Oleh : Pendokong Kepimpinan Ulamak
Kebelakangan ini senario politik negara digegarkan oleh satu perkembangan yang sangat menarik. Pertemuan PAS-UMNO, dua buah parti politik terbesar Malaysia yang mana hampir sepanjang sejarah berada di dua posisi saling bertentangan. Pertemuan UMNO-PAS melahirkan satu episod yang menggemparkan, dan mencelarukan pemikiran politik banyak pihak. Ahli-ahli PAS menjadi keliru. Bahkan sesetengah kepimpinan PAS turut menjadi kelam kabut dan mengambil tindakan-tindakan yang bercelaru. Parti-parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP juga kelihatan tidak mampu menggarap perkembangan luar biasa ini.
Ahli-ahli UMNO pula seperti tergamam dan tidak dapat memberi respons secara jelas. Walau bagaimanapun, kepimpinan UMNO rata-ratanya menyokong pertemuan UMNO-PAS tersebut, di atas sebab yang sedia difahami umum; menyelamatkan survival politik mereka. Sikap pimpinan UMNO ini memang sedia termaklum, kerana begitulah darah-daging, budaya UMNO. Mereka akan sanggup melakukan apa saja, asal dapat memberi laba dan menjaga kepentingan mereka. UMNO (baca: PM) melihat PAS sebagai talian hayat yang mampu melonjakkan kembali penerimaan rakyat kepada nya jika beliau berjaya memainkan lagu dan lenggok Islam dan Ketuanan Melayu menggabungkan PAS dalam kerangka UMNO/Barisan Nasional. Jika Pak Lah berjaya menggabungkan PAS di bawah dahan (rapuhnya), beliau akan berjaya ”membunuh” banyak burung dengan hanya satu balingan batu ajaib bernama PAS. Jika angan-angan Pak Lah ini berhasil, skim peralihan kuasa kepada timbalannya tidak perlu diteruskan lagi, legasi M akan dapat dipadamkan, Anwar Ibrahim, DAP dan Pakatan Rakyat akan segera menjadi hanya satu lagi nota sejarah. Pak Lah akan muncul selaku wira yang berjaya menyatukan bangsa Melayu-Islam, mewujudkan sebuah kekuatan politik yang begitu ampuh.
UMNO sudah tentu sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan survival kekuasan politik mereka. Lebih-lebih lagi di saat UMNO berada di tahap populariti politik yang paling rendah di dalam sejarah mereka. Tidak hairanlah mereka sanggup menghulurkan pelbagai tawaran lumayan kepada PAS termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menter-Menteri Kabinet, Menteri-Menteri Besar, Timbalan-Timbalan Menteri dan Exco-exco serta lain-lain lagi.
Tawaran-tawaran ini memang sangat menggiurkan. 50 tahun PAS berjuang, melalui pelbagai mehnah dan tribulasi, pahit-maung sepak terajang politik (selalunya di sepak dan di terajang oleh tidak lain dari UMNO sendiri), inilah agaknya saat PAS berada paling hampir dengan mercu kepimpinan politik negara (jika itulah yang menjadi matlamat mereka). Bayangkan tawaran-tawaran ini diterima dalam keadaan PAS dilayan kurang mesra di dalam Pakatan Rakyat. Pemerhati-pemerhati politik amnya dapat melihat bagaimana tokoh tertentu ”menguasai” keputusan-keputusan Pakatan Rakyat, dan bagaimana kehendak dan rengetan DAP diberi perhatian, sementara kepentingan PAS dipandang sebelah mata.
Ahli-ahli PAS di Pulau Pinang, Perak dan Selangor pedih hati dilayan acuh tak acuh oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat, walhal merekalah yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja gurka tanpa upah memenangkan calon-calon dari parti lain dalam pilihanraya yang lalu. Bayangkan bagaimana tergurisnya perasaan mereka apabila Exco DAP menganggap laungan azan sebagai gangguan di Selangor, sementara di Pulau Pinang tiada sebarang semangat setia-kawan ditunjukkan kepada PAS. Lantaran itulah, apabila Tuan Guru Dato’ Seri Presiden mengeluarkan kenyataan tegas menggesa supaya semangat Pakatan Rakyat benar-benar direalisasikan, dan ahli PAS jangan dianggap bodoh, semua ahli-ahli dan kepimpinan PAS terutamanya di negeri-negeri berkenaan memberi sokongan sepenuh-penuhnya.
Sebaik seusai PRU-12, UMNO terus-menerus mendekati, mengajak PAS bertemu muka. Berkali-kali wakil-wakil UMNO dari pelbagai kem datang mahu membuat perjumpaan dengan kepimpinan tinggi PAS terutamanya Tuan Guru Presiden sendiri, khususnya bagi mempertemukan beliau dengan Pak Lah. UMNO selama ini adalah ”musuh” kepada PAS. Sewaktu mereka kuat, tidak ada keburukan yang tidak mereka lakukan kepada PAS. Sekarang apabila mereka terdesak, mereka menghulurkan tangan bermuka manis mahu bersahabat dengan PAS. Mereka tawarkan apa saja.
Jika PAS memusuhi UMNO kerana namanya UMNO, maka inilah masanya untuk menghenyakkan lagi, menghabiskan terus segala sisa-sisa nafas UMNO yang sedang tercungap-cungap itu. Sejarah lampau UMNO kepada PAS mudah saja mengimbau kembali memainkan bayangan Memali, peristiwa Lubuk Merbau, pemenjaraan, tahanan ISA, serta pelbagai kezaliman lagi. Mudah saja api dendam bersemarak semula, nafsu amarah menguasai akal. Nyahkan saja UMNO, sepak dan terajanglah UMNO, lagipun tangan yang dihulurkan itu tangan muslihat. Seperti anjing tersepit, jika dilepaskan, kita pula yang digigitnya nanti.
Tapi, adakah ini prinsip dan matlamat perjuangan PAS? Adakah perjuangan PAS bersalutkan dendam? PAS berjuang bertunjangkan Islam, berpelembagakan Al Quran dan As Sunnah. Dalam apa-apa hal, rujukan kita adalah Al Quran dan As Sunnah; apa kata Al Quran, apa kata As Sunnah?
Ayat 60 dan 61 Surah Al Anfal memberi jawapan secara tuntas, tepat tidak tertakwilkan lagi;
”Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang,kamu menggerunkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah nescaya akan diberi balasan dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiya.”,
”Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah yang maha mendengar lagi maha mengetahui”
Apakah PAS bermusuhkan UMNO kerana namanya UMNO, atau kerana dasar nya yang merosakkan itu? Apakah sikap PAS jika UMNO menghulurkan tangan mahu mencari jalan persahabatan, sanggup mengubah sikap dan dasarnya? Bagaimana pula dengan niat sebenar UMNO, adakah mereka jujur?
Mereka yang beriman kepada ayat Allah, dan ahli-ahli PAS yang memahami dan benar-benar menjadikan Al Quran dan As Sunnah sebagai panduannya, akan segera tunduk dengan Al Anfaal;60-62 itu. Lantaran inilah sikap dan asas PAS. PAS tidak memusuhi UMNO kerana namanya UMNO, tetapi kerana sikap dan dasarnya yang bercanggah dengan Islam. Jika sekarang atau bila-bila masapun mereka menunjukkan kecenderungan untuk berbaik, mengubah sikap, maka PAS tidak ada pilihan selain mengikut seperti apa yang digariskan Al Quran dan As Sunnah. Allah swt mengatakan dengan jelas, bahawa dalam keadaan begitu (musuh menghulurkan tangan), hendaklah kita bersikap cenderung hati dan menyambut ”gesture’ tersebut.
Tapi bagaimana pula dengan niat sebenar UMNO? Adakah mereka jujur, atau mereka hanya memerangkap PAS dalam keadaan mereka terdesak? Persoalan inilah yang mengelirukan dan mengharu-birukan ramai orang.
Di sinilah pimpinan tertinggi PAS dengan kepimpinan ulamaknya menunjukkan kebesaran jiwa mereka. Mereka sanggup melupakan segala kedukaan dan kezaliman yang dilakukan UMNO berpuluh tahun lamanya. Berlandaskan ajaran Al Quran, mereka berlapang dada memberi ruang kepada UMNO untuk menyatakan kesediaan-kesediaan mereka. Sekurang-kurangnya untuk mendengar apakah hajat UMNO.
Bagaimana jika UMNO berniat buruk? Tiada manusia yang akan tahu niat di dalam hati manusia lainnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah berwaspada, agar anjing tersepit tadi tidak menggit tangan yang melepaskannya. Inilah sikap yang diambil oleh Saidina Ali apabila Muawiyah menjunjung Al Quran mencari damai di waktu hampir menerima kekalahan di dalam peperangan Siffin. Inilah juga sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw apabila baginda telah memurkai seorang sahabat yang membunuh tentera musuh walaupun musuh tersebut telah mengucap as syahadah. Sahabat berkenaan mengatakan bahawa beliau yakin yang tentera musuh tersebut telah menipu dan hanya mengucap syahadah bagi mengelakkan dibunuh. Rasulullah saw menjawab, Adakah kamu telah membelah hati nya? Pimpinan PAS tidak boleh membelah hati pimpinan UMNO, tetapi cukuplah dengan janji Allah seperti firmanNya dalam ayat 61 Surah Al Anfaal,
”Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu maka sesungguhnya cukuplah Allah. Dia lah yang menguatkan mu dengan pertolonganNya dan dengan orang-orang yang beriman”.
Ini tidak bermakna PAS perlu terus memeluk dan mendakap UMNO. Sikap berhati-hati sangat perlu dititik-beratkan di dalam suasana sebegini. Di atas sikap berhati-hati inilah Tuan Guru Presiden tidak berjumpa secara langsung dengan Pak Lah. Kerana objektifnya hanya mahu mendengar apa yang hendak diluahkan oleh UMNO, maka memadailah dihantar wakil. Jelas pada perkiraan Tuan Guru bahawa tidak ada sebarang keputusan yang akan dibuat di dalam pertemuan itu, maka tidak perlu beliau sendiri menghadirinya. Sebarang keputusan besar yang melibatkan dasar hanya dilakukan di dalam Muktamar PAS, setelah melalui pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Politik, JK Pas Pusat, dan Majlis Syura. Tidak ada apa yang perlu ditakutkan dalam pertemuan-pertemuan ini jika kita yakin dan jelas dengan prinsip perjuangan kita. Perjuangan berlandaskan Al Quran dan As Sunnah yang telah memberi panduan yang cukup jelas dalam hal ini.
Persoalan berikutnya ialah impak pertemuan PAS-UMNO kepada Pakatan Rakyat. Adakah pertemuan dengan UMNO bermakna PAS meninggalkan Pakatan Rakyat? Adakah ini bermakna PAS telah membelakangkan perjuangan menegakkan keadilan bersama Pakatan Rakyat? Adakah PAS telah mengkhianati perjuangan untuk menguburkan UMNO?
Berulang kali Presiden PAS mengatakan bahawa PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat; PAS komited dengan perjuangan menegakkan keadilan. Tetapi, menegakkan keadilan tidak bermakna membunuh musuh. Yang hendak dibunuh ialah sifat dan dasar ketidak-adilan musuh, bukannya batang tubuh musuh itu sendiri. Prinsip inilah yang dijelaskan oleh Al Quran dan As Sunnah tetapi gagal difahami oleh ramai orang termasuk segelintir kepimpinan serta ahli PAS sendiri. Disinilah terserlahnya kehebatan pengamatan politik kepimpinan Ulamak PAS dan jiwa besar yang mereka miliki.
Keputusan JK PAS Pusat memberi komitmen penuh kepada Pakatan Rakyat dan di waktu yang sama meneruskan pertemuan dengan UMNO adalah satu keputusan yang tepat seperti yang digariskan Al Quran dan As Sunnah. Kita komited dengan ikatan dalam Pakatan Rakyat dan sanggup mengenepikan layanan separuh-mesra; di waktu yang sama kita masih meneruskan agenda dakwah Islamiah sebagai dasar asas perjuangan PAS. Bahkan, PAS juga dengan jelasnya tidak menghalang mana-mana parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuat pertemuan dengan mana-mana pihak, dan mereka telah pun melakukannya tanpa merujuk kepada PAS.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada Tuan Guru Dato Mursyidul Am, Tuan Guru Dato Seri Presiden dan saf kepimpinan ulamak yang memperlihatkan kematangan politik yang tinggi dan kejelasan prinsip yang jitu. Selebihnya, hanya mereka yang berkepentingan diri dan yang dangkal politik sahaja yang masih mahu mencari-balah dalam hal ini. Inilah hikmah dari kepimpinan Ulamak berteraskan Al Quran dan As Sunnah yang mendapat sokongan dan dokongan penuh ahlinya.
... Bekerja Untuk Islam ...