Thursday, November 20, 2008

Keterbukaan Kepimpinan Ulamak terhadap keahlian Bukan Islam

Berita Siyasah menyebut antara lain kesediaan PAS untuk mengangkat status Kelab Penyokong PAS menjadi sebuah Dewan. Retreat PAS di Langkawi telah seolah-olah menyetujui rancangan tersebut. Yang berbaki ialah persetujuan perwakilan dalam Muktamar akan datang.

Sebenarnya persoalan keahlian bukan Islam sudah lama dibincangkan dalam Majlis Syura Ulamak. Ini diakui sendiri oleh Tuan Guru Dato’ Seri Presiden dalam banyak siri ceramah beliau. Perbincangan mengenai keahlian bukan Islam dalam PAS bukan hanya perbincangan dalam ulamak tanah air sahaja. Bahkan persoalan ini telah di bawa kepada perbincangan ulamak gerakan Islam seluruh dunia. Hasil daripada perbincangan tersebut merumuskan bahawa orang bukan Islam dibenarkan bagi menyertai parti Islam sebagai ahli penuh.

Ini adalah contoh pemikiran ulamak yang melangkaui masanya. Bahkan idea sudah ditimbulkan di zaman Prof. Zulkifli Muhammad pada tahun 60’an. Kehebatan Ulamak terpancar apabila sentiasa memandang sesuatu perkara berdasarkan kepada peruntukan Al-Quran dan Sunnah.

Cadangan YB Dr. Mujahid Yusoff Rawa dalam retreat tersebut seolah-olah diterima sebulat suara oleh majoriti kepimpinan PAS (mengikut laporan Siyasah). Semua ini adalah bukti bahawa Orang bukan Islam tidak lagi takut dengan dasar perjuangan PAS iaitu Islam.

Dalam keterbukaan ini juga, PAS juga dilihat tidak mengesampingkan arahan Al-Quran apabila timbul isu muzakarah bersama dengan UMNO. Walaupun isu dikatakan punca terjejas sedikit sokongan bukan Islam (menurut Dr. Mujahid) tetapi PAS tetap komited melaksanakan keputusan Syura yang berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah. Biarkan terdapat segelintir yang seolah-olah kurang bersetuju dengan pelbagai alasan khususnya melibatkan undi. Tetapi PAS terus melaksanakan agenda dakwah demi untuk melaksanakan dasar perjuangan parti.

Walaupun berkemungkinan agenda tersebut mengurangkan sokongan golongan bukan Islam kepada PAS. Bagi PAS keredhaan Allah melebihi daripada keredhaan daripada pengundi. Perjuangan PAS ialah untuk mencapai kemenangan yang kekal abadi di Syurga Allah SWT.

Alhamdulillah, penulis melihat seolah-olah orang bukan Islam dapat menerima pendekatan muzakarah yang dilakukan oleh Pimpinan PAS. Kritikan berlaku hanya dari kalangan segelintir pimpinan PAS yang seakan-akan masih tidak menerima keputusan majlis syura ini.

Sampai hari ini, penulis tidak pernah terdengar rungutan daripada wakil kelab penyokong PAS terhadap muzakarah atau muqabalah yang dipersetujui oleh majlis syura itu.

Dalam mencari sokongan bukan Islam, PAS jangan terlampau gopoh sehingga ahli sendiri terabai. Pasca kemenangan ini banyak memperlihatkan seolah-olah pimpinan PAS negeri lebih mengutamakan golongan bukan Islam melebihi ahli PAS sendiri. Kadang kala ini akan menimbulkan perasaan kecil hati yang memungkinkan ahli yang komited ini mula lari sedikit demi sedikit dari perjuangan parti.

Mungkin kini sudah sampai masanya PAS untuk menerima keahlian bukan Islam sebagai salah satu jentera parti dalam bergerak. Golongan bukan Islam tertarik dengan PAS kerana perjuangan PAS yang komited dan berprinsip. PAS tidak akan dipandang jikalau mula lari dari prinsip semata-mata ingin mengejar undi dan kuasa.

Harapan agar semua ahli sentiasa memberi wala’ yang sepenuhnya kepada keputusan Pimpinan PAS agar kestabilan parti dapat dipertahankan

PAS ialah parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah. Siyasah bergerak berdasarkan tuntutan dakwah dan tarbiyyah. Ini kefahaman yang perlu ada pada setiap pemimpin dan ahli PAS.

Pimpinan jangan menunjukkan ketidaksetujuan terhadap setiap keputusan parti secara terbuka. Bahkan setiap keputusan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Ahli pula jangan terlampau suka menkritik pimpinan sebelum mendengar penjelasan. Semuanya mesti bergerak atas landasan ukhuwwah Islamiyyah.

Saidina Umar Al-Khattab tidak pernah mendabik dada terhadap cadangan beliau tentang tawanan Badar yang telah diakui oleh Allah melebihi cadangan Saidina Abu Bakar yang telah pun dipersetujui oleh Rasulullah SAW. Bahkan Saidina Umar bersama-sama menangis dengan Saidina Abu Bakar dan Rasulullah terhadap teguran Allah SWT.

Inilah sifat yang perlu ditanam oleh pimpinan PAS dan kita semua.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

6 comments:

Anonymous said...

"Hasil daripada perbincangan tersebut merumuskan bahawa orang bukan Islam dibenarkan bagi menyertai parti Islam sebagai ahli penuh."

Assalamualaikum, boleh saudara jelaskan dengan lebih terperinci siapa wakil gerakan Islam yang dijemput, isi perbincangan dan juga hujah-hujah yang digunakan untuk sampai kepada kesimpulan tersebut?

Jazakallahu khair

Anonymous said...

Terima kasih Ghazi

mengikut apa yang disebut oleh Presiden..hampir kesemua gerakan Islam bersama...perbincangan ini diketuai oleh Prof. Yusuf Al-Qaradhawi.

penulis tidak beberapan pasti hujjah dalam perbincangan tersebut secara detail. tetapi dari sudut hukum..tidak wujud satu kesalahan

sebab gerakan Islam merupakan
1. gerakan Dakwah
2. sebagai pengganti kepada sebuah negara Islam yang telah hilang
3. Kemasukan bukan Islam adalah untuk meluaskan dakwah Islam

tetapi walaupun perbincangan tersebut seakan-akan bersetuju. tetapi masih banyak lagi perkara yang perlu diteliti dari maslahah..kalau dari sudut hukum dah selesai

Anonymous said...

anymous tu attakiri

Anonymous said...

Terima kasih kerana sudi memberikan respon. Bagaimana pula pandangan penulis terhadap artikel berikut? (sila ikuti link URL tersebut)

http://mykhilafah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=895:hukum-orang-kafir-menyertai-gerakan-islam&catid=49:fikih&Itemid=62

Mohon pencerahan, wassalam...

Anonymous said...

maaf boleh bagi balik tak URL tu..penulis cuba buka x dapat

Anonymous said...

http://mykhilafah.com/index.php?option=com_content&view=article&id=895:hukum-orang-kafir-menyertai-gerakan-islam&catid=49:fikih&Itemid=62

Ataupun tuan boleh rujuk ke segmen Fikih dalam laman web rasmi HTM, www.mykhilafah.com

Mohon pencerahan... Jazakallahu khair. Maaf sebab lewat memberikan respon...