Wednesday, May 28, 2008

16 September – Kenyataan atau khayalan

Sudah lama penulis tidak mengupdatekan blog dek dengan kesibukan yang tidak ketahuan. Walaupun begitu, penulis sempat meneliti isu perkembangankan terkini samada isu nasional atau antarabangsa. Membaca dan menganilisis isu semasa merupakan perkara yang dituntut oleh Islam. Islam melarang penganutnya hanya menjadi katak di bawah tempurung. Jadi umat Islam perlu proaktif untuk mengkaji isu semasa supaya kita tidak dizalimi oleh golongan yang ingin kelirukan Islam.

Mungkin ketika ini semua pengalisis politik menantikan pergerakan politik Ezam Mohd Nor. Kalau sebelum ini, negara telah dikejutkan dengan keputusan Tun Dr. Mahathir yang keluar dari UMNO. Sekarang ini, negara sekali lagi ternanti-nanti macam mana pergerakan politik Ezam.

Dalam masa itu juga, Dato’ Seri Anwar Ibrahim terus menerus mewar-warkan bahawa negara akan berlaku peralihan kuasa pada 16 september dengan berlakunya perlompatan MP BN kepada PAKATAN RAKYAT.

Perletakan jawatan PM Malaysia mungkin berlaku. Tetapi pertukaran Kerajaan Persekutuan agak mustahil. Melihat dari situasi sekarang ini, MP UMNO kelihatan tidak berani membuat keputusan untuk melompat parti. Secara tradisinya, MP UMNO yang ingin melompat pasti inginkan habuan tertentu contonya seperti jawatan timbalan perdana menteri atau sebagainya. Perkara ini memerlukan sokongan daripada PAS dan DAP. Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya. Sampai sekarang ini, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak pernah dilantik menjadi ketua dalam PAKATAN RAKYAT.

Ahli gerakan Islam masih lagi terasa dan terluka dengan tindakan keputusan DSAI masuk UMNO pada 1982. Ahli gerakan Islam masih bersikap prejudis terhadap DSAI kerana beliau pernah mengorbankan prinsip perjuangan. Sebab itu, jikalau bertanya kepada peringkat bahawah tentang persetujuan untuk melantik DSAI menjadi PM Malaysia, pasti jawapannya TIDAK.

Bagi penulis sendiri, peristiwa 16 september merupakan khayalan yang tidak akan berlaku. Kalau dilihat dari rentetan semasa bermula daripada perisytiharan DSAI tentang berlakunya isu lompat parti dari UMNO. Kalau sebelum ini, rakyat kononnya akan mendapat kejutan dengan berlakunya undi tidak percaya dari kalangan MP UMNO kepada PM Malaysia April baru-baru ini. Tapi tidak berlaku. Dikatakan 16 orang MP UMNO akan merintis untuk lompat parti. Tetapi tidak berlaku.

Jadi kenapa kita disibukkan dengan isu lompat.? Baik kita tumpukan untuk memperkemaskan PAKATAN RAKYAT. Penulis cukup bersetuju dengan tindakan PAS yang sampai sekarang belum pun mengeluarkan kenyataan tentang isu lompat parti ni. Walaupun pimpinan PAS seperti Ustaz Nasharuddin, Husam, Mohamad Sabu pernah mengeluarkan pandangan. Tetapi ia lebih dilihat pandangan peribadi. Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS sampai sekarang belum pernah mengeluarkan kenyataan tentang isu lompat parti. Ini menandakan bahawa PAS sebagai sebuah parti yang cukup matang tidak terikut dengan rentak DSAI. Bahkan PAS sekarang ini lebih menumpukan untuk memperkemaskan PAKATAN RAKYAT dengan mengalu-alukan kemasukan UMNO bersyaratkan bahawa UMNO menerima prinsip Adil.

Penulis juga mengharapkan agar PAS mendominasi PAKATAN RAKYAT ini sejajar dengan ahli dan kehebatan PAS sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang cukup matang dan berpengalaman


... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, May 21, 2008

Bakal Perdana Menteri hendaklah berprinsipkan Islam

Mutakhir kini, akhbar dan blog terus menerus membicarakan tentang isu Mantan Perdana Menteri yang keluar UMNO. Berkebetulan pula, sekarang ini Malaysia tengah dihangatkan dengan isu lompat parti dari banglo ke rumah teres.

Mungkin kini bayangan PAKATAN RAKYAT untuk menduduki Putrajaya semakin hampir. Pun begitu, rakyat masih ternanti-nanti betulkah Mantan Timbalan Perdana Menteri akan mengetuai kerajaan PAKATAN RAKYAT nanti.? Kalau sebelum ini Mantan Timbalan Perdana Menteri pernah mengumumkan bahawa beliau akan memaklumkan kawasan mana yang akan ditandingi selepas 2 minggu daripada tarikh pembebasan untuk berpolitik. Tetapi sekarang pengumuman itu dibiarkan sepi begitu sahaja.

Penulis sebenarnya tidak kisah siapa pun inividu yang bakal menduduki kerusi Perdana Menteri nanti. Cuma yang dipenting oleh penulis ialah bakal perdana Menteri itu hendaklah seorang yang berprinsipkan Islam.

Negara telah melihat bagaimana pentadbiran negara yang diurus dengan menggunakan dasar sekular yang dengan jelas tidak menguntungkan rakyat. Semenjak 50 tahun negara Malaysia merdeka, kemajuan dan ketamadunan dikira berdasarkan kepada kebendaan semata-mata. Aspek rohani seperti diketepikan terus. Walaupun kelima-lima perdana menteri pernah mengumumkan bahawa mereka akan memerintah dengan adil dan saksama. Tetapi semua ini tidak berlaku secara sepatutnya disebabkan perasaan untuk takut kepada Allah SWT tidak diterjemahkan sepenuhnya di dalam pentadbiran kerajaan.

Malaysia pernah menyaksikan bagaimana kelantan yang diperintah oleh kerajaan negeri dan menteri besarnya yang jelas berprinsip Islam. Kemajuan yang ditanam berdasarkan kepada taqwa. Sebab itu sampai sekarang tidak pernah kedengaran berlakunya rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Jadi rakyat telah melihat dua contoh yang berbeza. model yang pertama ialah model pemerintahan yang meletakkan kebendaan dan ekonomi sebagai tunggak utama. Model yang kedua pula ialah model pemerintahan yang meletakkan akhlah dan taqwa sebagai tunggak utama.

Model mana yang menampakkan kejayaan. Model yang meletakkan ekonomi di hadapan dilihat semakin runtuh dan rosak masyarakatnya. Model sebegini hanya melahirkan manusia penipu, sanggup lakukan apa sahaja dan mempunyai lidah yang berbelit

Model yang meletakkan taqwa di depan dilihat semakin mantap, kukuh dan mendapat kepercayaan orang Islam dan bukan Islam. model sebegini terus-menerus melahirkan kemajuan akhlah dan ekonomi selaras dengan kehendak Islam.

Selepas melihat kedua-dua contoh inilah, penulis berpandangan bahawa hanya individu yang berprinsipkan Islam sahaja yang mampu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6.

Islam merupakan agama yang menyeru kepada keadilan, kebajikan dan kebenaran. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada penganut dan pemimpin umat Islam melaksanakan hal-hala tersebut. Kalau tidak, pimpinan ini akan mendapat kemurkaan daripada Allah SWT.

Dalam keadaan sekarang ini, walaupun ramai yang mendakwa bahawa individu dari parti masing-masing layak untuk menduduki kerusi perdana menteri itu. Tapi bagi penulis selagi mereka masih tidak berjuangan berdasarkan prinsip Islam. selagi itu, mereka tidak layak.

Islam sebagai asas untuk mengikat manusia agar berterusan untuk melaksanakan agenda keadilan dan kebajikan. Kalau tidak, pemimpin yang bercakap untuk melaksanakan keadilan hanya sekadar cakap kosong ataupun sifat keadilan itu hanya sementara sahaja.


... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, May 20, 2008

Siri 4 : Kenapa Memilih Islam


Akal merupakan titik perbezaan di antara manusia dan makhluk yang lain. Semestinya akal ini perlu digunakan sebaik mungkin. Akal ini akan selalu ditentang oleh penentang yang bernama nafsu.

Sememangnya menjadi kebiasaan manusia yang inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sementara agama adalah pengikat bagi kebebasan ini. Bahkan manusia mesti berada dalam ikatan yang bernama agama. Jikalau manusia dibiarkan bebas tanpa sebarang ikatan, nescaya mereka boleh diibaratkan seperti orang gila yang bebas melakukan apa sahaja seperti berjalan di jalanan dalam keadaan telanjang, menggangu lalu lintas, memakai pakaian mengikut cara tersendiri dan sebagainya. Orang gila ini akan melakukan apa sahaja yang terlintas difikirannya tanpa menimbang dari sudut syarak dan akal.

Jadi hanya orang gila sahaja yang inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sementara orang yang berakal ialah orang yang mengikat diri mereka dengan agama.

Orang yang beragama semestinya orang yang berakal kerana dengan agama dan akal negara akan membangun. Manusia akan takut melanggar undang-undang kerana mereka mampu memikirkan risikonya, manusia akan melaksanakan kebaikan kerana mereka memikirkan tentang ganjaranya.

Manakala perkara yang menuju kejahatan dan kerosakan memang menyeronokkan. Manusia seronok menyertai pesta yang penuh dengan kelalaian dan kelekaan. Manusia seronok untuk mendengar umpatan kerana ini akan menyebabkan mereka merasa ujub atau hebat terhadap diri masing-masing. Manusia seronok untuk mencuri kerana mereka akan mendapat harta tanpa bersusah payah.

Tetapi jika manusia bijak dan menggunakan akal secara praktikal, nescaya mereka akan mendapati bahawa kebebasan yang dinikmati adalah sementara sahaja berbanding dengan keseksaan yang panjang di dalam penjara neraka.

Manusia perlu memandang bahawa jiwa yang sedang berseronok ini pasti akan mati dan menemui penciptanya. Sepanjang mana pun umur manusia, kematian pasti akan mengejarnya. Mati akan sentiasa mengikuti perjalanan manusia samada pagi dan petang. Manusia juga tidak mengetahui bilakah mati itu akan melintasinya. Di mana Nabi Nuh yang pernah menyeru manusia selama 950 tahun itu.? Dimana Firaun yang pernah mengaku menjadi tuhan itu.? Kalau bukan di dalam kubur.

Kehidupan dunia ini merupakan satu perjalanan untuk menuju ke jalan akhirat. Manusia yang bermula dari janin, kemudian lahir menuju ke alam dunia. Kemudian menuju ke alam akhirat yang merupakan alam yang kekal abadi.

Jadi semestinya manusia menyedari bahawa mereka perlu mengikat diri mereka dengan agama untuk menyelamatkan diri daripada keseksesaan yang berpanjangan. Agama yang menjadi pengikat hanyalah ISLAM.

... Bekerja Untuk Islam ...

Penjelasan tentang Nick Name Attakiri


Semenjak blog ini ditubuhnya,terdapat pembaca yang tersalah anggap bahawa blog ini kepunyaan Ustaz Khairuddin Aman Razali Attakiri. Tetapi mujurlah penulis telah meletakkan nama sebenar penulis disebelah kiri artikel.

Sebenarnya penggunaan nick name ini merujuk kepada kampung tempat penulis membesar iaitu kg. Seberang Takiri. Ustaz Khairuddin juga berasal dari sana. Bukanlah niat penulis untuk menandingi ustaz khairuddin yang memang terkenal dengan ilmu dan kehebatan beliau. Tetapi bagi penulis tidak salah jikalau menggunakan nick name untuk merasakan sedikit kebanggaan terhadap kampung sendiri.

Sebenarnya penggunaan Laqab yang sama yang menunjukkan kepada tempat kelahiran ataupun tempat pengajian bukan perkara yang pelik. Contoh Syeikh Ali Tantawi dengan Sheikh Muhammad Tantawi. Kedua-dua merupakan insan berlainan.

Kami berasal dari kampung yang sama. Jadi tidak salah kalau penulis menggunakan nick name ini berterusan. Lagipun penulis telah memakai nick name ini sebelum mengenali ustaz khairuddin lagi.

Apa pun penulis memohon maaf di atas kekeliruan pembaca sekelian. Itu sahaja penjelasan penulis.

Harap selepas ini, sesiapa yang melihat artikel yang dikeluarkan oleh attakiri dipastikan dahulu siapa penulis sebenarnya.


... Bekerja Untuk Islam ...

Sunday, May 18, 2008

Rakyat Terengganu Marah

Selepas pendedahan tentang jumlah sebenar royalti di negeri Terengganu di dalam Dewan Rakyat baru-baru ini, semua pemimpin politik bagaikan terkejut dan terkesima. Ini termasuklah Menteri Besar Terengganu sendiri. Kenapa tidak.? Duit yang diterima oleh kerajaan negeri terengganu hanya 4.3 bilionn daripada jumlah 7.3 bilion. Ke mana pergi duit bakinya.

Kalau sebelum ini PM Malaysia menyatakan bahawa melayu marah terhadap tindakan Karpal Singh yang dikatakan menghina institusi raja-raja melayu. Tetapi hari Rakyat Terengganu marah terhadap tindak-tanduk PM Malaysia yang masih berdiam diri tentang ke mana perginya duit tersebut

Kenapa tidaknya.! Dah la negeri terengganu antara negeri ke 2 termiskin di Malaysia. Royalti pula dirompak oleh pembesar negara. Jadi, bilalah rakyat terengganu hendak menikmati kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada rakyat Terengganu.

Rakyat tertanya-tanya mana lebihan royalti itu. Pemimpin UMNO Terengganu telah mendedahkan bahawa mereka tidak tahu menahu baki duit tersebut. Jadi, siapa lagi yang merompak duit tersebut kalau bukan pimpinan pusat.

Penulis bukan hendak menuduh sesiapa. Penulis cuma ingin mendengar penjelasan ke mana duit tersebut digunakan. Adakah digunakan untuk mengkayakan tembolok peribadi?. Ataupun untuk ahli keluarga sendiri.?

Minyak merupakan amanah Allah SWT kepada pemimpin. Kalau seorang pemimpin itu bijak dan beramanah. Nescaya segala hasil minyak digunakan sepenuhnya untuk membangunkan negeri sehingga menjadi negeri yang maju dan bertaqwa kepada Allah.

Tetapi adakah kerajaan sekarang bersyukur di atas anugerah minyak yang dikurniakan oleh Allah itu.? Kalau benar kerajaan sekarang ini bersyukur, sudah tentu hasil minyaktersebut dikeluarkan zakat.

Minyak termasuk di dalam hukum Rikaz. Ini bermakna kerajaa sepatutnya mengeluarkan sebanyak 1/5 daripada hasil ini untuk rakyat negeri Terengganu. Ini tidak termasuk zakat perniagaan yang mesti dikeluarkan oleh Petronas.

Prof. Diraja Ungku Aziz pernah menyebut jikalau petronas mengeluarkan zakat nescaya segala pendidikan agama untuk orang Islam pasti dapat ditanggung ole kerajaan bermula daripada pendidikan pra sekolah sehingga ke peringkat Phd.

Tetapi adakah, kerajaan sekarang telah melaksanakan hal tersebut. Ini menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan tidak serius untuk melaksanakan sistem Islam secara keseluruhan.

Kalau kerajaan tidak mengsyukuri nikmat ini dengan membelanjakan secara membazir dan berkepentingan peribadi. Tidak mustahil anugerah ini akan ditarik balik oleh Allah SWT.

Tetapi kalau kita bersyukur dan cuba melaksanakan segala syariat. Nikmat ini akan terus bertambah dari semasa ke semasa. Allah SWT adalah pemilik bumi ini.

1/5 daripada hasil minyak tersebut adalah hak rakyat terengganu. Dengan sebab itu, kami bukan hanya menuntut 5% peratus sahaja. Tetapi kami menuntut 20% hak sebenar kami.

Kalau kerajaan Persekutuan tidak memberi hak tersebut kepada kami di atas dunia. Nescaya kami akan menuntut hak ini diakhirkat. Ingat kehidupan ini bukan sekadar di atas dunia semata-mata. Tetapi kehidupan ini akan terus sehingga menemui Allah SWT. Kami tunggu dan tuntut hak di hadapan Allah nanti.

Hasil negara hak rakyat, bukannya hak individu.

Friday, May 16, 2008

Siri 3 : Kenapa Memilih Islam

Kenapa manusia menjadi perebutan oleh ulamak dan syaitan. Ulamak ingin menyeru kepada manusia untuk mencari keredhaan Allah SWT. Syaitan pula menyeru manusia untuk bersama-sama dalam kemurkaan Allah SWT.

Siapa manusia sebenarnya.?

Manusia merupakan makhluk yang paling istimewa di alam ini. Malaikat hanya mempunyai sifat taat semata-mata. Syaitan pula memiliki sifat penentang semata-mata. Haiwan-haiwan hanya mempunyai sifat untuk hidup semata-mata. Tetapi manusia ini menggabungkan ketiga-ketiga sifat itu kepada dirinya.

Kadang-kadang manusia mampu melakukan ibadat sehingga darjat mereka melebihi malaikat. Kadang-kadang manusia mempunyai sifat kejahatan sehingga melebihi kejahatan syaitan. Kadang-kadang manusia mempunyai sifat untuk hidup sehingga melebihi daripada haiwan-haiwan tadi.

Contoh pertama :Malaikat melakukan kebaikan dan ketaatan tanpa disuruh. Tapi manusia melakukan kebaikan dan ketaatan kerana mentaati perintah Allah SWT. Dengan sebab itu amalan manusia dianggap bernilai daripada amalan malaikat

Contoh kedua : Syaitan melakukan kejahatan pada setiap masa dan setiap saat. Tetapi dalam masa yang sama syaitan masih mengakui kewujudan Allah sebagai tuhan.berlainan dengan manusia yang melakukan kejahatan sehingga sanggup mengaku menjadi tuhan, sanggup menidakkan kewujudan tuha, sanggup mengganggap arahan tuhan tidak relevan. Manusia jenis ini merupakan dikira sebagai lebih teruk dari syaitan.

Contoh ketiga : amalan haiwan seperti makan, minum, kahwin, tidur. Haiwan hanya makan, minum dan sebagainya mengikut keperluan semata-mata. Tetapi manusia mencari kemewahan melebihi keperluan masing-masing sehingga sanggup menipu, mencuri, merompak. Manusia sanggup berzina sehingga membuang anak masing-masing. Ini menandakan bahawa manusia boleh bertindak melebihi haiwan.

Semua ini bermaksud bahawa diri manusia ini boleh menerima kebaikan dan keburukan. Tetapi yang membezakan diri manusia ialah kurniaan akal oleh Allah SWT. Jika akal tersebut digunakan untuk mengikuti jalan para anbiyaa’ pasti akan menemui kebahagian diakhirat kelak. Tapi jika akan ini digunakan untuk mengikuti jalan syaitan pasti akan menemui keseksaan dan kepedihan di akhirat kelak.


... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, May 14, 2008

Bukan Subsidi tapi tanggungjawab

Hari ini kerajaan mengumumkan tentang peningkatan subsidi beras yang diberikan kepada rakyat. Kenaikan subsidi ini ekoran daripada peningkatan harga beras di seluruh dunia. Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan kenaikan subsidi harga minyak bagi mengurangkan kos yang mesti ditanggung oleh rakyat.

Ekoran daripada itu, maka ramailah pemimpin UMNO/BN memuji tindakan PM Malaysia yang kononnya prihatin terhadap rakyat sehingga sanggup berbelanja berjuta-juta untuk mengatasi kesusahan yang akan ditanggung oleh rakyat.

Penulis bukan tidak menyokong pemberian subsidi ini. Bahkan bagi penulis, selagi kerajaan mampu untuk meringankan beban rakyat lagi bagus.

Kepimpinan diwujudkan untuk memberi khidmat kepada masyarakat. Khidmat tersebut samada yang berbentuk material dan spiritual. Pemberian subsidi sebenarnya bukannya satu hadiah kepada rakyat tetapi ianya lebih dianggap tanggungjawab kerajaan kepada rakyat.

Rakyat Malaysia membayar pelbagai cukai setiap tahun. Daripada cukai tersebut kerajaan menggunakan untuk melabur demi kemudahan rakyat. Jadi setiap yang dikatakan subsidi itu ialah hasil keuntungan pelaburan yang dilaburkan oleh rakyat Malaysia kepada kerajaan.

Jadi tidak timbullah soal subsidi, hadiah atau sebagainya. Bahkan kerajaan patut berterima kasih kepada rakyat kerana yang telah membayar gaji perkhidmatan mereka sehingga golongan atasan ini mampu menikmati kemewahan.

Sejarah Islam telah memaparkan bagaimana hebatnya pemerintahannya yang mengutamakan kebajikan buat rakyat. Lihat kepada Saidina Umar al-Khattab yang pernah mengosongkan perbendaharaan baitul Mal setiap tahun untuk dibahagikan kepada semua rakyatnya. Saidina Osman pernah mengeluarkan sebanyak 400 dirham untuk diberi kepada setiap anak yang baru lahir di bawah pemerintahannya.

Semuanya dilakukan atas dasar tanggungjawab sebagai pemimpin yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

Begitu juga dengan situasi sekarang. Selepas kemerosotan dalam PRU12 barulah kerajaan dilihat cuba mengutamakan kebajikan kepada masyarakat. Itu pun masih belum menyeluruh.

Royalti petroleum masih belum diberikan hak kepada rakyat terengganu sepenuhnya. Sedangkan itu adalah hak rakyat terengganu. Siapa PM Malaysia untuk menyekat royatli ini.?

Akta ISA belum dihapuskan lagi. Ramai anak dan isteri yang menjalani kehidupan seperti seorang yang kematian ayah atau suami mereka. Mana dia kebajikan yang diumumkan oleh kerajaan.

Berapa sangatlah subsidi kerajaan untuk rakyat kalau dibandingkan subsidi kerajaan untuk pemimpin atasan yang dibekalkan dengan pelbagai kemudahan. Dahlah dapat jet peribadi. Perbelanjaan keluar negara ditanggung, cukai jalan tidak payah bayar dan pelbagai lagi.

Jadi dalam hal ini, kerajaan sepatutnya mengumumkan bahawa subsidi yang dihulurkan terlampau sedikir berbanding dengan apa yang dilaburkan oleh rakyat kepada kerajaan.


... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, May 13, 2008

Siri 2 : Kenapa Memilih Islam

Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia fitrah untuk mengetahui perbezaan di antara kedua-dua jalan ini. Manusia akan merasa tenang apabila melakukan perkara kebaikan yang berlandaskan syarak. Begitu juga sebaliknya, manusia pasti akan merasa gelisah apabila melakukan kejahatan yang bertentangan dengan Islam.

Perasaan inilah yang lahir untuk membezakan di antara perkara yang halal dan haram. Kebenaran dan kebatilan.

Setiap jalan tersebut mempunyai penyeru masing-masing. Jalan kebenaran kebenaran mempunyai penyeru yang dipanggil pendakwah. Pendakwah ini terdiri daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Kemudian diikuti oleh para ulamak yang menjadi pewaris kepada nabi dan rasul.

Seruan dakwah ini cukup payah kerana sudah menjadi tabiat manusia yan selalu inginkan kebebasan tanpa sempadan. Sedangkan agama ini lebih untuk mengikat pergerakan manusia agar menjadi seimbang dan teratur.

Jalan kejahatan pula mempunyai penyeru yang dipanggil syaitan. Kemudian diikuti oleh pengikut-pengikut yang mempunyai keinginan yang sama iaitu ingin merosakkan manusia.

Seruan dakyah syaitan cukup senang diikuti kerana seruan ini mengikut apa yang diinginkan oleh manusia. Manusia menginginkan kemewahan tanpa batasan sehingga sanggup menipu, rasuah, merompak dan sebagainya. Manusia inginkan kelazatan duniawi tanpa mengira batas halal dan haram.

Oleh sebab itu tugas pendakwah lebih berat dan sukar daripada tugas pendakyah.

Tetapi ingat. Walaupun pendakwah menempuh jalan yang sukar, tetapi mereka akan bertemu kenikmatan yang tidak terhingga enaknya. Sementara pendakyah pula yang menempuh jalan yang senang pasti akan bertemu diakhirnya seksaan yang tidak terperi sakit dan dahsyatnya.

Jadi jalan manakah yang hendak dipilih dan ikuti. Tepuk dada tanyalah iman

Bersambung……


... Bekerja Untuk Islam ...

Monday, May 12, 2008

Tolak Islam Pasti Hancur

Hari ini UMNO menyambut hari jadi yang ke 62. Kalau sebelum ini UMNO menyambut harijadinya dengan penuh kegemilangan dan berprestij. Kini sambutan harijadi dilangsungkan dengan penuh hambar dan memilukan. UMNO menyambut harijadi dalam keadaan 5 buah negeri telah hilang kepada PAKATAN RAKYAT dan kehilangan majoriti 2/3 di parlimen. UMNO ditubuhkan di atas restu penjajah. Buktinya selepas kesemua parti politik dan persatuan yang menuntut kemerdekaan seperti Hizbul Muslimin, PKMM, INSAF diharamkan, UMNO dibiarkan bergerak bebas untuk menuntut kemerdekaan.

UMNO yang memperjuangan dasar kebanggsaan terus menerus mendapat sokongan rakyat ketika itu kerana masyarakat melayu tidak mendapat wadah yang lain untuk bertindak menuntut kemerdekaan sebenar.

Apa yang perlu difahami adalah tentang dasar perjuangan UMNO yang tidak menerima Islam sebagai dasar perjuangan mereka. Sejak dulu sehingga sekarang, UMNO tidap pernah menyebut untuk melaksanakan Al-Quran dan Sunnah secara keseluruhan. Tunku Abdul Rahman pernah mengumumkan bahawa Malaysia sebuah negara Sekular (pemerintahan yang memisahkan agama dari politik). Tun Dr. Mahathir pula mengumumkan Malaysia sebuah negara Islam. Walhal istilah negara Islam beliau pun tidak faham.

Kalau betul UMNO ingin melaksanakan pemerintahan Islam, tidak berlaku sekatan dan tekanan terhadap kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak tahun 1990 hingga sekarang. Islam tidak mengajar erti penindasan dan kezaliman.

Kalau betul UMNO ingin melaksanakan Pemerintahan Islam, tidak berlaku pengkhianatan perjanjian tentang royalti minya di terengganu sehingga dinamakan WANG EHSAN.

Kalau betul UMNO ingin melaksanakan pemerintahan Islam, tidak berlaku ugutan terhadap perlaksanaan hudud, qisas dan ta’zir di negeri Kelantan.

Semua ini menandakan bahawa UMNO tidak inginkan Islam sebagai dasar pemerintahan negara. Islam yang diletakkan sebagai agama rasmi negara telah disempitkan ajarannya menjadi seperti kristian yang hanya berlegar dalam ibadat semata-mata.

Kalau mengikut urutan sejarah. Kerajaan yang melaksanakan dasar yang bertentangan dengan Islam pasti hancur. Kehancuran mereka bukan disebabkan individu semata-mata, tetapi kehancuran mereka disebabkan dasar perjuangan yang zalim. Sebagai contoh sistem komunis yang dulunya cukup masyhur untuk menggantikan sistem kapitalis. Akhirnya sistem ini hanya mampu bertahan selama 80 tahun sahaja. Sistem kapitalis juga begitu. Sistem sekular pun semakin menjunam jatuh.

Ramai sarjana sekarang ini menyatakan bahawa kerosakan tamadun dunia sekarang disebabkan oleh keadaan masyarakat yang tinggalkan agama dalam kehidupan. Ramai juga yang menyebut bahawa Islamlah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan semua permasalahan ini.

Kalau dikaji dari sudut sejarah. Kejatuhan kerajaan Islam bukan disebabkan penolakan rakyat terhadap agama Islam. Kejatuhan kerajaan Islam lebih tertumpu kepada penolakan rakyat terhadap pemimpin Islam yang zalim dan terlampau leka.

Inilah perbezaan Islam dengan ideologi yang lain. Ideoogi yang lain jatuh disebabkan kelemahan ideologi tersebut. Islam jatuh disebabkan sikap penganutnya yang meninggalkan Islam.

UMNO yang memperjuangkan dasar bangsa hari ini semakin dipersoalkan. Dasar yang diperkenalkan semakin ditolak oleh rakyat dari bangsa sendiri. PAS dilihat semakin terbuka kerana mempunyai dasar perjuangan yang lebih luas dari perjuangan UMNO.

Kalau betul UMNO memperjuangkan dasar kebanggsaan. Kenapa sosial bangsa melayu semakin merudum jatuh. Ekonomi bangsa melayu masih belum setanding dengan bangsa lain. Apa sebenarnya perjuangan UMNO.

Yang pasti UMNO pernah menolak penyelesaian Al-Quran dan Sunnah. Muzakarah yang dicadangkan oleh PAS ditolak dengan pelbagai dalih. Cadangan perlaksaan undang-undang syariah Islam dipertikaikan dari semasa ke semasa. Undang-undang ISA masih dikekalkan. Semua ini menandakan bahawa Islam ditolak oleh UMNO.

Oleh sebab yang sedemikian. Maka tunggulah kehancuran UMNO sedikit demi sedikit. Mungkin UMNO akan menyambut harijadi pada tahun hadapan sebagai pembangkang. Ketika itu tidak timbul lagi cakap-cakap bahawa UMNO belum pudarlah, UMNO masih relevan dan sebagainya.

Yang timbul ialah UMNO tidak pernah relevan sejak dulu lagi kerana menolak perlaksanaan Islam yang relevan sampai bila-bila

Yakinlah, kemenangan Islam suatu perkara yang pasti berlaku. Kalau tidak pada hari ini. Mungkin akan datang. Yang penting, semua harus bekerja untuk ISLAM.

Friday, May 9, 2008

Betul ke Melayu Marah.?

Mengulas pandangan yang dikeluarkan oleh PM Malaysia hari ini tentang tindakan tegas perlu di ambil ke atas karpal singh yang dikatakan biadap terhadap kesultanan perak.

Penulis bukan berniat untuk menjelaskan isu karpal Singh. Isu ini biarlah dijawab sendiri oleh beliau ataupun diulas oleh pemimpin PAKATAN RAKYAT yang lebih berkaliber.

Apa yang ingin diketengahkan ialah tentang kenyataan PM Malaysia tentang perkara ini. Sebelum ini negara telah digemparkan oleh pertembungan PM Malaysia dengan istana Perlis dan Terengganu. Watikah yang dikeluarkan oleh PM Malaysia tidak diperkenankan oleh sultan. Di Perlis Bekas MB akur dengan keputusan. Tetapi lain pula di Terengganu. PM Malaysia ketika itu seperti buta tentang undang-undang tubuh negeri sehingga berani membelakangkan sultan!!!. Bahkan beliau seperti mengarahkan juak-juak beliau menghantar memorandum dan berdemontarsi serta mempamerkan kain rentang yang bersifat kurang ajar. Ketika itu, melayu tidak marahkah?.

Kalau dikaji dari sudut sejarah, memang semenjak dulu lagi UMNO/BN suka merendahkan institusi raja-raja melayu. Siapa yang tidak tahu peristiwa perlantikan sultan baru di Kelantan?. Siapa yang tidak tahu peristiwa pengurangan emuniti raja-raja.? Siapa yang tidak tahu peristiwa anak raja dilarikan.? Ketika itu melayu tidak marahkah.?

Mana dia Pemuda UMNO yang bangun untuk membela kedaulatan raja ketika itu.? Pelik dan cukup pelik.

Tetapi apabila perkara ini dikaitkan dengan pembangkang. Pemuda UMNO terus bangkit, PM Malaysia terus mengeluarkan pelbagai kenyataan, NGO yang pro UMNO terus menghantar memorandum.

Inilah dia realiti UMNO yang berjuang tanpa prinsip. Pastikan semua rakyat menolak UMNO dalam PRU akan datang.

Blog Pimpinan tak Aktif

Umumnya menyedari bahawa peranan media PAKATAN RAKYAT lebih dipercayai daripada media arus perdana seperti RTM dan Media Prima. Rakyat lebih suka melayari Web TVPAS daripada melihat aksi dalam TV3. Rakyat juga lebih suka membaca Harakah dan Harakahdaily.net daripada membaca Utusan Malaysia dan Utusan Online.

Semua Pimpinan PAKATAN RAKYAT sekarang begitu aktif mengakseskan blog masing-masing untuk meluahan pandangan terhadap setiap isu, menceritakan kesibukan diri dan menjawab sebarang komentar daripada rakyat. Dengan cara ini, rakyat merasakan pemimpin cukup dekat dengan mereka. Contohnya blog Dato’ Seri Anwar Ibrahim (www.bloganwaribrahim.com). Beliau semakin dilihat sebagai seorang tokoh yang berjiwa besar kerana selalu melayani karenah pembaca yang sentiasa memberi cadangan, kritikan dan tidak kurang juga menghentam.

Tetapi mana dia blog pimpinan kita yang cukup aktif.? Kalau kita melihat di dalam web PAS (www.pas.com.my) dekat menu blog pimpinan, hampir kesemuan blog tidak aktif.!!!. bermula dari blog timbalan presiden hingga ke bawah. Saya bukan hendak menafikan kesemuanya, tetapi sebilangan besarnya. Blog Ketua Penerangan contohnya hanya diupdate pada tahun lepas tentang kes altantuya. Blog Naib Presiden Tn. Hj. Mohamad Sabu lagilah entah berapa tahun tidak update sampai tak boleh dibuka langsung.

Kita mewarwarkan kepada rakyat bahawa media merupakan aset yang cukup penting untuk menyebarkan berita kepada rakyat. Saya memahami sidang media yang dikeluarkan oleh presiden parti yang menyebut bahawa segala kenyataan tentang PAS hanya boleh dikeluarkan oleh presiden Parti sahaja demi mengelakkan kecelaruan. Tetapi rakyat ingin juga mengetahui pandangan politik peribadi pemimpin mereka. Kami faham bahawa semua pimpinan sibuk. Tapi takkan tak boleh sekadar meletakkan gerak kerja harian yang ringkas untuk diketahui oleh rakyat. Ini adalah kerana rakyat sayangkan pemimpin mereka. Rakyat ingin mengetahui pergerakan pemimpin mereka. Rakyat ingin bertanya, berkongsi pandangan dan kadang-kadang ingin mengkritik demi kebaikan pemimpin yang mereka sayangi.

Kritikan ini bukan untuk mengjatuhkan sesiapa. Tetapi sekadar teguran daripada insan kerdil yang mula hendak berjinak di alam siber.

Semoga PAS terus maju dan membangun berteraskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah

Thursday, May 8, 2008

Siri 1 : Kenapa Memilih Islam

Islam merupakan agama yang menyeru kepada mengesakan Allah dan mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Islam bermula dengan pengakuan Syahadah, mengerjakan Solat, Berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan Haji bagi sesiapa yang mampu.
Islam diibaratkan sebagai cara hidup manusia. Bahkan para ulamak menyebut sesebuah bangsa tidak akan maju tanpa menggunakan Islam sebagai cara hidup.

Al-Quran adalah kitab yang diturunkan oleh Allah sebagai perlembagaan yang wajib dipegang oleh manusia. Kalau sesebuah negara mesti mempunyai perlembagaan untuk mensistemkan masyarakat. Islam mempunyai perlembagaannya yang tersendiri bahkan yang paling sempurna dan sesuai untuk sepanjang masa dan zaman.


Jikalau seseorang pilihan untuk melalui dua jalan iaitu :


Pertama : Jalan yang penuh dengan kesusahan, onak dan duri tetapi jalan ini akan menuju kepada bandar yang besar dan penuh dengan kemajuan yang boleh dikecapi oleh sesiapa sahaja. Jalan ini juga menuju ke tempat yang dihajati oleh semua manusia


Kedua : Jalan yang selesa, mudah dan senang dilalui. Bahkan dipertengahan jalan terdapat pohon-pohon yang berteduh sebagai tempat pengistiharatan. Tetapi jalan ini akan menuju ke tempat yang penuh dengan keseksaaan dan kepayahan. Selepas seseorang itu sampai ke tempat, maka dia tidak akan berpeluang untuk kembali lagi bagi mengambil jalan yang pilihan pertama.


Jalan mana yang akan dipilih. ?

Menjadi idaman manusia untuk memilih jalan yang mudah dan senang. Tetapi bagi orang yang bijak. Jalan pertama akan menjadi pilihan. Setiap manusia inginkan kenikmatan yang berkekalan. Walaupun pada permulaan mereka akan bertemu dengan kepayahan.


Perniagaan yang besar dan menguntungkan tidak pernah dimulakan dengan kesenangan. Tetapi perniagaan ini dimulakan dengan kepayahan, kesenggsaraaan dan kadang-kadang berdepan dengan kerugian yang besar. Kesan daripada hasil usaha yang berpanjangan, mereka diberikan keuntungan yang berlipat kali ganda hasil daripada titik usaha itu.


Kedua-dua jalan ini boleh diibaratkan sebagai jalan yang menuju ke syurga dan jalan yang menuju ke neraka.

Jalan yang menuju syurga penuh dengan onak dan duri. Jalan in memerlukan kepada orang yang sanggup mengorbankan segala-galanya untuk mendapat syurga. Jalan ini juga terdapat berbagai sekatan dan larangan demi untuk kebaikan manusia. Tetapi kalau seseorang itu bersabar menempuh jalan ini. Nescaya dia akan bertemu dengan kenikmatan yang kekal selama-lamanya pada pengakhirannya.


Jalan yang kedua ialah jalan yang menuju ke neraka penuh dengan kesenangan dan kenikmatan pada permulaannya. Manusia bebas melakukan apa yang disukai tanpa terikat dengan agama, adab dan tatasusila manusia. Tetapi pada akhirnya mereka akan menerima balasan daripada kesenangan tanpa batasan itu dengan seksaan yang kekal selama-lamanya di neraka. Mereka juga tidak berpeluangan untuk kembali walaupun beribu-ribu rayuan dihantar kepada Allah SWT.

Islam datang kepada manusia bukan untuk menyekat pergerakan. Tetapi lebih untuk mengajar manusia bagaimana cara untuk menikmati kenikmatan yang kekal abadi.

Bersambung…..

Sunday, May 4, 2008

MB Perak Bertindak Bijak

Akhir-akhir akbar arus perdana asyik menyiarkan berita penarikan balik pertukaran jawatan Pengarah JAIP Datuk Jamry Sury daripada Pengarah kepada Pegawai Khas SUK negeri. Kebanyakan media arus perdana meletakkan kesilapan 100% kepada MB perak tanpa mengira sebab-sebabnya. Mungkin di sana terdapat sedikit kesilapan teknikal daripada MB Perak yang tidak terperasan bahawa perkara ini berhubung kait dengan istana. Tetapi tindakan beliau menukar serta-merta (tukar bukan pecat) penjawat jawatan kerajaan negeri dengan sebab tidak memberi kerjasama adalah satu tindakan yang wajar.

Sepatutnya media arus perdana alternatif menyiarkan sebab-sebab tersebut. Datuk Jamry perlu dikritik kerana masih belum menerima hakikat bahawa beliau sekarang bekerja dengan kerajaan Pakatan Rakyat dan bukan lagi kerajaan Barisan National (BN). Kedegilan Datuk Jamry perlu diajar.

Disebabkan Datuk Jamry tidak memberi kerjasama, segala gerak kerja untuk memastikan perak bergerak berlandaskan Islam yang syumul terbantut. Jadi kenapa mesti dikekalkan orang sebegini. Bukankah menyusahkan. Masyarakat luar selalu bercakap bahawa MB Perak bertindak tergesa-gesa tanpa hikmah. Apakah mereka merasa apa yang berlaku di perak. Setiap perubahan yang memerlukan penyegeraan perlu disegerakan. Kalau tidak kerajaan PAKATAN RAKYAT dituduh lembab.

Tindakan ini sekurang-kurang membuka mata Penjawat Kerajaan di negeri PAKATAN RAKYAT supaya sedar bahawa mereka mesti bekerja di bawah kerajaan yang ada. Lupakan ideologi gerak kerja UMNO/BN. Penulis memandang perlantikan dan pemecatan penjawat awam yang dilaksanakan oleh kerajaan PAKATAN RAKYAT berdasarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud : Pilihan kamu di masa Jahiliyyah merupakan pilihan kamu ketika Islam. Tetapi dengan syarat hendak dia layak dan faham.

Pengekalan jawatan akan dibuat apabila seseorang penjawat itu memberi kerjasama terhadap perjalanan kerajaan. Tetapi apabila seseorang penjawat itu bergerak membelakangkan kerajaa negeri. Kenapa perlu dikekalkan?. Baik ditukar jawatannya. Tetapi jangan dipecat macam cara UMNO. Ini kerana setiap pengjawat itu ada tanggungan dia. Mereka mempunyai isteri dan anak. Ini juga perlu dijaga oleh kerajaan tanpa membatasi mana-mana pegangan politik.

Jadi tugas media PAKATAN RAKYAT sekarang ialah menumpukan berita macam mana lembutnya MB Perak bertindak. Beliau hanya menukar jawatan dan bukan memecat. Itupun setelah diberi masa selama 40 hari. Berbeza dengan UMNO yang bertindak seperti tentera salib.

Selepas tentera salib berjaya menguasai menawan palestin. Tugas pertama yang dibuat ialah menyembelih setiap penganut Islam di Palestin. Masjid Aqsa terus ditukar menjadi gereja.

Apabila Islam menguasai Palestin di bawah Panglima Sultan Salahuddin Al-Ayubi. Tugas pertama ialah memberi masa kepada pendatang palestin untuk keluar dai bumi dengan membawa harta masing-masing. Bukan membunuh, menyembelih dan menghalau begitu sahaja


Selepas kemenangan UMNO/BN di terengganu. Tugas pertama yang dilakukan ialah memecat segala jawatan yang dilantik oleh kerajaan PAS tanpa sebarang notis.Selepas kemenangan Kerajaan PAKATAN RAKYAT di Perak. Setiap pengjawat yang tidak memberi kerjasama diberikan masa untuk berubah. Kalau masih berdegil seseorang pengjawat itu akan ditukar. Bukankah itu satu tindakan yang bijak dan berhikmah.?

Semoga kerajaan PAKATAN RAKYAT terus bergerak berasaskan kepada janji untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada negeri berteraskan kepada Islam.