2-3 hari kelihatan ekonomi dunia semakin ke tahap meruncing. Baru sebentar tadi (11/10/2008, 8,34pm) Spekulator mata wang, George Soros menyebut bahawa krisis kewangan kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah hidupnya.
Persidangan Parlimen Malaysia masih lagi hangat dengan perbahasan anggaran belanjawan yang telah ditangguhkan sebelum ini. hari ini (10/10/08) telah memaparkan pandangan YB Salahuddin Ayub yang menyarankan agar menteri kewangan membentangkan anggaran baru dengan alasan keadaan ekonomi dunia yang berubah.
Kenyataan ini telah disokong oleh ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan bahawa anggaran Belanjawan ini sebagai jumud dan tidak relevan.
Penulis pernah terdengar seorang pakar ekonomi dari UKM menyebut bahawa berkemungkinan ekonomi negara akan kembali runtuh seperti tahun 1998 dalam masa 2 bulan lagi. Kenyataan ini dikeluarkan pada bulan 7 lagi.
Sebenarnya fenomena ini adalah fenomena biasa dalam sistem ekonomi. Kebiasaan ekonomi akan berlaku penurunan selepas 10 tahun. Contohnya pada tahun 1986 Malaysia pernah berdepan dengan masalah ekonomi, selepas itu tahun 1998 dan sekarang tahun 2008.
Ini dijelaskan sendiri dalam kisah Nabi yusuf yang menyebutkan bahawa pemerintah mesti bersedia untuk berdepan dengan kemelesetan ekonomi dengan menjana perbelanjaan berhemah ketika ekonomi berada dalam keadaan stabil. Apabila ekonomi berada dalam penurunan. Perbendaharaan negara masih mampu menampung kemerosotan tersebut.
Dalam kisah Nabi Yusuf. Mesir ketika itu bukan sekadar mampu menangani kemerosotan ekonomi, bahkan mampu memberi pertolongan kepada negara lain.
(setelah ia berjumpa Dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang Yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada Kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu Yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu Yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) Yang hijau serta tujuh tangkai lagi Yang kering; (tafsirkanlah) supaya Aku kembali kepada orang-orang Yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya". Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa Yang kamu ketam biarkanlah Dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian Yang kamu jadikan untuk makan. kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun Yang besar, Yang akan menghabiskan makanan Yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa Yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun Yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". (surah Yusuf 46-49)
Ini menandakan bahawa teori ekonomi sentiasa berlaku peningkatan dan penurunan.
Penulis bukan berniat untuk mengupas isu ekonomi Malaysia secara detail kerana penulis sendiri pun bukan pakar dalam bidang ini. Apa yang ingin sebutkan di sini ialah kenapa kebimbangan umat Islam terhadap kemerosotan ekonomi melebihi kebimbangan terhadap kemerosotan akidah dan syariah Islam.?
Barat telah memperkenalkan kaedah untuk memajukan negara dengan diberikan penumpuan kepada ekonomi. Tetapi Islam mengajar bahawa untuk memajukan negara perlu dimajukan terdahulu akhlak atau kehidupan beragama kepada manusia.
Kadang-kadang umat Islam terpengaruh dengan strategi barat yang telah pun terbukti rosak dan punah. Walaupun dunia barat terkenal dengan kemajuan tetapi akhlak pemuda-pemudi menjadi rosak, peningkatan jenayah yang tidak terkawal, hilangnya kasih sayang dalam sebuah institusi keluarga.
Akhirnya barat mula mengakui kepentingan menanam sifat beragama dalam masyarakat agar kemajuan dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
Dalam memilih pemimpin Gerakan Islam selalu diletakkan kriteria orang yang beragama. Tetapi dalam memilih kepimpinan negara seolah-olah elemen beragama diketepikan. Masyarakat kebiasaannya memilih pemimpin yang tahu mengendalikan ekonomi melebihi pemimpin yang beragama.
Dalam persidangan UMNO inipun selalu disebut bahawa gandingan Najib dan Muhyidin mampu mengukuhkan ekonomi. Aqidah runtuh tak apa, tapi jangan ekonomi runtuh.
Rezeki merupakan kurniaan Allah SWT kepada hamba dan negara yang diredhaiNya. Oleh itu, kalau pemimpin umat Islam mementingkan perlaksanaan Islam sepenuhnya dalam masyarakat, sudah tentu rezeki akan bertambah dan berlimpah ruah.
Malaysia sekarang ini tidak kurang sumber aslinya seperti Petroleum, balak, getah, kelapa sawit dan pelbagai lagi. Sepatutnya Malaysia sudah tiada kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi.
Sepatutnya yang menjadi kebimbangan kita ialah bagaimana hendak melantik pemimpin yang berjiwa agama sehingga mampu menggunakan hasil mahsul yang ada untuk memajukan rakyat berdasarkan Islam.
Kalau pemimpin itu pakar ekonomi tapi dalam masa yang sama bertindak untuk menkayakan diri, keluarga dan kroni, baik tak payah.
Sebab itulah kriteria utama kepimpinan hendaklah orang yang beragama memerintah. Bukan pakar ekonomi semata-mata.
PAS pernah berdepan dengan rompakan kerajaan pusat terhadap royalti minyak Terengganu pada tahun 2000. Hasil royalti minyak terengganu merupakan 75% daripada sumber pendapatan kerajaan Negeri.
Tetapi PAS mampu berdepan dengan situasi ini dengan melancarkan pelbagai pengjimatan. Bahkan semua gaji pekerja kerajaan negeri dapat dibayar ketika sampai masanya.
Jadi itulah pentingnya memilih seorang pemimpin yang berjiwa agama. Amanah dan adil terhadap harta negara.
Semoga Malaysia ini akan mendapat seorang pemimpin yang beragama yang mantap dan mampu meletakkan Islam ke tempat yang sebenarnya.InsyaAllah
www.attakiri.blogspot.com
... Bekerja Untuk Islam ...
No comments:
Post a Comment