakyat. Perak telah melancarkan 5 pelan kebajikan. Selangor dengan memberi 20 liter padu air percuma kepada rakyat bermula. Kelantan tidak payah disebut kerana terlampau banyak kebajikan diberi kepada rakyat selama 18 tahun pemerintahan. Inilah contoh kerajaan rakyat yang bekerja untuk rakyat.

Isu beras naik satu isu yang cukup panas. Ini adalah kerana beras adalah makanan rasmi rakyat malaysia. Dalam hal ini, kerajaan perlu memandang serius untuk menyelesaikan masalah. Menaikkan harga barang bukan dikira sebagai penyelesai masalah.

Dalam hal ini, kerajaan sepatutnya memikirkan bagaimana untuk membekalkan barang-barang asas keperluan rakyat dengan harga yang murah dan mampu dimiliki oleh semua. Inilah tanggungjawab sebenar kerajaan.

Malaysia mempunyai tanah yang cukup subur untuk dipertanikan. Kedah contohnya merupakan negeri jelapang padi yang cukup terkenal. Kalau sebelum ini, kerajaan Kedah di bawah pimpinan UMNO/BN begitu rakus merosakkan tanah padi menjadi tanah perindustrian sehingga merosakkan pendapatan orang kampung dan rakyat semuanya. Tapi alhamdulillah di bawah kerajaan PAKATAN RAKYAT ini, kerajaa mula bertindak kembali untuk menaikkan semula kedah sebagai negeri jelapang padi.

UMNO/BN sudah tidak relevan. Kerja mereka hanya untuk menaikkan harga barang. PAKATAN RAKYAT terus naik popularitinya. Kerja mereka untuk menurunkan beban rakyat

Teruskan perjuangan

Monday, April 14, 2008

Selagi Tahanan ISA tidak dibebaskan selagi itu PM dikira zalim

Membaca Harakah Bil 1357 (16-30 April 2008) begitu menyeronokan. Paparan berita yang disiarkan merupakan berita yang sentiasa dinanti oleh semua rakyat selepas media pro UMNO/BN menggelapkan begitu banyak isu.

Cuma apa yang menarik perhatian penulis kali ini ialah isu lanjutan penahanan mangsa ISA selama 2 tahun. Nampaknya PM Malaysia masih tidak serik dengan signal yang diberikan oleh rakyat. Kezaliman yang dilakukan masih dianggap suatu keadilan. Sebenarnya selepas PM Malaysia ini mengambil mandat daripada PM Malaysia yang lepas, rakyat mengharapkan suatu perubahan baru kepada kerajaan dengan membebaskan ataupun membicarakan tahanan ISA di bawah perbicaraan yang adil. Jika mereka terbukti bersalah, barulah hukuman dilaksanakan. Jika mereka terbukti tidak bersalah, kerajaan sepatutny memohon maaf di atas kesilapan serta membayar pampasan.

Tetapi lain yang difikir rakyat lain dilaksanakan oleh PM Malaysia. Apakah PM Malaysia tidak mempunyai hati perut terhadap penderitaan isteri-isteri tahanan? Apakah PM Malaysia sanggup memperlakukan anak-anak tahanan seperti anak yatim?. Apakah PM Malaysia menafikan kerakyatan tahanan?. Apakah PM Malaysia menyangkakan penahanan tanpa bicara merupakan sistem perundangan berasaskan syara’ yang berprinsipkan keadilan?. Kalau sebelum ini PM Malaysia pernah mengalami kesedihan dengan perpisahan (kematian) ibu dan isteri. Apakah PM Malaysia tidak mengjiwai hati isteri-isteri tahanan yang berpisah dengan suami bertahun-tahun?.

Penulis cukup kagum dengan ketabahan isteri-isteri dan anak-anak tahanan yang tabah dalam mengharungi gelombang kehidupan. Mungkin dengan berkat doa mereka, kerajaan UMNO/BN ternafi 2/3 diparlimen dan hilang 5 buah negeri. Isteri dan anak tahanan adalah golongan yang dizalimi. Doa mereka tidak ada pendinding kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, ahli parlimen dan adun PAKATAN RAKYAT perlu mendesak kerajaan UMNO/BN khususnya kementerian Dalam Negeri supaya membebaskan tahanan ISA atau bicarakan mereka. Ingat, kemenangan PAKATAN RAKYAT hasil daripada doa-doa anak-anak kecil yang dizalimi. Jadi perjuangkan hak anak-anak ini supaya mereka mendapat kasih sayang yang sepenuhnya daripada ayah masing-masing. Pastikan kerajaan akur dengan desakan PAKATAN RAKYAT.

Undang-undang ISA merupakan undang-undang yang bercanggah dengan Islam. Islam melarang pemimpin menahan rakyat tanpa bicara. Setiap penahanan perlukan perbicaraan. Setiap perbicaraan perlukan keadilan. ISA dilihat bukan lagi berperanan untuk menyelamatkan negara. tetapi ISA sekarang ini berperanan untuk menyelamatkan politik UMNO/BN . apa relevan penahanan mereka dalam ISA? Apakah mereka pernah menghina Al-Quran? Apakah mereka pernah berpakat menggulingkan kerajaan? Salahkah mereka bertindak untuk menegur kerajaan? Apakah kerajaa persekutuan yang ada sekarang ini kerajaan kuku besi?. Jadi ISA ini dikira zalim kerana telah kerajaan pusat telah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Penahanan tanpa bicara menafikan hak rakyat untuk bersuara. Sedangkan dalam masa yang sama perlembagaan Malaysia membenarkan kebebasan rakyat untuk bersuara dengan bebas tanpa takut dan gentar. Ini bermakna kerajaan Malaysia telah melanggar perlembagaan yang digubal sendiri.

Pimpinan UMNO/BN tidak pernah merasai penderitaan keluarga yang ditahan. Pemimpin UMNO/BN berseronok dengan keluarga masing. Keluarga tahanan setiap hari, setiap ketika berada dalam kedukaan. Hanya kepada Allah tempat untuk mengadu. Ingat, doa mereka menjadi harapan. Pemimpin UMNO/BN yang bertanggungjawab pasti akan mendapat balasan yang setimpal. Kalau tidak di dunia ini, akhirat nanti pemimpin sebegini tidak akan terlepas. Tunggulah saat dan ketika itu. Sesungguhnya mati adalah suatu kepastiang. Kedatangan hari akhirat juga suatu yang pasti. Bertaubatlah kalian sebelum kalian dilanyak oleh mangsa kezaliman ini di akhirat Allah SWT.

Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, No akaun Maybank 564070000336.

Teruskan perjuangan

Friday, April 11, 2008

PASCA 50 tahun kemerdekaan terbukti UMNO tidak relevan

Selepas sambutan kemerdekaan ke 50 pada tahun lalu. Kerajaan persekutuan begitu hebat mewar-warkan bahawa hanya UMNO sahajalah yang memperjuangkan kemerdekaan negara. ini terbukti ketika perarakan kemerdekaan, UMNO, MCA dan MIC dijemput berarak sekali sebagai mengenang jasa parti-parti itu memperjuangkan kemerdekaan.

Walaupun kenyataan itu dinafikan oleh ramai ahli sejarah, cendiakawan dan ahli akademik. tetapi UMNO dengan terus perancangannya untuk menafikan keterlibatan pejuang kemerdekaan lain terhadap tanah melayu. Ketika itu PAS mengeluarkan dari jabatan arkib negara keterlibatan tokoh-tokoh PAS seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan sebagainya sebagai tokoh pejuang yang sebenar. Keterlibatan mereka ini diakui oleh pakar-pakar sejarah kemerdekaan negara. bahkan disebut bahawa UMNO sebenanya pengkhianat kemerdekaan negara yang sebenarnya. Walau bagaimana pun kita menunggu kajian dari pakar sejarah untuk membuat pembaharuan dalam sejarah negara dalam menampilkan maklumat sebenar kepada rakyat Malaysia.

Penulis bukannya hendak membangkitkan soal sejarah di dalam penulisan ini. Persoalan sejarah boleh diserahkan kepada mereka yang pakar.di sini penulis ingin menengahkan tentang prinsip yang ditanam oleh UMNO sebelum 50 tahun sambutan kemerdekaan negara. sebelum ini UMNO menanam doktrin kepada rakyat malaysia bahawa tanpa UMNO negara akan hancur, tanpa UMNO negara tidak membangun, tanpa UMNO negara masih terjajah, tanpa UMNO bla..bla..

Selama 50 tahun rakyat ditipu dengan doktrin ini. Dengan sebab itu rakyat tidak berani membuat perubahan besar-besaran untuk mengajar pemimpin UMNO supaya tidak bongkak dengan rakyat. Rakyat lupa bahawa setiap kerajaan ada jatuh dan bangunnya. Kerajaan gergasi firaun akhirnya jatuh, walaupun dikatakan bahawa kerajaan firaun mempunyai tentera yang dianggarkan 1,000000.00 (1 juta) orang. Cukup hebat dan mengagumkan. Kerajaan Namrud pun jatuh dengan hanya dihantar tentera nyamuk sahaja. Kuasa besar dunia di zaman rasulullah iaitu parsi dan rom pun jatuh. Hatta kerajaa Islam pun ada jatuh bangunnya.

Kesemua kerajaan ini jatuh dengan sebab angkuh, sombong, bongkak dengan kuasa yang ada. Kerajaan firaun yang melaksanakan politik perkauman dengan mendikriminasi bangsa Israel ketika itu, walaupun bangsa israel ini diiktiraf sebagai warganegara. Dicampur lagi dengan penasihat-penasihat yang menjadi pengampu firaun dan mendewa-dewakannya. Begitu juga dengan kerajaa Namrud yang menutup minda rakyat dengan pemikiran sempit (penyembahan berhala) dan tidak menerima pembaharuan di dalam kerajaan. Nabi Ibrahim yang datang ketika itu dengan membawa hujjah yang jelas dan nyata. Baginda AS telah dijemput untuk berdebat dengan Namrud bagi menjelaskan pegangan Islam kepada Namrud. Walaupun dalam debat perdana itu, namrud mengalami kekalahan, tetapi Namrud tetap berdegil dengan pegangan dan menjatuhkan hukuman kepada Ibrahim. Suasana yang berlaku sama seperti sekarang ini, walaupun pihak kerajaa pusat tidak mempunyai bukti untuk menyalahkan Dato’ Seri anwar Ibrahim di mahkamah tetapi beliau tetap dijatuhkan hukuman penjara 6 tahun.

Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam kerajaan Rom dan Parsi. Kerajaan parsi terkenal dengan kezaliman ke atas rakyatnya. Pemimpin kerajaan pula terlampau banyak skandal sexs. Wanita-wanita ketika itu diperhambakan dan dizalimi. Samalah seperti sekarang wanita-wanita diperhambakan dalam bentuk yang baru seperti diekploitasi tubuh-tubuh mereka dengan dipersembahkan di dalam iklan-iklan Television, billboard dan sebagainya.

Kerajaan Rom pula memperalatkan agama untuk mengaut keuntungan. Agama kristian ketika itu digunakan sepenuhnya memenuhnya kantung-kantung paderi yang juga merangkap pemimpin negara. wang sumbangan gereja disonglapkan untuk projek peribadi. Pemimpin negara saling merebut jawatan kepimpinan sampai kepasda tahap saling berbunuh-bunuhan. Rakyat mereka dibekukan daripada mendengar maklumat semasa dan kajian-kajian terbaru. Bahkan dikatakan ketika kerajaan rom menghantar SB-SB mereka ke setiap kawasan dan cawangan bagi memastikan rakyat tidak dihidangkan dengan maklumat dan kajian. Sesiapa yang dituduh terlibat akan dihukum bunuh (kejam sedikit dari ISA) kerana dikatakan mengancam keselamatan negara dan agama.

Manakala kerajaan Islam yang jatuh bukan disebabkan oleh Islam sendiri. Tetapi disebabkan pemimpin Islam telah meninggalkan perlaksanaan agama. Apabila pemimpin sibuk mengumpulkan kekayaan, leka dengan kehidupan dunia, masalah rakyat tidak diteliti dengan sebetulnya, akhirnya Allah SWT memberi peringatan kepada mereka dengan dijatuhkan kerajaan.


Maksudnya : Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan Yang mempunyai Kuasa pemerintahan! Engkaulah Yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut Kuasa pemerintahan dari sesiapa Yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga Yang memuliakan sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang menghina sesiapa Yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya Segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.(ali Imran : 26)

Selepas upacara sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. rakyat akhirnya membuka mata untuk melakukan perubahan dalam langkap politk negara. rakyat semakin muak dengan janji-janji yang tidak dikota selama 50 tahun. Golongan pinggir bandar dieskploitasikan untuk politik kotor UMNO. Golongan tiong hua diugut dengan diskriminasi kaum, golongan india dipinggirkan. Bahkan golongan bumiputera diperalatkan untuk mengekalkan kuasa kerajaan persekutuan untuk memerintah. Kebangkitan rakyat di himpunan BERSIH merupakan kesinambungan daripada ketidakpuasan hati terhadap perkembangan kemajuan negara. kemajuan yang diwarwarkan hanya sekadar dinikmati oleh satu golongan sahaja yang terdiri daripada pemimpin dan kroni. Kebangkitan HINDRAF juga menggambarkan bahawa kerajaan mengamalkan politik diskriminasi kaum.

Semua ini menyebabkan rakyat semakin muak dengan kerajaan pimpinan UMNO. Tiada perubahan yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat. Bahkan rakyat dibebani dengan kenaikan harga barang yang melambung untuk mengenyangkan perut pemimpin.

Apabila rakyat mula menolak UMNO dan BN. Tiba-tiba rakyat dipersalahkan kerana sabotaj. Masyitah (tukang sikat puteri firaun) dituduh pengkhianat kerana menyokong Nabi Musa. Asiah (isteri firaun) dituduh pengkhianat kerana menyokong perjuangan Nabi Musa.

Sebenarnya apa yang berlaku bukan isu sabotaj atau pengkhianatan. Tetapi isu yang patut diketengahkan ialah isu kezaliman dan perebutan kuasa. Ahli UMNO peringkat bawahan dizalimi hak bersuara mereka. Pemimpin memperlakukan mereka seperti hamba yang mesti mengikut arahan tanpa bantahan.

Kalau perkara ini dilakukan oleh Kerajaan PAKATAN RAKYAT tidak mustahil akan terjadi perkara yang sama. Semoga kerajaan PR ini terus bergerak seadilnya seperti khalifah Umar Abdul Aziz (sekadar memimjam pengakuan Lim Guang Eng)

Teruskan perjuangan

Monday, April 7, 2008

UMNO/BN bertelagah PAS/PR ambil peluang

Di kaca TV hari ini sibuk menayangkan gambar PM Malaysia menjawab segala isu-isu yang ditimbulkan oleh ahli UMNO sendiri seperti isu Tengku Razeligh Hamzah yang menuntut tahta, isu desakan Tun Dr. Mahathir yang meminta PM Malaysia letak jawatan, isu perwakilan kawasan yang mendesak diadakan Mesyuarat Agung Tergempar (EGM), isu surat desakan perletakan jawatan oleh Mukhriz Mahathir, isu PM Malaysia yang dipandang menderhaka kepada Agung, isu perlantikan Menteri Besar dan Exco di Terengganu, isu desas-desus 30 ahli parlimen UMNO akan melontarkan undi tidak percaya kepada PM Malaysia ketika persidangan parlimen nanti dan pelbagai lagi isu dalaman UMNO/BN yang tidak terlarat nak ditulis.

Dengan sebab keadaan sedemikian, media-media kerajaan setiap hari hanya menyiarkan kenyataan pemimpin UMNO/BN bagi meredakan masalah dalaman mereka. Kerajaan PAKATAN RAKYAT (PR) tidak cukup masa untuk dihentam. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk memutihkan UMNO/BN dari segala masalah dalaman. Hari ini sahaja (6/4/08) PM Malaysia mengambil masa 20 minit dalam media tempatan untuk menjelaskan isu-isu kritikan Tun Dr. Mahathir dan persediaan Tengku Razaligh untuk bertanding. Keesokannya pula mungkin PM Malaysia akan cuba menyelesaikan isu EGM pula. Minggu depan pula mungkin PM Malaysia akan cuba menyelesaikan isu undi tidak percaya dalam parlimen (mungkinlah). Jadi media arus perdana tempatan tidak sempat nak menyuluh kelemahan pembangkang untuk dipaparkan kepada rakyat.

Mungkin media pun serba salah, antara hendak memaparkan kelemahan pembangkang ataupun mengeluarkan kenyataan PM Malaysia untuk memulihkan dalaman UMNO/BN. Kalau media mengambil peluang untuk memaparkan kelemahan PR, mungkin blogger akan mengambil peluang untuk mempertahankan kerajaan PR. Nak tak nak media terpaksa mengeluarkan kenyataan-kenyataan pimpinan untuk memutihkan UMNO/BN.

Kesempatan yang ada inilah, PR sepatutnya mengambil peluang mengukukuhkan PAKATAN. Bunyi macam senang, tetapi inilah hakikat yang ada sekarang. Rakyat semakin menunggu tindakan seterusnya selepas cadangan PAKATAN RAKYAT dipersetujui oleh 3 parti pembangkang pada 1 April 2008 baru-baru ini. Apakah kerjasama PAS dengan DAP sama seperti tahun 1999 dulu yang diistilahkan sebagai kahwin mut’ah?. Bagaiman PAS hendak menerangkan kepada ahli-ahli mereka tentang PR ini? Mungkin terdapat ahli tertanya adakah PAS akan menukar dasar.? Tulisan Faisal Tehrani jelas menunjukkan bahawa terdapat ahli tertanya-tanya keadaan PAS sekarang ini.

Pertanyaan-pertanyaan sebegini bukan bermakna penulis tidak mempercayaai kepimpinan. Bahkan penulis yakin PAS bergerak di atas dasar Al-Quran dan Sunnah. Tetapi persoalan-persoalan yang timbul dikalangan ahli hendaklah segera dijawab, khususnya pertanyaan daripada ulamak-ulamak muda yang mungkin masih cetek ilmu di dalam bidang Siyasah Syar’iyyah.

Di kesempatan inilah, PAS perlu mengeluarkan kembali keputusan syura ulamak mengenai tahaluf siyasi PAS dengan parti politik yang lain sebagai panduan kepada ahli. Dalam keadaan sekarang UMNO/BN sudah pasti tidak akan menyerang kita, gunakan sepenuhnya untuk memperkemas jentera parti untuk memudahkan ahli PAS tidak menimbulkan masalah ketika bersama PR nanti.

Gunakan masa ini untuk PAS menjelaskan tentang dasar PAS yang tidak berubah walaupun sedikit, yang berubah hanya permasalahan furu’ (cabang) di dalam Islam seperti istilah negara Islam di tukar kepada negara berkebajikan (walhal kedua-dua sama makna). Gunakan masa ini untuk memahamkan DAP tentang pengertian Islam yang sebenar.

DAP pernah menerima manifesto PAS untuk negara berkebajikan, sedangkan negara berkebajikan itu juga dikira negara Islam. Ini bermakna DAP akan menerima konsep negara Islam jika semua ahli DAP faham apa dia Islam. Jadi bagi penulis, isu negara Islam kita slowkan dahulu, tapi bukan bermakna kita tidak mahu menegakkan negara Islam. Yang perlu diketengahkan konsep negara Islam. Contohnya pada tahun 1999, PAS pernah bersetuju di dalam manifesto BA ke arah Malaysia yang adil. Istilah ini dipersetujui oleh Keadilan (ketika itu), DAP, PAS, dan PRM. Sedangkan adil itu termasuk dalam konsep negara Islam. DAP boleh bersetuju dengan konsep ini.

Begitu juga dengan negara berkebajikan. Yang penting kita ketengahkan konsep negara Islam satu persatu dan akhirnya kita terus menyebut inilah dia negara Islam yang ingin kita bina.

Tetapi dalam hal ini, PAS tidak boleh menyebut bahawa mereka tidak perjuangan negara Islam sedangkan dalam masa yang sama kita hendakkan negara Islam. Cuma kita tukar istilah sahaja supaya mudah difahami oleh semua kaum dan peringkat.

Dalam bab ini, mungkin dewan ulamak boleh mengkaji tentang hukum menyembunyikan dasar tetapi menerangkan konsep sahaja. Bagi penulis peristiwa penukaran nama jizyah di zaman saidina Umar atas permintaan orang kafir zimmi dan penukaran perkatanaa ahli zimmah kepada al-muwathinun oleh Imam Qaradhawi itu boleh dijadikan rujukan. Waallahua’lam.

Yang pentingnya di sini, doa ahli-ahli selama ini termakbul akhirnya. Selama ini kita berdoa supaya Allah menghancurkan barisan mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri. Nah lihat sekarang, semuanya saling rebut-merebut jawatan. Ini menandakan dasar perjuangan kita adalah dasar perjuangan yang betul sampai bila-bila.

Takbir 2000,000 x