Thursday, July 9, 2009

Hadis Pilihan 1 : Kepimpinan Bukan Satu Perebutan



Maksudnya : Abi Zar berkata kepada Rasulullah : Wahai Rasulullah, Kamu tidak mahu melantik aku (menjadi pemimpin)?. Lantas Rasulullah meletakkan tangan ke atas bahu Abi Zar seraya berkatan : “Wahai Abu Zar, Kamu ini seorang yang lemah. Kepimpinan merupakan satu amanah, kepimpinan juga merupakan suatu kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat kecuali bagi sesiapa yang mengambil kepimpinan ini dengan hak dan melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.

Dalam riwayat yang lain : “Wahai Abu Zar, Kamu ini seorang yang lemah (tentang kepimpinan). Aku menyayangimu sebagaimana aku menyayangi diriku. Jangan kamu dilantik sebagai ketua kepada dua orang yang lain. Jangan kamu dilantik untuk menjaga kemaslahatan harta Anak Yatim.

Permintaan Abu Zar dan penolakan Nabi SAW perlu dipandang secara positif bukannya negatif.

Permintaan Abu Zar kerana beliau melihat perlantikan Nabi SAW merupakan satu kemuliaan, kebanggaan dan kepercayaan. Sudah tentu beliau inginkan kemuliaan, kebanggan dan kepercayaan Nabi SAW.

Penolakan Nabi SAW kerana Baginda mengenali setiap peribadi sahabat RA. Baginda mengenali Abu Zar dan tahap kemampuannya untuk memimpin. Pemimpin bukan sekadar memahami agama tetapi mampu untuk mentadbir dengan baik. Dengan kata lain memahami kehendak Maslahah dan Masfadah untuk rakyat dan bukan untuk Individu.

Kemampuan sebegini tidak ada pada Abu Zar RA. Tetapi ini bukan bermakna Abu Zar seorang sahabat yang lemah dan lembik. Abu Zar ialah seoran yang cukup zuhud dengan keduniaan. Beliau seorang yang cukup mentaati perintah Allah SWT.

Cuma setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Antara kehebatan Nabi ialah mengenali Kelebihan dan kelemahan para Sahabat. Dengan sebab itu, setiap tugasan diberikan kena pada tempatnya.

Imam Nawawi menyebut dalam mensyarahkan Hadis ini dengan berkata :

Hadis ini merupakan asas bagi menjauhi amanah kepimpinan. Khususnya bagi sesiapa yang tidak mampu melaksanakan tuntutan kepimpinan. Kehinaan dan penyesalan akan berlaku kepada orang yang mengabaikan amanah ini. Mereka akan dihina dan dibukakan aib oleh Allah pada Hari Kiamat. Inilah yang akan menjadi penyesalan bagi mereka para hari tersebut.

Tetapi, Kalau pemimpin itu mampu memegang kepimpinan dan memerintah dengan keadilan, mereka pasti akan mendapat ganjaran yang cukup besar. Ini jelas disebutkan dalam hadis-hadis Shahih yang lain. Bahkan kesemua ulamak Muslimin (ijma’) mengakui kelebihin ini. Dalam masa yang sama perlu sentiasa berjaga-jaga dengan peringatan tentang bahayanya apabila memegang kepimpinan.

Bagi penulis, Kenyataan yang dikeluarkan oleh Imam Nawawi cukup jelas dan terperinci. Jadi tidak wajar bagi sesiapa yang berkelayakan dan diminta untuk memegang kepimpinan menolak dengan alasan kepimpinan merupakan satu penyesalan.

Cegahan terhadap meminta-meminta jawatan berkait rapat dengan amanah yang hendak dilaksanakan. Kalau mampu, tidak salah untuk seseorang itu meminta supaya dilantik.

Ini jelas dalam kisah Yusuf meminta supaya beliau diletakkan dalam bidang perbendaharaan negeri kerana keyakinan beliau dalam menjalankan tugas tersebut dengan adil dan amanah.

Rasulullah pernah bersabda :


Maksudnya : Sesiapa yang meminta untuk dilantik sebagai Hakim/pemimpin orang Islam sehingga dia mencapainya. Keadilan yang diberikannya melebihi daripada dosanya (kezaliman). Maka dia akan mendapat balasan syurga. Tetapi jika Dosanya ( kezaliman) melebihi keadilannya. Maka dia akan mendapat balasan neraka . (Riwayat Abi Daud)


Maksudnya : Tidak ada kedengkian (bagiku) kecuali kepada dua orang (golongan). (yang pertama) Seorang lelaki yang dikurniakan harta Kekayaan oleh Allah, harta tersebut dihabiskan atas jalan kebenaran. (yang kedua) seorang lelaki yang dikurniakan hikmah (kebijaksanaan) oleh Allah, lelaki ini menggunakan kebijaksaannya dalam pemerintahan dan berkongsi dengan orang lain. (Riwayat Bukhari)

Kedengkian yang dimaksud dalam hadis tersebut ialah kedengkian yang membawa ke arah saling berlumba-lumba untuk mengejar kebaikan. Bukan saling berlumba-lumba untuk menjatuhkan mereka yang membuat kebaikan.

Jadi, bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk memimpin, teruskan dengan niat kalian. Sesungguhnya pahala dan ganjaran Allah sangat besar sekali.

Bagi sesiapa yang tidak mampu tetapi ingin memimpin.. berjaga-jagalah, sesungguhnya azab Allah sungguh pedih.

Semoga penjelasan hadis ini memberi manfaat kepada semua..

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tafsir Pilihan 1 : Jangan Menyesal



Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (persalah, marah dan menyesal terhadap dirinya) sambil berkata : “Kalaulah (dunia dahulu) aku mengikut jalan (petunjuk) para Rasul ( tentu aku tidak akan jadi sebegini”. “Celakalah aku, kalaulah aku tidak mengambil dia sebagai kawan karib (sudah tentu nasib aku tidak sebegini).”Dia ini telah menyesatkan aku dari peringatan (Al-Quran) selepas peringatan tersebut disampaikan kepadaku dan syaitan sentiasa mengecewakan manusia (yang mengambil syaitan sebagai sahabat karib) – Al-Furqan 27-31

Kadang Pengaruh kawan sekeliling membawa kepada syurga. Kadang pengaruh kawan membawa kepada neraka. Lebih-lebih kalau kawan itu seorang yang berpengaruh di campur dengan title YB pulak.

Ayat di atas merupakan satu amaran kepada mereka yang menolak untuk bersama Islam dengan sebab malu alah dengan sahabat mereka. Kesan dari malu alah tersebut. Penyesalan tidak terhingga apabila bertemu dengan Allah SWT.

Walaupun ayat di atas diturunkan untuk golongan musyrikin mekah dan penyesalan mereka di hadapan Allah hasil daripada penderhakaan terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Tetapi pengajaran ayat ini boleh diumumkan kepada sesiapa sahaja yang bersifat demikian.

Ramai mana manusia khususnya remaja terkena dengan keadaan sedemikian. Ada yang ingin mengubah diri dengan cara hidup Islam, tapi di sindir kononnya ingin menjadi malaikat.

Islam bukan sahaja mengajar manusia bagaimana untuk menjalani kehidupan berpandukan fitrah insani. Tetapi Islam juga mengajar dan memberitahu manusia bahawa kehidupan di dunia ini bersifat sementara.

Segala perbuatan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah SWT. Ini merupakan satu pemantauan terbaik bagi memastikan manusia menjalani kehidupan dalam keadaan aman, damai dan membahagiakan.

Islam bukan agama yang hanya mementingkan akhirat semata-mata. Maksud daripada penciptaan manusia untuk menyembah Allah SWT perlu dilihat dalam skop yang lebih luas.

Beribadat kepada Allah bukan sahaja melaksanakan tuntutan aqidah dan syariat. Tetapi beribadat kepada Allah ialah menyempurkan tuntutan akhlak dan sunnatullah.

Membina jati diri berkeyakinan, melengkap diri dengan ilmu pengetahuan, cemerlang dalam peperiksaan, menguruskan kewangan dan sebagainya merupakan salah satu pengibadatan kepada Allah.

Begitu juga membina rumah tangga yang bukan sahaja menekankan soal pendidikan formal semata-mata, tetapi lebih kepada pembinaan akhlak keluarga dan anak-anak juga merupakan pengibadatan kepada Allah.

Perkataan Ibadah perlu dipandang dalam skop yang besar. Jangan dipandang dengan skop yang terlampau kecil sehingga merosakkan agama.

Ramai umat Islam yang berdepan dengan kesusahan sentiasa menyebut mereka tidak sukakan kesenangan kerana mungkin akan membawa kepada kebinasaan.

Mungkin hujjah yang betul atau ingin mencipta alasan sebab malas berusaha.!

Umat Islam perlu menunjukkan contoh teladan yang terbaik untuk umat Manusia seluruhnya.

Jadi, carilah kawan yang terbaik untuk membina jati diri yang bertepatan dengan syariat Islam.

Selalulah membaca sirah Rasulullah SAW. Lihatlah bagaimana Rasulullah bergaul dengan para sahabat dan membina mereka dengan akhlak Islam yang cukup tinggi.

Ingat.... Pergaulan yang silap akan menempah maut di hadapan Allah SWT.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Wednesday, July 8, 2009

Pemikiran Berjemaah lebih baik dari pemikiran Individu

Selepas berkembangnya dunia blogger yang begitu meluas. Kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan arus kemodenan ini. ada yang mencipta blog sebagai catatan diari peribadi. Ada yang mencipta blog sekadar melontarkan pandangan peribadi. Ada yang mencipta untuk menghentam sesama sendiri dan sebagainya.

Kemenangan Gerakan Islam PAS bersama PAKATAN RAKYAT boleh dikatakan oleh pengaruh blog yang begitu meluas ketika musim pilihanraya. Nampaknya UMNO/BN telah mengambil tindakan yang serupa sekarang ini sehingga dilihat begitu banyak blog yang pro UMNO secara totok.

Pun begitu, perkembangan blog ini mempunyai kesan positif dan negatifnya.

Positifnya ialah segala maklumat tentang kebobrokan kepimpinan kerajaan UMNO/BN dapat ditelanjangkan habis-habisan. Kalau sebelum ini, maklumat tersebut disembunyikan oleh media arus perdana. Kini persembunyian maklumat tidak berlaku lagi.

Negatifnya pula banyak. Apa yang penulis ingin fokuskan di sini ialah terdapat blog yang saling hentam menghentam antara satu sama lain.

Islam cukup mementingkan Institusi mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini bukan bermakna seorang pemimpin tidak dibenarkan untuk membuat keputusan tersendiri yang drastik.

Ketika Perjanjian Hudaibiyyah Rasulullah membuat keputusan sendiri selepas mendapat petunjuk dari Allah SWT walaupun tidak dipersetujui oleh para sahabat.

Rasulullah juga melaksanakan keputusan mesyuarat dalam strategi peperangan uhud walaupun keputusan tersebut kurang dipersetujui oleh baginda Nabi SAW.

PAS telah selesai menjalani pemilihannya dalam muktamar yang lalu. Pemilihan tersebut telah dijalankan dengan telus tanpa ada sebarang penyelewengan. Jika timbul sebarang penyelewengan sudah tentu ada laporan.

Pimpinan PAS dipilih oleh perwakilan kawasan yang telah diberi mandat oleh ahli PAS melalui Mesyuarat Agung Kawasan. Kebiasaan ahli Mesyuarat Agung Kawasan memberi mandat kepada Ahli Jawatankuasa Kawasan untuk memilih pemimpin yang dikehendaki dan sesuai dengan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam.

Walaupun Struktur pemilihan sama seperti UMNO. Tetapi PAS tidak mengamalkan rasuah politik sehingga hanya mereka yang berduit sahaja yang boleh menjadi pemimpin UMNO.

Pemimpin PAS dipilih berdasarkan gerak kerja dan pemahaman tentang pergerakan PAS sebagai Parti Siyasah, Dakwah dan Tarbiyyah.

Apa yang penulis ingin sebutkan di sini ialah pimpinan PAS dipilih secara mesyuarat. Pimpinan dipilih berdasarkan persetujuan dari akar umbi.

Setiap manusia mempunyai pandangan berbeza terhadap beberapa orang pemimpin. Perbezaan pandangan ini telah selesai apabila keputusan telah dikeluarkan. Sepatutnya perbezaan pandangan ini dihilangkan selepas perwakilan membuat keputusan.

Tetapi situasi ini seolah-olah tidak berlaku. Terdapat segelintir pimpinan dan ahli masih sibuk mengkritik pimpinan yang dilantik secara terbuka. Inilah antara perkara yang negatif apabila blog menjadi medan untuk menkritik.

Penulis tidak hairan apabila penganilisis politik mengkritik secara terbuka. Penulis juga tidak hairan kalau blog pro UMNO mengkritik secara terbuka.

Tetapi penulis cukup terkilan kalau blog pimpinan ataupun ahli hard Core mengkritik secara terbuka. Kritik tersebut bukan sekadar mengkritik. Tetapi ditimbulkan seolah-olah PAS mempunyai dua kem berbeza. Kem Mursyidul Am dan Kem Presiden. Walhal kedua-dua Tok Guru itu tidak pernah berniat sedemikian.

Wacana Ilmiah Dewan Pemuda PAS Pusat dijadikan modal untuk menghentam ketua Pemuda Sekarang. walhal tindakan ketua Pemuda Sekarang sama dengan tindakan ketua Pemuda terdahulu. Kenapa YB Salahuddin tidak diserang tetapi Ust. Nasrudin diserang bertalu.? Adakah terdapat agenda tersembunyi dalam serangan ini.?

Penulis tidak berniat untuk bersangka buruk. Cuma ingin berwaspada sahaja. Dakwaan bahawa kepimpinan Pemuda mundur kebelakang adalah sesuatu yang tidak adil.

Dari sudut mana diukur kemundurannya. Adakah kerana Ketua Pemuda Berserban dianggap mundur.? Adakah kerana Pemuda ingin kembalikan tarbiyyah zaman 80’an dianggap mundur.? Apakah kerana wacana Ilmiah, Pemuda dianggap mundur ke belakang.?

Kemungkinan-kemungkinan ini merupakan satu pandangan kebudak-budakan yang tidak ada asasnya.

Keputusan Pimpinan PAS pusat di laksana secara Syura. Keputusan Pimpinan Pemuda Pusat diputuskan secara Syura. Keputusan Pimpinan Ulamak diputusan secara syura. Keputusan Pimpinan Muslimat diputuskan secara syura.

Semestinya ia berbeza dengan keputusan individu yang kadang-kadang merasakan bahawa mereka betul. Tidak sama keputusan yang dibuat oleh mereka yang bergelumang dengan gerak kerja Gerakan Islam dengan mereka yang hanya sekadar menjadi ahli pemikir.

Yang paling penting. keputusan secara berjemaah lebih baik dari keputusan individu yang belum tentu praktikal.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...