Friday, March 28, 2008

Bagaimana Iman Anda Hari Ini?

Bunyi tajuk nampak pelik. Tetapi sebenarnya itulah yang menjadi kelalaian kebanyakan umat Islam. Penulis pernah ditanya ketika berada menunaikan umrah oleh Syeikh Muhammad Hason (ketika itu menjadi mufti Halab, Syria) dengan soalan yang cukup mengejutkan. Kebiasaan bangsa arab akan bertanya jika bertemu dengan pertanyaan "Apa Khabar? atau Kaifa haaluka? tapi mufti mengeluarkan pertanyaan berbunyi begini : Kaifa Qulubukum maa Allah (bagaimana hati kamu dengan Allah hari ini)?. Penulis dan kawan-kawan yang ada ketika itu terpinga-pinga dan terus menjawab : baik, alhamdulillah. jawapan yang kelakar.

Sebenarnya persoalan inilah yang semakin dilupai oleh umat Islam. kebiasaannya seseorang hanya bertanya tentang kesihatan jasmani semata-mata. tetapi seseorang itu lupa bertanya tentang kesihatan rohani sahabatnya yang lain. Sebenarnya bertanyaan tentang iman seorang itu bukannya berniat untuk menyindir atau mengejek tetapi sebagai post mortem atau muhasabah terhadap amalan harian kita.

Iman ialah suatu benda yang boleh bertambah dan berkurang. Oleh sebab itu, Sepatutnya sebelum kita memulakan tugas harian, kita perlu berazam bahawa aku perlu tingkatkan iman aku. Apabila selesai segala tugas harian, kita akan muhasabah kembali apa yang berlaku pada hari ini, adakah iman aku bertambah atau berkurang. Kalau Meter iman menurun, maka cepat-cepat kita beristigfar. Kalau meter iman kita menaik, terus ucapkan syukur kepada Allah SWT.

Iman ini akan diketahui kenaikan dan penurunannya melalui amalan harian kita. Sebab ulamak menta'rifkan atau membuat pengertian iman dengan maksud :

Membenarkan dengan hati, memperakui dengan lidah, beramal dengan anggota badan.

Apabila iman seseorang itu meningkat. Setiap gerak geri dia akan berterusan ke arah kebaikan. solatnya semakin khusyuk, akhlaknya semakin terjaga, tutur kata semakin baik, pengorbanan untuk Islam akan dipertingkatkan, dan sebagainya Sebaliknya jika iman semakin menurun, solatnya akan hilang kekusyukan, setiap gerak geri akan berterusan ke arah kejahatan, akhlaknya semakin teruk, tutur kataya lebih ke arah memburukkan..

Iman bukan sahaja dapat ditingkatkan dengan hanya duduk bersendirian sahaja. Iman ini dapat ditingkatkan dengan kita bergaul dengan masyarakat, bersama-sama dengan perjuangan Islam, memberi tenaga dalam aktiviti kebajikan. bahkan inilah yang dituntut oleh Islam

Jadi marilah sama-sama kita bermuhasabah terhadap diri kita masing-masing, apakah aku ini layak mendapat syurga Allah ataupun...ingat sesal dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya


Thursday, March 27, 2008

Pandangan yang bagus

artikel ni cukup baik. Jadi penulis rasa tak salah kalau artikel ini dikongsi oleh semua

Rakyat letak harapan tinggi pada pimpinan baru Kedah

Oleh : Izwan Abdul Halim

Sumber : www.harakahdaily.net (27/03/2008)

Tanpa petanda yang jelas tiba-tiba tsunami politik melanda negara pada PRU Ke-12 baru-baru ini. Banyak sebab Kedah dimenangi oleh BA dan sebab-sebab yang sama juga mungkin antara gelombang yang melanda di negeri-negeri lain.

Baik BA mahupun BN, sama-sama terkejut. Dalam mengenang semula nostalgia kemenangan itu, dipaparkan antara episod penting kemenangan BA di Negeri Kedah Darul Aman.

Golongan muda meraikan kemenangan

Malam yang sinonim dengan sunyi dan gelap berubah pada malam pengumuman keputusan PRU-12. Suasana yang sama juga dilihat di Kompleks PAS Kedah. Jika sebelumnya suasana meriah hanya dilihat tatkala program-program ceramah, pada malam itu tanpa sebarang program dirancang, orang ramai datang memenuhi Dewan Dato� Fadzil Mohd. Noor.

Mereka yang hadir terdiri dari pelbagai peringkat umur dan bangsa. Yang terawal hadir terdiri dari mereka yang ingin bersama mendapatkan keputusan-keputusan terkini PRU-12 khususnya kerusi-kerusi DUN dan Parlimen Kedah. Satu persatu keputusan yang diumumkan menggamatkan dewan dengan laungan takbir.

Jumlah hadirin juga semakin ramai khususnya golongan belia yang hadir dengan motosikal di samping bendera PAS dan KeADILan. Dari fasa untuk mendapatkan keputusan berubah menjadi fasa bersama meraikan kemenangan. Ketika yang sama juga rupanya sebahagian anak-anak muda ini menyertai himpunan di Wisma Darul Aman.

Bahkan ada sebahagian yang berada di Kompleks PAS Kedah khususnya anak-anak muda mula menuju ke Wisma Darul Aman setelah melihat keputusan-keputusan yang semakin positif.

Tidaklah diketahui tujuan sebenar mereka menuju ke Wisma Darul Aman. Yang pasti kebanyakan hadir untuk bersama meraikan kemenangan. Tetapi yang membanggakan adanya di kalangan mereka yang merasa untuk bersama memikul tanggungjawab agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Mereka bagaikan sedar bahawa tindakan-tindakan seperti mengeluarkan fail-fail penting kerajaan boleh berlaku dalam saat-saat seperti itu. Mesej seperti ini jelas boleh difahami bahawa sungguhpun penglibatan golongan belia tidak terzahir secara nyata khususnya dalam gerakerja parti, sebenarnya wujud keprihatinan dan rasa tanggungjawab mereka kepada negara.

Oleh itu, penolakan kepada BN dan penerimaan kepada BA bukanlah atas emosi semata-mata, tetapi kesedaran yang tinggi untuk berubah. Kerana itu indikator asas sokongan pengundi muda ini kepada BA dapat dilihat di semua bangsal panas di Kedah dipenuhi petugas-petugas dari golongan belia yang setia dari awal pengundian hingga akhir.

Sebenarnya atas kepercayaan bahawa generasi muda boleh mendokong dan menyokong perjuangan Islam itulah Pemuda PAS sentiasa bergerak secara proaktif. Bahkan Pemuda PAS sebenarnya menginsafi bahawa perjuangan mereka hari ini jauh lebih baik berbanding Baginda Rasulullah s.a.w. yang dakwahnya ditolak, dicemuh caci, diugut dan diancam bunuh.

Malah dalam satu misi dakwah Baginda di Taif, Baginda dilempari batu hingga tercedera tetapi masih bersabar dan meyakini keturunan Bani Tsaqif pasti akan mendokong dakwahnya. Itulah sumber motivasi yang mendorong kelangsungan gerakerja pemuda sebagai sayap parti.

Bukan undi protes

Tidak ada mesej yang terang bahawa BA akan memerintah Kedah hinggalah di saat-saat akhir menjelang PRU, masyarakat India mulai menunjukkan sokongan terbuka dan jitu kepada BA.

Mereka bukan sahaja marah kepada Samy Vellu dan MIC bahkan mendengar namanya pun mereka rasa menyampah! Begitu juga masyarakat Tionghua, mereka menunjukkan sokongan terbuka kepada calon BA tetapi sebenarnya lebih ramai yang menyembunyikan sokongan masing-masing.

Ada juga di kalangan mereka yang bersungguh-sungguh menjalankan 'kempen senyap', tidak ketinggalan dari kalangan yang memakai dan memenuhi perjumpaan bersama MCA dan Gerakan, tetapi mereka memberi undi kepada BA. Malah dipercayai, gelombang 'kempen senyap' masyarakat Tionghua ini 'berpusat' di Kedah.

Selama ini BN mendapat maklumat dari SB-SB mereka yang terdiri dari anggota keselamatan. Tentunya PRU kali ini juga hal yang sama berlaku, bahkan menurut suatu sumber, sebelum pembubaran Parlimen seramai 660 orang SB telah dikerah ke Kedah.

Tentu sekali dengan kerahan seramai itu (mungkin lebih lagi setelah penamaan calon) BN sepatutnya tidak terkejut dengan keputusan yang bakal diterima melainkan SB-SB ini telah 'belot'.

Benar wujud undi protes kepada BN. Tetapi protes sebenar banyak berlaku dari kalangan orang Melayu yang terpecah dari golongan petugas Umno dengan pengundi Umno. Ada yang mengalih undi mereka kepada BA tetapi kebanyakannya khususnya golongan petugas Umno lebih cenderung untuk tidak keluar mengundi.

Undi protes juga berlaku dari kalangan masyarakat India, Tionghua dan golongan belia tetapi lebih besar disumbangkan hasil protes yang bersulam maklumat sebenar mengenai Umno/BN dan keyakinan yang semakin berputik terhadap BA khususnya PAS. Penyumbang terbesar penglihatan positif kepada PAS adalah hasil model pemerintahan yang ditunjukkan oleh Kerajaan PAS Kelantan.

Oleh itu, mendakwa kemenangan BA hanya akan bersifat sementara hanyalah sebahagian dakwaan. Bahkan menilai peralihan sokongan ini sebagai undi protes semata-mata adalah analisis yang 'tidak berpijak di bumi nyata'.

BN khususnya Umno perlu melihat bahawa perjuangan parti itu bukan sahaja tersasar bahkan semakin tidak relevan dengan semangat perpaduan yang mula tumbuh di hati rakyat Malaysia. Masyarakat baik Melayu, Tionghua mahupun India mulai mengenali watak-watak sebenar kepimpinan Umno, MCA dan MIC.

Dengan kefahaman masyarakat yang semakin terbuka itu, kemenangan BA bukanlah bersifat sementara tetapi sebenarnya harus dilihat bahawa Umno, MCA dan MIC sukar untuk bangun semula � zaman 'BN adalah segala-galanya' telah berlalu, jika tidak masakan calon atas tiket Bebas berlambangkan Anak Kunci boleh mengalahkan Dacing Keramat!

Media ortodok

Selama ini media arus perdana menjadi 'panduan dan pedoman' (kitab suci?) seluruh rakyat Malaysia. Setiap yang disiarkan dipercayai dan diterima sepenuhnya. Akibatnya imej pembangkang sentiasa hodoh lagi tidak diyakini. Pemerintah pula sentiasa menang dan dimenangkan dalam setiap isu.

Namun perkembangan teknologi menyumbang kepada penyebaran maklumat akternatif disebalik sekatan dan halangan yang sengaja diwujudkan. Masyarakat mulai dahagakan maklumat dalam meredakan gelojak rasa tidak puas hati terhadap pemerintah. Penilaian demi penilaian yang dibuat terhadap BA dan BN membentuk satu keyakinan yang berubah menjadi penentu kepada sokongan pada 8 Mac lalu.

Untuk itu, jika media arus perdana berterusan menggunakan modus operandi yang sama terhadap Kerajaan-kerajaan BA dengan laporan yang berat sebelah, tipu, fitnah dan segala kebusukan yang sinonim dengan kerja buat mereka selama ini, percayalah bahawa mereka hanya akan dilihat sebagai 'media gila'. Media-media ini juga harus sedar mereka telah menimbulkan rasa mual yang keterlaluan sepanjang tempoh PRU-12 berlangsung.

Pemimpin angkuh menganggap rakyat bodoh

Ternyata selepas PRU-11 tahun 2004 yang lalu BN menjadi semakin angkuh. Bukan sahaja kerakusan itu dilihat pada cara tadbir negara yang diwarnai rasuah, penyelewengan dan kronisme, bahkan ucapan para pemimpin-pemimpin BN menunjukkan sikap ego dan tidak mahu mengendahkan pendapat serta rintihan 'di bawah'. Jika ada alat yang boleh mengukur suhu kemarahan rakyat; pemimpin BN harus tahu bahawa ia meningkat dari sehari ke sehari sejak 2004 itu.

Pemimpin BN bukanlah tidak mendengar pendapat dan rintihan di bawah tetapi kerana berada di puncak keangkuhan, semuanya itu dianggap mudah untuk ditepis. Paling dikesalkan rakyat, mereka mengganggap setiap kenyataan dan ucapan pemimpin BN tidak lain hanyalah cubaan-cubaan membodohkan rakyat atau menganggap rakyat itu bodoh.

Bahkan mereka berterusan menggula-gulakan rakyat dengan janji material yang menjadi kempen basi lagi ketinggalan. Sikap pemimpin BN yang berada di puncak keangkuhan tidak ubah seperti Firaun yang merasa berkuasa terhadap rakyat dan negaranya.

Akhirnya Firaun terpukul sendiri melihat sokongan rakyat dan para pembesarnya kepada Nabi Musa. Yang setia kepadanya atau mungkin terpaksa setia kepadanya hanyalah anggota keselamatannya. Harapnya anggota keselamatan Malaysia tidaklah begitu.

Rakyat di Kedah mungkin tidak melihat watak keangkuhan yang sama dari kalangan pemimpin BN Kedah. Tetapi rakyat dapat melihat prestasi sebenar BN di Kedah. Dari slogan Kedah Maju 2010 kepada Kedah Gemilang membongkar banyak fakta kegagalan dan ketidakcekapan urus tadbir Kerajaan BN Kedah.

Tidak ada simbol nyata bukti 'Maju' mahupun 'Gemilang'nya Kedah. Yang ada hanyalah pengurusan yang berlangsung seperti mana-mana amalan yang wajar bagi sebuah kerajaan memerintah.

Daerah-daerah yang membangun seperti Kulim, Padang Serai dan Sungai Petani hakikatnya dari 'limpahan' kemajuan Negeri Pulau Pinang juga kerana ruang tanah untuk pembangunan kediaman yang masih kosong. Jitra pula 'terpaksa dibuka' setelah Alor Star tidak lagi mampu diubahsuai.

Sengaja mencipta isu

Tabika, tambang feri dan JKKK menjadi isu awal yang sengaja dimuntahkan BN di Kedah. Muntah ini sebenarnya lambang kebodohan dan keangkuhan pemimpin mereka dan juga sikap 'bagaikan lembu dicucuk hidungnya' media kerajaan. Isu tabika mirip isu semasa PAS memerintah Terengganu, tambang feri mungkin sebagai 'menghalang' pelancong ke Langkawi sedangkan isu JKKK menggambarkan sifat sebenar JKKK itu sendiri.

Perlu diketahui hal sebenar disebalik isu tabika yang sengaja ditimbulkan ini. Selain dipercayai dilakukan oleh pihak Umno sendiri, rakyat perlu jelas kebimbangan sebenar mereka.

Kebanyakan tabika juga 'markas' Umno difungsikan di atas tanah atau di dalam bangunan Dewan Orang Ramai yang merupakan hak umum � maknanya ini adalah 'penempatan haram'. Oleh itu, menyedari bahawa mereka akan dikeluarkan lebih baik 'cabut' sambil meninggalkan 'tahi fitnah' buat PAS dan kerajaan baru. Rakyat juga perlu sedar, Umno selama ini tidak memiliki aset yang jelas sepertimana PAS yang memiliki kebanyakan markas hasil titik peluh dan sumbangan ahlinya.

Pemimpin PAS Kedah menerima kemenangan PAS di Kedah seumpama peristiwa Fathu Mekah. Perkara iman terlihat dengan 'berbondong-bondongnya' orang menyokong PAS secara zahir.

Ketika para musyrikin Quraisy pasrah menunggu 'hukuman' dari Baginda Rasulullah, hal yang samalah berlaku kepada para JKKK. Rupanya di sebalik kejahatan yang pernah juak-juak Umno ini timpakan kepada PAS, pemimpin PAS Kedah menunjukkan akhlak yang telak ditunjukkan Baginda Rasul dalam peristiwa Fathu Mekah itu.

MB Kedah yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Kedah; YAB Ustaz Haji Azizan Abdul Razak mengarahkan supaya tabika diteruskan seperti biasa bahkan akan menimbangkan usaha untuk memastikan perjalanan tabika lebih baik lagi selepas ini.

Beliau juga meminta JKKK meneruskan tugas seperti biasa. Keputusan beliau itu rupanya mendapat reaksi berbeza pengikut PAS. Bagi mereka, selama ini JKKKlah punca masalah dalam masyarakat.

Antara dakwaan mereka bahawa JKKK ini kebanyakannya terdiri dari mereka yang tiada kelulusan minima, sering berlaku tidak adil, terdiri dari 'pengadu-pengadu' yang menyebabkan kakitangan kerajaan ditukar ke sana ke mari, sombong lagi tidak bermasyarakat, sering berlakon dan berpura-pura, kronisme dengan menentukan jalan tar untuk rumah ini tidak rumah itu dan sebagainya.

Rupanya ada pendirian Ustaz Azizan yang para pengikut termasuk wartawan tidak tahu. Hanya dari kalangan pemimpin dan petugas parti terdekat yang mendengar isi hati beliau. Beliau menginsafi bahawa kemenangan yang diperolehi PAS Kedah antaranya hasil doa golongan teraniaya, orang-orang tua dan kanak-kanak.

Baginya JKKK mungkin seorang yang tiada pekerjaan lain yang hanya menerima elaun tidak seberapa RM450, mereka pasti ada anak-anak yang disara dan mungkin menjaga ibu bapa mereka yang sudah tua. Oleh itu jika Kerajaan Negeri bertindak memecat mereka, itu tindakan aniaya dan doa orang aniaya makbul. Oleh itu Ustaz Azizan tidak mahu mereka teraniaya lalu mendoakan kerajaan ini jatuh sedangkan PAS menjadi kerajaan antaranya hasil doa mereka.

Wajarnya pendirian ini menjadi prinsip politik yang harus diterjemahkan oleh setiap petugas parti disemua peringkat dalam membantu kerajaan baru melaksanakan 'Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua'.

Rakyat perlu terus berjuang!

Kemenangan BA di lima negeri termasuk memenangi semua parlimen dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bukanlah titik penamat sebuah perjuangan. Selain mengisi kemenangan di negeri-negeri yang dimenangi, hasrat untuk membebaskan negeri-negeri lain dari 'penjajahan' BN perlulah digerakkan secara bersama pemimpin dan rakyat.

Selain perubahan kepada pentadbiran yang lebih bermakna, usaha memulihkan undang-undang negara kembali kepada landasan keadilan dan kesaksamaan juga merupakan sebahagian perjuangan yang memerlukan dokongan bersama.

Demokrasi yang telah lama dicabuli oleh kecurangan pemerintah BN wajiblah diselamatkan melalui kelangsungan perjuangan �Bersih�. Di sebalik kejayaan rakyat pada PRU-12 yang lalu, masih ada mereka yang digari oleh undang-undang yang zalim. Malah ada juga mereka yang terdiri daripada anggota keselamatan negara yakni Polis dan Tentera yang diugut dengan proses pengundian yang didakwa SPR sebagai telus.

Hakikatnya anggota polis dan tentera telahpun memberi semboyan dan menghantar kawat secara sulit untuk bersama rakyat biasa melakukan perubahan. Namun tidak terdaya akibat proses pengundian yang masih mengekalkan kerahsiaan yang tidak rahsia dihadapi mereka.

Harapan tinggi rakyat

Tidak sampai seminggu PAS membentuk kerajaan di Kedah, realiti akar umbi sudah mula merungut. Mereka belum mendengar perubahan yang akan dibuat oleh kerajaan baru. Bahkan rungutan juga kerana hasrat mereka menemui dan mengucapkan tahniah kepada MB baru tidak tercapai.

Dalam situasi ini seharusnya semua pihak bertenang dan bersabar. YAB Menteri Besar bukanlah tidak mahu bertemu sesiapa bahkan beliau telah membuktikan komitmennya memenuhi setiap jemputan. Tetapi keutamaan dalam peralihan kuasa ini adalah menyelesaikan hal-hal pengurusan dan pentadbiran asas.

Perlu diketahui, jika urusan-urusan itu tidak dilakukan segera, urusan kerajaan di peringkat akar umbi akan lebih berkecamuk. Ini berikutan 'renjatan' yang dialami oleh penggerak-penggerak Kerajaan BN Kedah yang masih tidak percaya tumbangnya BN di Kedah.

Tidak mustahil juga, sedikit masa lagi rakyat akan melihat segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada pembangkang sebelum ini antaranya demontrasi jalanan 'bukan budaya kita' akan menjadi budaya BN khususnya Umno.

Insya-Allah dalam sedikit masa lagi rakyat pasti dapat mendekati pimpinan dan diharap pimpinan juga meneruskan usaha mendekati rakyat. Jika ingin segera bertemu, hadir sahaja ke program-program anjuran Kerajaan Negeri mahupun Barisan Alternatif, kalau sanggup bersabar insya-Allah pimpinan akan datang berdekatan kita.

Kepada pimpinan, harapnya menyedari bahawa rakyat bukan sahaja mempercayai mereka untuk slogan 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua' diterjemahkan pada dasar dan gerakerja pemerintahan, tetapi rakyat sebenarnya menagih kemesraan, kasih sayang, perhatian dan bimbingan mereka sebagai pemimpin.

Ahmad Shabery Cheek yang saya kenal

Oleh : Zulkifli Sulong

"Menyesal sungguh ana kahwin lewat. Kalaulah ana tahu seronoknya kahwin, dari tahun satu lagi ana kahwin."

Itulah kata-kata Ahmad Shabery Cheek (kini Datuk) kepada rakan-rakannya tahun 1982 lalu di kampus UM. Ketika itu penggal kampus Universiti Malaya (UM) baru dibuka. Ahmad Shabery, semasa cuti penggal itu telah melangsungkan perkahwinannya dengan teman sekampusnya, Puan Syarifah (hingga kini saya hanya ingat sebagai Kak Pah sahaja).

Kata-kata itu beliau lafazkan di depan isterinya kepada kami para junior beliau di kampus. Ia semacam dorongan kepada kami agar berkahwin cepat-cepat walaupun masih belajar lagi.

Shabery dengan Kak Pah telah kahwin semasa cuti penggal tahun dua untuk masuk tahun tiga (tahun akhir pengajiannya di UM).Kini, Shabery baru sahaja dilantik menjadi Menteri Penerangan menggantikan Datuk Zainudin Maidin.

Ketika di kampus UM, Shabery adalah aktivis kampus. Yang menariknya, rakan-rakan beliau kini juga mendapat tempat yang baik dalam dunia politik Malaysia. Mungkin hasil dari didikan politik ketika berada di kampus ketika itu.
Anwar sertai Umno

Zaman awal 80an adalah era menarik dalam politik Malaysia. Ketika itulah politik pelajar bangkit kembali dan menghadapi kemelut yang hebat. Ia bergerak sekitar kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno. Kini Anwar juga adalah tokoh penting politik tanah air.

Di UM, Shabery, sebelum peristiwa penting itu berlaku adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM). Kumpulan beliau, yang pro pembangkang ketika itu berjaya menubuhkan kerajaan di PMUM hasil gabungan dengan mahasiswa bukan Malayu iaitu India dan Cina.

Saya masin ingat lagi, Setiausaha Agung PMUM ketika itu adalah Muhamad Fuad Zarkashi. Kini Fuad adalah Ketua Penerangan Umno Johor.
Apabila Anwar menyertai Umno, berlaku perpecahan hebat dalam kem Islam di kampus UM. Namun Shabery tidak terlalu menunjukkan sikapnya. Lalu beliau ditolak masuk dalam kumpulan 'tidak jelas'.

Rumah sewa kami adalah di Conchita, rumah sewa yang menjadi markas pergerakan pelajar Islam di UM. Di Conchita inilah berdebatan hari-hari berlaku.
Ketika itu kumpulan pro-Anwar dikenali dengan nama Anwariyyun. Yang paling ketara memimpin kumpulan ini adalah Saifudin Abdullah, Presiden Persatuan Bahasa Melayu (PBMUM) ketika itu. Baru-baru ini Saifudin menjadi calon BN di Pahang dan memenangi kerusi yang ditandinginya itu.

Ketika Shabery tidak menunjukkan sikapnya yang jelas, Muhamad Husin memimpin kumpulan yang menyokong PAS secara langsung. Dalam kumpulannya termasuknya Husam Musa, Taib Ahmad, Mohamad Zainal Abidin Husien, Takiyudin Hassan, Zulkifli Yusof, Azmi Mohamad Ali, Syed Putra Syed Ahmad dan lain-lain lagi.

Husam ketika itu aktif dalam PBMUM di bawah Saifudin. Muhamad Husin kemudiannya menjadi Presiden PMUM. Selepas itu, Takiyudin Hassan pula menjadi Presiden PMUM. Dan seterus selepas itu, Zulkifli Yusof juga menjadi Presiden PMUM.

Mereka berjaya menjadi presiden PMUM kerana kejayaan golongan pro-PAS ketika itu menguasai kampus selepas keluarnya golongan yang lebih liberal dari kampus, termasuk Shabery.

Kesemua nama yang disebut diatas kini menjadi orang penting. Husam Naib Presiden PAS dan juga Exco kerajaan negeri Kelantan. Begitu juga Takiyudin, Exco Kelantan. Muhamad Husin baru menang parlimen Pasir Puteh di Kelantan.

Angkatan Perpaduan Ummah

Walaupun liberal, Shabery tetap masih dalam lingkungan kumpulan aktivis Islam pro PAS dalam kampus menghadapi golongan nasionalis yang menjadi proksi Umno di kampus UM. Ketika itu, golongan ini tidak boleh angkat muka dan sentiasa tewas dalam pilihan raya kampus.

Selepas tamat belajar, Shabery pulang ke negeri asalnya Terengganu dan bergiat aktif dalam PAS. Tapaknya adalah Institut Berakan. Beliau aktif di Terengganu dan cuba menerapkan beberapa elemen baru dalam politik PAS di Terengganu. Namun, setelah beberapa tahun mencuba, Shabery gagal untuk menyesuaikan dirinya, lalu menyambungkan pelajaran dan seterusnya menjadi pensyarah Sains Politik di kampus asalnya iaitu UM.

Dari situlah, Shabery kelihatan mula mendekati politik Umno, namun masih bukan mainstream Umno. Beliau bersama dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah. Apabila Ku Li menubuhkan Semangat 46, beliau bersama Ku Li dalamnya.

Shabery mempunyai saham yang besar dalam mencantumkan PAS dan Semangat 46. Ia berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu pada tahun 1989. PAS dan S46 yang bersatu atas banner Angkatan Perpaduan Ummah melalui calon mereka Harun Taib (kini Datuk) menang dalam pilihan raya itu mengalahkan calon Umno, Abdul Rahman Mohamad.

Isu calon PAS tidak mahu bersalam dengan calon Umno sebagaimana berlaku di Marang baru-baru ini sudah berlaku dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu ini. Media BN melaporkan calon PAS tak mahu bersalam dengan calon BN. Tidak sebagaimana di Marang, gambar gelagat calon PAS tidak mahu bersalam itu disiarkan sekali.

Namun, di edisi Kuala Lumpur, akhbar The Star telah menyiarkan gambar calon PAS bersalam dengan calon Umno ini. Apa yang berlaku adalah calon PAS tidak mahu berlakun sekali lagi bersalam dengan calon Umno apabila diminta wartawan berbuat demikian.

Inilah isu yang dimainkan Shabery dengan baik. Beliau mengeluarkan satu poster bertajuk "Siakap senohong gelama ikan duri, Cakap bohong lama-lama mencuri". Beserta dengan simpulan bahasa itu, beliau meletakkan gambar calon PAS dan Umno bersalam yang disiarkan akhbar The Star itu.

Hasilnya, di samping lain-lain faktor, calon PAS menang dalam pilihan raya kecil Teluk Pasu itu dan kemudiannya membolehkan PAS bergabung dengan Semangat 46 secara rasminya, walaupun agak sukar sebelumnya.

Kini Shabery Cheek adalah Menteri Penerangan. Janji awal beliau adalah untuk membolehkan media kerajaan yang dipimpinnya lebih berwibawa berbanding dengan sekarang.

Wednesday, March 26, 2008

Pertembungan PAS dan UMNO


Semenjak UMNO/BN mengalami kekalahan besar dalam PRU12 baru-baru ini. Timbullah desas desus bahawa parti-parti politik melayu perlu bersatu untuk membangunkan negara. Sebut parti politik melayu, hanya PAS dan UMNO sahaja yang dikira sebagai parti melayu terbesar.

Isu ini bukan isu baru. Bahkan UMNO/BN selalu mewar-warkan penyatuan jika parti itu berada dalam keadaan terdesak. Contoh peristiwa 13 Mei 1969 yang membawa kepada PAS bergabung dengan perikatan sehingga terbentuk BARISAN NASIONAL. Ketika itu UMNO berada dalam keadaan lemah dan PAS berada dalam keadaan kukuh di pantai timur. Selepas UMNO/BN mengukuhkan keadaan, PAS ditendang daripada komponen BN.

Selepas tahun 1999, PAS sekali lagi diajak supaya berbincang dengan BN untuk penyatuan melayu. Ketika itu UMNO berada dalam keadaan lemah dan tidak mendapat sokongan sepenunya daripada orang melayu. PAS pula berada dalam keadaan selesa dengan memenangi 27 kerusi parlimen dan menguasai Terenggau dan Kelantan. Tetapi PAS yang dilihat lebih matang dalam bersiyasah telah mengemukakan tiga tuntutan sebagai tanda keikhlasan UMNO/BN untuk bertemu.

Tuntutan tersebut ialah :

1. Meminta kerajaan Pusat mengembalikan royalti Petroleum kepada kerajaan Negeri Terengganu

2. Mengembalikan kelulusan penerbitan akhbar rasmi PAS, harakah kepada dua kali seminggu bukannya dua kali sebulan.

3. Umno hendaklah menentang sebarang usaha menghapuskan perkataan Islam pada nama Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Tetapi sayang ketiga-tiga syarat ini tidak dipenuhi oleh UMNO, sekaligus membuktikan bahawa pertemuan yang dirancang oleh UMNO hanyalah untuk kepentingan parti mereka dan bukannya kepentingan bangsa melayu.

Isu ini timbul kembali sekarang ini, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) sekali lagi mencadangkan agar dibuat perbincangan antara PAS dan UMNO untuk mengembalikan kemegahan bangsa melayu..

Kenapa PAS menentang UMNO

Isu ini sentiasa diperjelaskan oleh pimpinan PAS semenjak dulu sampai sekarang. Bahkan Tuan Guru Presiden pernah menyebut dalam satu ucapan di Banggul Peradung pada tahun 7 April 1981 dengan katanya : Kita menentang Barisan Nasional (BN), bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia menegakkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah, oleh kerana itulah kita menentang mereka, oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.

Ucapan ini jelas menunjukkan bahawa pertembungan PAS dengan UMNO bukannya pertembungan untuk merebut kuasa. Tetapi pertembungan PAS dan UMNO adalah pertembungan Aqidah. PAS inginkan Malaysia kembali kepada Dasar Islam yang syumul dan bukanya Islam yang dikerat-kerat. Islam bukannya kristian yang boleh diubah sesuka hati oleh para paderinya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat acap kali menyebut bahawa PAS sanggup bubar parti jika UMNO kembali kepada dasar Islam yang sebenarnya. Maknanya PAS bukan setakat bersatu tapi terus bubar parti.

Tapi Adakah UMNO sanggup melaksanakan dasar pemerintahan Islam secara keseluruhan dalam pentadbiran kerajaan pusat dan negeri?. Sanggupkah UMNO meluluskan enakmen undang-undang jenayah Islam di dalam Parlimen?. Sanggupkah UMNO melaksanakan ekonomi tanpa riba dalam semua sektor kerajaan?. Sanggupkan UMNO melaksanakan konsep Negara berkebajikan, bebas rasuah, bebas kroni,? Ini semua merupakan konsep Negara Islam yang diketepikan oleh UMNO.

Allah SWT menerangkan bahawa kesatuan yang sebenarnya adalah kesatuan di atas nama Islam, bukannya atas nama melayu.

Firman Allah SWT :

Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah

Kesatuan mesti berdasarkan kepada tali Allah. Maksud tali Allah ialah Islam. Bangsa akan hilang ditelan dek zaman, tetapi Islam akan berterusan sehingga hari kiamat. Bahkan akan sampai bersambung sehingga ke syurga.

Jadi jelas bahawa pertembungan PAS dan UMNO bukan pertembungan politik semata-mata. Tetapi pertembungan ini adalah pertembung dasar. Dasar PAS ialah Islam dan dasar UMNO ialah kebanggsaan. Penyatuan akan berlaku jika salah sebuah pihak sanggup menggugurkan dasar parti mereka. Bagi PAS ini adalah mustahil kerana PAS tidak menggugurkan dasar Islam dalam parti kerana dasar inilah yang telah diperjuangan oleh Rasulullah SAW dan pewaris-pewarisnya.

Kalau UMNO sanggup ikut dasar ini, PAS bersedia bila-bila masa untuk bubar PAS (menurut kenyataan Mursyidul Am PAS).

Teruskan perjuangan untuk menegakkan ISLAM

Takbir 1000 x

PERTEMUA LEPASAN MDQ 2002

Makluman : Lepasan Pelajar Maahad Darul Quran 2002 dijemput menghadiri Pertemuan Lepasan Pelajar MDQ 2002 dan Majlis Perkahwinan Ahmad Asraifulah dengan Mutiah binti Musa pada :
      • TARIKH : 29 MAC 2008
      • HARI : SABTU
      • MASA : 3.00 PETANG
      • TEMPAT PERTEMUAN : KELAS RABIE' THANAWI ALIFF (BANIN) 2002
Semua ahli dijemput hadir beramai bagi memeriahkan pertemuan dan majlis perkahwinan ini.

Untuk pertanyaan sila hubungi
Zulhimi bin Abd.Rahman : 013-9345105
Ahmad Asraifullah bin Che' Malik : 013-9747913
Maisarah binti Abdul Karim : 012-9009631

Tuesday, March 25, 2008

Permulaan yang baik buat Selangor Baru

Kerajaan Negeri Selangor yang baru telah pun terbentuk. Saya difahamkan esok Dato Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang pertama buat kerajaan baru ini. Kita mengharapkan persepakatan kerajaan PKR, DAP dan PAS ini dapat memenuhi kehendak rakyat dan segera menjalankan amanah sebagaimana yang telah dimandatkan oleh rakyat.

Cuma untuk makluman kerajaan baru ini memiliki beberapa rekod yang saya kira menarik untuk diperturunkan di sini. Antaranya:

MB pertama yang pertama pernah memimpin di dunia korporat (Tan Sri Khalid)

Bekas ketua pembangkang (1999) kini duduk sebagai EXCO (Dato Dr Hasan)


Empat orang EXCO wanita (YB Rodziah, YB Dr Halimah, YB Teresa, YB Elizabeth)


3 orang ahli EXCO terdiri daripada Doktor, Dato Dr Hassan (Phd) Dr Xavier (pergigian) Dr Halimah (perubatan).


EXCO 5:5 iaitu 5 Melayu dan 5 bukan Melayu pertama


ADUN kerajaan yang pertama merupakan tahanan ISA (YB Manoharan)

Semoga kerajaan baru ini lebih penting lagi menjadi kerajaan yang jujur, telus dan bebas rasuah dengan membawa keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat. Selamat menjalankan tugas.

Oleh : Roslan SMS

P/s : Harap Selepas Kerajaan Selangor Baru bakal mencipta Rekod lagi supaya dapat ditiru oleh Kerajaan negeri yang masih dikuasai oleh BN..tapi rekod baiklah bukan rekod buruk macam BN tu.

cahaya mataku (ASIAH BINTI ZULHIMI)

Anak ini Di lahirkan pada 5 Rabiul Awwal 1429 bersamaan 13 Mac 2008. Di namakan Asiah supaya anak ini mencontohi peribadi Asiah (isteri firaun) yang bersifat dengan cekal, rendah diri dan tahan diuji demi untuk Islam.





Monday, March 24, 2008

Kronologi krisis MB Terengganu

Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga saat ini.

Rentetan peristiwa krisis menteri besar Terengganu

10 Mac - majlis angkat sumpah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan.

11 Mac - Idris, wakil Jertih dan juga pengerusi BN negeri, kelihatan sugul dan tegang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenanistana sebagai menteri besar bagi penggal kedua.

12 Mac - nama Datuk Ahmad Said, wakil rakyat Ajil, antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris.

Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid, wakil Ajil, dan Datuk Mohamad Awang Tera, wakil Chukai, turut dinamakan.

Mohamad menafikannya kepada Malaysiakini dan menyebut beliau dan wakil-wakil BN akan berdiri di belakang Idris.

14 Mac - Idris mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan semua 24 wakil BN dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya.

15 Mac - pertemuan wakil-wakil BN dengan MPPR dibatalkan dua jam sebelum dijadual berlangsung 11 pagi.

Seramai 20 wakil BN bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan menteri besar Terengganu, selain menyatakan sokongan mereka kepada Idris.

Istana Terengganu dilaporkan menafikan pembabitannya dengan isu pelantikan jawatan itu.

18 Mac - Idris menyeru penduduk Terengganu bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana.

19 Mac - Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon
menteri besar.

Menurut perlembagaan, kata beliau, Baginda dilarang menjalankan fungsi sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam.

Tan Sri Abdul Gani Patail menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan tersebut dan menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan sepenuhnya pada MPPR.

20 Mac - Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu.

21 Mac - Empat lelaki tersebut, yang disiasat antaranya menurut Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dibebaskan.

Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yangdilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar.

22 Mac - Pejabat Sultan Terengganu melantik Ahmad sebagai menteri besar dan majlis angkat sumpah diumumkan pagi esoknya.

Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengumumkan untuk memulaukan majlis tersebut.

Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu (yang tidak dinamakan) kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal.

Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin.

23 Mac - Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR.

Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar
kepada MPPR.

Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad.

Idris bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya.

Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.

Malam ini di Kuala Lumpur, semua 23 wakil BN terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik MB.

Rosol, di sidang media itu, menafikan kenyataan timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa semua ketua bahagian menolak Idris.

Hanya bahagian-bahagian Hulu Terengganu (diketuai Tengku Putera), Marang, Dungun dan Kemaman (diketuai Ahmad) menolak Idris (ketua bahagian Besut); manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu menyokongnya

Oleh : Dr. KaYu
..
P/S : tulah menang dengan cara haram..akhirnya bukan sultan pun tak setuju.. Allah pun tak redha

Perarakan Maulidur Rasul Mempermainkan Nabi

(Sebenarnya artikel dah lama siap tapi tak sempat nak invite masuk)

Setiap tahun negara kita pasti mengadakan Sambutan Maulidul Rasul sama ada peringkat kebangsaan ataupun peringkat negeri. Sambutan kebiasaannya didahului dengan perarakan setiap jabatan kerajaan ataupun setiap sekolah-sekolah di bawah kementerian pelajaran. Kemudian disusuli dengan Ucapan daripada pemimpin negara dan titah ucapan diraja. Pihak media pula mengadakan pelbagai acara keagamaan untuk menarik perhatian penonton kepada sunnah Nabi SAW pada hari tersebut.

Penulis bukan hendak membid'ahkan program anjuran kerajaan dan media ini. Cuma cukupkah sambutan sebegini sebagai tanda kecintaan kepada Nabi?. Media contohnya, selepas sambutan ini, ditayangkan pula acara-acara hiburan yang melalaikan seperti penayangan Akademik Fantasia yang meleka dan membazirkan wang remaja kita. Penyiaran filem-filem yang menjolok mata juga akan merosakkan minda penonton. Inikah yang dikatakan mencontohi Rasulullah SAW.?

Pihak kerajaan pula, selepas selesai sambutan maulidul rasul, perlaksanaan Islam tetap tidak dilaksanakan secara menyeluruh. Di Terengganu contohnya, walaupun enakmen jenayah Islam telah diluluskan tetapi perlaksanaanya terhenti selepas tampuk pemerintahan di ambil alih oleh BN. Kerajaan BN Terengganu menggunakan alasan bahawa Pemerintahan PAS ketika itu tidak mengkaji secara mendalam enakmen ini ketika diluluskan. Ini satu jawapan yang cukup bodoh. Cuba pembaca fikirkan, jika PAS tidak mengkaji secara mendalam enakmen ini sebelum diluluskan, Kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri BN ketika itu tidak membangkang?. Bodoh sangat ke Adun BN ketika itu.

Manakala di peringkat Kerajaan Pusat, Pak Lah hanya sekadar mengumumkan sahaja gagasan Islam Hadhari tetapi perlaksanaannya hampeh. Ketika Islam Hadhari dilancarkan. Pusat genting terus dibuka, sambutan kemerdekaan dan Tahun Baru masih tidak berubah dengan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Bahkan satu kajian menunjukkan bahawa remaja yang dirosakkan meningkat mendadak selepas berlakunya malam-malam sambutan dan perayaan. Inikah suasana Islam Hadhari yang di mahukan oleh Pak Lah.

Pak Lah sendiri khususnya dilihat sebagai pemimpin yang tidak islamik. Gambar beliau yang berpeluk dengan Micheal Yeoh beberapa kali di tempat yang berasingan menjatuhkan imejnya sebagai seorang Perdana Menteri yang berkelulusan agama.

Dengan sebab itu, wajar kalau kita menyebut bahawa sambutan dan perarakan Maulidur rasul anjuran kerajaan merupakan penghinaan kepada Nabi SAW itu sendiri. Kita mendakwa bahawa kita sayang kepada Nabi, tetapi dalam masa yang sama kita menolak perlaksanaan sunnah Nabi dalam kehidupan. Nabi tidak menyuruh kita menyambut perayaannya, tetapi Nabi mememerintahkan supaya umat nya melaksanakan sunnah Nabi.

Jadi semestinya kita perlu faham kembali roh sambutan maulid Nabi. Kalau betul kita sayangkan Nabi, Gubal segera undang-undang yang bertentangan dengan Islam dalam perlembagaan Negara. Kalau betul Pak Lah ingin umat Islam bersatu, kembalilah kepada Dasar Al-Quran dan Sunnah. Bukannya dasar sekular, kebangsaan dan kebendaan.

Cuba bayangkan kalau seseorang mendakwa bahawa beliau sayangkan kita tapi dalam masa yang sama setiap ucapan dan perintah yang dikeluarkan ditentang. Apakah kita tidak marah dan geram?

Kesimpulannya, janganlah kita menjadi maulid Nabi sebagai cara untuk mengembalikan kepercayaan yang telah ditolak oleh rakyat kepada kita. Jangan eksploitasikan Perayaan dan perarakan ini demi kepentingan peribadi. Tepuklah dada tanyalah Iman. Kita masih belum terlambat untuk bertaubat.

Okey… teruskan perjuangan

BEKERJA UNTUK ISLAM

Wednesday, March 19, 2008

parti sekular dan kebangsaan pasti JATUH

selepas Pak Lah mendapat asakan supaya meletak jawatan sebagai PM dan presiden parti, Najib tidak putus-putus menyatakan ketaatan kepada Pak Lah. bermula daripada malam pengumuman keputusan pilihanraya hingga kini, mengapa Najib begitu beria-ria menunjukkan ketaatannya? Adakah Najib berniat untuk merampas kedudukan Pak Lah yang semakin hari semakin menurun?.

Seorang pensyarah pernah menyebut kepada saya sebelum 8 mac lagi bahawa kalau Pak Lah berjaya mendapat majoriti 2/3, Najib akan tertendang dari kabinet dan parti, tapi jika Pak Lah hilang 2/3 dalam pilihanraya , Najib akan merampas kedudukan Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, caranya mudah sahaja, Najib mungkin akan mencabar Pak Lah untuk bertanding bagi merebut jawatan presiden parti dalam pemilihan UMNO bulan 9 nanti ataupun Najib akan melancakan undi tidak percaya kepada pucuk pimpinan parti.

Walaupun Najib masih lagi menunjukkan taat setia sekarang ini, tetapi tidak mustahil beliau akan menggugat Pak Lah dalam masa sebulan-dua lagi. Mungkin peristiwa perebutan pimpinan UMNO yang membawa keada pengharaman parti tersebut pada tahun 1987 pasti berulang. Semua tidak mustahil.

Inilah dia keadaan apabila politik dipisahkan dari agama. Umno yang ditubuhkan di atas dasar kebangsaan pasti runtuh dan akan kaku tidak lama lagi. semangat kebangsaan merupakan semangat yang direka barat untuk menghancur dan memecahbelahkan umat Islam. Jadi sesiapa yang berdiri di atas semangat ini pasti runtuh. apabila kebangsaan diletakkan di depan, nasib kaum lain akan diketepikan dan mungkin dizalimi. apabila kebangsaan dilebihkan dari agama, maka pemimpin parti kebangsaan secara berani mengambil harta benda rakyat mereka tanpa segan dan takut. Jiwa mereka tidak ditanam dengan iman. Jiwa mereka tidak dibajai dengan Taqwa. Jiwa mereka hanya ada semangat kebangsaan sahaja. lihat kepada Kerajaan Firaun yang hanya melebihkan golongan Qibti akhirnya jatuh dengan sebab kezalimannya kepada Bani Israel. Kerajaan Quraisy Mekah akhirnya jatuh dengan gelombang rakyat yang bencikan kezaliman sehingga umat Islam berjaya menduduki Mekah dengan Aman.

Semangat sekular pula akan membuahkan tragedi perebutan kuasa. Islam tidak melarang untuk meminta jawatan jika mahu melaksanakan kebaikan. tetapi Islam melarang sifat perebutan jawatan demi untuk mengaut kekayaan. Cuba fikir, mengapa pimpinan UMNO saling rebut-merebut jawatan dalam parti dan kerajaan. Adakah mereka ini hendak berkorban untuk rakyat? adakah mereka ini hendak membela nasib rakyat?. Jawapanya pasti TIDAK. kenapa?.

Umno tidak pernah menanam sifat beragama kepada ahli partinya. walaupun Pak Lah pernah umum perlaksaan Islam Hadhari, tetapi istilah ini hanyalah mainan politik semata-mata. tengok dalam kabinet sekarang ini, dato' Abdullah Mat Zin digugurkan dari kabinet, walhal Dato' ini \lah yang mempelopori gagasan Islam Hadhari. Datuk Pirdaus (bekas Imam masjid negara) pun tidak diberi tempat. Jadi seriuskan Pak Lah untuk melaksanan gagasan Islam Hadhari.

Umno juga merupakan parti yang meletakkan kebendaan adalah segala-galanya. setiap langkah mesti dengan duit. tak da duit langkah takkan bergerak. Quran pernah menyebut bahawa jika kita menghabiskan semua harta dibumi dan dilangit untuk menyatukan hati manusia, nescaya kita tidak akan mampu melakukannya. Jadi parti yang berasaskan kebendaan pasti akan hancur.

semua elemen ini mengcukupkn syarat untu Umno menuju kehancurannya. tinggal lagi keikhlasan dan kesungguhan kita untuk terus bekerja ke arah memperjuangkan Islam. tunggu saat dan ketikanya UMNO/BN pasti jatuh.

Teruskan perjuangan demi ISLAM

Sunday, March 9, 2008

Jangan Kecewa.. Teruskan Perjuangan

Keputusan pilihanraya telah diumumkan, Bagi terengganu, kami berada dalam kecewa bercampur gembira. Kecewa di atas kegagalan kita merampas terengganu, gembira kerana pembangkang berjaya menafikan majority 2/3 di dalam parlimen



Mengimbau kembali suasana pilihanraya kali ini. Setiap petugas bertungkus lumus menyekat pengundi hantu berdaftar. Contoh apa yang di kg. bukit tumbuh yang berada di bawah Dun Bukit Tunggal. Petugas parti berjaya memberkas seorang yang disangka pengundi hantud dan hasilnya pengundi-penguni hantu yang sebenar tidak berani datang. Pemuda PAS tidak berganjak dari pintu pagar sekolah bermula dari jam 8.00 pagi hingga ke 5.00 petang. Semangat ini lahir daripada kegeraman pemuda-pemuda terhadap kesombongan Dato' Seri Idris Jusoh. Tetapi saying, Dun bukit Tungal berjaya dimenangi, tetapi negeri gagal dirampas.



Walau bagaimana pun setiap kekalahan ada hikmahnya, kami tetap optimis dengan kemenangan Islam yang semakin, semenjak malam pengumuman Pak lah dan najib dilihat begitu sugul ketika mengeluarkan kenyataan. Tan Sri Rashid kelihatan begitu tidak bersemangat untuk mengumumkan kemenangan BN. Malaysia mencatat sejarah apabila BN hanya dapat membentuk kerajaan selepas jam 1.30 pagi. Sedangkan sebelum ini, di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad, BN berjaya membentuk kerajaan seawal jam 12.00 tengah malam. Ini menunjukkan bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan UMNO/BN. Walaupun UMNO/BN begitu hebat menjalankan penipuan di dalam daftar pemilih, menggunakan segala jentera kerajaan untuk mengempen, mengeluarkan kewangn yang begitu banyak, tetapi UMNO/BN tetap tidak dapat menghadapi kuasa rakyat.

Kemenangan BA di selangor dan perak begitu mengejutkan. Sebelum ini pembangkang menjangkakan bahawa kita hanya menang di Terengganu, kelantan, Pulau Pinang dan Perlis. Tetapi lain yang dijangka lain yang berlaku. Ini menunjukkan kuasa Allah SWT. Allah lah yang telah membalikkan hati manusia supaya kembali kepada Islam. Jadi seharusnya kita memperhebatkan lagi hubungan dengan Allah SWT supaya pakatan pembangkang semakin kukuh dan mantap. Kalau sebelum in kita bersepakat untuk menentang UMNO tapi sekarang ini kita bersepakat untuk memerintah negeri. Rakyat pasti akan melihat bagaimana pakatan pembangkang memerintah, kesepakatan pembangkang pada kali ini akan memperlihatkan keyakinan rakyat untuk memerintah Malaysia pada tahun 2012.

Untuk itu, kita mesti bekerja dengan lebih kuat dan gigih untuk mencapai kemenangan.perhebatkan tarbiyyah, mantapkan strategi, insyaAllah kita akan memerintah Negara Malaysia yang tercinta ini.. takbir 200 x.

Friday, March 7, 2008

Malam terakhir.. Darul Iman semakin cerah

sudah lama tidak menulis di dalam blog ini. mungkin kesibukan persiapan pilihanraya menyebabkan jihad penulisan tidak dapat diteruskan, walaupun sepatutnya, penulis perlu berusahan lebih gigih menyampaikan dakwah dengan cyber ini, khususnya di saat cukup getir ini, tetapi kadang-kadang penulis kalah dengan godaan syaitan yang sentiasa menghalang manusia daripada berbuat kebaikan.

menyentuh pilihanraya, para petugas PAS sudah bertugas bertungkus lumus, mereka bekerja siang dan malam tanpa meminta upah walau pun sedikit. berlainan dengan UMNO, dikatakan bahawa setiap petugas UMNO mendapat RM 48 setiap malam. Inilah ajaran UMNO yang meletakkan kebendaan di depan. Mantan Timbalan Perdanan Menteri Tun Musa hitam pernah menyebut bahawa beliau cukup kagum dengan pekerja PAS yang bekerja kerana faham erti perjuangan tidak seperti UMNO yang berjuang kerana kebendaan semata-mata. Quran telah menempalak bahawa harta tidak akan dapat menundukkan manusia walaupun dihabiskan sampai berbilion-bilion.

Penulis cukup kagum dengan para petugas ini, mereka tidak belajar agama setinggi mana, tetapi pengamalan mereka terhadapa Islam mengalahkan orang yang mengaji agama. sesetengah ustazawan dilihat tidaklah seberani mereka. itulah lambang keikhlasan pejuang-pejuang kita. keikhlasan mereka insyaAllah mampu meruntuhkan kesombongan pemerintah. walaupun persiapan PAS tidak sehebat UMNO, kewangan PAS terhad, Kepungan terhadap PAS dari semua sudut, tipu daya terhadap PAS dibuat begitu hebat dengan kerjasama tiga barua UMNO (Rashid, Musa, Ghani) membabitkan badan yang sepatutnya bebas. tetapi semua ini tidak melemahkan semangat pejuang-pejuang PAS. mereka semua yakin, kemenangan itu hak milik ALlah SWT. semangat mereka tidak pernah pudar walaupun sedikit. mereka yakin dengan perancangan ALlah yang akan menghancurkan setiap perancangan yang lain.

Semua ini merupakan pra syarat kepada kemenangan. InsyaAllah hasil daripada keyakinan petugas-petugas Islam bercampur dengan ketaatan kepada pimpinan, terengganu pasti kembali ke tangan ISLAM... tunggulah berita kemenangan malam esok
Takbir