Rakyat letak harapan tinggi pada pimpinan baru Kedah
Sumber : www.harakahdaily.net (27/03/2008)
Tanpa petanda yang jelas tiba-tiba tsunami politik melanda negara pada PRU Ke-12 baru-baru ini. Banyak sebab Kedah dimenangi oleh BA dan sebab-sebab yang sama juga mungkin antara gelombang yang melanda di negeri-negeri lain.
Baik BA mahupun BN, sama-sama terkejut. Dalam mengenang semula nostalgia kemenangan itu, dipaparkan antara episod penting kemenangan BA di Negeri Kedah Darul Aman.
Golongan muda meraikan kemenangan
Malam yang sinonim dengan sunyi dan gelap berubah pada malam pengumuman keputusan PRU-12. Suasana yang sama juga dilihat di Kompleks PAS Kedah. Jika sebelumnya suasana meriah hanya dilihat tatkala program-program ceramah, pada malam itu tanpa sebarang program dirancang, orang ramai datang memenuhi Dewan Dato� Fadzil Mohd. Noor.
Mereka yang hadir terdiri dari pelbagai peringkat umur dan bangsa. Yang terawal hadir terdiri dari mereka yang ingin bersama mendapatkan keputusan-keputusan terkini PRU-12 khususnya kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Kedah. Satu persatu keputusan yang diumumkan menggamatkan dewan dengan laungan takbir.
Jumlah hadirin juga semakin ramai khususnya golongan belia yang hadir dengan motosikal di samping bendera PAS dan KeADILan. Dari fasa untuk mendapatkan keputusan berubah menjadi fasa bersama meraikan kemenangan. Ketika yang sama juga rupanya sebahagian anak-anak muda ini menyertai himpunan di Wisma Darul Aman.
Bahkan ada sebahagian yang berada di Kompleks PAS Kedah khususnya anak-anak muda mula menuju ke Wisma Darul Aman setelah melihat keputusan-keputusan yang semakin positif.
Tidaklah diketahui tujuan sebenar mereka menuju ke Wisma Darul Aman. Yang pasti kebanyakan hadir untuk bersama meraikan kemenangan. Tetapi yang membanggakan adanya di kalangan mereka yang merasa untuk bersama memikul tanggungjawab agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Mereka bagaikan sedar bahawa tindakan-tindakan seperti mengeluarkan fail-fail penting kerajaan boleh berlaku dalam saat-saat seperti itu. Mesej seperti ini jelas boleh difahami bahawa sungguhpun penglibatan golongan belia tidak terzahir secara nyata khususnya dalam gerakerja parti, sebenarnya wujud keprihatinan dan rasa tanggungjawab mereka kepada negara.
Oleh itu, penolakan kepada BN dan penerimaan kepada BA bukanlah atas emosi semata-mata, tetapi kesedaran yang tinggi untuk berubah. Kerana itu indikator asas sokongan pengundi muda ini kepada BA dapat dilihat di semua bangsal panas di Kedah dipenuhi petugas-petugas dari golongan belia yang setia dari awal pengundian hingga akhir.
Sebenarnya atas kepercayaan bahawa generasi muda boleh mendokong dan menyokong perjuangan Islam itulah Pemuda PAS sentiasa bergerak secara proaktif. Bahkan Pemuda PAS sebenarnya menginsafi bahawa perjuangan mereka hari ini jauh lebih baik berbanding Baginda Rasulullah s.a.w. yang dakwahnya ditolak, dicemuh caci, diugut dan diancam bunuh.
Malah dalam satu misi dakwah Baginda di Taif, Baginda dilempari batu hingga tercedera tetapi masih bersabar dan meyakini keturunan Bani Tsaqif pasti akan mendokong dakwahnya. Itulah sumber motivasi yang mendorong kelangsungan gerakerja pemuda sebagai sayap parti.
Bukan undi protes
Tidak ada mesej yang terang bahawa BA akan memerintah Kedah hinggalah di saat-saat akhir menjelang PRU, masyarakat India mulai menunjukkan sokongan terbuka dan jitu kepada BA.
Mereka bukan sahaja marah kepada Samy Vellu dan MIC bahkan mendengar namanya pun mereka rasa menyampah! Begitu juga masyarakat Tionghua, mereka menunjukkan sokongan terbuka kepada calon BA tetapi sebenarnya lebih ramai yang menyembunyikan sokongan masing-masing.
Ada juga di kalangan mereka yang bersungguh-sungguh menjalankan 'kempen senyap', tidak ketinggalan dari kalangan yang memakai dan memenuhi perjumpaan bersama MCA dan Gerakan, tetapi mereka memberi undi kepada BA. Malah dipercayai, gelombang 'kempen senyap' masyarakat Tionghua ini 'berpusat' di Kedah.
