Wednesday, December 31, 2008

Akhirnya kau pergi jua 2008

Media cetak dan media elektronik begitu sibuk mengira detik dan saat berakhirnya tahun 2008 yang akan berakhir tidak berapa jam lagi. 2008 meninggalkana begitu banyak kenangan pahit, manis, pilu, dukacita dan sebagainya. Begitulah apa yang penulis dengar bebelan Deejay radio24 (kebetulan penulis selalu berada outstation, tu yang jadi pendengar setia radio24).

Begitulah sifat masa yang terus berlalu tanpa kembali. Amat rugi dan malang bagi sesiapa yang membiarkan masa yang berlalu tanpa diisi. Amat-amat rugilah bagi mereka yang hanya menyibukkan diri untuk urusan dunia tapi membiarkan masa untuk akhirat kosong tidak terisi apa-apa. Amat paling merugikan bagi mereka yang membiarkan masa berlalu tanpa terisi dengan perkara keduniaan mahupun keakhiratan.

(Template Pertama)

1429H dan 2008M menyaksikan begitu banyak perubahan dalam agenda politik Islam dan Masyarakat Malaysia. Kalau sebelum ini, Masyarakat Malaysia dimomokkan dengan ideology hanya BN boleh memerintah. Kini suasana semakin berubah. Keyakinan terhadap PAKATAN RAKYAT semakin meningkat. Rakyat Malaysia sudah tidak bodoh untuk membezakan antara intan dan permata.

Sedar ataupun tidak hampir setahun penulis telah bersama-sama menempuh arus gelombang penulisan. Hampir 3 kali design blog bertukar. Cuma gaya penulisan yang belum berubah. Nak buat macam mana, penulis budak baru belajar. Semoga perjuangan dalam penulisan ini dapat terus diistiqamahkan.

(Template Kedua)

Sebenarnya hasrat untuk mencipta blog sendiri bermula ketika penulis belajar Di Syria lagi. Tetapi oleh kerana untuk mendapatkan line internet peribadi begitu sukar dicampur dengan ketidakpandaian penulis dalam membina laman blog peribadi menyebabkan hasrat itu tertangguh.

Alhamdulillah selepas 2 bulan pulang ke Malaysia www.attakiri.blogspot.com berjaya direalisasikan. Pun begitu bukan bermakna penulis cukup berpuas hati dengan pencapaian yang ada.

(Template sekarang)

Teringat ketika mengikuti wacana Pendakwah dan ICT anjuran Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dengan kerjasama Gabungan Pendakwah Islam Selangor (GAPIS) antara lain menyebut : Pendakwah mesti mencari dan memberi maklumat yang berkualiti dan tepat kepada mad’u dan pembaca.

Jadi sewajarnya penulis perlu lebih serius dalam dunia penulisan. Memang tidak dinafikan kadang-kala penulisan ini dipengaruhi oleh emosi. Tetapi jangan emosi mempengaruhi fakta.

Inilah antara punca kerajaan Umawiyyah diperburuk-burukkan dalam agenda sejarah. Berbetulan kebanyakan penulis sejarah merupakan pro kerajaan Abbasiyyah, jadi segala kebaikan Kerajaan Islam Umayyyah seakan-akan didiamkan dari sejarah.

Semoga kedatangan 1430H dan tahun 2009M member nafas dan azam baru kepada penulis untuk terus melaksanakan agenda penulisan dan sentiasa memberi maklumat dakwah yang berkualiti dan semasa kepada pembaca semua.

Terima kasih kepada pembaca, pengomen dan pengkritik yang sudi melawat blog ini. Semoga slogan BEKERJA UNTUK ISLAM akan terus bersama dalam dunia maya ini insyaAllah

Selamat tinggal 1429H dan 2008M

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, December 30, 2008

Muhasabah 3 : Adakah kita merindui Allah ?

Entah kenapa tiba-tiba terlintas difikiran perasaan sedih yang teramat sangat. Terbayang di kepala tentang sebuah kematian yang dihadapi. Penulis merasa sedih untuk berpisah dengan ummu asiah dan asiah. kebetulan ketika ini ummu asiah dan asiah berada di Terengganu. Penulis pula terpaksa meneruskan kerja yang tertangguh di Bumi Darul Ehsan ini.

Dalam keadaan kesedihan, tiba-tiba terlintas dalam fikiran kenapa aku terlampau merindui keluarga melebihi kerinduan kepada Allah SWT.? Anak dan Isteri merupakan amanah Allah SWT. Amanah ini mesti dilaksanakan dengan memperdekatkan keluarga kepada Allah SWT.

Memang tidak dinafikan apabila seorang suami memperuntukkan masa bersama isteri dan anak dikira sebagai ibadat dan mendapat pahala di sisi Allah SWT. Tetapi apabila masa yang diperuntukkan terlampau lebih sehingga lalai melaksanakan perintah Allah SWT, ini dikira sebagai suatu dosa. Kadang-kadang kita beralasan bahawa seorang pejuang Islam perlu memperuntukkan masa kepada keluarga kerana keluarga juga mempunyai hak ke atas seorang suami atau seorang bapa.

Penulis memang tidak menafikan hak ini, bahkan penulis cukup bimbang jika terdapat pejuang Islam yang terlampau bersemangat bersama dengan Gerakan Islam sehingga keluarga terabai menyebabkan keluarga pejuang tersebut akan mempersalahkan gerakan Islam.

Setiap hak perlu diberikan. Hak seorang anak hendak bersama dengan bapanya. Hak seorang isteri hendak sentiasa dihargai oleh suami, hak diri sendiri dengan dijaga kesihatan. Hak perjuangan Islam ialah dengan memberi komitmen dalam gerak kerja jemaah. Semua hak ini perlu diberikan.

Berbalik ke tajuk rindu tadi. Sudah menjadi kebiasaan bagi yang berpisah jauh dari keluarga akan merasa rindu untuk berjumpa. Bukan setakat keluarga, pasangan kekasih pun begitu juga. Sehari tidak mendengar suara, mandi jadi tak basah, tidur jadi tidak lena, inilah penangan sebuah kerinduan.

TAPI bagaimana kita merindui Allah SWT. Adakah pernah satu detik, kita terlampau rindu untuk berjumpa dengan Allah, adakah pernah satu detik, kita tidak sabar untuk menunggu waktu sembahyang yang seterusnya kerana rindu untuk berhadapan dengan Allah SWT.

Inilah yang terlintas dalam benak penulis. Kadang-kadang penulis malu untuk menyebut diri sebagai seorang yang berslogan bekerja untuk ISLAM. Penulis malu kerana perjuangan dan amalan penulis masih diperingkat untuk mengisi masa lapang. Kalau pejuang terdahulu mengorbankan seluruh kehidupan untuk Islam. Tetapi penulis belum sampai ke tahap itu lagi..doakan supaya penulis sentiasa thabat dan meningkatkan diri dalam memperjuangkan Islam.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Monday, December 29, 2008

Maal Hijrah..Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Negara Islam Madinah

Esok Umat Islam Menyambut Tahun Baru Hijrah 1430. Seperti biasa kebanyakan masjid dan surau akan mengadakan pelbagai program untuk sambutan Maal Hijrah ini. Tentatif program kebiasaanya ialah seperti bacaan Yasin, ceramah maal hijrah dan seangkatan dengannya. Jarang sekali penulis terdengar sambutan countdown maal hijrah dan konsert untuk maal hijrah. Tentatif secara tradisi ini akan menyebabkan hanya warga veteran sahaja yang terlibat dengan sambutan maal hijrah.

Penggunaan Tahun Hijrah bagi calendar Islam tercetus hasil daripada keputusan mesyuarat ahli Kabinet pada zaman Saidina Umar Al-Khattab. Oleh kerana sebelum ini, Kalendar Islam tidak mempunyai bilangan tahun sebagaimana Tahun Masihi yang bermula daripada tahun kelahiran Nabi Isa AS. Pengiraan tahun sebelum ini hanya berkisar kepada peristiwa sahaja seperti tahun Gajah, Tahun Kesedihan dan sebagainya.

Ketika Mesyuarat di kalangan Ahli Kabinet Para Sahabat berlangsung, ada yang mencadangkan agar permulaan tahun Islam dikira dari kelahiran, ada juga yang mencadangkan agar pengiraan tahun bermula dari turunnya wahyu kepada Nabi dan pelbagai cadangan lagi. Akhirnya semua bersetuju bahawa bermula tahun calendar Islam di ambil daripada tahun penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Kota Madinah.

Walaupun begitu, ini bukan bermakna nabi sampai ke kota madinah pada 1 muharam. Tapi tahun tersebut dikira tahun pertama hijrah. Kerana menurut riwayat yang paling arjah sebagaimana yang terdapat dalam kitab Fiqh Sirah Nabawiyyah karangan Prof. Dr. Said Ramadhan Al-Buthi bahawa Rasulullah sampai ke kota madinah pada hari khamis 12 rabiul Awwal 1 hijrah.

Kenapa Penghijrahan Nabi dipilih sebagai permulaan tahun bagi calendar umat Islam.? Kenapa tidak dipilih tahun permulaan wahyu.? Kenapa tidak dipilih tahun permulaan dakwah Nabi secara terang-terangan.?

Tahun Hijrah dipilih kerana ketika itu bermulalah Pelaksanaan Islam secara praktikal. Kalau sebelum Nabi hanya berdakwah di Masjidil Haram. Tetapi kini Nabi akan melaksanakan bentuk pemerintahan berdasarkan kepada acuan Al-Quran dan Sunnah. Islam akan dapat dikembangkan lagi selepas tertubuh sebuah Negara.

Kewujudan Negara Islam dapat dibuktikan dengan termeterainya suatu piagam madinah yang boleh dijadikan bukti bahawa madinah adalah sebuah Negara yang berpandukan Islam.

Kalau sebelum ini, masyarakat memandang Islam hanya agama untuk para fakir miskin, orang teraniaya. Tetapi kini, masyarakat memandang Islam sebagai agama yang mengajar manusia bagaimana untuk maju ke depan.

Islam tidak dapat disempurnakan tanpa kuasa. Hampir 2/3 daripada ajaran Islam memerlukan kuasa untuk disempurnakan. Contohnya perkara berkaitan solat jumaat, munakahat (bab Perkahwinan), bab Muamalat, bab Jinayah dan banyak lagi.

Imam Ghazali pernah menyebut dalam Ihya Ulumidin

الدنيا مزرعة الأخرة، ولا يتم الدين إلا بالدنيا، والملك والدين توءمان، والدين أصل، والسلطان حارس، وما لا أصل له فمهدوم، وما لا حارس له فضائع ولا يتم الملك والضبط إلا بالسلطان

Maksudnya : Dunia sebagai kebun untuk akhirat, Agama tidak akan sempurna tanpa adanya dunia, kekuasaan dan agama merupakan kembar (sangat rapat), agama itu adalah asas, penguasaan itu adalah penjaganya, perkara yang tiada asas nescaya akan hancur, perkara yang tidak penjaga nescaya peranannya akan sempit, kekuasaan dan kekuatan tidak akan sempurnya kecuali dengan penguasaan (Ihya Ulumidin, Kitab Ilmu).

Hudud salah satu dari bab Jinayah dalam Islam

Oleh kerana Islam merupakan cara hidup manusia, semestinya Al-Quran menjadi sumber kepada kehidupan ini. Antara arahan Al-Quran ialah pelaksanaan hukum terhadap penjenayah dalam Negara Islam yang merangkumi 3 aspek iaitu Hudud, Qisas dan Ta’zir. Bab Jinayah dalam Islam merupakan antara bab-bab yang terkandung dalam Al-Quran.

Dalam Al-Quran ada menerangkan kaedah Muamalat Islam yang semakin diakui keberkesanannya. Dalam Al-Quran ada menerangkan sistem pendidikan yang berteraskan konsep taqwa yang semakin diakui kepentingan dalam kehidupan masa kini oleh umat Islam dan dunia barat. Dalam Al-Quran ada menerangkan sistem zakat dan pembahagiannya yang akhirnya diakui keberkesanannya dalam menjana ekonomi Negara. Dalam Al-Quran ada menerangkan konsep solat yang akhirnya diakui oleh sarjana bukan Islam bahawa solat ini merupakan antara konsep kesihatan yang terbaik dalam sistem tubuh manusia. Dalam Al-Quran ada menerangkan konsep pencegahan terhadap penjenayah dalam sebuah Negara. Ini juga semakin diakui keperluannya dalam kehidupan zaman kini.

Oleh itu, Perlaksanaan Pencegahan Jenayah ini perlu dipandang secara positif. Hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir bukan dilaksanakan kepada orang yang mematuhi undang-undang. Tetapi hukum ini dilaksanakan kepada perompak, pengzina, peminum arak, perasuah, pengkhianat harta rakyat dan pengacau keamanan Negara.

Kalau ada yang menyatakan hudud ini zalim. Bagi penulis ISA lebih zalim daripada hudud. Hukum Hudud dilaksanakan selepas didatangkan saksi-saksi yang dipercayai dan mempunyai kelayakan. Tetapi ISA di jalankan tanpa perbicaraan dan saksi. Bahkan penahanan ini dijalankan tanpa sebab-sebab yang kukuh. Jadi mana yang lebih zalim.?

Semoga kedatangan tahun baru ini menjadi titik perubahan kepada perkembangan politik semasa yang semakin hari semakin meruncing. Politik Negara dilihat sebagai politik secular yang menerima Islam untuk menguatkan kuasa. Penerimaan Islam bukan atas kesedaran kepentingan beragama.

Ekonomi Islam diterima kerana Malaysia terpaksa mengakui sistem ekonomi tajaan kapitalis telah runtuh dan tidak relevan.

Jadikan sambutan Maal Hijrah pada tahun sebagai tranformasi untuk merubah Malaysia menjadi sebuah Negara yang berlandaskan kepada keredhaan Allah SWT

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, December 23, 2008

Satu Pengkhianatan terhadap Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili

Kebetulan penulis berjalan-jalan di kedai buku berdekatan warta, tiba-tiba penulis terjumpa buku yang bertajuk ”Panduan Hidup Islam Hadhari” karangan Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili, terbitan Berlian Publication. Penulis cuba mencari tajuk asal kitab ini dan siapa penterjemah, tetapi tidak ditulis dalam buku tersebut.

Penulis beranggapan tajuk asal buku ini ialah Al-Akhlak fi Islam (Akhlak dalam Islam) berpandukan kepada isi kandungan buku itu. Kalau betul tanggapan penulis, ini bermakna telah berlaku satu lagi pengkhianatan terhadap tokoh besar Islam demi memenuhkan agenda kerajaan Persekutuan.

Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili antara individu yang cukup menentang Islam Hadhari. Bahkan beliau menyifatkan Islam Hadhari merupakan satu kekufuran. Ini berdasarkan kenyataan YB Taib Azamuddin ketika pertemuan beliau dengan Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaili di Syria pada tahun 2006.

Jadi macam mana Dr. Wahbah boleh menulis panduan hidup Islam Hadhari sedangkan dalam masa yang sama beliau menentang istilah tersebut.

Penterjemahan tajuk buku yang tidak tepat ini sungguh membahayakan umat Islam dan merosakkan disiplin ilmu. Harap buku ini dapat ditarik balik oleh pihak penerbit demi untuk menyelematkan aqidah umat Islam.

www.attakiri.blogspot.com


... Bekerja Untuk Islam ...

Saturday, December 20, 2008

IJN Muqaddimah Pengswastaan Kesihatan

Semalam penulis terdengar siaran radio24 yang membincangkan tentang isu penjualan saham sebanyak 51% kepada Sime Darby Berhad. Rata-rata masyarakat mengeluarkan pandangan tidak bersetuju atas penjualan saham tersebut.

Penulis cukup tertarik dengan satu pandangan yang membantah penswastaan ini dengan menyebut, “Ketika Lembaga Letrik Negara (LKN) hendak diswastakan, Kerajaan mendakwa kebajikan rakyat akan terus terbela dengan tiada sebarang kenaikan yang membebankan , tetapi yang ada sebaliknya. Begitu juga dengan apa berlaku sekarang, walaupun SimeDarby mendakwa akan terus menjaga kebajikan rakyat, tetapi kenaikan pasti akan berlaku kerana pengswastaan semestinya berasaskan kepada keuntungan.”

Sebelum ini, kita telah didengari dengan beberapa ura-ura untuk mengswastakan kesihatan. Alhamdulillah rancangan tersebut seoalah-oleh terpadam seketika. Mungkin kerajaan Feudral sekarang ini bimbang rakyat akan menghukum kali kedua pula dalam PRU13 nanti. Tiba-tiba Institut Jantung Negara pula hendak diswastakan.

Institut Jantung Negara merupakan syarikat di bawah naungan Kementerian Kewangan sepenuhnya. Sebelum IJN di swastakan lagi, kos perbelanjaan pesakit dikatakan agak mahal yang membabitkan ribuan ringgit. Penulis tidak dapat bayangkan bagaimana kalau IJN ini diswastakan, ini akan menyebabkan rakyat marhain takut untuk mendekati IJN disebabkan deposit yang cukup tinggi. Mungkin akan berlaku rakyat rela mati daripada membayar kos yang tinggi itu.

Hujjah menyatakan bahawa pengswastaan ini adalah bertujuan untuk memperhebatkan perkhidmatan merupakan suatu hujjah dangkal kerajaan. Kesihatan merupakan tanggungjawab kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat. Apabila rakyat bebas dari sebarang wabak dan penyakit, sektor pelancongan akan terus meningkat. Ini akan menambahkan lagi pendapatan kerajaan dalam sektor pelancongan.

Kalau sebelum ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan barang secara mendadak hasil dari kedangkalan kerajaan yang terburu-buru menaikkan harga minyak sebanyak RM 0.70 sen. Kalau sebelum ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan tarif elektrik akibat kenaikan kos pengurusan. Kalau sebelum ini, rakyat telah dibebankan dengan kenaikan surcaj BAS ekspress sebanyak 30% dengan beralasan supaya kebajikan syarikat BAS ini tidak terabai. Kini, rakyat akan dibebankan dengan kenaikan dalam bentuk perubatan.

Rakyat tidak akan memberontak jikalau kenaikan itu kena pada waktu dan tepat penghujahannya. Contohnya kenaikan harga roti canai, kita tidak membantah kerana kos modal pembuataan roti canai semakin meningkat. Tetapi yang menimbulkan kemarahan ialah kalau kenaikan itu dibuat secara tidak munasabah. Contoh penjanjian konsensi tol yang menunjukkan akan sentiasa berlaku kenaikan dari semasa ke semasa. Perjanjian seolah-olah disembunyikan daripada parlimen. Walhal pembayar tol adalah rakyat jelata.

Penulis tidak dapat bayangkan kalaulah pemerintah kerajaan Feudral menang besar dalam PRU12 baru-baru ini. Tentu macam-macam lagi akan dibuatnya untuk mengenyangkan kroni dan sanak-saudara. Penurunan harga minyak, penangguhan pengswastaan IJN, kempen penurunan harga barang, dan pelbagai kegiataan untuk rakyat digerakkan hasil daripada pembangkang yang kuat dalam parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ramai yang berpandangan bahawa penangguhan pengswastaan IJN ini merupakan taktik untuk memudahkan BN berdepan dengan PRK di P36 Kuala Terengganu pada 16 Januari nanti. Taktik ini samalah seperti kenyataan Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum PRU12 bahawa harga minyak tidak akan dinaikkan. habis sahaja pilihanraya, terus harga minyak dinaikkan sebanyak RM 0.70. jadi tidak mustahil selepas PRK nanti, Kerajaan Malaysia akan meneruskan dasar pengswastaan IJN dengan beralasan perlu penambahbaikan dalam IJN supaya setanding dengan negara lain.

Sepatutnya umat Islam tidak perlu jatuh dalam lubang yang sama 2 kali. Cukuplah selama 50 tahun peluang diberikan kepada BN untuk mentadbir negeri. Bagilah peluang kepada keadilan Islam untuk menguasai Malaysia ini. Lihatlah Kelantan yang ditadbir hampir 18 tahun dengan Islam yang dikagumi oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Islam tidak pernah meminggirkan fitrah kehidupan manusia. Bahkan Islam memandu manusia bagaimana untuk hidup dengan selamat dan mengikut fitrah kemahuan manusia.

Semua manusia tidak inginkan kezaliman, semua manusi tidak inginkan konkongan yang melampau-lampau, semua manusia tidak inginkan kebebasan tanpa sempadan. Jadi dengan kembali kepada Islam, nescaya manusia pasti akan menemui apa yang diinginkan itu sebagai makhluk yang bersifat fitrah.

Oleh marilah sama-sama kita berdoa dan bekerja agar PRK di p36 Kuala Terengganu nanti, Islam mencapai kemenangan. Hasil kemenangan ini merupakan petanda kepada keruntuhan sebuah kerajaan yang bernama BARISAN NASIONAL pada PRU13, insyAllah

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Muhasabah 2 : Keikhlasan perlu disusuri dengan bersistem

Setiap orang mendakwa kewajipan melebihi masa yang ada. Masing-masing mendakwa kerja-kerja jemaah yang dilakukan terlampau banyak sehingga tidak mampu untuk menambah kerja lagi. Hasil dari kerja yang banyak itu ialah kelewaaan dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberi. Program yang dirancang di buat sambil lewa. Mesyuarat lambat sampai, setiap keputusan dilaksanakan dalam keadaan lembab.

Gejala inilah yang melanda kepada penulis sebulan dua ini. pada mulanya pelbagai alasan yang diberikan..tetapi setelah difikirkan sampai bila aku hendak beralasan. Kesilapan datang dari diri sendiri, jadi kesilapan ini perlu diambil pengajaran dan iktibar untuk akan datang. Antara kesilapan yang tidak patut dilakukan oleh insan yang ingin bergelar pejuangan Islam ialah sikap melengah-lengahkan masa.

Alasan boleh dicipta untuk melepaskan diri. Orang munafik yang tidak menyertai peperangan tabuk membuat pelbagai alasan untuk mendapat pembebasan daripada Nabi SAW. Tetapi macam mana di akhirat nanti.? Mampukah kita berhujjah di hadapan Allah SWT.! Jadilah seperti Kaab bin Malik yang mengakui kesilapan sehingga mendapat pujian daripada Allah SWT. Bahkan kisah beliau bersama 2 sahabatnya lagi dipuji sehingga hari kiamat.

Melengah-lengahkan masa bukan untuk kerja jemaah semata-mata bahkan untuk urusan lain juga tidak digalakkan. Ini semua akan menyebabkan kerja akan bertimbun. Kemudian mula timbul ketidakcukupan masa dan waktu dalam melaksanakan semua gerak kerja. Timbul pula penyelesaian sambil lewa dan lari dari konsep Islam yang sebenar.

Islam mengajar penganutnya menepati waktu. Allah cukup murka terhadap hambaNya yang melengah-lengah waktu sembahyang. Manifiestasi daripada itu ialah kepentingan untuk seseorang itu melaksanakan setiap agenda pada waktunya. Jangan tertangguh-tangguh kerana kita tidak tahu gerak kerja yang akan datang.

Pelaksaan keputusan secara sambil lewa juga menyalahi amalan perlaksaan Nabi SAW. Allah SWT begitu mengasihi setiap hamba yang melaksanakan sesuatu tugasan dengan tekun dan cemerlang.

Tugasan yang diterima bukan untuk dibanggakan. Tetapi tugasan ini adalah sebagai tanda kita sanggup bekerja untuk Islam. Slogan bekerja untuk Islam bukan sekadar melaksanakan setiap agenda tanpa mengkaji strategi dan bentuk perlaksanaan. Tetapi slogan Bekerja Untuk Islam perlu digarap dan dirancang agar setiap agenda mencapai objektif dan Visi perjuangan Islam.

Keikhlasan pejuangan perlu diselarikan dengan sistem kerja yang berkesan, sistem perancangan yang mantap, kesediaan untuk ditegur untuk diperbetulkan pada masa akan datang. Semua ini akan menghasilkan satu kekuatan dan kemajuan dalam gerak kerja untuk memartabatkan Islam.

Perjuangan ini bukan hanya digerakkan dengan semangat semata-mata. Tetapi perjuangan ini akan berterusan dengan kesedaran. Kesedaran semata-mata tidak mampu untuk memartabatkan Islam. Tetapi kesedaran ini perlu disatukan dengan sistem organisasi yang mantap dan berkesan.

Jangan mudah mencipta alasan untuk mengelak dari Bekerja Untuk Islam. Masih tergiang-giang ditelinga penulis jawapan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden ketika ditanya tentang kesibukan masa sehingga tidak sempat untuk melaksanakan agenda perjuangan Islam. Jawab Tuan guru mudah sahaja Sebenarnya siapa yang menyebut tiada masa masih ada masa menyebut tiada masa.

Sebab itulah kadang-kala penulis merasa malu untuk mengaku tidak sempat melaksanakan kerja. Penulis bukan sempat tetapi disiplin penulis dalam bekerja perlu diperkemaskan lagi.

Kalau orang lain mampu, kenapa kita tidak

Ya Allah Ya Tuhanku, Kurniakan kekuatan kepada kami untuk terus bekerja melaksanakan arahanmu Ya Allah. Jauhkan dari diri kami sifat leka, lalai, lengahkan masa Ya Allah, masukkan kami dalam kalangan mereka-mereka yang diredhai oleh Mu ya Rabb

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Thursday, December 18, 2008

Muhasabah 1 : apa ada pada gelaran Ustaz kalau….

Kalau dulu, Imam Kampung di anggap kuasa pemutus, Imam Kampung begitu dihormati, Imam Kampung di anggap tempat rujukan masyarakat tentang pelbagai isu. Ini kerana Imam Kampung ketika itu begitu memainkan peranan sebagai agen perubah dan pendidik masyarakat ke arah yang lebih baik, mendidik masyarakat untuk mengjauhi segala amalan khurafat yang merosakkan aqidah umat Islam.

Kini, ustaz dipandang sepi, pandangan ustaz dianggap kolot, pandangan ustaz dianggap out to date. Silap siapa,? Silap masyarakat atau orang yang bergelar ustaz itu sendiri.?

Gelaran ustaz cukup memberi makna yang besar dan penting dalam masyarakat. untuk membelah mulut bayi yang dilahirkan akan dipanggil ustaz, untuk mentalqin dan mengtahlil mayat dipanggil ustaz. Tapi untuk meneruskan kehidupan peranan ustaz ditinggalkan. Bermakna agama akan digunakan untuk bayi dan mayat sahaja.

Gejala ini berlaku bukan kerana kesalahan masyarakat semata-mata. Kadang-kadang gejala ini disebabkan ustaz sendiri. Kadang-kadang ustaz-ustaz hanya menekankan fardu kifayah berkaitan dengan ibadat yang berkaitan hubungan dengan Allah semata-mata seperti mandi mayat, talqin mayat dan sebagainya . Manakala fardu kifayah berkaitan dengan kepimpinan, ekonomi Islam, Sistem pendidikan Islam ditinggalkan dan tidak di ulas secara Islamik. Ini menyebabkan masyarakat hanya merujuk kepada ustaz apabila kes-kes kematian dan kelahiran sahaja.

Manakalan sistem muamalat Islam seakan-akan dilupakan dari kamus diri umat Islam. Sedangkan Islam merupakan sistem yang lengkap wajib diketahui oleh semua umat Islam.

Tanggungjawab seorang ulamak ialah menerangkan tentang kebaikan Islam, Menyeru kepada kebaikan, mengcegah kemungkaran.

Tanggungjawab ulamak juga ialah menerangkan penyelesaian secara Islam terhadap setiap isu dan bersedia kalau diberi tugasan apabila memerintah.

Tugas ini bukan sekadar dalam lingkungan kuliah agama semata-mata.bahkan lebih luas lagi. Jadi kalau terdapat ulamak atau ustaz yang tidak sanggup memikul tugas, gelaran ustazawan cukup memalukan.

Seorang ustaz bukan sekadar mengcari gali ilmu secara mendalam. Tetapi mampu mengamalkan ilmu tersebut dalam konteks semasa. Teori perlu diselarikan dengan praktikal.

Kalau teori tidak dipraktikalkan, nantilah ancaman Allah SWT yang murka terhadap setiap ucapan yang tidak diselarikan dengan tindakan.

Bersama-sama kita mengembalikan kegemilangan ustazawan dengan bersama-sama bangun bekerja Untuk ISLAM.

www.attakiri.blogspot.com

(maaf kalau artikel ini terkasar sedikit)



... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, December 17, 2008

Debaran menunggu calon PAS di Kuala Terengganu

Barisan Nasional akan mengumumkan calonnya pada sabtu ini, jangkaan calon sudah banyak disiarkan dalam akhbar pro kerajaan dan pembangkang. Bloggers juga sibuk membuat pelbagai ulasan terhadap calon BN. Ramai yang menjangkakan kemungkin Ketua Bahagian Umno Kuala Terengganu bakal dicalonkan. Tidak kisahlah siapa, yang mesti pasti akan mendapat tentangan sengit dalam Piliharaya kecil (PRK) nanti.

AKIM telah mengumumkan untuk bertanding sekali lagi, walaupun pada PRK di Permatang Pauh AKIM kehilangan wang Deposit. Tok Mun Juga mengumukan untuk bertanding sekali lagi. Bekas calon Bebas rantau Panjang juga mengumumkan untuk mencuba nasib di Kuala Terengganu.

PAS akan mengumumkan calon pada 21 Disember ini. ramai yang telah membuat spekulasi dan cadangan berbentuk peribadi. Tuan Guru Dato’ Mursyidul Am PAS mencadangkan agar Tn Hj Mohamad Sabu di letakkan semula sebagai calon Kuala Terengganu. Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu pula mahukan seorang calon yang berkelulusan Phd dan Prof. Madya. Pelbagai lagi cadangan dan pendapat untuk calon PAS di Kuala Terengganu.

Semua cadangan ini bermatlamatkan untuk memenangkan kawasan parlimen tersebut. Menurut analisis keputusan PRU sebelum ini menggambarkan bahawa Kuala Terengganu bukan kawasan selamat bagi mana-mana pihak. Kemungkinan BN berjaya mempertahankan kemenangan, kemungkinan PAS berjaya merampas balik, kemungkinan Bebas berjaya menarik hati pengundi Terengganu.

