Sunday, November 9, 2008

Nama Jalan Pelbagai bahasa…adakah suatu keperluan ?

Selepas timbul isu cadangan Kerajaan PAKATAN RAKYAT Pulau Pinang untuk memperkenalkan nama jalan dan lorong pelbagai bahasa diwar-warkan. Begitu ramai yang memberi komentar dan pandangan. Isu ini juga dimanupulasikan oleh pembangkang Kerajaan Pulau Pinang untuk mengapi-apikan isu perkauman dalam negara.

Penulis pada dasarnya kurang bersetuju dengan cadangan ini, Cuma untuk mengulas secar detail, sekurang-kurang penulis perlu mendapat maklumat yang cukup bagi memastikan tulisan yang dikeluarkan bukan sekadar emosi sahaja.

Harakah Edisi Jumaat hari ini (7 November 2008) telah memaparkan artikel Subky Latif yang seakan-seakan menguatkan tanggapan penulis. Pak Subky yang terkenal sebagai orang lama dalam politik dan dunia kewartawanan memberikan pandangan yang cukup menarik.

Dalam tulisan beliau memperlihatkan bahawa tidak semestinya tanda jalan yang tidak dipelbagai bahasakan menunjukkan kebudayaan cina atau india sudah hilang. Alasan yang dikemukakan oleh pencadang dari kerajaan Pulau Pinang seakan-akan tidak logik seperti untuk membantu golongan tua yang tidak tahu membaca bahasa melayu, menarik pelancongan dan sebagainya.

Penulis merasakan bahawa sampai sekarang kebudayaan cina dan india tidak hilang di Malaysia. Sampai sekarang kaum cina dan India dapat menggunakan bahasa mereka dalam sistem pengajian, mengekalkan kebudayaan dan sebagainya.

Selepas kemenangan PR dalam PRU12 baru-baru ini, rakyat Malaysia seolah-olah ingin melihat apakah bentuk perubahan yang akan dilakukan. Kalau sebelum ini, rakyat sudah muak dengan kezaliman UMNO, sepatutnya PR menunjukkan keadilan dalam pemerintahan. Kalau sebelum ini, rakyat sudah muak dengan rasuah dalam UMNO, sepatutnya PR menunjukkan imej kerajaan yang bersih.

Sepatutnya Kerajaan PR Pulau Pinang ketepikan dulu isu-isu kontrovesi yang boleh menggugat kestabilan negara. Sama juga dengan isu di Selangor, perlantikan Pemangku Pengurus daripada bangsa Cina dihentikan dahulu. Hindarkan perkara yang boleh menyebabkan bangsa lain memberontak. Walaupun kadang-kadang tindakan kita berasas. Sekurang-kurang konsep mendahulukan perkara lebih penting daripada yang penting mesti diutamakan dalam bab pemerintahan.

Sekarang ini, masyarakat sedang melihat seolah-olah kerajaan PAKATAN RAKYAT ingin membuang hak keistimewaan bangsa Melayu. Mungkin dengan sebab ini, undi orang melayu akan beralih kepada UMNO kembali.

Sampai sekarang ini, penulis merasakan papan jalan pelbagai bahasa masih lagi bukan suatu perkara yang penting. Biarkan papan tanda sekarang ini wujud dengan seadanya. Yang penting laksanakan keadilan dan cuba tidak menimbulkan kontroversi.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, November 5, 2008

Kematian Suatu Kepastian

Pada jam 10.00 pagi ini (4 November 2008) penulis dikejutkan berita kematian seorang kawan Ahmad Aduka Alias. Umur baru mencecah 24 tahun, mati akibat kemalangan antara kereta dan motosikal.

Kematian beliau membuatkan penulis termenung seketika jangka hayat hidup manusia. Baru semalam rasanya penulis bergelak ketawa bersama beliau. Hari ni beliau telah tiada dan pergi mengadap Allah tuhan Semesta Alam.

Kematian merupakan suatu kepastian. Kematian merupakan satu perpindahan alam daripada alam dunia menuju ke alam akhirat. Sesiapa pun pasti akan bertemu dengan sebuah peristiwa yang bernama kematian.

Kematian merupakan salah satu daripada rahsia Allah SWT kepada hambanya. Samada kita bersedia ataupun tidak pasti akan menemui sebuah kematian ini.

Semoga roh sahabtnya akan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang bertaqwa dan dirahmati oleh Allah SWT. Semoga kita akan bertemu kembali di syurga Allah SWT. InsyaAllah

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Saturday, November 1, 2008

PRK.. satu permulaan untuk perjuangan

Membaca Siasah bil 0120 menyebabkan penulis sedikit tersentak. Siasah kali ini memaparkan cabaran bagi mahasiswa apabila bergelar pimpinan. Penyingkiran dua pelajar UPM, Nur Syafiqa dan Nor Farhana dari kolej kediaman menunjukkan bahawa ahli akademik mula terjebak dengan politik sempit Kerajaan BN.

Walaupun penulis bukannya lepasan mahasiswa dalam negeri. Tetapi penulis cuba untuk memahami perit dan payah seorang mahasiswa untuk memperjuangkan idealima mereka sendiri. Lebih-lebih lagi sekarang ini, Piliharaya Kampus (PRK) mula dicampuri oleh pentadbiran universiti masing-masing. Campur tangan ini mula timbul selepas PRU pada 1999 yang telah menyaksikan sedikit kebangkitan mahasiswa walaupun mereka telah dibelenggu oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Penulis pernah membaca buku karangan Ust. Riduan Mohd Noor berkenaan dengan sejarah kebangkitan mahasiswa. Buku ini memdedahkan bagaimana penting gerakan mahasiswa untuk menjadi kuasa pendesak kepada sebuah kerajaan.

Mahasiswa tidak boleh dianggap sebagai pelajar hingusan. Mahasiswa perlu dianggap sebagai pemimpin pelapis kepada kemajuan negara pada dekad yang akan datang.

Apa yang timbul dalam benak penulis ialah kalau mahasiswa di universiti bawah kelolaan kerajaan pusat begitu menyegat. Kenapa mahasiswa bawah kelolaan negeri PAKATAN RAKYAT kelihatan sepi sahaja. Mana dia mahasiswa di Kolej Islam Sultan Ismail Petra (KIAS). Apakah mahasiswa ini hanya melihat sahaja kezaliman terkena pada rakan mahasiswa mereka di UKM atau UPM atau yang lainnya tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan. Apakah kerajaan PR menyekat penglibatan mahasiswa dalam politik.?

Dalam keadaan 5 negeri mencapai kemenangan. Sepatutnya mahasiswa di universiti atau kolej universiti bawah kelolaan kerajaan PR perlu menunjukkan taring dan cuba mengembalikan kegemilangan mahasiswa di mata masyarakat.

Kalau dulu mahasiswa dianggap sebagai ikon masyarakat. Sekarang mahasiswa dianggap sebagai budak mentah yang bersosial (bukan semua). Masyarakat sudah mula hilang keyakinan dan kehormatan kepada mahasiswa zaman kini.

Walaubagaimana pun, selepas PRU12 ini banyak menyaksikan pimpinan mahasiswa mula berani bertindak menyatakan apa yang terbuku di hati keada pihak pentadbiran universiti. Ini satu perkembangan yang cukup baik untuk kepimpinan negara yang akan datang.

Perjuangan mahasiswa sekarang ini merupakan satu titik permulaan untuk menempuh perjuangan yang lebih luas dan mencabar.

Penulis dan rakan-rakan akan terus menyokong kebangkitan mahasiswa yang semakin berani mendedahkan kebokrokan pentadbiran yang cuba menyekat idealisma mahasiswa hari ini.

Semoga kebangkitan mahasiswa selaras dengan kehendak Islam. Kalau kebangkitan lari dari kehendak Islam ianya akan dianggap sebuah kebangkitan yang songsang dan akan membentuk kezaliman yang baru.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Friday, October 31, 2008

Perkauman.. sampai bila akan berakhir..

Selesai sahaja PRU12, isu perkauman seakan-akan diletupkan kembali. Bermula dengan demontrasi bangsa melayu kononnya di Pulau Pinang bagi menentang pemansuhan DEB, kenyataan MB selangor dalam isu kouta UiTM yang dilihat seolah-olah meminggirkan bangsa melayu, kenyataan Ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang seakan-akan meletakkan bangsa Tiong Hua sebagai kelas kedua, kenyataan dan kelakuan YB Teresa Kok yang dimanipulasikan oleh Ketua Pembangkan DUN selangor YB Dr. Khir Toyo dan banyak lagi isu-isu berbau perkauman yang melanda negara Malaysia hari ini.

Persoalannya, kenapa isu perkauman begitu digemparkan samada pemerintah atau pembangkang.? Apakah isu ini diketengahkan bagi menutup segala kegagalan pemerintah dalam mentadbir atau untuk membela bangsa melayu.?

Bagi penulis, timbulnya isu perkauman ini disebabkan UMNO yang gagal membela hak rakyat. Kezaliman UMNO bukan kepada perobohan Masjid dan Surau, bahkan Kuil pun dirobohkan. ISA bukan sekadar menahan penceramah dan aktivis PAS. Bahkan pemimpin DAP pun terkena ISA ini.

Islam telah mengajar umatnya bagaimana untuk mengatasi masalah perkauman. Bangsa arab sebelum kedatangan Nabi SAW merupakan bangsa yang paling banyak kafilah, ini tidak termasuk golongan yahudi dan kristian. Aus dan Khazraj antara kafilah yang tidak pernah berdamai hampir ratusan tahun. Tetapi semua ini dapat diatasi dengan ISLAM.

Islam berjaya membina negara dalam masyarakat majmuk. Lebih majmuk dari masyarakat Malaysia pada hari ini. ketika Islam masuk ke Kota Madinah, tidak kedengaran pula timbul perbalahan kaum. Yang timbul ialah perdamaian antara Aus dan Khazraj, yang timbul ialah persetujuan Yahudi terhadap Piagam (perlembagaan) Madinah.

Selepas Makkah di buka, bangsa Quraisy tidak pernah memberontak dan menentang, walaupun pemerintah selepas itu bukan dari golongan Quraisy seperti Saidina Umar Al-Khattab RA

Walaupun Islam berjaya menguasai 2/3 dunia. Tidak pernah timbul berlaku pemberontakan akibat perbalahan kaum. Yang kedengaran hanya pemberontakan untuk menentang khalifah yang kelihatan zalim di mata sesetengah pihak.

Keadaan di Malaysia berlaku sebaliknya. Cukuplah dengan 13 mei menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia. Sepatutnya sejarah 13 Mei dipaparkan dengan mengetengahkan kehebatan PAS dalam menangani isu perkauman sehingga tidak merebak ke Kelantan. Hebatnya PAS ketika itu hanya kerana ISLAM. Islam telah menafikan perkauman yang sempit dan diganti dengan keadilan Islam yang terlampu luas.

Islam tidak pernah menafikan keistimewaan kaum di tempat mereka. Contohnya apabila saidina Umar tidak membenarkan pembelian tanah di parsi oleh tentera Muslimin kerana menjaga hak rakyat parsi daripada tergadai di bumi sendiri.

Islam juga tidak pernah mengzalimi golongan Non Muslim yang sanggup mengakui sistem pemerintahan Islam. Sehingga Nabi memberi amaran supaya golongan Non Muslim tidak disakiti dan dianiaya.

Tuan Guru Presiden PAS pernah menyebut bahawa perkauman ini mula diasaskan oleh penjajah. Penjajah yang sengaja meletakkan bangsa India di estet, bangsa cina di bandar, bangsa Melayu dipedalaman adalah untuk melahirkan satu jurang antara mereka.

Sebab itulah di awal merdeka, bangsa cina dilihat seolah-olah menguasai ekonomi tanah melayu ketika itu, bangsa melayu sebagai pemilik asal negeri terpinggir di ceruk kampung.

Oleh kerana itu, timbul perasaan tidak puas hari dikalangan bangsa melayu terhadap apa yang berlaku.

Isu ekuiti 30 peratus untuk bumiputera jangan dipandang secara negatif. Keistimewaan ini bukan bermaksud untuk menzalimi bangsa lain. Tetapi lebih untuk menaikkan taraf bangsa melayu agat tidak terpinggir di negara sendiri.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga mesti bertanggungjawab menaikkan taraf hidup bangsa Cina dan India agar tidak terus berada dalam kelompok kemiskinan tegar.

Kerajaan PAKATAN RAKYAT selangor contohnya mula mempekenalkan program modul Insan yang melibatkan semua bangsa. Sehingga ada seorang india mengakui selepas mengikuti program modul Insan SPIES (penulis akan menulis tentang konsep ini secara detail nanti) bahawa sekarang ini barulah dia merasa bahawa dia adalah seorang rakyat selangor (kerana diraikan bersama-sama).

Begitu isu sign board dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Hentikan polemik sempit ini. biarkan bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi kerana ini sebagai identiti negara Malaysia. Kalau negara Cina berbangga dengan bahasa mereka, Negara India berbangga dengan Bahasa mereka. Malaysia juga perlu berbangga kerana mempunyai bahasa tersendiri yang unik.

Hentikan polemik perkauman yang sempit dan tidak berkesudahan ini,

Yang penting hapuskan kezaliman yang telah dilakukan oleh UMNO sejak 50 tahun memerintah. Perkauman ini sebenarnya telah bermula ketika british menjajah dan diteruskan oleh UMNO/BN. Buktinya ialah kewujudnya parti yang mewakili bangsa.

Cukuplah….. hanya Islam yang mampu mengembalikan keamanan manusia sejagat.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Mengamalkan gaya hidup beragama

Hampir 2 minggu penulis tidak mengupdatekan blog attakiri ini. bukan kerana kekeringan idea. tetapi entah kenapa, setiap kali ingin menulis tajuk atau isi yang terlintas, tiba-tiba mood menulis hilang begitu sahaja. Alhamdulillah, mood yang hilang semakin menghilang.

Ketika penulis mengikuti program SPIES pendidik, anjuran Kerajaan Selangor minggu lepas, penulis tertarik dengan satu slot yang bertajuk “Mengamalkan diet yang seimbang”. Slot ini lebih menceritakan kepentingan umat Islam mengamalkan gaya hidup sihat bagi menyambung tugas sebenar seorang hamba Allah SWT. Consultan tersebut telah telah menghimpunkan segala hadis-hadis yang berkaitan dengan pemakanan sihat ini.

Kesimpulan yang dapat penulis berikan ialah pentingnya umat Islam mengamalkan gaya hidup beragama.

Manusia bukan hanya sekadar memerlukan kekuatan jasmani semata-mata. Tetapi manusia juga memerlukan kekuatan rohani bagi melengkapkan kejadian manusia yang bergabung antara tanah dan roh.

Islam mengajarkan manusia bagaimana membina kehidupan dengan cara yang sihat dengan menyarankan agar penganutnya tidak meminggirkan keperluan dua elemen iaitu jasad dan roh.

Persoalan jasad dapat dilihat dengan begitu banyaknya hadis-hadis yang berkaitan dengan keperluan kesihatan manusia seperti amalan meminum madu, habbatussauda, makan kerana lapar, berhenti sebelum kenyang, memakan tamar, dan sebagainya. Ini termasuk amalan nabi sendiri yang sentiasa menyarankan umatnya agar mengamalkan gaya hidup sihat seperti belajar memanah, berenang dan menunggang kuda.

Selain daripada produk kesihatan anjuran Islam itu, penganutnya jangan lupa dengan kesihatan roh yang perlu dijaga. Kesihatan roh sama pentingnya dengan kesihatan jasad. Kalau jasad tidak dijaga dengan sebaiknya berkemungkinan seseorang itu akan diserang penyakit jantung, kegagalan buah pinggang, kencing manis dan sebagainya.

Begitu juga dengan ruh, kalau tidak dijaga berkemungkinan seseorang itu akan diserang penyakit keras hati, berhasad dengki, gejala sosial, hilang perasaan taqwa kepada Allah SWT.

Islam tidak mahu umatnya menjadi lembek, Islam juga tidak mahu umatnya menjadi rosak peribadi.

Inilah dia kesyumulan Islam yang tidak pernah memecahkan kehidupan daripada Islam.

Penulis cukup bersetuju dengan pandangan Peguam PAS, saudara Hanipa Maidin yang menyebut bahawa kita bukan hanya kembali kepada Syariah dalam ekonomi sahaja. Perundangan juga perlu kembali kepada syariah.

Islam cukup mementingkan pembangunan roh dan akhlah manusia. Segala ajaran Islam sentiasa berkait rapat dengan keadilan dan pembinaan manusia.

Pengharaman riba lebih ke arah untuk mengelakkan dominasi harta terhadap golongan miskin.

Perbentukan undang-undang jenayah Islam lebih ke arah keadilan manusia sejagat.

Kesimpulannya Umat Islam perlu kembali mengamalkan gaya hidup beragama agar individu, keluarga, masyarakat, pemimpin dan negara akan terus hidup dalam keadaan aman dan diredhai oleh Allah SWT.

Ketahuilah bahawa ISLAM ADALAH CARA HIDUP YANG PALING LENGKAP UNTUK MANUSIA SELURUHNYA. TANPA ISLAM MASYARAKAT PASTI HANCUR.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Friday, October 17, 2008

Zaman Najib..Empayar UMNO pasti hancur……

Sebenarnya penulis tidak berhasrat untuk masuk campur dalam hal ehwal pemilihan UMNO. Ini termasuk rasuah (politik wang), pergaduhan dan sebagainya. Bagi penulis ini semua menandakan gagalnya apabila berpolitik menggunakan teknik barat yang meletakkan kebendaan sebagai pokok kemajuan.

Allah SWT telah menyatakan bahawa kalaulah manusia menaburkan harta sebanyak mana sekalipun untuk mengambil hati manusia, mereka tidak akan berjaya. Tetapi Allahlah yang menyatukan hati mereka. Ini bermakna hanya agama yang mampu menyatu dan membentuk peribadi manusia.

Manusia mungkin boleh menarik undi manusia dengan wanga. Tapi lama mana manusia itu boleh menaburkan wang. Mungkin dalam masa yang lain, orang yang dibeli ini akan beralih kepada pimpinan yang lain kerana terkesima dengan tawaran yang lebih tinggi.

Kalau manusia diikat dan diajar dengan agama, insyaAllah mereka akan terus kekal mengundi dan menyokong pemimpin yang menyokong agama.

Penulis mengulas isu pemilihan ini kerana siapa pun bakal menjadi presiden UMNO sudah tentu akan diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 6.

Oleh itu sewajarnya bagi penulis untuk memberi sedikit pandangan tentang pemilihan UMNO dan siapa yang akan menjadi PM Malaysia nanti.

Dalam hal ini, mungkin ada yang mengakui teori RAHMAN semakin sampai ke kemuncaknya. Mungkin teori ini berakhir dengan berakhirnya hayat UMNO untuk berkuasa. Entahlah..itu semua sekadar teori dan jangkaan manusia sahaja. Jangan terlampau percaya sangat.

Peralihan kuasa antara Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mendatangkan kebaikan pun terhadap rakyat Malaysia.

Kedua-dua berasaskan dari parti yang menolak Islam sebagai dasar. Ada yang mendakwa berkemungkinan Najib akan lebih baik dari PM sekarang. Ada pula yang mendakwa berkemungkinan Najib lebih rakus dari PM sekarang ini. ini semua andaian-andaian yang terkeluar dari rakyat Malaysia sekarang ini.

Bagi penulis, kedua-dua sama sahaja. Kalau Tun Dr. Mahathit dahulu dikatakan seorang yang mengkayakan anak sendiri dan kroni, PM Sekarang pula terkenal dengan memperkayakan anak dan menantu. Berkemungkinan Najib akan datang terkenal dengan mengkayakan isteri sendiri.

Semua ini berlaku akibat UMNO sendiri yang tidak memperjuangan konsep ketaqwaan kepada Allah. Sebaik mana pun pemimpin UMNO pasti akan melakukan penyelewengan walaupun sedikit. Secekap mana pun Pemimpin UMNO pasti akan tercalit sedikit pengkhiatan terhadap harta dan khazanah negara.

PM Malaysia yang ke 6 berkemungkinan besar jatuh ke Dato’ Seri Najib Tun Razak. Walaupun ada kemungkinan bahawa PM ke 6 adalah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Tetapi telahan ini dianggap agak sukar berlaku dengan keadaan perubahan kuasa dalam UMNO.

Persoalannya adakah Najib telah menepati kriteria seorang pemimpin negara Islam (sebagai dakwaan Tun Dr. Mahathir).

Sampai sekarang Najib masih belum kelihatan sebagai pemimpin yang benar-benar bersih dari segala dakwaan. Isu altantuya contohnya. Walaupun Najib telah berkali-kali bersumpah untuk menafikan keterlibatan beliau dalam skandal tersebut, tetapi rakyat masih tidak berpuas hati.

Dalam ISLAM sekalipun, sumpah akan dilakukan selepas proses perundangan selesai. Sumpah tidak menyebabkan tertuduh bebas dari tuduhan.

Apakah Najib telah dibersihkan dengan undang-undang dalam isu Altantuya Sharibuu. Begitu juga dengan komisyen Kapal selam yang tinggi sehingga mencapai angka RM 530 juta ringgit. Isu ini terus senyap begitu sahaja tanpa ada pembersihan nama beliau dimahkamah.

Semua isu ini melambangkan bahawa Najib masih belum layak menduduki sebagai seorang pemimpin negara umat Islam. Mungkin beliau layak menduduki kerusi Presiden UMNO tetapi bukan kerusi Perdana Menteri.

Tetapi suka atau tidak, rakyat terpaksa menerima Perdana Menteri sebegitu dalam bulan Mac nanti.

Mungkin Najib adalah Perdana Menteri dari Kerajaan BN yang terakhir bagi mengakhiri teori RAHMAN itu..

Semoga kezaliman terhadap ISLAM akan berakhir dengan terhilangkan kekuasaan UMNO di bumi Malaysia, insyaAllah.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, October 15, 2008

Kekuatan PAS pada Kepimpinan ULAMAK

Pertamanya penulis amat berterima kasih kepada Kabus Pagi yang telah menghantar pandangan beliau kepada penulis untuk dikupas.

Tulisan beliau (bagi pandangan penulis, kalau silap, kabus pagi tolong maklum balik) lebih kepada kebimbangan terhadap perkembangan PAS akan datang yang seolah-olah semakin lari dari prinsip perjuangan sebenar.

PAS menyertai kerjasama dalam PAKATAN RAKYAT sebagai satu strategi untuk MENGEMBANGKAN DAKWAH ISLAM. Ini berbeza dengan UMNO yang bergabung dengan komponen dalam BN lebih ke arah untuk memperalatkan parti lain bagi menguatkan kekuasaan terhadap negara.

Sebab itu pernah wakil MCA menyebut kemasukan MCA dalam BN seolah-olah dibonekakan oleh UMNO.

Jadi perlu ada perbezaan antara gabungan UMNO dan kerjasama PR. Sebab PAS selalu menyebut tidak ada niat di hati pemimpin untuk bergabung dengan UMNO. Tetapi lebih ke arah kerjasama untuk memajukan ISLAM. Maksud kerjasama di sini seperti kalau UMNO ingin melakukan persempadanan untuk memperbanyakkan kerusi parlimen orang ISLAM, sudah tentu PAS akan menyokong dalam parlimen bagi mengcukupkan undi 2/3.

Mungkin ada kalangan masyarakat ISLAM yang agak bimbang dengan pendekatan PAS kini seolah-olah lari daripada dasar dan prinsip parti yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qias yang terang dan nyata.

Tetapi percayalah, selagi PAS berpegang dengan prinsip Kepimpinan ULAMAK, prinsip PAS pasti akan terus berjalan dan bertahan. Penubuhan Majlis Syura Ulamak sebagai pemegang dasar membuktikan bahawa PAS sebagai gerakan Islam yang utuh akan terus mempertahankan dasar walaupun terdapat segelintir ahli PAS seolah-olah tidak berpuas hati dengan keputusan.

Keterbukaan PAS dalam bertindak setakat ini masih belum terkeluar dari landasan ISLAM.

menyentuh kerjasama PAS bersama dengan DAP masih lagi dalam lingkungan yang dibenarkan oleh ISLAM. Ini kerana dalam kerjasama ini, PAS dan DAP (termasuk PKR) bekerjasama untuk menolak kezaliman. Kisah ini sama seperti kerjasama golongan musyrikin sebelum Rasulullah diangkat menjadi nabi untuk menolak kezaliman yang dinamakan sebagai Halful Fudhul. Kisah ini telah diperakui oleh Rasulullah. Bahkan baginda menyebut kalau perkara ini berlaku selepas nubuwwah nescaya baginda akan menyertainya.!

Dalam isu perubahan kuasa, DAP menerima syarat PAS dalam memastikan MP hendaklah bermajoritikan orang Islam. Inilah dia bukti ketegasan kepimpinan Ulamak.

Apa yang penting, ahli PAS perlu sentiasa memberi wala’ kepada pimpinan PAS. Memberi wala’ setiap keputusan PAS dalam memastikan agenda Islam diteruskan. Persoalan muqabalah merupakan antara keputusan Syura Ulamak dalam mengembangkan Islam. Tidak timbul soal pengkhianatan kepada rakan-rakan dalam PAKATAN.

PAS dikenali sebagai parti yang sentiasa teguh pada janji permuafakatan. Pengalaman PAS bersama dengan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif banyak memperlihatkan PAS sentiasa menjaga hubungan antara rakan-rakan.

Jadi insyaAllah, selagi PAS masih meneruskan agenda kepimpinan Ulamak, selagi itulah kekuatan PAS akan terus utuh dan kukuh berlandas kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

(semoga ulasan ini dapat menjawab kerisauan Kabus pagi)

www.attakiri.blogspot.com


... Bekerja Untuk Islam ...