Tuesday, June 30, 2009

Tahniah PLPDT

Pada 26 Jun 2009 Persatuan Lepasan Pelajar Darul Taqwa (PLPDT) telah mengadakan Malam Noltalgia PLPDT bersama Perintis-perintis Darul Taqwa. Program tersebut diserikan lagi dengan kedatangan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Ust Hj Harun Taib. Berita berkenaan boleh dilihat di sini


Pernah satu ketika sekumpulan fasilitator dari Kusza (Sekarang UDM) yang dijemput untuk mengisi program PLPDT terkejut apabila diberitahu bahawa PLPDT adalah Persatuan Lepasan Sekolah Rendah.!


Ya, walaupun begitu, lepasan pelajar begitu bersemangat untuk membangunkan organisasi ini sehingga mampu memcapai matlamat penubuhannya.


PLPDT mengalami jatuh bangunnya semenjak mula ditubuhkan lagi. Penulis memang berniat untuk menyambung kembali khidmat kepada PLPDT sesudah menghabiskan pengajian di Syria. Tapi apakah daya, tiba-tiba terdampar di Bandar Baru Bangi.


Apa-apa pun, penulis mengucapkan tahniah kepada Ust. Shahril Alim Presiden PLPDT yang baru yang begitu bersemangat membangunkan kembali PLPDT dan menyusun kembali pentadbiran yang dianggap agak kaku sekian lama.


Penulis akan terus menyokong perjuangan kalian untuk membangunkan kembali Madrasah Darul Taqwa.


Madrasah Darul Taqwa (1991-1995) begitu menggamit kenangan. Di sanalah penulis mula belajar membaca dan menulis. Di sanalah penulis mampu memahami asas-asas Islam. Di sanalah penulis mula mengenali tulisan jawi dan membacanya di saat kerajaan telah memahsuhkan tulisan jawi ketika itu.


Walaupun prasarana tidak lengkap dan agak mundur ke belakang. Tapi perasaan rindu dan sayang tetap bersarang di hati. Mungkin kerana penulis terlibat sedikit sebanyak dalam menjayakan beberapa program membangunkan prasarana sekolah anjuran PLPDT.


PLPDT telah melangkah ke depan. Pun begitu, jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian yang ada. Tingkatkan usaha dan istiqamah dalam perjuangan.


Penulis akan cuba membantu sekadar kemampuan kecil yang ada pada diri ini.


www.attakiri.blogspot.com




... Bekerja Untuk Islam ...

Monday, June 29, 2009

Betulkah UMNO/BN Akan Terkubur Dalam PRU13?

Setakat ini penulis masih belum dapat istiqamah untuk mengupdatekan blog dalam masa tidak kurang dari 3 hari. Apa pun penulis berterima kasih kepada faizul yang memberi ingatan di cbox. InsyaAllah penulis akan cuba sedaya upaya untuk lebih kerap untuk mengupdatekan blog ini.

Pemimpin politik pembangkan selalu menyebut bahawa PRU13 nanti UMNO/BN pasti akan menjadi pembangkang. Kemenangan besar PR dalam PRU12 dianggap sebagai satu mukaddimah kepada peralihan kuasa dalam pemerintahan negara.

Dengan sebab itu, segala tindakan rakan pakatan yang kononnya akan merugikan politik akan ditentang kerana akan mengagalkan perancangan untuk pertukaran kuasa.

Muzakarah dan unity Government ditentang habis-habisan beralasankan bahawa gerakan politik dan dakwah seperti ini akan memberi nafas baru kepada UMNO/BN untuk terus hidup selepas PRU13.

Kedua-dua isu tersebut telah selesai untuk diperbincangkan. Penulis menghormati keputusan kepimpinan dalam kedua-dua isu ini.

Selepas PRU12, suasana politik Malaysia terus menerus panas dan agak kucar kacir. Berlakunya PRK yang terbanyak dalam sejarah samada berpunca dari kematian Yang Berhormat atau perletakan jawatan. Perancangan 16 september dan rampasan kuasa di Perak dengan cara yang tidak diplomatik. Peralihan kuasa dalam kepimpinan negara yang seakan-seakan tidak dihormati oleh rakyat dan pelbagai lagi.

Mungkin bagi pemimpin politik pembangkang dan ahlinya, isu ini pasti akan menguntungkan pembangkang untuk mengambil teraju kepimpinan negara pada PRU13 nanti.

tapi bagi sesetengah rakyat bawahan akan menganggap bahawa semua pemimpin politik samada pemerintah dan pembangkang terlalu berpolitik sehingga masa untuk membangunkan negara agak terbatas.

Dengan strategi yang sebegini, mampukah PRU13 nanti UMNO/BN akan dikuburkan.? Benarkah UMNO/BN sudah hilang sokongan rakyat khususnya bangsa melayu.? Adakah UMNO/BN akan menjadi pembangkang selepas PRU13 nanti.?

Bacaaan politik Malaysia dilihat agak menarik. Pada tahun 1990, PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menang besar sehingga Kelantan berjaya dibuka oleh PAS dengan kemenangan 100%. Tetapi dalam PRU pada tahun 1995, berlaku kemerosotan sehingga terbubarnya APU ekoran parti S46 telah dibubarkan.

Pada tahun 1999, PAS bersama Barisan Alternatif menang besar dalam PRU10 sehingga berjaya mempertahankan Kelantan, membuka Terengganu dan hampir-hampir membuka negeri Kedah selepas berlaku isu pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan reformasi. Tetapi PRU11 pada tahun 2004, PAS dan Barisan Alternatif kalah teruk sehingga Terengganu berjaya dirampas kembali, Kelantan hampir-hampir jatuh.

PRU12 menyaksikan kemenangan yang terbesar parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP sehingga 4 negeri berjaya dibuka, 1 negeri berjaya dipertahankan. Ekoran daripada itu, Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS mencadangkan agar dibentuk PAKATAN antara semua parti pembangkang. Alhamdulillah cadangan ini dipersetujui oleh PKR dan DAP sehingga terbentuknya PAKATAN RAKYAT.

PRU13 dijangka akan diadakan pada tahun 2013. Tetapi kalau mengikut sejarah pilihanraya yang keputusannya agak turun naik, dijangkakan PR akan mengalami kemerosotan pada PRU13 nanti. Itu hanya jangkaan berdasarkan analisis PRU yang lepas.

Sesetengah rakyat memandang bahawa kemenangan besar dalam PRU12 baru-baru ini bukan kemenangan bangsa melayu, tetapi ia adalah kemenangan bangsa Tiong Hua dan India. Kedua-dua kaum tersebut berjaya menunjukkan taringnya selepas hampir 50 tahun kehidupan mereka seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan.

Dengan sebab itu, UMNO/BN sekarang ini semakin kuat menimbulkan sentimen kebangsaan untuk memastikan undi orang Melayu tidak terlepas kepada PAS.

Strategi tersebut nampak berkesan. Ini dapat dilihat dalam analisis keputusan PRK Bukit Gantang yang memperlihatkan undi melayu merosot 4% kepada PR. Kalau gejala ini berterusan. Peluang untuk PR mengambil alih kuasa agak tipis dan hampir tidak berjaya.

Lebih-lebih lagi PM One Malaysia dilihat begitu bertungkus lumus untuk mengambil hati rakyat bukan Islam dengan menggagaskan one Malaysia, meliberasasikan banyak sektor kerajaan. Terbaru melaksanakan Biasiswa Nasional yang akan bermula pada tahun hadapan.

Strategi ini dilihat mampu menarik kembali undi bukan melayu kepada UMNO/BN dalam PRU13 nanti.

PR perlu merancang perancangan baru dan lebih meyakinkan rakyat sebagai sebuah government in waiting. Sekadar permainan politik membangkang dilihat seperti tidak menarik minat rakyat.

Stretegi Hudaibiyyah patut difikirkan dan diwacanakan oleh PR khususnya PAS bagi mengambil alih kuasa dari BN dengan menanamkan keyakinan kepada rakyat bawahan dan atas pagar.

Ketika moral Quraisy hampir jatuh teruk, kemenangan Islam yang semakin hampir, tiba-tiba Nabi SAW mengadakan perjanjian genjatan senjata yang begitu dimarahi oleh para sahabat. Tetapi dengan sebab ketegasan Nabi itulah, termeterainya perjanjian Hudaibiyyah ini, akhirnya Kota Mekah berjaya dibuka dengan aman tanpa pertumpahan darah.

Sirah yang agak panjang ini perlu diperhalusi dan perlu difikirkan bersama-sama oleh semua pihak.

Pun begitu, Penulis berharap kesemua petugas PAS terus menerus istiqamah dalam perjuangan dan terus menerus Bekerja Untuk Islam.

Hanya Islam yang mampu melaksanakan perubahan kepada kebaikan.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Tuesday, June 23, 2009

Kerajaan Perpaduan untuk Zaman Pak Lah bukan Najib

Semalam, Majlis Presiden PAKATAN RAKYAT telah bersetuju untuk menolak sebarang usaha untuk membentuk kerajaan Perpaduan dengan UMNO.

Walaupun idea penubuhan kerajaan Perpaduan dikeluarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden, tetapi idea tersebut dilontarkan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Selepas berlaku peralihan kuasa kepada Perdana Menteri One Malaysia sekarang ini, idea tersebut sudah dianggap tidak sesuai dan tidak relevan.

Kerajaan Perpaduan ini akan mensyaratkan pemimpin yang dilantik untuk mengemudi negara hendaklah bersih dari sebarang skandal, penyelewengan dan sebagainya.

Teringat ucapan Setiausaha Politik Dato’ Seri Tuan Guru Presiden, Dr Samsuri Mokhtar ketika merasmikan Mesyuarat Agung Kawasang Serdang antara lain menyebut “kalau kerajaan Perpaduan dibentuk sekarang ini, Najib adalah antara calon yang paling tidak layak untuk menjadi PM kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang tidak bersih”.

Dari sudut moral dan akhlak, Tun Abdullah Ahmad Badawi lebih bersih daripada Perdana Menteri One Malaysia sekarang ini. dari sudut kewibawaannya pula, itu adalah soal lain.

Kalau begitu, ini bermakna Presiden PAS tidak tunduk kepada tekanan daripada rakan Pakatan. Bahkan idea penangguhan tersebut dilontarkan sendiri oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden selepas berlakunya pertukaran kuasa.

Penulis juga tidak menolak saranan Presiden PAS yang menyebut bahawa Kerajaan Perpaduan merupakan satu bentuk penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan segala pertikaian politik dan yakin idea ini akan diterima pada suatu hari nanti.

Cuma ia memerlukan satu pengkajian akademik dan politik bagi memastikan pelaksanaanya relevan di bumi Malaysia ini. Penulis rasa tulisan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat dalam Harakah edisi Jumaat baru-baru ini wajar dijadikan rujukan oleh semua ahli PAS dan pembaca.

Muktamar PAS di Ipoh dan di Shah Alam telah bersetuju untuk Memperkasakan PAKATAN RAKYAT dan meneruskan keterbukaan untuk sebarang ruang perundingan dengan semua pihak demi kepentingan Islam. (penulis ingin membetulkan kenyataan Mursyidul Am bahawa Muktamar di Ipoh telah menolak muqabalah ketika beliau merasmikan sambutan 25 tahun kepimpinan ulamak di Taman Melewar).

Polemik tentang kerajaan Perpaduan ketika Dato’ Seri Tuan Guru Presiden berada di luar negara patut dimuhasabahkan.

Media arus perdana hampir berjaya melaga-lagakan pimpinan PAS apabila segelintir pimpinan seolah-olah menyambut provokasi media dengan memburukkan pimpinan yang lain.

Penulis masih lagi terkilan dengan tindakan 10 ahli parlimen PAS yang mengeluarkan kenyataan akhbar lebih awal sebelum mendengar terlebih dahulu penjelasan Presiden PAS. ini sudah dikira biadap dan melanggar adab berjemaah dalam parti.

PAS bukan sahaja dikenali sebagai parti politik, tapi PAS ialah Gerakan Islam.! segala tindak tanduk mestilah berasaskan kepada ukhuwwan Islamiyyah. Bukannya politik cerca mencerca, cantas mencantas dan sebagainya.

Sepatutnya pertikaian antara 2 tok guru jangan diapi-apikan. Ini akan menyebabkan media akan lebih mengekploitasikan lagi kenyataan-kenyataan pimpinan yang lain.

Dalam hal ini, penulis cukup kagum dengan dengan timbalan presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa yang tidak membuat sebarang kenyataan media untuk menyanggah kenyataan Tuan Guru Mursyidul Am. Beliau lebih suka menjelaskan secara dalaman daripada mewar-warkan kepada media. Tindakan beliau patut dipuji dan dicontohi oleh pimpinan yang lain.

Begitu juga tindakan Tn Hj. Mustafa Ali ketika Tuan guru Musyidul Am membidas beliau secara terbuka. Beliau tidak terus membuat kenyataan media kecuali selepas berjumpa sendiri dengan Tuan Guru Muryidul Am bagi menjelaskan sebarang kekeliruan.

Ini semua antara adab dan akhlak dalam berjemaah yang mesti diikuti oleh kesemua pimpinan dan ahli. Kalau pimpinan sudah meninggalkan adab dan akhlak ini, apatah lagi pimpinan bawahan dan ahli lagi.

Harap kesemua pimpinan terus merapatkan saf perjuangan selepas muktamar ini. ahli PAS telah membuat keputusan dalam pemilihan baru-baru ini. Ahli PAS juga telah yakin dengan kepimpinan yang ada pada hari ini. jadi, hentikan segala polemik dan teruskan perjuangan.

Kepada yang menang, laksanakan amanah sebaik mungkin. Kepada yang kalah, jawatan bukan prasyarat untuk berkhidmat untuk parti. semua mesti sama-sama Bekerja Untuk Islam.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...

Sunday, June 21, 2009

Menyahut cabaran ketua pemuda

“Kalau blog tidak diupdate lebih dari 3 hari, baik deletekan sahaja “ itu antara teguran Ust. Nasrudin Tantawi yang diluahkan kepada penulis.

Penulis cukup terharu dan terkejut dengan perhatian yang diberikan oleh Ketua Pemuda terhadap blogger kecil seperti penulis. Perwatakannya agak mesra dan berbeza dengan apa yang penulis gambarkan sebelum ini.

Penulis memandang teguran tersebut adalah teguran ikhlas daripada Ketua Pemuda walaupun bunyinya agak menyindir.

Penulis memang mengakui memang MALAS untuk mengupdate blog. Sebenarnya penulis telah menulis beberapa isu, tetapi tulisan tersebut hanya tajuk dan beberapa perenggan sahaja. kemudian idea tersebut mati begitu sahaja.

Mungkin ketiadaan fokus menyebabkan tulisan tersebut tidak dihabiskan mengikut pandangan penulis.

Kaedah penulisan blog attakiri sebelum ini agak ringan dan kurang disertakan dengan pernghujahan syarak dan fakta-fakta berat. Ini adalah penulis beranggapan bahawa pembaca boleh mendapatkannya dari internet.

Mungkin kaedah ini perlu diubah dan diupgradekan dari semasa ke semasa. Dilema inilah yang menyebabkan penulis agak lambat mengupdatekan blog.

Pun begitu, cabaran dan teguran daripada Ketua Pemuda PAS akan disahut dan penulis akan cuba mengupdatekan blog ini dalam masa tidak lebih dari 3 hari.

Doakan agar penulis istiqamah dalam perjuangan dan dakwah melalui tulisan ini.

www.attakiri.blogspot.com



... Bekerja Untuk Islam ...