Setakat ini disebut 3 orang bakal calon yang akan diketengahkan. Perhubungan PAS negeri akan menunggu kelulusan PAS Pusat untuk menonjolkan calon yang bakal dipersetujui. PAS tidak ketandusan calon seperti BN. PAS mempunyai calon yang berkaliber dan mampu untuk menarik pengundi Kuala Terengganu. Yang bermasalah ialah UMNO yang semakin kurang calon yang berkaliber.

Naib Presiden PAS Tn Hj Mohamad Sabu telah mengumumkan bahawa akan menyokong mana-mana calon PAS yang akan bertanding di Kuala Terengganu. PKR dan DAP pun berpandangan yang sama.

InsyaAllah calon yang bakal diketengahkan mampu untuk menjadi ikon pembela rakyat untuk membawa masalah rakyat Kuala Terengganu ke Parlimen Malaysia pada tahun hadapan.

Kemenangan Kuala Terengganu dianggap begitu penting kepada PAKATAN RAKYAT bagi membuktikan bahawa seluruh rakyat Malaysia telah menolak parti-parti yang berasaskan perkauman. Kemenangan dalam PRK ini akan menggambarkan bahawa BN akan kecundang dalam PRU13 nanti. Kemenangan dalam PRK ini menggambarkan PAS masih mempunyai taring di Terengganu dan akan mengambil kembali pada PRU13.

Sama-sama kita berdoa agar PRK ini memberi kemenangan kepada PAS dan PAKATAN RAKYAT.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Kereta Nasional… teguran buat barangan tempatan

Sudah lama blog ni tak diupdate sampai mendapat teguran daripada sahabat-sahabat. Inilah ibarat iman yang kadang kala naik kadang turun. Begitu juga dengan mood penulis, kadang-kadang bersemangat, kadang-kadang menurun. Alasan boleh dicipta, tetapi sampai bila alasan terus menerus diberikan untuk membela diri sendiri.

2-3 hari ini, timbul isu penggunaan kereta nasional. Isu ini dimulakan oleh tindakan kerajaan Terengganu yang menukar kereta Perdana V6 kepada Mercedes Benz. Kerajaan Terengganu berhujjahkan bahawa kos penyelenggaraan Proton terlampau tinggi. Isu ini terus di bawa ke mesyuarat jemaah menteri dan memutuskan bahawa kereta mercedes Benz yang dibeli hanya boleh diguna untuk urusan rasmi sahaja.

2 bulan kemudian, kerajaan Perak dan Kedah menyuarakan untuk menukar proton perdana kepada kereta berjenama asing dengan alasan dan hujjah yang sama.

Oleh kerana perak dan kedah di bawah pentadbiran kerajaan PAKATAN RAKYAT. Habis dijaja isu ini dalam media elektronik dan media cetak. Setiap ketua kerajaan di negeri BARISAN NASIONAL melontarkan kritikan terhadap kerajaan Perak dan Kedah. Hampir tiada kritikan terhadap syarikat automobil proton terhadap isu ini.

Sepatutnya syarikat proton memberi penjelasan kenapa kos penyelenggaran mahal. Kenapa gearbox automatik kereta perdana V6 cepat rosak. Sebab-sebab inilah yang patut diperbetulkan oleh Proton untuk memperbetulkan segala kesilapan itu. Syarikat proton perlu memberi jaminan agar masalah sebegini tidak akan berulang lagi.

Kalau Proton Perdana itu kereta pertama keluaran proton, segala kesilapan dan kecacatan boleh dimaafkan.

Antara kesilapan perniagaan orang melayu ialah terlampau mementingkan sentimen perkauman melebihi mutu dan kualiti. Ini akan menyebabkan perniagaan bumiputera tidak akan terus maju dan bergerak ke hadapan.

Syarikat proton perlu buktikan bahawa syarikat ini mampu bersaing dengan Syarikat Toyota, Honda dan Mercedez Benz. Buat post mortem terhadap kritikan yang dilemparkan.

Menuding jari kepada kerajaaan PAKATAN RAKYAT dengan tuduhan tidak patriotik tidak akan ada penyelesaiannya. Kerajaan PAKATAN RAKYAT perlu memikirkan kos penyelenggaraan dan ketahanan sesebuah kereta rasmi kerana ia membabitkan duit rakyat. Takkan nak membazirkan duit rakyat dengan membeli barangan yang sudah tahu ketidakkukuhannya.

Harap selepas ini, proton boleh berdaya saing dengan kereta import yang lain agar rakyat Malaysia merasa selamat, kukuh dan berbangga dengan kereta keluaran negara sendiri.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...