Tuesday, December 30, 2008

Muhasabah 3 : Adakah kita merindui Allah ?

Entah kenapa tiba-tiba terlintas difikiran perasaan sedih yang teramat sangat. Terbayang di kepala tentang sebuah kematian yang dihadapi. Penulis merasa sedih untuk berpisah dengan ummu asiah dan asiah. kebetulan ketika ini ummu asiah dan asiah berada di Terengganu. Penulis pula terpaksa meneruskan kerja yang tertangguh di Bumi Darul Ehsan ini.

Dalam keadaan kesedihan, tiba-tiba terlintas dalam fikiran kenapa aku terlampau merindui keluarga melebihi kerinduan kepada Allah SWT.? Anak dan Isteri merupakan amanah Allah SWT. Amanah ini mesti dilaksanakan dengan memperdekatkan keluarga kepada Allah SWT.

Memang tidak dinafikan apabila seorang suami memperuntukkan masa bersama isteri dan anak dikira sebagai ibadat dan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Tetapi apabila masa yang diperuntukkan terlampau lebih sehingga lalai melaksanakan perintah Allah SWT, ini dikira sebagai suatu dosa. Kadang-kadang kita beralasan bahawa seorang pejuang Islam perlu memperuntukkan masa kepada keluarga kerana keluarga juga mempunyai hak ke atas seorang suami atau seorang bapa.

Penulis memang tidak menafikan hak ini, bahkan penulis cukup bimbang jika terdapat pejuang Islam yang terlampau bersemangat bersama dengan Gerakan Islam sehingga keluarga terabai menyebabkan keluarga pejuang tersebut akan mempersalahkan gerakan Islam.

Setiap hak perlu diberikan. Hak seorang anak hendak bersama dengan bapanya. Hak seorang isteri hendak sentiasa dihargai oleh suami, hak diri sendiri dengan dijaga kesihatan. Hak perjuangan Islam ialah dengan memberi komitmen dalam gerak kerja jemaah. Semua hak ini perlu diberikan.

Berbalik ke tajuk rindu tadi. Sudah menjadi kebiasaan bagi yang berpisah jauh dari keluarga akan merasa rindu untuk berjumpa. Bukan setakat keluarga, pasangan kekasih pun begitu juga. Sehari tidak mendengar suara, mandi jadi tak basah, tidur jadi tidak lena, inilah penangan sebuah kerinduan.

TAPI bagaimana kita merindui Allah SWT. Adakah pernah satu detik, kita terlampau rindu untuk berjumpa dengan Allah, adakah pernah satu detik, kita tidak sabar untuk menunggu waktu sembahyang yang seterusnya kerana rindu untuk berhadapan dengan Allah SWT.

Inilah yang terlintas dalam benak penulis. Kadang-kadang penulis malu untuk menyebut diri sebagai seorang yang berslogan bekerja untuk ISLAM. Penulis malu kerana perjuangan dan amalan penulis masih diperingkat untuk mengisi masa lapang. Kalau pejuang terdahulu mengorbankan seluruh kehidupan untuk Islam. Tetapi penulis belum sampai ke tahap itu lagi..doakan supaya penulis sentiasa thabat dan meningkatkan diri dalam memperjuangkan Islam.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

No comments: