Wednesday, July 8, 2009

Pemikiran Berjemaah lebih baik dari pemikiran Individu

Selepas berkembangnya dunia blogger yang begitu meluas. Kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan arus kemodenan ini. ada yang mencipta blog sebagai catatan diari peribadi. Ada yang mencipta blog sekadar melontarkan pandangan peribadi. Ada yang mencipta untuk menghentam sesama sendiri dan sebagainya.

Kemenangan Gerakan Islam PAS bersama PAKATAN RAKYAT boleh dikatakan oleh pengaruh blog yang begitu meluas ketika musim pilihanraya. Nampaknya UMNO/BN telah mengambil tindakan yang serupa sekarang ini sehingga dilihat begitu banyak blog yang pro UMNO secara totok.

Pun begitu, perkembangan blog ini mempunyai kesan positif dan negatifnya.

Positifnya ialah segala maklumat tentang kebobrokan kepimpinan kerajaan UMNO/BN dapat ditelanjangkan habis-habisan. Kalau sebelum ini, maklumat tersebut disembunyikan oleh media arus perdana. Kini persembunyian maklumat tidak berlaku lagi.

Negatifnya pula banyak. Apa yang penulis ingin fokuskan di sini ialah terdapat blog yang saling hentam menghentam antara satu sama lain.

Islam cukup mementingkan Institusi mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini bukan bermakna seorang pemimpin tidak dibenarkan untuk membuat keputusan tersendiri yang drastik.

Ketika Perjanjian Hudaibiyyah Rasulullah membuat keputusan sendiri selepas mendapat petunjuk dari Allah SWT walaupun tidak dipersetujui oleh para sahabat.

Rasulullah juga melaksanakan keputusan mesyuarat dalam strategi peperangan uhud walaupun keputusan tersebut kurang dipersetujui oleh baginda Nabi SAW.

PAS telah selesai menjalani pemilihannya dalam muktamar yang lalu. Pemilihan tersebut telah dijalankan dengan telus tanpa ada sebarang penyelewengan. Jika timbul sebarang penyelewengan sudah tentu ada laporan.

Pimpinan PAS dipilih oleh perwakilan kawasan yang telah diberi mandat oleh ahli PAS melalui Mesyuarat Agung Kawasan. Kebiasaan ahli Mesyuarat Agung Kawasan memberi mandat kepada Ahli Jawatankuasa Kawasan untuk memilih pemimpin yang dikehendaki dan sesuai dengan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam.

Walaupun Struktur pemilihan sama seperti UMNO. Tetapi PAS tidak mengamalkan rasuah politik sehingga hanya mereka yang berduit sahaja yang boleh menjadi pemimpin UMNO.

Pemimpin PAS dipilih berdasarkan gerak kerja dan pemahaman tentang pergerakan PAS sebagai Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

Apa yang penulis ingin sebutkan di sini ialah pimpinan PAS dipilih secara mesyuarat. Pimpinan dipilih berdasarkan persetujuan dari akar umbi.

Setiap manusia mempunyai pandangan berbeza terhadap beberapa orang pemimpin. Perbezaan pandangan ini telah selesai apabila keputusan telah dikeluarkan. Sepatutnya perbezaan pandangan ini dihilangkan selepas perwakilan membuat keputusan.

Tetapi situasi ini seolah-olah tidak berlaku. Terdapat segelintir pimpinan dan ahli masih sibuk mengkritik pimpinan yang dilantik secara terbuka. Inilah antara perkara yang negatif apabila blog menjadi medan untuk menkritik.

Penulis tidak hairan apabila penganilisis politik mengkritik secara terbuka. Penulis juga tidak hairan kalau blog pro UMNO mengkritik secara terbuka.

Tetapi penulis cukup terkilan kalau blog pimpinan ataupun ahli hard Core mengkritik secara terbuka. Kritik tersebut bukan sekadar mengkritik. Tetapi ditimbulkan seolah-olah PAS mempunyai dua kem berbeza. Kem Mursyidul Am dan Kem Presiden. Walhal kedua-dua Tok Guru itu tidak pernah berniat sedemikian.

Wacana Ilmiah Dewan Pemuda PAS Pusat dijadikan modal untuk menghentam ketua Pemuda Sekarang. walhal tindakan ketua Pemuda Sekarang sama dengan tindakan ketua Pemuda terdahulu. Kenapa YB Salahuddin tidak diserang tetapi Ust. Nasrudin diserang bertalu.? Adakah terdapat agenda tersembunyi dalam serangan ini.?

Penulis tidak berniat untuk bersangka buruk. Cuma ingin berwaspada sahaja. Dakwaan bahawa kepimpinan Pemuda mundur kebelakang adalah sesuatu yang tidak adil.

Dari sudut mana diukur kemundurannya. Adakah kerana Ketua Pemuda Berserban dianggap mundur.? Adakah kerana Pemuda ingin kembalikan tarbiyyah zaman 80’an dianggap mundur.? Apakah kerana wacana Ilmiah, Pemuda dianggap mundur ke belakang.?

Kemungkinan-kemungkinan ini merupakan satu pandangan kebudak-budakan yang tidak ada asasnya.

Keputusan Pimpinan PAS pusat di laksana secara Syura. Keputusan Pimpinan Pemuda Pusat diputuskan secara Syura. Keputusan Pimpinan Ulamak diputusan secara syura. Keputusan Pimpinan Muslimat diputuskan secara syura.

Semestinya ia berbeza dengan keputusan individu yang kadang-kadang merasakan bahawa mereka betul. Tidak sama keputusan yang dibuat oleh mereka yang bergelumang dengan gerak kerja Gerakan Islam dengan mereka yang hanya sekadar menjadi ahli pemikir.

Yang paling penting. keputusan secara berjemaah lebih baik dari keputusan individu yang belum tentu praktikal.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

No comments: