Wednesday, June 25, 2008

Siri 5 : Kenapa Memilih Islam


Selepas kita meyakini bahawa hanya satu jalan sahaja untuk mendapat keredhaan dan syurga Allah SWT, sudah tentu terbayang di dalam benak masing-masing Apa dia Islam?.

Memang menjadi kewajipan bagi seseorang sebelum memasuki sesebuah pertubuhan ataupun persatuan untuk mengetahui pengenalan tentang persatuan itu, objektif, perlembagaan, pantang larang dan sebagainya.

Begitu juga dengan Islam. Menjadi satu kewajipan kepada penganutnya untuk mengetahui Sistem, Dasar (aqidah), hokum-hakam dan akhlak Islam. kalau tidak, seseorang muslim itu tidak merasai kemanisan Islam itu ataupun tidak merasai keistimewaan berada di dalam agama Islam

Islam merupakan agama fitrah yang mesti dianuti oleh semua manusia. Islam boleh dikategorikan sebagai cara hidup manusia.

Di antara perkasa asas aqidah yang mesti diketahui dan difahami oleh penganut Islam ialah mereka mesti meyakini bahawa hanya Allah SWT sahajalah tuhan yang mesti dan wajib disembah. Sesiapa yang mendakwa ada tuhan yang lain daripada Allah SWT, maka kenyataan ini akan membawa kepada terkeluar daripada Islam.

Penganut Islam mesti meyakini bahawa dunia yang diduduki ini bukanlah segala-galanya. Begitu dengan dengan kehidupan makhluk yang berada di atas ala mini seperti manusia, jin, binatang dan pelbagai lagi ini pasti akan berakhir. Mereka semua pasti akan dihimpunkan di alam yang bernama hari akhirat. Pada hari itu, semua makhluk dapat melihat dengan pandangan mereka kekuasaan Allah yang maha dahsyat lagi maha hebat itu.

Itulah dia Allah tuhan yang Esa. Tiada tuhan melainkan Allah SWT. Seseorang tidak akan ditolong kecuali dengan izin Allah. Maka penyembahan dan ketaatan yang mutlak hanya kepada Allah.

Penganut Islam juga mesti meyakini bahawa Allah SWT merupakan pencipta segala makhluk yang pelbagai ini. Ada yang makhluk yang boleh dilihat oleh mata kasar manusia seperti binatang dan tumbuh-tumbuhan. Ada makhluk yang tidak boleh dilihat tetapi boleh dirasai seperti angin, udara dan sebagainya. Ada makhluk yang dipanggil makhluk ghaib seperti malaikat, jin, syaitan. Di antara makhluk penciptaan Allah ada yang diciptakan untuk melakukan kebaikan semata-mata seperti malaikat. Ada makhluk yang hanya melakukan kejahatan semata-mata seperti syaitan. Ada makhluk yang boleh menerima untuk melakukan perkara yang baik dan jahat seperti manusia dan jin.

Allah SWT telah memilih rasul dari kalangan manusia untuk menyampaikan syariat islam untuk manusia dan jin. Syariah ini terkandung di dalam kitab-kitab, lembaran-lembaran sebagaimana yang disebut di dalam Al-Quran. Al-Quran merupakan kitab yang terakhir yang diturunkan kepada manusia. Kedatangan Al-Quran ini telah memansuhkan segala kitab-kitab dan lembaran-lembaran sebelumnya. Al-Quran juga kekal selamat tanpa sebarang perubahan hingga ke akhir kiamat. Al-Quran ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan rasul terakhir dan tiada rasul lagi selepas itu. Sesiapa yang mendakwa menjadi nabi, maka ini semua merupakan pembohongan yang terang lagi nyata.


... Bekerja Untuk Islam ...

No comments: