Wednesday, April 1, 2009

Pemimpin mesti berfikiran Jemaah

“PAS hebat bukan kerana dia, tapi dia hebat kerana PAS”, kata seorang ahli akademik dalam salah satu mesyuarat yang berkebetulan penulis hadir sekali.

Penulis tersenyum sendirian mendengar luahan beliau yang memang ada kebenarannya. Kehebatan PAS bukan bergantung kepada individu, tetapi kehebatan individu bergantung kepada PAS.

Contohnya, kalau YB Husam bukan Naib Presiden PAS dan bukan ahli PAS, apakah pandangan beliau diangkat dan diterima, apakah beliau layak memenangi ADUN dan berjaya menjadi exco kerajaan negeri Kelantan. Begitu juga dengan pimpinan yang lain.

PAS bukan hebat dengan sebab individu. PAS hebat dengan sebab dasarnya yang teguh. Dasarnya pula di jaga oleh Majlis Syura Ulamak supaya gerak kerja PAS tidak terpesong.

Ketika zaman Dato’ Asri Muda, ramai ahli PAS menyebut, kalau Dato’ Asri tiada, PAS pasti akan malap dan pupus. Tetapi selepas beliau meletak jawatan, timbul pula zaman kepimpinan ulamak yang lebih mantap dalam menempuh arus perubahan politik Malaysia.

Pimpinan tidak boleh berlagak bahawa munculnya perubahan ini hasil daripada gerak kerja individu tertentu. Contohnya sebenarnya kelab penyokong PAS ini hasil idea dan gagasan aku, jadi aku perlu diangkat dalam kepimpinan ini atau gagasan baru dalam PAS ini hasil usaha aku (sekadar contoh rambang).

Dr. burhanudin Al-Helmy tidak pernah mendabik dada kerana berjaya membawa perubahan dalam PAS sehingga berjaya memenangkan Kelantan dan Terengganu,

Ust. Fadhil Mohd Noor tidak pernah mendabik dada kerana berjaya membawa PAS menjadi parti kontemporari.

Tuan Hj. Mustafa Ali tidak pernah mendabik dada kerana berjaya kerana di zamannya menjadi ketua Dewan Pemuda PAS, gagasan kepimpinan ulamak di asaskan.

Kesemua pimpinan ini menyebut perkataan kami iaitu bermaksud secara berjemaah. Keputusan yang diputuskan hasil daripada mesyuarat yang diperbincangkan secara kolektif.

Kalau sesuatu strategi itu gagal, kita susun kembali strategi baru. Kalau strategi itu berjaya, ucaplah Alhamdulillah.

Yang penting, PAS bergerak secara berjemaah dan bukannya untuk kepentingan individu. Individu bergerak dan melangkah seiring dengan apa yang diputuskan. Bukannya melanggar adab dan etika gerakan Islam.

Penulis melihat kala ini, pimpinan mula berani mengeluarkan kenyataan terbuka yang bercanggah antara satu sama lain beralasankan ini adalah pandangan peribadi. Bagi penulis ini semua akan menyebabkan media mengambil peluang untuk melaga-lagakan kepimpinan dalam PAS. walhal semua ini tidak berlaku pun.

Isu Muzakarah, 16 september dan Unity Government sepatutnya perlu menjadi iktibar untuk dimuhasabahkan oleh semua pihak.

Jangan ada yang berani bertindak bersendirian dan mengetepikan keputusan parti. jangan ada yang berani mengeluarkan kenyataan terbuka membangkang keputusan kepimpinan kecuali selepas mendengar penjelasan yang jelas (itupun pimpinan tidak boleh mendahulukan keputusan peribadi daripada keputusan jemaah).

PAS adalah gerakan Islam bukan sekadar parti politik

PAS ialah parti Dakwah, Siyasah dan Tarbiyyah

Ini semua sekadar pandangan peribadi penulis, segala contoh yang disebutkan tidak ada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

4 comments:

Anonymous said...

Sebagai seorang yang berslogankan bekerja untuk Islam, saudar patut sedar kepentingan jemaah tidak boleh menandingi kepentingan Islam.

Kalau jemaah bergerak songsang, maka ianya patut diperbetulkan tanpa mengira keuntungan dan kepentingan politik.

Tapi malangnya atas kepentingan jemaah, landasan Islam tidak diikut.

Sebagai contoh Tok Guru pernah beri fatwa yang boleh berkawan dengan syaitan untuk menang pilihanraya walhal Al Quran menyatakan secara qatie yang syaitan adalah musuh kamu yang nyata.

Dalam kes mubahalah Saiful, Tok Guru tanpa segan silu menukar fatwa yang sekejap kata boleh sumpah pakai Quran dan kemudiannya tukar pula sumpah pegang Quran macam Kristian.

Kalau melihat 2 contoh di atas kita boleh lihat fatwa2 yg dikeluarkan lebih untuk kepentingan jemaaah tanpa mempedulikan kepentingan Islam.

Adakah ini kepentingan jemaah yg saudara maksudkan?

Tokngah

Zulhimi Abd. Rahman Attakiri said...

terima kasih atas komentar Tokngah

jemaah Islam mesti berlandaskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Jemaah Islam tidak tertegak atas fatwa individu.

jika jemaah Islam meninggalkan Islam, maka jemaah tersebut bergerak secara songsang. bahkan tidak wajar jemaah itu melabelkan diri sebagai jemaah ISlam.

dalam isu Kenyataan Mursyidul Am PAS, harap Tok Ngah datangkan bukti kenyataan itu secara tepat dan jelas, kalau boleh sertakan sekali link yang penulis boleh lihat kenyataan itu.

kemudian barulah kita boleh berbincang secara panjang lebar

Anonymous said...