Selama ini BN mendapat maklumat dari SB-SB mereka yang terdiri dari anggota keselamatan. Tentunya PRU kali ini juga hal yang sama berlaku, bahkan menurut suatu sumber, sebelum pembubaran Parlimen seramai 660 orang SB telah dikerah ke Kedah.
Tentu sekali dengan kerahan seramai itu (mungkin lebih lagi setelah penamaan calon) BN sepatutnya tidak terkejut dengan keputusan yang bakal diterima melainkan SB-SB ini telah 'belot'.
Benar wujud undi protes kepada BN. Tetapi protes sebenar banyak berlaku dari kalangan orang Melayu yang terpecah dari golongan petugas Umno dengan pengundi Umno. Ada yang mengalih undi mereka kepada BA tetapi kebanyakannya khususnya golongan petugas Umno lebih cenderung untuk tidak keluar mengundi.
Undi protes juga berlaku dari kalangan masyarakat India, Tionghua dan golongan belia tetapi lebih besar disumbangkan hasil protes yang bersulam maklumat sebenar mengenai Umno/BN dan keyakinan yang semakin berputik terhadap BA khususnya PAS. Penyumbang terbesar penglihatan positif kepada PAS adalah hasil model pemerintahan yang ditunjukkan oleh Kerajaan PAS Kelantan.
Oleh itu, mendakwa kemenangan BA hanya akan bersifat sementara hanyalah sebahagian dakwaan. Bahkan menilai peralihan sokongan ini sebagai undi protes semata-mata adalah analisis yang 'tidak berpijak di bumi nyata'.
BN khususnya Umno perlu melihat bahawa perjuangan parti itu bukan sahaja tersasar bahkan semakin tidak relevan dengan semangat perpaduan yang mula tumbuh di hati rakyat Malaysia. Masyarakat baik Melayu, Tionghua mahupun India mulai mengenali watak-watak sebenar kepimpinan Umno, MCA dan MIC.
Dengan kefahaman masyarakat yang semakin terbuka itu, kemenangan BA bukanlah bersifat sementara tetapi sebenarnya harus dilihat bahawa Umno, MCA dan MIC sukar untuk bangun semula � zaman 'BN adalah segala-galanya' telah berlalu, jika tidak masakan calon atas tiket Bebas berlambangkan Anak Kunci boleh mengalahkan Dacing Keramat!
Media ortodok
Selama ini media arus perdana menjadi 'panduan dan pedoman' (kitab suci?) seluruh rakyat Malaysia. Setiap yang disiarkan dipercayai dan diterima sepenuhnya. Akibatnya imej pembangkang sentiasa hodoh lagi tidak diyakini. Pemerintah pula sentiasa menang dan dimenangkan dalam setiap isu.
Namun perkembangan teknologi menyumbang kepada penyebaran maklumat akternatif disebalik sekatan dan halangan yang sengaja diwujudkan. Masyarakat mulai dahagakan maklumat dalam meredakan gelojak rasa tidak puas hati terhadap pemerintah. Penilaian demi penilaian yang dibuat terhadap BA dan BN membentuk satu keyakinan yang berubah menjadi penentu kepada sokongan pada 8 Mac lalu.
Untuk itu, jika media arus perdana berterusan menggunakan modus operandi yang sama terhadap Kerajaan-kerajaan BA dengan laporan yang berat sebelah, tipu, fitnah dan segala kebusukan yang sinonim dengan kerja buat mereka selama ini, percayalah bahawa mereka hanya akan dilihat sebagai 'media gila'. Media-media ini juga harus sedar mereka telah menimbulkan rasa mual yang keterlaluan sepanjang tempoh PRU-12 berlangsung.
Pemimpin angkuh menganggap rakyat bodoh
Ternyata selepas PRU-11 tahun 2004 yang lalu BN menjadi semakin angkuh. Bukan sahaja kerakusan itu dilihat pada cara tadbir negara yang diwarnai rasuah, penyelewengan dan kronisme, bahkan ucapan para pemimpin-pemimpin BN menunjukkan sikap ego dan tidak mahu mengendahkan pendapat serta rintihan 'di bawah'. Jika ada alat yang boleh mengukur suhu kemarahan rakyat; pemimpin BN harus tahu bahawa ia meningkat dari sehari ke sehari sejak 2004 itu.
Pemimpin BN bukanlah tidak mendengar pendapat dan rintihan di bawah tetapi kerana berada di puncak keangkuhan, semuanya itu dianggap mudah untuk ditepis. Paling dikesalkan rakyat, mereka mengganggap setiap kenyataan dan ucapan pemimpin BN tidak lain hanyalah cubaan-cubaan membodohkan rakyat atau menganggap rakyat itu bodoh.
Bahkan mereka berterusan menggula-gulakan rakyat dengan janji material yang menjadi kempen basi lagi ketinggalan. Sikap pemimpin BN yang berada di puncak keangkuhan tidak ubah seperti Firaun yang merasa berkuasa terhadap rakyat dan negaranya.
Akhirnya Firaun terpukul sendiri melihat sokongan rakyat dan para pembesarnya kepada Nabi Musa. Yang setia kepadanya atau mungkin terpaksa setia kepadanya hanyalah anggota keselamatannya. Harapnya anggota keselamatan Malaysia tidaklah begitu.
Rakyat di Kedah mungkin tidak melihat watak keangkuhan yang sama dari kalangan pemimpin BN Kedah. Tetapi rakyat dapat melihat prestasi sebenar BN di Kedah. Dari slogan Kedah Maju 2010 kepada Kedah Gemilang membongkar banyak fakta kegagalan dan ketidakcekapan urus tadbir Kerajaan BN Kedah.
Tidak ada simbol nyata bukti 'Maju' mahupun 'Gemilang'nya Kedah. Yang ada hanyalah pengurusan yang berlangsung seperti mana-mana amalan yang wajar bagi sebuah kerajaan memerintah.
Daerah-daerah yang membangun seperti Kulim, Padang Serai dan Sungai Petani hakikatnya dari 'limpahan' kemajuan Negeri Pulau Pinang juga kerana ruang tanah untuk pembangunan kediaman yang masih kosong. Jitra pula 'terpaksa dibuka' setelah Alor Star tidak lagi mampu diubahsuai.
Sengaja mencipta isu
Tabika, tambang feri dan JKKK menjadi isu awal yang sengaja dimuntahkan BN di Kedah. Muntah ini sebenarnya lambang kebodohan dan keangkuhan pemimpin mereka dan juga sikap 'bagaikan lembu dicucuk hidungnya' media kerajaan. Isu tabika mirip isu semasa PAS memerintah Terengganu, tambang feri mungkin sebagai 'menghalang' pelancong ke Langkawi sedangkan isu JKKK menggambarkan sifat sebenar JKKK itu sendiri.
Perlu diketahui hal sebenar disebalik isu tabika yang sengaja ditimbulkan ini. Selain dipercayai dilakukan oleh pihak Umno sendiri, rakyat perlu jelas kebimbangan sebenar mereka.
Kebanyakan tabika juga 'markas' Umno difungsikan di atas tanah atau di dalam bangunan Dewan Orang Ramai yang merupakan hak umum � maknanya ini adalah 'penempatan haram'. Oleh itu, menyedari bahawa mereka akan dikeluarkan lebih baik 'cabut' sambil meninggalkan 'tahi fitnah' buat PAS dan kerajaan baru. Rakyat juga perlu sedar, Umno selama ini tidak memiliki aset yang jelas sepertimana PAS yang memiliki kebanyakan markas hasil titik peluh dan sumbangan ahlinya.
Pemimpin PAS Kedah menerima kemenangan PAS di Kedah seumpama peristiwa Fathu Mekah. Perkara iman terlihat dengan 'berbondong-bondongnya' orang menyokong PAS secara zahir.
Ketika para musyrikin Quraisy pasrah menunggu 'hukuman' dari Baginda Rasulullah, hal yang samalah berlaku kepada para JKKK. Rupanya di sebalik kejahatan yang pernah juak-juak Umno ini timpakan kepada PAS, pemimpin PAS Kedah menunjukkan akhlak yang telak ditunjukkan Baginda Rasul dalam peristiwa Fathu Mekah itu.
MB Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah; YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak mengarahkan supaya tabika diteruskan seperti biasa bahkan akan menimbangkan usaha untuk memastikan perjalanan tabika lebih baik lagi selepas ini.
Beliau juga meminta JKKK meneruskan tugas seperti biasa. Keputusan beliau itu rupanya mendapat reaksi berbeza pengikut PAS. Bagi mereka, selama ini JKKKlah punca masalah dalam masyarakat.
Antara dakwaan mereka bahawa JKKK ini kebanyakannya terdiri dari mereka yang tiada kelulusan minima, sering berlaku tidak adil, terdiri dari 'pengadu-pengadu' yang menyebabkan kakitangan kerajaan ditukar ke sana ke mari, sombong lagi tidak bermasyarakat, sering berlakon dan berpura-pura, kronisme dengan menentukan jalan tar untuk rumah ini tidak rumah itu dan sebagainya.
Rupanya ada pendirian Ustaz Azizan yang para pengikut termasuk wartawan tidak tahu. Hanya dari kalangan pemimpin dan petugas parti terdekat yang mendengar isi hati beliau. Beliau menginsafi bahawa kemenangan yang diperolehi PAS Kedah antaranya hasil doa golongan teraniaya, orang-orang tua dan kanak-kanak.
Baginya JKKK mungkin seorang yang tiada pekerjaan lain yang hanya menerima elaun tidak seberapa RM450, mereka pasti ada anak-anak yang disara dan mungkin menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua. Oleh itu jika Kerajaan Negeri bertindak memecat mereka, itu tindakan aniaya dan doa orang aniaya makbul. Oleh itu Ustaz Azizan tidak mahu mereka teraniaya lalu mendoakan kerajaan ini jatuh sedangkan PAS menjadi kerajaan antaranya hasil doa mereka.
Wajarnya pendirian ini menjadi prinsip politik yang harus diterjemahkan oleh setiap petugas parti disemua peringkat dalam membantu kerajaan baru melaksanakan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.
Rakyat perlu terus berjuang!
Kemenangan BA di lima negeri termasuk memenangi semua parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukanlah titik penamat sebuah perjuangan. Selain mengisi kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi, hasrat untuk membebaskan negeri-negeri lain dari 'penjajahan' BN perlulah digerakkan secara bersama pemimpin dan rakyat.
Selain perubahan kepada pentadbiran yang lebih bermakna, usaha memulihkan undang-undang negara kembali kepada landasan keadilan dan kesaksamaan juga merupakan sebahagian perjuangan yang memerlukan dokongan bersama.
Demokrasi yang telah lama dicabuli oleh kecurangan pemerintah BN wajiblah diselamatkan melalui kelangsungan perjuangan �Bersih�. Di sebalik kejayaan rakyat pada PRU-12 yang lalu, masih ada mereka yang digari oleh undang-undang yang zalim. Malah ada juga mereka yang terdiri daripada anggota keselamatan negara yakni Polis dan Tentera yang diugut dengan proses pengundian yang didakwa SPR sebagai telus.
Hakikatnya anggota polis dan tentera telahpun memberi semboyan dan menghantar kawat secara sulit untuk bersama rakyat biasa melakukan perubahan. Namun tidak terdaya akibat proses pengundian yang masih mengekalkan kerahsiaan yang tidak rahsia dihadapi mereka.
Harapan tinggi rakyat
Tidak sampai seminggu PAS membentuk kerajaan di Kedah, realiti akar umbi sudah mula merungut. Mereka belum mendengar perubahan yang akan dibuat oleh kerajaan baru. Bahkan rungutan juga kerana hasrat mereka menemui dan mengucapkan tahniah kepada MB baru tidak tercapai.
Dalam situasi ini seharusnya semua pihak bertenang dan bersabar. YAB Menteri Besar bukanlah tidak mahu bertemu sesiapa bahkan beliau telah membuktikan komitmennya memenuhi setiap jemputan. Tetapi keutamaan dalam peralihan kuasa ini adalah menyelesaikan hal-hal pengurusan dan pentadbiran asas.
Perlu diketahui, jika urusan-urusan itu tidak dilakukan segera, urusan kerajaan di peringkat akar umbi akan lebih berkecamuk. Ini berikutan 'renjatan' yang dialami oleh penggerak-penggerak Kerajaan BN Kedah yang masih tidak percaya tumbangnya BN di Kedah.
Tidak mustahil juga, sedikit masa lagi rakyat akan melihat segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada pembangkang sebelum ini antaranya demontrasi jalanan 'bukan budaya kita' akan menjadi budaya BN khususnya Umno.
Insya-Allah dalam sedikit masa lagi rakyat pasti dapat mendekati pimpinan dan diharap pimpinan juga meneruskan usaha mendekati rakyat. Jika ingin segera bertemu, hadir sahaja ke program-program anjuran Kerajaan Negeri mahupun Barisan Alternatif, kalau sanggup bersabar insya-Allah pimpinan akan datang berdekatan kita.
Kepada pimpinan, harapnya menyedari bahawa rakyat bukan sahaja mempercayai mereka untuk slogan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' diterjemahkan pada dasar dan gerakerja pemerintahan, tetapi rakyat sebenarnya menagih kemesraan, kasih sayang, perhatian dan bimbingan mereka sebagai pemimpin.
No comments:
Post a Comment