Friday, February 20, 2009

Tolonglah jangan merosakkan Agama ini wahai mufti-mufti

Semenjak MB Perak yang sah memohon sembah derhaka, heboh media-media pro kerajaan memperkatakan bahawa MB perak telah menderhaka. Walhal perkataan itu hanya bahasa istana yang mesti dipakai apabila berurusan dengan keluarga di raja.

Selepas timbul isu ini, UMNO mula mencari ulamak-ulamak yang boleh menyokong survival politik mereka. Mungkin bagi pandangan UMNO, rakyat akan menerima pandangan daripada ulamak-ulamak yang agak kaku dengan persoalan politik semasa.

Isu derhaka ini telah menyebabkan mufti Perak dan Wilayah Persekutuan mengeluarkan pandangan bahawa haram bagi rakyat menderhaka dengan pemimpin berpandukan dengan dalil-dalil yang telah dijelaskan dalam Al-Quran.

Penulis tidak berniat untuk mengulas panjang hujjah-hujjah kedua-dua mufti ini kerana ianya telah dijawab oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Dr Haron Din dalam Harakah bil 1416 edisi jumaat dan harakah daily. Apa yang dijelaskan oleh beliau sudah cukup untuk rakyat menolak hujjah dangkal mufti-mufti terbabit.

Kesan daripada pandangan-pandangan mufti ini yang lebih memihak kepada kezaliman, rakyat mula mencemuh institusi mufti yang patut dihormati. Kalau sebelum ini, mufti Perak agak dihormati kerana lantang dalam menyuarakan pandangan dalam isu bollywood, sure heboh dan murtad. Kini hormat dan segan rakyat semakin mengendur. Bahkan penulis pernah membaca satu artikel yang mempertikaikan kemampuan akademik beliau sebagai seorang mufti.

Begitu juga dengan mufti wilayah persekutuan yang dikatakan agak sombong dalam bercakap. Contohnya ketika ustaz ramlang Porigi yang mempertikaikan sumpah Mula’anah yang dibuat oleh Saiful Bukhari di Masjid Wilayah persekutuan yang dikatakan tidak sah. Kebetulan ketika itu ustaz Ramlang dipaksa untuk diperalatkan menjadi saksi terhadap sumpah tersebut. Ketika itu juga, mufti bertindak dengan memperendahkan kemampuan ramlang porigi dari ilmu.

Bagi penulis, ustaz ramlang porigi lebih berprinsip daripada mufti Wilayah walaupun mungkin boleh disebut ilmu seorang mesti lebih hebat dari seorang imam.

Rakyat selalu memperkatakan kenapa mufti-mufti Malaysia tidak menonjol dalam menegak perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Institusi mufti agak menonjol ketika Dato’ Dr Asri Zainal Abidin menjadi mufti. Boleh dikatakan beliau agak cepat mengeluarkan pelbagai kenyataan samada menguntungkan parti pemerintah atau parti pembangkang.

Mufti-mufti Malaysia dilihat beku dari mengeluarkan segala pandangan-pandangan semasa yang diperlukan oleh rakyat. Contohnya tentang isu ISA, hudud, rasuah, penipuan SPRM, hak asasi manusia dan banyak lagi.

Ini bukan bermakna para mufti di ajak condong kepada politik kepartian. Persoalan politik negara, sepatutnya di ambil tahu oleh seorang mufti. Mufti bukan berperanan sekadar mengetuai bacaan doa, talqin, tahlil, solat jenazah semata-mata. Politik adalah sebahagian daripada Islam. jika mufti tidak ambil tahu hal ehwal politik, seolah-olah para mufti mengsukukan antara agama dan politik (Harap tidak begitu). Waiazubillah.

Islam bukan hanya berkaitan dengan kematian sahaja. Islam adalah cara hidup. Oleh itu para mufti perlu mengeluarkan pandangan-pandangan yang bertepatan dengan islam untuk mengajar masyarakat tentang peri pentingkan masyarakat mengamalkan Islam.

Di zaman kegemilangan Islam, ulamak cukup dihormati kerana keberaniannya mempertahankan kebenaran walaupun terpaksa berdepan dengan kemurkaan pemerintah. Boleh dikatakan semua ulamak muktabar pernah merasa di zalimi oleh pemerintah kerana mempertahankan pandangan mereka.

Penulis tidak berniat untuk merendahkan institusi mufti ini. Bahkan penulis menjunjung tinggi institusi ini. Cuma penulis bimbang dengan gerak-geri sesetengah mufti yang kadang-kadang agak bendul politik menyebabkan masyarakat hilang hormat terhadap para mufti dan ulamak.

Penulis cukup bimbang jika rakyat terlampau bermudah-mudah menuduh ulamak-ulamak sebegini sebagai ulamak su’. Sedangkan tidak ada ulamak yang rela dirinya dituduh demikian.

Harap para mufti dapat muhasabah kembali bagaimana untuk menaikkan taraf institusi ini supaya dipertingkatkan. Penulis agak bersetuju dengan pandangan agar institusi ini ditanggung oleh jabatan wakaf atau zakat supaya setiap pandangan mufti bebas dan tidak terikat dengan agenda kerajaan. Mungkin pandangan sebegini boleh dikaji supaya institusi mufti lebih bebas.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

3 comments:

Anonymous said...

Salam,

Ada perkara yang sy setuju dan tak setuju ngan entry saudara ini. Ilmu agama sy taklah setinggi mana untuk berbicara soal ini. Cuma bagi sy dalam perkara seperti ini dibolehkan dalam Islam untuk berbeza pendapat asalkan tidak berkaitan ngan hal akidah dan ibadah..

Mungkin mereka ada sebab sendiri berkata demikian. Mereka mempunyai ilmu dan mempunyai pertimbangan yang mungkin berbeza dari kita semua sebelum membuat sebarang kenyataan. Contohnya tentang kemashlahatan ummah.Adakah apabila mereka menyokong parti lagi satu ia adalah tindakan wajar dan betul tetapi apabila mengeluarkan kenyataan yang berlawanan tiba2 mereka dilabel memihak kepada kezaliman?

Saya seorang yang neutral, tetapi bila lihat pandangan saudara sebenarnya saudara juga agak bias mengeluarkan kenyataan tersebut. Mengatakan Ramlang Porigi lebih berprinsip dari mufti,beku mengeluarkan pendapat dan sebagainya.

Saya cadangkan saudara melawat jabatan mufti di negeri2 dan cuba lihat kerja yang mereka lakukan. Untuk pengetahuan saudara, mufti sekarang juga merupakan satu institusi dan sebuah jabatan kerajaan yang mempunyai ramai kakitangan dari Ketua Jabatan hingga ke pemandu. Ia bukan sekadar seorang individu sahaja seperti pandangan orang ramai.

Adalah amat tidak adil sekiranya saudara cakap mereka hanya tahu baca doa, talqin dsb tanpa mengetahui fungsi dan peranan sebenar mereka dalam institusi agama Islam. Banyak lagi sumbangan mereka yang saudara gagal untuk melihat kerana saudara hanya berpandangan dari sudut politik semata2. Pandangan saudara mereka terikat dengan kerajaan juga adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan berniat tidak baik kepada seluruh jabtan tersebut.

Zulhimi Abd. Rahman Attakiri said...

terima kasih atas respon saudara faisal terhadap entry penulis. memang benar Islam membenarkan berlakunya perbezaan pendapat dalam soal cabang. bahkan cabang aqidah dan ibadah dibenarkan berlakunya perbezaan berdasarkan kefahaman ulamak terhadap dalil-dalil yang tidak Qat'i dilalah

persoalan hujjah para mufti telah penulis sebutkan bahawa hujjah-hujjah mereka telah pun dijawab oleh Timbalan Mursyirul Am PAS dan ramai lagi ustazawan. menjawab hujjah mufti tersebut.

sepatutnya seorang mufti akan mengeluarkan pandangan berdasarkan hujjah syarak dan kukuh agar pandangan beliau dihormati oleh semua pihak. tetapi dalam isu derhak ini, kedua-dua mufti ini mengeluarkan pandangan dengan menggunakan hujjah yang dangkal dan cetek.

mungkin para mufti ada sebab dan pertimbangan tersendiri. ini penulis tidak pasti. penulis cuma memberi pandangan mengikuti kalam yang dikeluarkan oleh mufti tersebut.

penulis juga tidak bermaksud apabila seorang mufti mengeluarkan pandangan yang menyokong parti pemerintah di label kepada memihak kepada kezaliman. tetapi semua ilmuan Islam dan profesional berpandangan bahawa tindakan kerajaan BN dalam isu rampasan kuasa di Perak adalah kezaliman. jadi tindakan mufti menyebut bahawa dalam tindakan ini, rakyat perlu taat kepada pemimpin adalah satu kenyataan untuk mengajak rakyat supaya cenderung kepada kezaliman. itu sahaja. harap saudara faisal dapat memahami maksud penulis.

mungkin pengamatan penulis agak bias kepada PAS (kerana Penulis ahli PAS bukan neutral). tetapi Allah mengurniakan kepada manusia Akal untuk berfikir mana yang buruk dan mana yang baik. akal pula perlu dipandu dengan syarak.

penulis tidak bias kepada PAS apabila menyatakan ramlang porigi lebih berprinsip. penulis tidak bias kepada PAS apabila menyatakan terdapat segelintir mufti yang beku dan bendul dalam politik. penulis cuma menyebut berdasarkan pertimbangan penulis selepas mendengar ceramah saudara ramlang porigi dan penjelasan mufti wilayah. mungkin saudara faisal boleh rujuk (dalam youtube ada) dan memberi pandangan saudara pula tentang isu ini.

penulis tidak pernah mempertikaikan tugasan institusi mufti. tetapi masyarakat melihat bahawa peranan mufti seolah-olah tidak wujud kecuali dalam bab kematian. isu-isu semasa samada berkaitan politik, pendidikan dan sebagainya tidak dikeluarkan kenyataan serta merta oleh jabatan mufti. contohnya Program Musawah anjuran Sister In Islam. jabatan mufti tidak keluarkan sebarang kenyataan dan tekanan kepada kerajaan. jadi apa gunanya kakitangan yang ramai jika tidak dimanfaatkan.

pun begitu, penulis tidaklah menyatakan bahawa jabatan mufti tidak bekerja, cuma gerak kerja perlu diperluaskan sehingga menjadi sumber rujukan masyarakat Islam dan bukan Islam bagi melihat keadilan Islam dapat terpancar melalui lidah mufti dan jabatannya

harap saudara faisal dapat menerima penjelasan penulis

Zulhimi Abd. Rahman Attakiri said...

terima kasih atas respon saudara faisal terhadap entry penulis. memang benar Islam membenarkan berlakunya perbezaan pendapat dalam soal cabang. bahkan cabang aqidah dan ibadah dibenarkan berlakunya perbezaan berdasarkan kefahaman ulamak terhadap dalil-dalil yang bukan termasuk dalam hukum qat'i

persoalan hujjah para mufti telah penulis sebutkan bahawa hujjah-hujjah mereka telah pun dijawab oleh Timbalan Mursyirul Am PAS. bukan beliau sahaja, bahkan ramai ustazan telah menjawab hujjah mufti tersebut. sepatutnya sebelum seorang mufti mengeluarkan pandangan, semestinya setiap pandangan berdasarkan hujjah syarak yang kukuh agar setiap pandangan itu dihormati oleh semua pihak. bagi penulis hujah-hujah mufti dalam isu derhaka ini terlampau dangkal dan cetek.

mungkin para mufti ada sebab pertimbangan tersendiri. ini penulis tidak pasti. penulis cuma memberi pandangan mengikut kalam zahir yang dikeluarkan oleh mufti tersebut.

penulis juga tidak bermaksud apabila seorang mufti mengeluarkan pandangan yang menyokong parti pemerintah di label kepada memihak kepada kezaliman. tetapi semua ilmuan Islam dan profesional berpandangan bahawa tindakan Barisan Nasional (BN) dalam isu rampasan kuasa di Perak adalah kezaliman. jadi tindakan mufti menyebut bahawa dalam tindakan ini, rakyat perlu taat kepada pemimpin adalah satu kenyataan supaya rakyat cenderung kepada kezaliman. itu sahaja. harap saudara faisal dapat memahami maksud penulis.

mungkin pengamatan penulis agak bias kepada PAS (kerana Penulis ahli PAS bukan neutral). tetapi Allah mengurniakan kepada manusia Akal untuk berfikir mana yang buruk dan mana yang baik. akal pula perlu dipandu dengan syarak.

penulis tidak bias kepada PAS apabila menyatakan ramlang porigi lebih berprinsip. penulis tidak bias kepada PAS apabila menyatakan terdapat segelintir mufti yang beku dan bendul dalam politik. penulis cuma menyebut berdasarkan pertimbangan penulis selepas mendengar ceramah saudara ramlang porigi dan penjelasan mufti wilayah. mungkin saudara faisal boleh rujuk (dalam youtube ada) dan memberi pandangan.

penulis tidak pernah mempertikaikan tugasan institusi mufti. tetapi masyarakat melihat bahawa peranan mufti seolah-olah tidak wujud kecuali dalam bab kematian. isu-isu semasa samada berkaitan politik, pendidikan dan sebagainya tidak dikeluarkan kenyataan serta merta oleh jabatan mufti. contohnya Program Musawah anjuran Sister In Islam. jabatan mufti tidak keluarkan sebarang kenyataan dan tekanan kepada kerajaan. jadi apa gunanya kakitangan yang ramai jika tidak dimanfaatkan.

pun begitu, penulis tidaklah menyatakan bahawa jabatan mufti tidak bekerja, cuma gerak kerja perlu diperluaskan sehingga menjadi sumber rujukan masyarakat Islam dan bukan Islam bagi melihat keadilan Islam dapat terpancar melalui lidah mufti dan jabatannya

harap saudara faisal dapat menerima penjelasan penulis

- pembetulan -