Oleh : Zulkifli Sulong
"Menyesal sungguh ana kahwin lewat. Kalaulah ana tahu seronoknya kahwin, dari tahun satu lagi ana kahwin."
"Menyesal sungguh ana kahwin lewat. Kalaulah ana tahu seronoknya kahwin, dari tahun satu lagi ana kahwin."
Itulah kata-kata Ahmad Shabery Cheek (kini Datuk) kepada rakan-rakannya tahun 1982 lalu di kampus UM. Ketika itu penggal kampus Universiti Malaya (UM) baru dibuka. Ahmad Shabery, semasa cuti penggal itu telah melangsungkan perkahwinannya dengan teman sekampusnya, Puan Syarifah (hingga kini saya hanya ingat sebagai Kak Pah sahaja).
Kata-kata itu beliau lafazkan di depan isterinya kepada kami para junior beliau di kampus. Ia semacam dorongan kepada kami agar berkahwin cepat-cepat walaupun masih belajar lagi.
Shabery dengan Kak Pah telah kahwin semasa cuti penggal tahun dua untuk masuk tahun tiga (tahun akhir pengajiannya di UM).Kini, Shabery baru sahaja dilantik menjadi Menteri Penerangan menggantikan Datuk Zainudin Maidin.
Ketika di kampus UM, Shabery adalah aktivis kampus. Yang menariknya, rakan-rakan beliau kini juga mendapat tempat yang baik dalam dunia politik Malaysia. Mungkin hasil dari didikan politik ketika berada di kampus ketika itu.
Anwar sertai Umno
Zaman awal 80an adalah era menarik dalam politik Malaysia. Ketika itulah politik pelajar bangkit kembali dan menghadapi kemelut yang hebat. Ia bergerak sekitar kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno. Kini Anwar juga adalah tokoh penting politik tanah air.
Di UM, Shabery, sebelum peristiwa penting itu berlaku adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Kumpulan beliau, yang pro pembangkang ketika itu berjaya menubuhkan kerajaan di PMUM hasil gabungan dengan mahasiswa bukan Malayu iaitu India dan Cina.
Saya masin ingat lagi, Setiausaha Agung PMUM ketika itu adalah Muhamad Fuad Zarkashi. Kini Fuad adalah Ketua Penerangan Umno Johor.
Apabila Anwar menyertai Umno, berlaku perpecahan hebat dalam kem Islam di kampus UM. Namun Shabery tidak terlalu menunjukkan sikapnya. Lalu beliau ditolak masuk dalam kumpulan 'tidak jelas'.
Rumah sewa kami adalah di Conchita, rumah sewa yang menjadi markas pergerakan pelajar Islam di UM. Di Conchita inilah berdebatan hari-hari berlaku.
Ketika itu kumpulan pro-Anwar dikenali dengan nama Anwariyyun. Yang paling ketara memimpin kumpulan ini adalah Saifudin Abdullah, Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) ketika itu. Baru-baru ini Saifudin menjadi calon BN di Pahang dan memenangi kerusi yang ditandinginya itu.
Ketika Shabery tidak menunjukkan sikapnya yang jelas, Muhamad Husin memimpin kumpulan yang menyokong PAS secara langsung. Dalam kumpulannya termasuknya Husam Musa, Taib Ahmad, Mohamad Zainal Abidin Husien, Takiyudin Hassan, Zulkifli Yusof, Azmi Mohamad Ali, Syed Putra Syed Ahmad dan lain-lain lagi.
Husam ketika itu aktif dalam PBMUM di bawah Saifudin. Muhamad Husin kemudiannya menjadi Presiden PMUM. Selepas itu, Takiyudin Hassan pula menjadi Presiden PMUM. Dan seterus selepas itu, Zulkifli Yusof juga menjadi Presiden PMUM.
Mereka berjaya menjadi presiden PMUM kerana kejayaan golongan pro-PAS ketika itu menguasai kampus selepas keluarnya golongan yang lebih liberal dari kampus, termasuk Shabery.
Kesemua nama yang disebut diatas kini menjadi orang penting. Husam Naib Presiden PAS dan juga Exco kerajaan negeri Kelantan. Begitu juga Takiyudin, Exco Kelantan. Muhamad Husin baru menang parlimen Pasir Puteh di Kelantan.
Angkatan Perpaduan Ummah
Walaupun liberal, Shabery tetap masih dalam lingkungan kumpulan aktivis Islam pro PAS dalam kampus menghadapi golongan nasionalis yang menjadi proksi Umno di kampus UM. Ketika itu, golongan ini tidak boleh angkat muka dan sentiasa tewas dalam pilihan raya kampus.
Selepas tamat belajar, Shabery pulang ke negeri asalnya Terengganu dan bergiat aktif dalam PAS. Tapaknya adalah Institut Berakan. Beliau aktif di Terengganu dan cuba menerapkan beberapa elemen baru dalam politik PAS di Terengganu. Namun, setelah beberapa tahun mencuba, Shabery gagal untuk menyesuaikan dirinya, lalu menyambungkan pelajaran dan seterusnya menjadi pensyarah Sains Politik di kampus asalnya iaitu UM.
Dari situlah, Shabery kelihatan mula mendekati politik Umno, namun masih bukan mainstream Umno. Beliau bersama dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Apabila Ku Li menubuhkan Semangat 46, beliau bersama Ku Li dalamnya.
Shabery mempunyai saham yang besar dalam mencantumkan PAS dan Semangat 46. Ia berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989. PAS dan S46 yang bersatu atas banner Angkatan Perpaduan Ummah melalui calon mereka Harun Taib (kini Datuk) menang dalam pilihan raya itu mengalahkan calon Umno, Abdul Rahman Mohamad.
Isu calon PAS tidak mahu bersalam dengan calon Umno sebagaimana berlaku di Marang baru-baru ini sudah berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu ini. Media BN melaporkan calon PAS tak mahu bersalam dengan calon BN. Tidak sebagaimana di Marang, gambar gelagat calon PAS tidak mahu bersalam itu disiarkan sekali.
Namun, di edisi Kuala Lumpur, akhbar The Star telah menyiarkan gambar calon PAS bersalam dengan calon Umno ini. Apa yang berlaku adalah calon PAS tidak mahu berlakun sekali lagi bersalam dengan calon Umno apabila diminta wartawan berbuat demikian.
Inilah isu yang dimainkan Shabery dengan baik. Beliau mengeluarkan satu poster bertajuk "Siakap senohong gelama ikan duri, Cakap bohong lama-lama mencuri". Beserta dengan simpulan bahasa itu, beliau meletakkan gambar calon PAS dan Umno bersalam yang disiarkan akhbar The Star itu.
Hasilnya, di samping lain-lain faktor, calon PAS menang dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu itu dan kemudiannya membolehkan PAS bergabung dengan Semangat 46 secara rasminya, walaupun agak sukar sebelumnya.
Kini Shabery Cheek adalah Menteri Penerangan. Janji awal beliau adalah untuk membolehkan media kerajaan yang dipimpinnya lebih berwibawa berbanding dengan sekarang.
No comments:
Post a Comment