Wednesday, February 18, 2009

Kesan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

Penulis sempat membaca kajian Dr. Haji Awang Sariyan dan Kamal Shukri Abdullah Sani yang bertajuk Kesan Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik di Institusi Pendidikan di Malaysia. di sini penulis nukilkan kesimpulan daripada kajian tersebut untuk tatapan para pembaca.


1. Di sekolah rendah kebangsaan (Tingkatan 1-6) dan menengah rendah (Tingkatan1-3), hanya mata pelajaran Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris.


2. Mulai sekolah menengah atas (Tingkatan 4-6) kira-kira 47 mata pelajaran Sains/Matematik dan yang bersekutu (teknik vokasional), iaitu peringkat SPM akan diajarkan dalam bahasa Inggeris.


3. Hanya 19 mata pelajaran peringkat SPM dijangka kekal pengajarannya dalam bahasa Melayu.


4. Peringkat pendidikan lepas SPM ( tingkatan enam, matrikulasi, dan universiti bagi program diploma dan ijazah) akan lebih bertambah kursusnya dalam bahasa Inggeris yang dilihat dapat mencapai angka melebihi seribu kursus (1000) bagi satu universiti sahaja.


5. Sekalipun bahasa Melayu dikatakan kekal sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan di Malaysia (seperti termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152.) , tetapi peranan bahasa Melayu selanjutnya dalam bidang ilmu Sains dan teknologi akan tersekat terus dan terbantut kecuali dalam bidang yang amat terhad, khususnya bagi pendidikan tinggi (era selepas SPM) sedangkan bahasa Melayu telahpun banyak meneroka bidang tersebut dengan lebih 800,000 istilah, 200,000 buah buku pelbagai judul, dan sebagainya. Segala usaha tersebut hanya perlu disempurnakan serta dibaiki dari semasa ke semasa.


6. Potensi bahasa Melayu (sebagai bahasa keempat terbesar di dunia) dinafikan dan seolah-olah tidak diakui, dan kerana itu tidak akan berkembang maju sehingga bila-bila, bagi pengucapan bidang ilmu Sains dan teknologi, malah seolah-olah tidak layak untuk 842 Kongres Bahasa dan Pensuratan Melayu VI membicarakan bidang ilmu tersebut, dan hanya layak atau terbatas bagi pengucapan bidang umum yang lain sahaja, seperti sastera dan kemasyarakatan.


7. Peratus mata pelajaran berbahasa Melayu jelas kelihatan mengalami hakisan mulai pendidikan peringkat menengah atas (Tingkatan 4-6 dan Matrikulasi) dan seterusnya menjunam teruk ke ambang kepupusan di peringkat universiti, yang begitu jelas menunjukkan bahawa bahasa Melayu semakin terhakis khususnya bagi pengajaran ilmu moden, sains, dan teknologi. Keadaan ini bermula dengan 60% di pendidikan rendah, menjadi 62% di sekolah menengah rendah(Tingkatan 1-3), seterusnya merosot kepada 35% di peringkat menengah atas (Tingkatan 4-5), merosot lagi menjadi 20% bagi Tingkatan Enam dan Matrikulasi dan seterusnya menjunam lagi sehingga tinggal 9% di peringkat universiti. Manakala hal yang sebaliknya berlaku bagi penggunaan bahasa Inggeris, iaitu peningkatan secara terancang bagi mengambil kembali peranan bahasa Melayu (bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan negara ini) sebelum ini, sebagai bahasa pengantar bidang ilmu sains dan teknologi selama kira-kira 30 tahun. Daripada 40 penggunaan di peringkat sekolah rendah menjadi 38% bagi menengah rendah (Tingkatan1-3), meningkat dengan mendadak kepada 65% bagi menengah atas (Tingkatan 4-5 Sains), dan seterusnya meningkat lagi kepada 80% bagi peringkat Tingkatan 6 dan Matrikulasi, dan mencapai kemuncaknya, iaitu 91% penggunaan di peringkat universiti.


Jadi, marilah sama-sama kita berhimpun pada 7 Mac 2009 nanti bagi menyatakan bantahan terhadap penerusan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris.


Kita bukan menentang bahasa Inggeris. Bahkan kita menggalakkan agara rakyat Malaysia dapat menguasai pelbagai bahasa. TETAPI jangan sampai TERGADAI bahasa sendiri.


BAHASA LAMBANG BUDAYA BANGSA


www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

1 comment:

Zulhimi Abd. Rahman Attakiri said...

terima kasih...harap dapat berkongsi idea untuk ISLAM