Tuesday, June 9, 2009

Islam Memimpin Perubahan

Sekali lagi semua perwakilan bersetuju dengan ucapan dasar presiden pada Muktamar Tahunan ke 55 yang bertemakan Islam Memimpin Perubahan. Penulis mengikuti sepenuhnya perjalanan muktamar daripada ucapan dasar sehingga kepada penggulungan Presiden PAS.

Walaupun terdapat isu yang cukup memanaskan suasana, tetapi kesemuanya ditangani dengan semangat ukhwah dalam PAS. Kritikan dan cadangan yang dilontarkan oleh perwakilan sebagai tanda sayangkan Perjuangan PAS.

PAS yang telah ditubuhkan semenjak tahun 1951 merupakan rentetan daripada perjuangan para Nabi dan Rasul sebagai mematuhi arahan Allah SWT supaya memakmurkan tamadun manusia di atas muka bumi.

Kemajuan dan ketamadunan manusia bukan berasaskan kepada kekuatan ekonomi semata-mata.

Kemajuan dan ketamadunan manusia bukan berasaskan kepada ketinggian bangunan yang dibina.

Kemajuan dan ketamadunan manusia bukan berasaskan kepada kehebatan kuasa ketenteraan semata-mata.

Tetapi kemajuan dan ketamadunan manusia ialah berasaskan kekuatan, ketinggian dan kehebatan pembinaan modal Insan.

Antara punca utama Rasul-rasul diutuskan ialah untuk membina kekuatan modal insan berdasarkan fitrah kejadiannya. Fitrah manusia tidak inginkan kecuali kebaikan.

Perjuangan Islam boleh diibaratkan sebagai sebuah bahtera yang mengharungi lautan yang luas. Bahtera ini mengharungi pelbagai rintangan dan dugaan dalam lautan bergelora. Nahkoda bahtera mestilah seorang yang mengetahui ilmu yang berkaitan dan berani berijtihad jikalau bertembung dengan suasana kecemasan.

PAS sebagai sebuah bahtera yang berasaskan Islam. Bahtera yang kuat ini tidak akan tenggelam walaupun ditempuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Bahtera ini akan menyelamatkan semua penumpang dan bersedia menerima mana-mana penumpang baru.

Kesemua penumpang hendaklah mematuhi segala arahan nahkoda supaya bahtera ini tidak berlaku sebarang kerosakan.

Kadang-kadang bahtera ini berdepan dengan suasana yang tenang sehingga melekakan penumpang.

Kadang-kadang bahtera ini berdepan dengan ribut taufan sehingga kedapatan penumpang yang putus asa dan mengambil keputusan untuk terjun ke laut.

Walau bagaimana pun situasi yang berlaku bahtera ini pasti selamat dan akan sampai ke destinasinya.

Inilah antara apa yang penulis fahami dari ucapan penggulungan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS dalam muktamar di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

No comments: