Sunday, April 6, 2008

Negara Berkebajikan Negara Tuntutan Syarak

Menyentuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Iman Yusuf Al-Qaradhawi berkenaan dengan kebajikan yang telah diterjemahkan oleh penulis semalam. Jelas menunjukkan bahawa istilah yang diperkenal oleh PAS sebelum PRU12 ini bertepatan dengan syarak. Dalam hal ini PAS tidak pernah menggadaikan prinsip untuk menegakkan negara Islam. Bahkan PAS dilihat sedikit demi sedikit cuba memafamkan masyarakat konsep sebuah negara Islam yang sebenar. Bukannya negara Islam yang difahami oleh masyarakat barat yang memandang Negara Islam ialah negara keganasan dan sebagainya.

Ketika PAS mengumumkan dalam manifestonya ke arah negara berkebajikan, ramai dari kalangan ahli-ahli PAS tertanya-tanya, adakah PAS telah menggadaikan prinsip untuk mencapai kemenangan di dalam PRU. Tidak kurang juga ada yang ingin bertindak untuk keluar parti!.

Di dalam hal ini, masyarakat perlu faham bahawa PAS bergerak dalam satu organisasi yang cukup tersusun. Setiap pergerakan PAS dipantau oleh Majlis Syura Ulamak yang sentiasa memastikan PAS bergerak berlandaskan dasar Al-Quran, Hadis, Ijma’ Ulamak dan Qias yang terang lagi nyata. Oleh itu, semestinya setiap keputusan dasar bergerak dan diluluskan di atas kehendak syarak.

Di dalam gerakan Islam, PAS dilihat terkedepan di dalam melaksanakan agenda pembaharuan di dalam perlaksanaan Islam. Kalau dikaji dari sudut sejarah, PAS merupakan gerakan Islam yang pertama di dunia menyertai pilihanraya umum iaitu pada tahun 1955. Ketika itu, gerakan Islam yang lain masih mengharamkan untuk memasuki pilihanraya kerana tidak mahu tertipu dengan barat. Kini, hampir semua gerakan Islam menyertai Pilihanraya seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir, Hamas di Palestin, Ak parti di Turki, PKS di Indonesia dan sebagainya. Ini menandakan bahawa Ijtihad PAS pada tahun 1955 itu merupakan ijtihad yang bertepatan dengan syarak.

Begitu juga di dalam bab Tahaluf Siyasi (Kerjasama politik). PAS bergerak di atas dasar syarak. Bahkan di dalam bab PAS mengajar masyarakat bagaimana kerjasama politik yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang diajar oleh Nabi SAW ketika berada di Mekah dan Madinah. Nabi SAW pernah bersetuju dengan peristiwa Halfu Al-Fudhul. Ringkasan daripada peristiwa ini menunjukkan bahawa Islam membenarkan semua golongan bergabung untuk menyanggah kezaliman. Begitu dengan peristiwa Hudaibiyyah yang memaparkan bagaimana Nabi bertolak ansur dengan Kafir Quraisy selagi mana butir-butir perjanjian itu tidak menyentuh dasar. Kafir Quraisy ketika itu tidak meminta nabi untuk memadamkan nama Islam dalam dasar pemerintahan. Tetapi mereka hanya meminta nabi memadamkan perkataan rasulullah di dalam surat perjanjian.

Setiap pergerakan politik semasa sekarang ini. PAS dilihat semakin matang dalam mengadaptasikan sirah rasulullah SAW dan para sahabatnya dalam kehidupan politik di Malaysia.

Berkenaan dengan nama negara berkebajikan. Saidina Umar Al-Khattab pernah meluluskan untuk membuang nama jizyah di atas permintaan orang bukan Islam yang memandang perkataan jizyah ini merendahkan martabat mereka. Walaupun bayaran dan konsepnya sama. Begitu juga al-Qaradhawi pernah mengeluarkan fatwa mengatakan zaman kini perkataan kafir zimmi tidak sesuai digunakan dan digantikan dengan perkataan al-muwathinun (warganegara). Walaupun konsep dan pergaulan dengan mereka sama dengan konsep kafir zimmi tetapi istilah perlu ditukar untuk melunakkan mereka.

Oleh itu, apa yang dilaksanakan oleh PAS dalam memperkenalkan konsep Negara Berkebajikan ialah supaya orang bukan Islam dapat menerima konsep ini yang juga bertetapan dengan konsep negara Islam. Negara Islam memang sebuah negara berkebajikan. Akhirnya konsep dan manifesto negara berkebajikan dapat diterima oleh pakatan yang lain termasuk DAP. Mereka menolak negara Islam tetapi menerima negara berkebajikan. Bukankah negara Berkebajikan termasuk di dalam negara Islam?.

Akhirnya Imam Al-Qaradhawi sendiri membuat kenyataan tentang kebajikan ini. Beliau menyebut antara lain ialah kebenaran dan kebajikan termasuk di dalam perkara asas agama. Bahkan kedua-dua elemen ini terdapat di dalam maqasid syariah (objektif syarak) yang terpenting iaitu menjaga agama!.

Ini bermakna PAS terkedepan dalam memperkenal istilah baru dalam masyarakat untuk mengembangkan syiar Islam. Jadi inilah yang melambangkan kematangan PAS dalam berpolitik untuk memperkenal dan mengembangkan ajaran Islam di dalam masyarakat.

Berkenaan dengan PAKATAN RAKYAT, penulis berharap agar semua ulamak-ulamak muda dan pendokong parti tidak gopoh dalam mengeluarkan kenyataan dan tindakan. Apa yang perlu diyakini ialah PAS bergerak dengan pantauan syura ulamak. Jadi semestinya segala tindakan PAS selepas ini berdasarkan syarak. PAKATAN RAKYAT ini semestinya dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditinggalkan oleh Al-Quran dan Sunnah.

Apa yang penting, setiap ahli sentiasa memberi ketaatan yang setia kepada pimpinan selagi mana mereka bertindak berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah. Ahli berhak mengkritik dan mengemukakan pandangan khususnya di dalam hal PAKATAN ini, tetapi biarlah pimpinan mengeluarkan pandangan mereka terdahulu untuk diperbincangan.

Semoga PAS akan terus bergerak dengan mantap sehingga berjaya menubuhkan sebuah negara Islam yang juga negara Berkebajikan.

Takbir 1000 x

No comments: