Friday, July 3, 2009

Kenapa Timbulkan lagi Isu Kerajaan Perpaduan

Selepas Majlis Presiden PAKATAN RAKYAT membuat keputusan untuk menghentikan idea kerajaan Perpaduan yang telah disalah gunakan oleh UMNO. Penulis menyangkakan bahawa isu ini telah selesai.

Masih ada dari kalangan ahli dan pimpinan PAS masih menimbulkan isu ini seolah-olah PAS mempunyai 2 team yang berbeza. Penulis tidak pasti kenapa ianya terus menerus berlaku.

Baru-baru ini pula penulis terbaca tulisan Dr. Dzulkifli Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang mengeluarkan tulisan yang bertajuk Gagasan Pemikiran ; dimana silapnya. Tulisan ini pada awalnya disiarkan dalam harakahdaily.

Tulisan yang bersifat separa akademik yang disertai beberapa hujjah untuk menyangkal gagasan Kerajaan Perpaduan yang dianggap menentang arus momentum kebangkitan rakyat.

Penulis mengikuti perkembangan Kerajaan Perpaduan semenjak idea gagasan ini dilontarkan. ada yang menyokong dan ada yang membangkang.

Masing-masing melontarkan pandangan dan hujjah yang begitu bernas dan jelas. Hujjah tersebut samada dari sudut syarak dan dari sudut realiti keadaan politik semasa.

Setiap orang berhak mempunyai pandangan masing-masing. Cuma sebagai pimpinan parti, sewajarnya perbezaan pandangan itu di lontarkan dalam mekasnisma parti yang telah distrukturkan.

Penulis memandang bahawa alangkah baiknya kalau Dr. Dzulkifli mengemukakan pandangan beliau secara terus kepada Presiden PAS tanpa diwar-warkan secara terbuka dalam media.

Tindakan Khabbab bin Munzir memberi pandangan politik secara terus kepada nabi tentang kedudukan tentera muslimin yang tidak strategik dalam Peperangan Badar patut di ambil contoh.

Khabbab bin Munzir tidak menceritakan kepada umum bahawa keputusan Nabi SAW tidak kena dan tepat dari strategi peperangan sehingga menimbulkan keributan dari kalangan sahabat.

Inilah perbezaan antara tindakan Khabbab bin Munzir dan tindakan beberapan pimpinan parti dalam mengeluarkan pandangan-pandangan politik semasa.

Penulis tidak pelik kalau pandangan-pandangan politik secara terbuka diluahkan oleh para blogger ataupun sesiapa yang tidak ada jawatan dalam parti. mungkin mereka tidak berpeluang berjumpa dengan presiden untuk melontarkan pandangannya.

Dr Dzulkifli juga menggunakan pendekatan kaedah Usul Fiqh bagi menidakkan wujudnya kerajaan perpaduan. Ini mungkin satu pandangan.

Imam Syatibi menyebut bahawa setiap nas syarak yang diturunkan oleh Allah SWT bersifat samada untuk menghilangkan kemudaratan (درء المفسدة ) ataupun mengambil kemaslahatan (جلب المصالح ).

Untuk mengetahui samada sesuatu strategi itu mendatangkan kemaslahatan ataupun mendatangkan kemudaratan perlu dipandangan dari sudut disiplin ilmu yang tinggi.

Kerajaan Perpaduan merupakan satu idea yang tidak pernah diwacanakan oleh ahli akademik secara serius tentang pengertian, rasional, manfaat, mudarat dan pengoperasiannya untuk Malaysia.

Jadi bagaimana kita boleh menyebut bahawa menerima Gagasan Kerajaan Perpaduan bermakna mengambil sedikit maslahat yang tidak begitu pasti dan menimbulkan satu kemudaratan yang besar. Ini satu pandangan yang tidak sepatutnya berlaku sebagai seorang ahli akademik.

PAS pernah berpengalaman berada dalam kerajaan campuran Barisan Nasional. Ketika itu, PAS berjaya menerapkan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan negara.

Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr. Hj. Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latif pernah menyebut bahawa ketika PAS berada dalam kerajaan campuran. Cawangan PAS tumbuh bagaikan cendawan dijohor. Ini adalah kerana rakyat ketika itu tidak merasa bimbang atau takut untuk terlibat dengan PAS.

Gejala ini cukup membimbangkan UMNO sehingga mereka mencetuskan peristiwa rusuhan di Kelantan sehingga Kelantan Di MAGERANkan. Hasil daripada peristiwa itu, PAS di tendang keluar dari Barisan Nasional.

Penulis tercari-cari penulisan semula sejarah kerajaan campuran yang pernah berlaku antara PAS dan UMNO. Apakah positif dan negatif kemasukan PAS dalam Barisan Nasional?. Apakah positif dan negatifnya pula UMNO menerima PAS sebagai ahli dalam kerajaan Campuran?. Apakah PAS ditendang keluar dari BN disebabkan kesilapan BN seratus peratus ataupun berlakunya krisis dalaman PAS yang digunakan alasan oleh BN.?

Persoalan-persoalan sebegini terlintas dalam fikiran penulis dan memerlukan jawapan secara bertulis atau jawapan terus dari pimpinan PAS. tapi ini bukan bermakna penulis bersetuju dengan kerajaan campuran. Semua ini sekadar pertanyaan untuk menguatkan hujjah PAS bahawa orang mukmin tidak akan masuk dalam lubang yang sama dua kali.

Presiden PAS berkali-kali menafikan bahawa kerajaan perpaduan ini bukan kerajaan campuran. Kerajaan Perpaduan ialah kerajaan tanpa pembangkang. Kerajaan Perpaduan akan berlaku apabila kesemua parti-parti politik bersetuju. Kerajaan Perpaduan bukan perpaduan antara UMNO dan PAS. Kerajaan Perpaduan ialah kerajaan semua parti samada UMNO, PAS, PKR, DAP, MIC, MCA dan pelbagai lagi.

Penulis bersetuju dengan pandangan Dr. Dzulkifli bahawa isu penolakan idea Kerajaan Perpaduan bukan isu wala’ dan taat kerana idea ini tidak pernah dibincangkan dan diputusakan dalam mekanisma parti.

Tapi penulis memandang dari sudut adab dan akhlak berjemaah. PAS perlu dipandang secara tiga wajah iaitu Siasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

PAS bergerak bukan atas kapasiti peribadi. PAS bergerak atas landasan jemaah. Jadi tidak timbul bahawa hanya aku yang membangunkan PAS sehingga PAS menjadi hebat sedemikian rupa.

PAS bukan tempat untuk mencari populariti peribadi ataupun untuk merebut-rebut jawatan. Setiap keputusan PAS di buat secara kolektif dan berlapang dada. Mungkin ketika mesyuarat masing-masing bertegang leher, tetapi selepas keputusan di buat semua ahli tenang dan bersedia mempertahankan keputusan mesyuarat tersebut.

Sebagaimana penulis sebutkan di awal tadi, sepatutnya Dr. Dzulkifli memberi pandangan terus kepada Presiden daripada dilontarkan kepada media. Ia akan lebih dipandang dan dihormati.

Penulis berharap isu kerajaan perpaduan ini dapat dihentikan sebagaimana keputusan yang telah dibuat. Walaupun sebelum ini masing-masing berbeza pandangan tetapi selepas keputusan dibuat diharap semua berlapang dada.

Penulis tidak pernah membenci dr. Dzulkfli. Beliau seorang yang sanggup berkorban demi untuk PAS. Cuma menulis memberi pandangan kerana sayangkan beliau kerana Allah (أنا أحبك لله.(

www.attakiri.blogpot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

4 comments:

Anonymous said...

Sebenarnya dr zul mmg patut menulis sebegitu lebih2 lg dia sebagai pemimpin pusat. kalau kita amati tulisannya seolah2 beliau menafikan kebolehan presiden dan kelayakannya dlm IJTIHAD POLITIK di negara kita. sdgkan dr zul sendiri x boleh nak bezakan antara QAEDAH FIQH atau QAEDAH USUL FIQH.

Anonymous said...

PEMBETULAN Memang x patut dr zul (bukannya patut)

Anonymous said...

Dulu dia pernah tuduh dewan ulama pas jumud (dlm krisis konsert mawi d klntn, kita kena kaji sebab ape presden gugurkan jawatan dia... he.. he he.. . lepas tu dia mempertikaikan presden pulak

Anonymous said...

dr zul aka abu iman bekas Qaid (Ketua) Ikhwan Malaysia ni memang selalu memandang rendah semua pimpinan PAS.
beliaulah yang paling hebat, beliaulah yg paling jelas fikrahnya, beliaulah yg paling tinggi ilmunya...inilah hasil tarbiyah "ikhwah".