1. Untuk fatwa pertama Tok Guru pada 4hb. Julai 2008, lihat sini http://klpos.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=1887&Itemid=83

"Sumpah dengan junjung Al Quran untuk tentu kebenaran" Nik Aziz Cetak [klpos.com] E-mail [klpos.com]
Oleh Bernama, Mstar
Jumaat, 04 Julai 2008

KB: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata "mubahalah" atau bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam.

Sambil menyokong cadangan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung perkara itu, beliau berkata melalui cara demikian, Allah SWT boleh melaknatkan mana-mana pihak yang bersalah.

"Dalam Quran sudah menyebut, setelah sudah tiada ikhtiar lagi dalam menyelesaikan kemelut yang memalukan itu, siapa yang tidak bersalah Tuhan tolong," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

2. Untuk fatwa kedua Tok Guru pada 17hb.Ogos 2008, lihat disini http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=14503

Tuan Guru Nik Aziz tegaskan sumpah Saiful cara Kristian
Dilulus terbit pada Sunday, August 17 @ 12:34:06 MYT oleh SongkokPutih

Artikel Oleh Mohd Rashidi Hassan

IPOH, 17 Ogos (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat menafikan laporan yang dipaparkan dalam akhbar arus perdana hari ini, bahawa Saiful Bukhari Azlan bersumpah dengan cara Islam.

Dalam sidang media sempena Muktamar PAS di Stadium Indera Mulia dekat sini, Ustaz Nik Aziz menegaskan, sumpah menggunakan al-Quran bercanggah dengan Islam.

Katanya, apa yang dibuat Saiful dua hari lepas, menyamai apa yang dilakukan oleh orang-orang Kristian yang bersumpah menggunakan Bible.

Tegasnya, Islam hanya menerima sumpah dengan menyebut Wallahi, Wabillahi, Watallahi.

Menteri Besar Kelantan itu juga menempelak Umno yang mempercayai bersumpah dengan cara menggunakan al-Quran.

Katanya, sumpah juga tidak perlu dibuat dalam masjid kerana ianya sama seperti ajaran Kristian yang bersumpah di gereja.

Katanya, orang Islam tidak perlu bersumpah di masjid, sebaliknya boleh bersumpah di mana-mana sahaja asalkan ianya sumpah yang menepati Islam.

Beliau juga hairan mengapa Umno menerima sumpah Saiful dan terikut-ikut dengan amalan agama yang bercanggah dengan Islam.

Ustaz Nik Aziz juga mempertikaikan motif sebenar Saiful bersumpah menjelang hari penamaan calon Permatang Pauh, yang katanya mempunyai maksud yang tersirat.

Beliau amat berharap pengundi-pengundi Melayu yang beragama Islam tidak terpengaruh dengan propaganda media yang memanipulasi sumpah Saiful.

"Saya berdoa dan berharap Dato' Seri Anwar diberikan kemenangan," ujarnya


3. Bagi fatwa berkawan dengan syaitan untuk menang pilihanraya lihat sini http://fantrealika.tripod.com/carut1.htm

Tentang isu berkawan dengan syaitan saya lihat dan dengar sendiri melalui berita TV ketika itu. Malah ianya diulangi secara terbuka oleh seorang perwakilan UMNO pada perhimpunan UMNO baru-baru ini. Tak pernah pula saya dengar Tok Guru menafikannnya.


Tokngah

Zulhimi Abd. Rahman Attakiri said...

fatwa-fatwa berkenaan dengan sah atau tidak sumpah itu, tidak berkaitan dengan jemaah, tetapi ia berkaitan dengan pandangan Islam.

Sumpah dalam Islam sah dengan mengucap wa Allahi, wabillahi, wathallahi. sementara ucapan yang lain adalah salah. dalam Islam tidak ada sumpahan yang perlu dijunjung Al-Quran atau mengadap Al-Quran atau bersumpah dengan Al-Quran.

kes saiful bukhari azlan bukan kes jemaah atau parti tertentu. ia berkait rapat dengan kesucian islam

apakah tuduhan dapat ditentukan kebenaran atau kesalahan dengan bersumpah.? kes ini perlu diadili di mahkamah secara jelas dan nyata serta didatangkan bukti dan alibi untuk mengsahihkan tuduhan tersebut.

sumpah yang dibuat memang dipertikaikan oleh ramai pihak. hasil dari sumpah tersebut, Islam akan dianggap sebagai agama yang kolot dengan membebaskan segala pertuduhan atau menyabitkan penuduhan seseorang dengan sekadar sumpah.

sumpah mubahalah pernah berlaku di zaman Nabi melibatkan dua peristiwa
1. apabila suami menuduh isteri berzina dan ketika itu, tiada saksi yang melihat

2. Allah SWT mengarahkan Nabi SAW mengadakan sumpah mubahalah terhadap golongan ahli kitab selepas mereka tidak mempercayai kerasulan NABi walaupun telah diberikan penjelesan yang nyata.

sumpah ini mesti melibatkan kedua-dua pihak.

samada berlaku atau tidak bercanggahan pendapat oleh Mursyidul AM itu tidak menjejaskan krebiliti PAS.

mungkin pada kenyataan kali pertama, Mursyidul tersilap mengeluarkan pandanngan (kalau ada pandangan itu). tetapi beliau telah memperbetulkan dengan mengeluarkan pandangan kedua bagi membetulakan pandangan pertama

tentang isu berkawan syaitan pula, link yang diberikan oleh tokngah kepada penulis hanya tuduhan individu bukannya kenyataan beliau

harap tokngah faham