Tuesday, April 1, 2008

PAKATAN RAKYAT - Gagasan Baru Untuk Rakyat

Ketika penulis mendengar ucapan Tuan Guru Presiden PAS di Stadium Melawati pada 31/3/2008 yang dihadiri oleh ribuan orang yang datang dari pelbagai negeri, beliau mengutarakan satu dimensi baru dalam politik tanah air. Kalau sebelum ini, ketika UMNO/BN berada dalam keadaan terancam, maka UMNO/BN akan mengajak parti pembangkang supaya bersatu dengan mereka. Kali ini giliran PAS pula mengajak UMNO/BN dan semua parti politik bersama dengan PAS bagi membentuk PAKATAN RAKYAT.

Menurut Tuan Guru Presiden PAS, perkataan PAKATAN RAKYAT lebih sesuai digunakan berbanding dengan Barisan Rakyat. Ini adalah kerana rakyat sudah mual dengan perkataan BARISAN. Jadi perkataan PAKATAN lebih sesuai untuk dinobatkan di dalam hati rakyat Malaysia.

Penulis cukup bersetuju dengan cadangan dan pandangan Tuan Guru Presiden ini. Ini kerana bagi penulis perkataan PAKATAN juga bermakna kita berpakat di antara parti politik untuk satu matlamat iaitu ke arah Malaysia yang lebih adil dan sejahtera tanpa sesebuah parti itu mengorbankan dasar parti masing-masing. Sementara barisan rakyat pula seperti satu gabungan parti politik dalam satu kumpulan sehingga menyebabkan sesebuah parti itu terpaksa mengorbankan dasar dan prinsip perjuangan sesebuah parti.

Selepas pembangkang berpesta kemenangan di dalam PRU12 baru-baru ini. Realiti politik malaysia menunjukkan bahawa untuk mengambil alih tampuk pemerintahan dari UMNO/BN, PAS memerlukan satu PAKATAN yang cukup mantap. PAS tidak boleh berseorangan dalam menongkah arus perjuangan. PAS sebagai kerajaan menunggu perlu lebih perkukuhkan PAKATAN baru ini bagi meyakinkan rakyat bahawa PAKATAN RAKYAT mampu memerintah sebagaimana UMNO/BN. Bahkan lebih baik daripada UMNO/BN.

PAKATAN ini juga bukan sekadar untuk mengajak semua parti pembangkang semata-mata. Tapi PAKATAN ini juga mengajak UMNO/BN supaya bersama-sama menyertai PAKATAN ini demi untuk kesejahteraan rakyat. Untuk itu UMNO/BN perlu membuangan sifat keegoaan mereka untuk bersama dengan PAKATAN ini. Kita tunggu apa reaksi UMNO/BN terhadap cadangan dan saranan PAS. Adakah UMNO/BN masih kekal dengan keegoaannya dengan tidak mengakui kelemahan yang ada?. Ataupun akur dengan suasana politik negara yang semakin mahukan PAKATAN dan BARISAN.

Apa yang penulis harapkan agar PAS dapat mendominasi PAKATAN ini kerana PAS mempunyai jentera parti yang teramai dan mempunyai semangat juang yang cukup tinggi. Penulis merasakan bahawa sahabat-sahabat dari Parti Keadilan Rakyat dan DAP akan faham tentang semangat dan kekuatan parti yang ada pada Parti Islam SeMalaysia (PAS) ini.

Selepas PAS mengalami kekalahan teruk pada tahun 2004, kepimpinan Tuan Guru Presiden berjaya menaikkan semangat semua jentera parti supaya terus bekerja dengan lebih gigih dan tekun untuk menumbangkan UMNO/BN. Jentera PAS juga membantu pembangkang yang lain untuk menjatuhkan UMNO/BN seperti mengarahkan ahli parti mengundi parti pembangkang yang lain seperti DAP dan PKR dalam pilihanraya di tempat masing-masing. Ini adalah kerana PAS menggunakan strategi 1 lawan 1. Jadi tempat di ambil oleh DAP tidak akan dicampuri oleh PAS. Dengan ahli PAS di kawasan tersebut dikehendaki supaya mengundi DAP, begitu juga sebaliknya.

Kejayaan inilah juga membawa kepada kemengan besar PAS dalam pilihanraya ini. Tetapi yang perlu diingatkan kepada PAS supaya tidak leka dengan kemenangan ini. Teruskan dengan PAKATAN baru, kami sebagai ahli PAS akan memberi wala’ dan taat setia kepada pimpinan selagi perjalanannya masih mengikut Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

No comments: