Wednesday, February 11, 2009

Muhasabah 6 : Disiplin….

Ketika penulis sampai di Syria pada 2 Oktober 2002, satu perkara sahaja yang terlintas, iaitu ingin belajar bersungguh untuk menguasai bahasa Arab. Kebetulan ketika itu, setiap pelajar yang mendaftar perlu ditemuduga terlebih dahulu bagi memastikan kelayakan pelajar terbabit. Alhamdulillah, penulis berjaya melepasi sesi temuduga tersebut walaupun hanya memperolehi markah yang boleh dikatakan cukup-cukup makan sahaja.

3 bulan pertama berada di tahun satu kuliah Dakwah dan Bahasa Arab cukup memenatkan. Penulis hanya mampu memahami 20% daripada apa yang disampaikan oleh pensyarah. Dengan sebab itu, penulis mengatur jadual yang cukup ketat supaya penguasaan bahasa arab dapat ditingkatkan. Alhamdulillah, selepas 3 bulan mengikuti jadual yang ketat itu, penulis dapat menguasai apa yang disampaikan oleh penyarah secara teratur dan berkesan. Itupun selepas Mu’jam Asasi hampir hancur dibelek. Niat di hati mahu sahaja ditelan mu’jam tu, senanglah sikit nak ingat makna-makna perkataan arab ni.hehehe.

Tetapi sayang, selepas penulis menguasai bahasa arab dengan baik, jadual ketat yang penulis lakarkan itu tidak diikuti lagi. Kalau sebelum itu, penulis membaca hampir 4 jam sehari, tetapi selepas itu, hanya 2 jam sahaja diperuntukkan untuk membaca sehari. Penulis pun tidak tahu kenapa. Inilah antara kelemahan ketara penulis dalam membentuk disiplin terhadap diri sendiri.

Begitu juga ketika penulis mula terlibat dalam persatuan, pada permulaannya, penulis mampu memberi komitmen terhadap kedua-dua dengan baik dan berdisiplin, tetapi selepas setahun, akhirnya disiplin yang diatur tidak dapat diikuti dengan baik dan berkesan. Penulis tidak pernah menyalahkan persatuan, tetapi penulis menyalahkan diri sendiri yang tidak mampu istiqomah dengan disiplin yang diatur.

Selepas pulang ke malaysia pada 3 oktober 2007, penulis mengikuti latihan perniagaan di BSC Services, Seri Kembangan, Selangor. Pada permulaannya kelihatan agak sukar, kerana sebelum ini, penulis tidak pernah didedahkan langsung dengan perniagaan. Alhamdulillah selepas 3 bulan berkursus, penulis dapat memahami sedikit demi sedikit selok belok dunia perniagaan yang agak mencabar ini.

Pun begitu, kehidupan ini masih belum dapat diatur dengan baik dan berdisiplin. Hasil daripada kurang berdisiplin dalam kerja, terdapat kerja yang tertangguh, terdapat kerja yang lupa dibuat, kadang-kadang customer merungut kerana barang lambat sampai. Ini adalah bahana apabila disiplin di perkuatkuasakan dalam diri.

Tahun ini, komitmen penulis semakin bertambah, pada tahun ini juga, penulis dilantik menjadi imam di Masjid As-Solihin, Teras jernang, kajang. Pada tahun ini juga, penulis ingin menyambung pelajaran di UKM (tak tahu dapat ke tidak). Pada tahun ini juga penulis ingin mengembangkan lagi perniagaan yang telah diceburi. Pada tahun ini juga, asiah akan mencapai umur setahun, bermakna emosi asiah perlu dibentuk secara baik.Pada tahun ini juga penulis berazam untuk mempertingkatkan mutu tulisan dalam blog ini.

Semua ini berhajat kepada disiplin dan istiqomah yang cukup tinggi. Kadang-kadang penulis merindui suasana 3 bulan pertama di syria. Ketika itu, disiplin penulis terhadap jadual diri cukup tinggi. Setakat ini, penulis cuba semampu mungkin untuk membentuk jadual diri yang berkesan. insyaAllah penulis akan cuba membentuk disiplin diri agar segala kerja tidak tertangguh, setiap hak diberikan kepada mereka yang berhak dan kerja jemaah tidak ketinggalan.

Doakan kepada penulis yang lemah ini.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

No comments: